Isnin, 2 Mac 2009

NAMA “ALLAH” DALAM AGAMA KRISTIAN ????

NAMA “ALLAH” DALAM AGAMA KRISTIAN ????

Orang minta aku mengulas tentang isu menyebut nama ”Allah” yang mahu digunakan dalam sebarang penerbitan yang melibatkan agama kristian.

Ada sebilangannya menentang tindakan itu, bahkan disana wujud juga mereka yang tidak menentang.

YB Zulkifli Nordin agak menentang menerusi tulisan dalam blog beliau. Adapun Dr Asri pula agak tidak menentang, bahkan membenarkannya. Kebenaran yang dinyatakan Dr Asri itu beralasan dengan hujjah-hujjah nas dari Al-Quran.

Setelah membaca pandangan Yb Zul dan Dr Asri, aku meletakkan asas seperti berikut;

a) Keizinan itu adalah berasaskan kepada nas yang membenarkan.

b) Larangan itu kerana bimbang orang islam keliru dengan buku-buku yang ada unsur kristian yang menyangka itu adalah buku-buku Islam.

Jika kita pergi di tanah arab, kita akan dapati pihak kristian di sana menggunakan kalimah ”Allah” dalam bible mereka. Bahkan, jika kita merujuk kepada bible bahasa indonesia pun, didapati ianya menggunakan kalimah ”Allah” juga.

Aku secara peribadi mempunyai bible dalam bahasa melayu yang aku beli di gereja Petaling jaya dalam dua tahun yang lalu. ”Al-Kitab” atau bible dalam bahasa Malaysia juga sebenarnya telah menggunakan kalimah ”Allah”.

Secara asasnya, aku menerima hujjah Dr Asri yang menyatakan keizinan menulis kalimah ”Allah” dalam bible. Ini kerana, Jika ianya adalah larangan, kenapa ulama-ulama di tanah arab tidak melarang??? Demikian hujjah Dr Asri.

Adapun dari pihak Yb Zul pula, beliau berhujjah bahawa kalimah ”Allah” dalam agama kristian adalah bukan merujuk kepada Allah yang difahami dalam agama Islam. ini kerana, dalam agama islam, kalimah Allah merujuk kepada tuhan yang esa, adapun dalam agama Kristian, kalimah Allah merujuk kepada trinity, iaitu konsep ketuhanan satu dalam tiga iaitu Tuhan Bapak, Tuhan Anak & Rohsuci.

Padaku, pandangan Dr Asri dan Yb Zul ada asas masing-masing dan wajib diterima pakai. Apa yang paling penting kita bahas di sini adalah, apakah keizinan itu relevan atau tidak di Malaysia???

KEIZINAN

Secara asasnya, adalah tidak boleh dinafikan bahawa agama lain juga menggunakan kalimah Allah yang merujuk kepada tuhan. Keadaan ini berlaku kepada Yahudi dan Nasrani. Ini kerana, pada awalnya, mereka adalah golongan yang menyembah Allah, yang mengikut ajaran Nabi Ya’qub, nabi Musa dan nabi Isa, tetapi ajaran mereka telah berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh guru-guru mereka terdahulu.

Firman Allah;

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Maksudnya;
“Kecelakaan terhadap mereka yang menulis “Al-Kitab” dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudian mendakwa ini adalah dari sisi Allah SWT, kerana mereka membelinya dengan harga yang murah”

(Surah Al-Baqarah : 79)

Keizinan menggunakan kalimah Allah untuk bukan islam adalah firman Allah;

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
”Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).”

(Surah Al-Ankabut : 61)

Juga firman Allah;

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”
(Surah Al-Ankabut : 63)

Jelas dari kedua-dua ayat ini, bahawa orang bukan islam boleh menyebut kalimah Allah dengan merujuk kepada tuhan.

Pun begitu, jika dihayati balik dari ayat Al-Quran, rupa-rupanya kalimah Allah dalam agama kristian tidak merujuk kepada kalimah Allah dalam agama Islam.

Firman Allah;

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata “sesungguhnya Allah adalah yang ketiga dari yang tiga”

(Surah Al-Maidah : 73)

Jelas kepada kita, pemahaman Allah mengikut ajaran Kristian tidak boleh disamakan dengan agama Islam. Pun begitu, apabila ianya tidak sama, apakah ianya adalah satu larangan tegar untuk mereka mengunakan kalimah “Allah”???

Padaku, inilah yang perlu dibahas dalam perbincangan fiqh yang disebut sebagai :

سد الذرائع

Maksudnya;
“menutup pintu haram”

Ini kerana, semua perkara yang boleh membawa kepada haram, maka ianya juga adalah haram. Ini diumpamakan seperti zina. Ianya adalah haram, maka semua perkara yang boleh membawa kepada zina adalah haram juga. Ekoran itulah Allah menyebut pengharaman zina itu adalah mengharamkan mendekati zina. Apabila disebut mengharamkan mendekati zina, maka perbuatan zina adalah terlebihlah diharamkan.

Firman Allah;

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya;
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”

(Surah Al-Isra’ : 32)

Dalam isu keizinan menyebut kalimah “Allah” oleh non Muslim di Malaysia, hendaklah dilihat kesan disebalik keizinan tersebut.

Dalam menentukan keizinan itu, hendaklah dilihat dari sudut ‘uruf dan adat orang Islam di Malaysia, apakah dengan keizinan ini akan memberi kemudharatan pada pemahaman Orang islam terhadap Islam atau tidak??

Jika wujud kemudharatan, maka adalah satu tindakan yang wajar untuk melarang dari menggunakan kalimah “Allah” untuk non Muslim. Adapun jika tidak wujud kemudharatan, maka tidak ada salahnya kita membenarkan non muslim menggunakan kalimah “Allah”.

Pun begitu, dalam mengizinkan itu, kita perlu memikirkan beberapa persoalan, antaranya adalah;

a) apakah keizinan itu akan memberi ruang kepada kristian untuk mensangsikan umat Islam di Malaysia dengan islam????
b) apakah keizinanan itu akan memberikan ruang kepada kristian untuk menuntut perkara yang akan menjahanamkan Islam di malaysia di masa akan datang???
c) dll

Disamping itu juga, jika kita melarang pula, kita juga perlu memikirkan beberapa persoalan, antaranya adalah seperti berikut;

a) apakah dengan larangan itu, akan menyebabkan non muslim akan memandang hina pada Islam dengan mendakwa, Islam adalah agama yang sering menutup, jumud dan “syok sendiri”???
b) Apakah dengan larangan itu, akan menyebabkan non Muslim akan menganggap bahawa Islam adalah agama penakut dalam saingan dalam pergerakan masing-masing????
c) dll

Padaku, jika persoalan-persoalan ini berjaya dijawab, pasti kita akan mendapat jawapan, apakah relevan di izinkan atau tidak penggunaan kalimah “Allah” untuk non Muslim di Malaysia.

Padaku, jika dakwah islam berjalan dengan hebat, jika zakat berjaya diprogramkan dalam bentuk yang sebenar, jika masjid dan surau berjaya menjadi medium dakwah yang baik dan sebagainya, tidak ada sebab kita bimbang untuk mengizinkan non muslim menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mereka.

Masalahnya sekarang, dakwah kita tidak berjalan dengan serius, zakat tidak berfungsi mengikut kaedah yang sebenar, masjid dan surau tidak berjaya difungsikan dengan fungsinya yang sebenar, maka sebab itulah timbul kebimbangan sebegini.

Semua ini berpunca dari UMNO laknatullah Alaih… lebih 50 tahun mereka memerintah Malaysia, yang wujudnya adalah kesangsian rakyat terhadap Islam. Yang sudah islam semakin jauh dengan Islam. Yang bukan islam makin membenci Islam.

Sebab itu, dalam hal ini, UMNO wajib dipersalahkan. Kalau mahu Islam selamat di Malaysia, UMNO wajib dihapuskan atas muka bumi. Jika krisitian mahu penulisan kalimah “Allah” dalam kitab suci mereka, UMNO wajib dihapuskan terlebih dahulu. ini kerana, jika UMNO masih wujud lagi, manusia sudah la tak faham islam, maka apabila di izinkan pula, makin bertambah sangsi lagi orang terhadap islam.

Ini kerana, UMNO adalah jijik dan kotor…..

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 Mac 2009 * 3:00 pagi.

JAWAPAN TERHADAP MEREKA YANG SANGSI TENTANG ISLAM

JAWAPAN TERHADAP MEREKA YANG SANGSI TENTANG ISLAM

Soalan-soalan ini di kemukakan kepadaku oleh salah seorang pelajar dalam bidang perubatan di luar Negara. Soalan-soalan ini dikemukakan melalui e mail.

Untuk berkongsi sama dengan pembaca blog ini, perbicaraaannya adalah seperti berikut;

PERTAMA:

Saya tidak bermaksud untuk derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya….. mungkin kerana ghairah untuk berfikir diluar kemampuan fikiran manusia, demi untuk mendapat kepuasan dalam memahami tentang Allah, saya kemukakan soalan-soalan sebegini

KOMEN;

Allah bukan daerah terlarang untuk kita berfikir, cumanya, Allah meletakkan panduan dalam berfikir, kerana dibimbangi kita tersasar dalam berfikir, lebih-lebih lagi dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal, seperti perkara ghaib (perkara yang ada, tapi tidak dapat dilihat).

KEDUA:

Apa komen ustaz tentang Firman Allah;

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka BERIBADAH kepada Ku. (Az Zariyat 51:56)

Malaikat, dia tidak ada nafsu... tidak ada kecenderungan untuk mendehakai Allah.

Adapun manusia dan jin, mereka ada nafsu. Mereka juga diberikan nafsu.... berdasarkan apa yang saya faham, manusia dan jin tidak ada kekuatan untuk mendapat hidayah, tetapi semua hidayah itu adalah pemberian Allah.... sebab itu, saya beranggapan mereka diciptakan hanya untuk mendapat pengakhiran yang buruk, untuk diseksa di akhirat nanti.

KOMEN:

Memang Jin dan Manusia diberikan Allah nafsu, tetapi jangan dilupa bahawa Allah memberikan jin dan Manusia juga akal untuk berfikir.

Jin dan Manusia diberikan Allah akal dan nafsu. Keadaan ini menyalahi Malaikat. Ekoran itulah, kita akan dapati pensyariatan hukum diberikan kepada jin dan manusia, tetapi tidak diberikan kepada malaikat.

Memang hidayah adalah pemberian Allah, tetapi perlu diingat juga, manusia diberikan Allah akal dalam menimbang kebenaran.

Orang yang diberikan hidayah adalah mereka yang menggunakan akalnya dalam mencari kebenaran (baca : hidayah).

Umpamanya, seorang majikan tidak akan memberikan gaji melainkan pekerjanya bekerja. Pun begitu, kalau pekerja itu tidak mahu bekerja, tapi tetap mahu diberikan gaji oleh majikannya, maka hal itu adalah perkara yang tidak mustahil bagi majikan.

Pun begitu, secara lumrahnya, majikan mana yang akan memberi gaji kepada pekerja yang tidak bekerja???

Begitulah halnya dalam menerima hidayah dari Allah. Allah boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang dia mahu. Tapi, mengikut lumrahnya, Allah akan memberikan hidayah kepada mereka yang menggunakan akal mereka mengikut cara yang sebenar. Pun begitu, tidak mustahil disisi Allah, jika mahu diberikan hidayah kepada mereka yang tidak memanfaatkan akalnya dalam mencari kebenaran.

KETIGA:

Firman Allah;

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang KHALIFAH di muka bumi... (Al Baqarah 2:30)

Saya rasa tak logic gambaran cerita dari ayat Al-Quran ini.

KOMEN:

Kita akan rasa tidak logic dengan kejadian yang Allah ceritakan dalam surah Al-Baqarah ayat 30 ini, kerana kita fikir mengikut alam dan zaman kita kini.

Cuba kita berfikir di luar dari alam kita atau di luar zaman kita. Ini dapat dimisalkan, apakah pandangan kita jika kita menggambarkan situasi di zaman Hang Tuah dulu yang melihat orang sekarang yang sudah pakai handphone. Sambil handphone itu pula ditemui dengan teknologi canggih dengan wujudnya bluetooth. Lalu handphone itu tidak diletakkan ditelinga, tetapi mamadai diletakan sejenis alat pendengaran di telinga. lalu orang yang menggunakan telefon itu, bercakap sambil memandu, sambil makan, sambil minum dan sebagainya.

Ketika itu, mungkin kita akan dapat rasakan, betapa peningnya Hang Tuan menilai kehidupan kini. Begitulah betapa peningnya kita menilai kehidupan sebelum kelahiran Adam yang diceritakan oleh Allah menerusi ayat 30 surah Al-Baqarah ini. oleh itu, cerita sebegini perlu dinilai dari sudut keimanan kita.

Sekian
Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mac 2009 * 1:18 pagi



Ahad, 1 Mac 2009

APA SUDAH JADI DENGAN DAYA MINDA UNIVERSITI???

APA SUDAH JADI DENGAN DAYA MINDA UNIVERSITI???

Malaysiakini melaporkan;

“Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan tindakan disiplin terhadap tiga mahasiswanya berhubung bantahan mereka terhadap kenaikan tambang bas di kampus itu”

”Tengku Mohd Hasrul, yang pernah mengetuai jawatankuasa bantahan tersebut, menghadapi tuduhan berbeza iaitu mengkritik seorang timbalan naib canselor UUM melalui tulisan di blog peribadinya
[1]

KOMEN:

Apa sudah jadi dengan minda-minda pihak universiti di malaysia. Takkan sampai tak boleh nak bantah langsung sebarang tindakan yang dilakukan. Isu yang bangkitkan pun adalah kenaikan tambang bas di kampus. Bantahan ini adalah berpatutan, tidak selayaknya dikenakan sebarang tindakan terhadap pelajar-pelajar itu.

Lebih-lebih lagi, apabila diberitakan bahawa Tengku Mohd Hasrul diambil tindakan kerana dituduh kerana mengkritik seorang Timbalan Naib Canselor UUM dalam blog peribadi beliau.

Ini satu lagi cara pemikiran orang utan UMNO Laknatullah alaih. Ingatkan UMNO je bermindakan pemikiran Orang Utan, rupa-rupanya dengan Universiti pun sudah berminda Orang Utan.

Kalau tak leh dikritik, baik tak payah jadi Universiti. Baik tak payah jadi Timbalan Naib Cancelor UUM.

Nabi SAW yang ma’sum, bahkan lebih hebat dari mereka yang ada beribu-ribu PHD pun sering dikritik. Lihatlah, kritikan Allah terhadap Nabi menerusi firman Allah dalam surah ’Abasa. Kritikan Sahabat terhadap tindakan Nabi SAW dalam menentukan posisi dalam peperangan badar Al-Kubra.

Nabi yang terlalu bijak pun menerima kritikan, inikan pula baru sahaja berjawatan Timbalan Naib Cancelor UUM, dah rasa lebih bijak dari Nabi???

Masalah tulisan kritikan itu melalui Blog, itu juga dijadikan isu. Apakah kita tidak melihat kritikan rakyat terhadap Omar dalam majlis terbuka. Tindakan seorang mak cik kritik Omar dalam majlis terbuka yang dihadiri oleh kaum muslimat. Kritikan Ubadah bin As-Somit terhadap Muawiyyah dalam masjid Damsyik dihadapan para jemaah solat jumaat ketika khatib jumaat berada di atas mimbar???

Pemerintahan Omar jadi hebat, adalah bersebab kritikan terbuka dari rakyat bawahan terhadap pemerintah berlaku. Adapun sekarang, universiti jatuh sebab kritikan pelajar terhadap univerisiti ditutup.

Pihak univerisiti jadi macam ini, semua ini berpunca dari pemikiran yang terciplak dari UMNO yang bermindakan orang utan.

UMNO adalah jijik dan kotor !!!!

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 mac 2009 * 3:04 petang



[1] http://www.malaysiakini.com/news/99349

SEJARAH : LOMPAT PARTI PADA TAHUN 1968

SEJARAH : LOMPAT PARTI PADA TAHUN 1968

Aku sedang memulakan membaca sejarah hidup Tan Sri Dato’ Mohd Asri bin Muda, seorang pejuang Islam bersemangat nasionalis. Beliau adalah antara orang yang pernah memegang jawatan presiden PAS (masa itu disebut Yang DiPertua Agung). Gugur jatuh dari jawatan tersebut dalam keadaan yang agak sadis.

Pekikan “marakbar asri” yang bermaksud “pergi mampu asri” dalam bahasa iran yang dilaungkan perwakilan PAS ketika itu telah menyebabkan muktamar PAS ke 28, Oktober 1982 menjadi titik sejarah hitam bagi diri Tan Sri Dato’ Asri.

Perjuangan dalam politik yang diamalkan oleh beliau, bermula sejak PPMK (Persekutuan Persetiaan Melayu kelantan) pada tahun 1945-1946 lagi, iaitu sebagai penolong Setiusaha. PPMK hidup tidak lama, tapi ianya amat memberi kesan besar kepada rakyat kelantan dalam usaha hendak menentang gagasan Malayan Union.

Kemudiaannya, iaitu pada tahun 1946, beliau bergerak sebagai Ketua API kelantan (API : angkatan Pemuda Insaf), yang ketika itu, ketua API pusat adalah Ahmad Boestamam.

Beliau juga antara anggota yang mengasaskan Hizbul muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, yang ketika itu, Dato’ Asri menjadi salah seorang guru di Maahad Ehya’ As-Syarif, Gunung Semanggol.

Ketika British sedang menangkap pejuang-pejuang kemerdekaan haluan kiri, beliau terselamat dari sebarang tangkapan, menyebabkan beliau telah meninggalkan dunia politik dan menumpukan sepenuh waktunya dalam bidang penulisan sastera sehinggakan pada tahun 1952, beliau dikunjungi ustaz Othman Abdullah yang datang sebagai menyatakan hasrat Ustaz Haji Ahmad Fuad bahawa PAS memerlukan tenaga beliau dalam mengurus pejabat parti yang pertama, iaitu di Kepala batas.

Pada tahun 1952, dato’ Asri berpindah ke bukit Mertajam kerana diminta bertugas sebagai pegawai di ibu pejabat agung PAS di madrasah Masriyah. Ketika itu, beliau bertugas sebagai Penolong kepada Setiusaha Agung PAS, iaitu Ahmad Awang.

Pejabat PAS berpindah lagi, iaitu dari Bukit mertajam ke Madrasah Daeratul Maarif, kepala batas yang kemudiannya berpindah pula Ke Kuala Lumpur. Ketika itulah, Dato’ Asri pulang ke Kelantan untuk terlibat dalam dunia politik di sana sepenuh masa.

POLITIK KELANTAN

Pada pilihanraya umum yang pertama, iaitu pada tahun 1959, PAS kelantan telah menyapu bersih dengan mendapat 10 kerusi Parlimen dan 28 daripada 30 kerusi DUN dalam pertarungan dengan parti perikatan.

Di Terangganu pula, PAS mencapai kemenangan yang membanggakan juga, iaitu dengan mendapat 13 daripada 24 kerusi DUN dan 4 daripada 6 kerusi Parlimen di terengganu.

Kejayaan PAS ini, menyebabkan pada tahun tersebut, PAS berjaya menubuhkan dua buah negeri.

Pada pilihanraya umum tahun 1964 pula, PAS agak kecundang, iaitu PAS hanya berjaya mempertahankan 21 daripada 30 kerusi DUN dan 8 daripada 10 kerusi parlimen. Dengan itu, PAS masih lagi memerintah di kelantan.

Keadaan yang menyedihkan adalah di terengganu, kerana PAS di sana tidak berjaya mempertahankan pemerintahannya disebabkan berjaya mendapat 3 daripada 24 kerusi DUN dan 1 daripada 6 kerusi Parlimen.

Rentetan dari kejatuhan kerajaan terengganu itu, menyebabkan UMNO menjadi parti yang menggila. Mereka melihat, dengan kejatuhan kerajaan Terengganu, akan membawa kepada kejatuhan kerajaan Kelantan juga.

Dalam keadaan menggila itupun, UMNO di Kelantan berada dalam krisis dalaman yang amat meruncing. Semuanya bermula rentetan kekalahan mereka dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 dahulu. Dalam keadaan itulah, menyebabkan UMNO pusat terpaksa melantik Timbalan Presiden UMNO, merangkap Timbalan perdana Menteri, iaitu Tun Abdur Razak (bapa najib Tun Razak) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO kelantan. (macam najib Tun Razak ganti Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak baru-baru ini).

keadaan politik di Kelantan semakin meruncing, apabila pada bulan Julai tahun 1967, Abdus Samad Gul yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas hulu (sekarang : rantau panjang) telah dibunuh dengan kepalanya ditetak ketika beliau mahu menaiki kereta di hadapan pasar Besar Kota Bharu setelah selesai menyampaikan ceramah Majlis Maulid Nabi di Bangunan Perhubungan PAS Kelantan.

Bagi menggantikan kerusi parlimen tersebut, PAS meminta Tengku Zaid bin Tengku Ahmad sebagai calon, dan PAS mencapai kemenangan di parlimen tersebut.

Begitujuga, dengan berita kematian Haji Ahmad Prai yang merupakan Ahli parlimen Kelantan Hilir (sekarang : Pangkalan Chepa) ekoran terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang amat meragukan.

Kerusi Parlimen Kelantan Hilir telah dipertandingkan dengan meletakkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat sebagai calon PAS dan PAS juga mencapai kemenangan bagi parlimen tersebut.

Pada tahun 1968 pula, meninggal dunia pula salah seorang exco kerajaan negeri Kelantan yang bernama Ustaz Syafie Ahmad sebagai ADUN di Bachok Utara (sekarang : Tawang). Maka, PAS meletakkan Muhammad Nor bin ismail sebagai calon dan PAS juga mencapai kemenangan.

LOMPAT PARTI

Dalam keadaan yang meruncing itulah, maka kedengaran berita bahawa ada 5 orang ADUN Kerajaan Negeri Kelantan telah ditahan oleh Polis di beberapa sekatan jalan Raja. Kemudiannya mereka dibawa di Kuala Lumpur, dan dikurung di sebuah Banglo bertempat di Jalan pekeliling (sekarang : jalan Tun Razak).

5 orang ADUN itu adalah, (1) Encik Saufi bin Idris; (2) Encik Abdullah bin Haji Yusof; (3) Ustaz Abdur Rahman Salleh; (4) Ustaz Yusuf Abdul Latif; (5) Encik Omar bin Muhammad.

5 orang ADUN itu berada disitu lebih sebulan, dan dalam jangka masa itulah, mereka sering menerima kunjungan beberapa orang pegawai kerajaan dan orang-orang politik tertentu untuk memujuk mereka lompat parti, meninggalkan PAS masuk UMNO.

Pun begitu, selepas dua minggu mereka berada dalam kawalan tersebut, dalam keadaan sorok-sorok, salah seorang dari 5 orang ADUN itu telah menelefon Ketua PAS Pasir Putih, iaitu Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim bagi memberitahu keadaan mereka yang mahu melompat parti, daripada PAS kepada UMNO.

Isu ini semakin hangat dimainkan oleh media di Malaysia, khususnya di kelantan ketika itu. ketika berlaku satu sidang DUN Kelantan, 3 atau 4 hari sebelum itu, 5 orang ADUN tersebut telah dikawal rapi oleh polis untuk dibawakan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Semasa di rumah kediaman masing-masing, dalam keadaan mereka dikawal ketat, salah seorang dari 5 orang ADUN tersebut, iaitu Ustaz Abdur Rahman Salleh sempat keluar secara bersembunyi menuju ke Pasir Putih berjumpa dengan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim. Setelah berjumpa, mereka berdua terus berjumpa dengan Dato’ Asri sebagai Menteri besar Kelantan dan Datuk Haji Ishak Lotfi.

Dalam pertemuan itu, ustaz Abdur Rahman Salleh menceritakan semua kejadian yang berlaku. Beliau menyatakan bahawa, beliau tidak mahu melompat ke Parti UMNO, tetapi terpaksa membuat kenyataan media sedemikian adalah disebabkan paksaan dari orang-orang tertentu. Keadaan ini tidak berlaku pada dirinya sahaja, bahkan berlaku kepada 4 orang ADUN yang lain.

DALAM SIDANG DUN

Memandangkan pengisytiharan lompat parti tidak boleh berlaku melainkan dalam sidang DUN, menyebabkan ketika para ADUN dan Speaker mengambil tempat masing-masing, Ustaz Abdur Rahman Salleh telah bangun dari kerusi pembangkang lalu duduk di pihak kerajaan.

Apabila sidang DUN ditangguhkan, maka berlakulah pertemuan antara Dato Asri dengan Encik Omar bin Muhammad yang merupakan salah seorang ADUN yang kononnya mahu melompat parti itu di Rumah Kediaman rasmi Menteri besar kelantan di JKR 10.

Ketika itu, semua ADUN-ADUN di pihak kerajaan sudah berkumpul di JKR 10. tujuannya adalah, bagi melicinkan sebarang perbincangan yang berkaitan kemelut politik Kelantan pada masa itu.

Sesudah pertemuan dengan Encik Omar, pertemuan dengan Encik Yusuf Latif pula berlaku. Setelah perbincangan demi perbincangan berlaku, maka pada petang itu juga, tiga orang ADUN PAS, iaitu Ustaz Abdur Rahman bin Salleh, Encik Omar bin Muhammad dan Ustaz Yusuf Latif telah mengadakan satu kenyataan media dengan menyatakan bahawa mereka sebenarnya masih lagi ADUN PAS, tidak melompat kepada parti UMNO.

Pun begitu, ada dua orang ADUN lagi, iaitu Encik Abdullah Yusuf yang merupakan Speaker DUN dan Encik Sufi Idris tetap dalam UMNO.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan ringkas dari buku ”memoir Politik Asri : meniti arus”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Mac 2009 * 3:10 pagi.

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 9

MUNAFIQ TIPU ALLAH

Kewujudan munafiq adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Golongan munafiq atau Opportunis adalah golongan yang tidak ikhlas dengan agama, bahkan kewujudakan mereka adalah sesuatu yang telah diakui sendiri oleh Allah menerusi firman-firman Allah dalam Al-Quran.

Dari segi waqii pula, kewujudan munafiq ini adalah sesuatu tidak boleh dinafikan juga. Ini kerana, apabila disebut sebagai munafiq, pasti wujudnya manusia yang berkepentingan. Berkepentingan itulah yang menyebabkan ternafinya keikhlasan terhadap agama.

Keadaan ini boleh menimpa manusia adalah kerana manusia itu dikurniakan oleh Allah nafsu. Tidak ada manusia yang membuang nafsu, tetapi nafsu boleh di kawal. Mengawal nafsu hendaklah berasaskan kepada dokongan Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan wahyu Allah.

Dalam keadaan sedemikian, Allah mencatatkan kepada kita beberapa cirri-ciri orang munafiq yang boleh kita kenali menerusi Al-Quran. Iaitu;

Firman Allah;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
“Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar”

(Surah Al-Baqarah : 9)

****

Apabila Allah menyebut tentang mereka (orang munafiq) menipu Allah, pasti akan tertanya dalam pemikiran kita beberapa persoalan, antaranya adalah seperti, apakah yang dimaksudkan dengan mereka menipu Allah? mengapa mereka menipu Allah? bagaimana cara mereka menipu Allah?

Bagi menjawab semua persoalan ini, seharusnya kita menyebut terlebih dahulu tentang apa itu penipuan.

Dalam bahasa arab, kalimah “Mukhadaah” (melayu : tipu daya) bermakna menyembunyikan. Maksud dengan menyembunyikan adalah, menyembunyikan perkara yang sebenar.

Apabila menyebut mereka menyembunyikan kebenaran, adalah menyembunyikan keadaan sebenar yang wujud dalam hati mereka. iaitu, orang munafiq, mereka sebenarnya telah menymbunyikan kekufuran mereka terhadap Allah terhadap orang-orang yang beriman.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati orang munafiq adalah mereka yang mengucap dua kalimah Shahadah, tetapi dalam masa yang sama, hati mereka tidak membenarkan kandungan shahadah yang mereka lafazkan.

Mengapa mereka bertindak menyembunyikan isi hati mereka yang sebenar??

Antaranya adalah kerana, mereka meletakkan kepentingan peribadi mereka dalam mengambil keuntungan disebalik mereka masuk islam.

Jika dilihat pada zaman nabi SAW, antara sebab manusia jadi munafiq adalah kerana

(a) mahu mendapat kemuliaan di zaman nabi SAW, ini kerana, pada zaman itu, mereka menyangka bahawa Nabi SAW tidak akan melayan mereka jika mereka tidak beriman.

(b) mereka mahu menyelamatkan diri mereka dari sebarang serangan yang dikenakan kepada mereka. Seperti sabda Nabi SAW;

أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا إله إلا الله

Maksudnya;
“Aku disuruh menyerang manusia hinggakan mereka menyebut “tiada tuhan melainkan Allah””

(c) mereka mahu mendapat habuan harta ghanimah (baca : harta rampasan perang) sekiranya menang dalam peperangan.

Jika diperhatikan kepada ketiga-tiga perkara ini, kita akan mendapat satu kesimpulan bahawa, maqasid disebalik tujuan-tujuan mereka ini adalah kerana mereka mementingkan habuan dunia berbanding akhirat. Mereka tidak pernah memikirkan habuan mereka diakhirat, semuanya disebabkan krisis keyakinan mereka terhadap hari akhirat itu.

Keadaan yang sama juga berlaku pada manusia kini. Ini kerana, ada sebilangan manusia kini yang bersama-sama dengan gerakan islam, bukanlah dengan tujuan mahukan kepada mahu mencapai kejayaan dalam berdakwah dan menyeru manusia kepada Islam, tetapi kehadiran mereka dalam gerakan islam adalah kerana wujud unsur keduniaan, seperti mahu memegang jawatan, ekoran itu mereka akan mendapat pengaruh dan disanjung oleh masyarakat.

Memandangkan keadaan sedemikianlah, kita akan dapati mereka menggunakan segala kesempatan yang ada dalam mengaut keuntungan dunia, mencari pengaruh dunia, mengejar segala jawatan yang ada demi mahu melepaskan kehendak nafsu mereka yang buas.

****

Firman Allah:

يُخَادِعُونَ اللَّهَ

Maksudnya;
“mereka mahu menipu Allah”

Apa yang dimaksudkan dengan menipu Allah seperti yang dikehendaki pada ayat ini???

Hakikat ayat ini adalah, Allah ingin menggambarkan kepada kita bahawa penipuan yang dilakukan oleh orang munafiq terhadap Allah itu bermaksud mereka menipu segala arahan Allah yang telah Allah wahyukan kepada Nabi SAW.

Keadaan ini sama seperti firman Allah;

إِنَّ الذين يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ الله

Maksudnya;
”Sesungguhnya mereka yang membaiaah kamu (wahai Muhammad), hanyasanya mereka membaiaah Allah”

(Surah Al-Fath : 10)

Bermakna, nabi itu sebagai perantara antara Allah dengan manusia. Oleh itu, apabila manusia itu membaiaah Rasulullah dengan menyatakan taat setia mereka terhadap Rasulullah, menunjukkan mereka juga telah menyatakan taat setia mereka terhadap Allah SWT yang mengutuskan Rasulullah SAW.

Keadaan yang sama juga dalam ayat ini; yang menggambarkan penipuan munafiq terhadap Allah, bermaksud mereka melakukan melakukan tipu daya terhadap ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

****

Firman Allah;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا

Maksudnya;
“mereka mahu menipu Allah dan orang-orang yang beriman”

Dalam mengulas ayat ini, Sayed Qutub telah menyatakan bahawa, inilah antara kelebihan orang-orang yang beriman. Ini kerana, dalam ayat ini, sengaja Allah menggabungkan penipuan munafiq lakukan terhadap Allah dan orang beriman.

Menunjukkan, segala perkara yang disukai oleh Allah, maka itulah yang disukai oleh orang-orang beriman. Jika itu adalah perkara yang dibenci Allah, maka itu juga adalah perkara yang dibenci oleh orang-orang beriman. Oleh yang demikian, jika itu adalah musuh Allah, maka itu juga adalah musuh orang-orang beriman.

Dalam erti kata lain, jika orang munafiq melakukan penipuan terhadap orang-orang beriman, menunjukkan mereka sebenarnya sedang menipu Allah SWT.

****

Firman Allah;

وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ

Maksudnya;
“tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri”

Apabila disebut ”menipu”, tidak akan berlaku tipuan itu dari sebelah pihak sahaja. Pasti wujud, pihak yang kena tipu.

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang orang munafiq itu menipu diri mereka sendiri, sedangkan jika difaham sedemikian, seakan-akan tidak wujud manusia yang kena tipu, bahkan yang wujud hanya orang yang menipu sahaja.

Bagi menjawab persoalan ini, Imam Fakhru Razi dalam kitab At-tafsir Al-kabir berhujjah bahawa, selalunya orang yang menipu adalah dengan tujuan untuk mendapat habuan dan keuntungan. Tetapi, apabila orang munafiq melakukan penipuan, sebenarnya mereka telah melakukan tindakan yang tidak mendapat keuntungan, bahkan mendapat kerugian hidup di akhirat nanti.

Bermaksud, tindakan munafiq yang menipu itu sebenarnya mendapat pembalasan dari Allah diakhirat nanti dengan kerugian, bukan keuntungan seperti yang diharapkan oleh mereka.

***

Firman Allah;

وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
“mereka tidak sedar”

Maksud sedar adalah mengetahui sesuatu dengan cara kita merasainya sendiri. Bermaksud, tidak sedar adalah kita mengetahui sesuatu dengan tidak kita merasainya.

Ada perkara yang kita tahu tidak dengan cara merasainya, tetapi sekadar tahu yang terhasil melalui ilmu.

Orang melayu ada pepatah menyebut;

“berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”

Yang membawa maksud, orang yang melihat juga merasakan kesusahan yang ditanggung oleh kawannya, tetapi kesusahan yang ditanggung oleh kawannya itu lebih berat berbanding dirinya yang melihat.

Dengan erti kata lain, kesusahan orang yang melihat tidak sama dengan kesusahan orang yang menanggung.

Ayat ini, Allah menyebut orang munafiq menipu Allah dalam keadaan mereka tidak sedar bahawa mereka telah menipu diri mereka sendiri. Bermaksud, mudharat yang menimpa diri mereka sendiri lepas kiamat nanti tidak disedari oleh mereka ketika mereka melakukan penipuan semasa di dunia.

Mereka melakukan penipuan itu, bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi sebenarnya mereka memang tahu bahawa mereka sedang menipu, tetapi disebalik penipuan mereka, mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menepah tempat dalam neraka Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 mac 2009 * 1:06 pagi.



Sabtu, 28 Februari 2009

TADABBUR AL-QURAN: SIRI 8

ORANG KAFIR TERAMAT BIMBANG

Keadaan dalam alam akhirat amat dahsyat. Kesedihan, kemurungan hati, kesempitan jiwa, kebimbangan nasib dan semua perkara negatif wujud dalam hati manusia. Sama ada mereka yang beriman, lebih-lebih lagi mereka yang kufur kepada Allah.

Orang beriman juga bimbang tentang nasib mereka, apakah mereka mendapat nasib yang baik, ataupun mereka senasib dengan mereka yang mengingkari ajaran Allah.

Mengapa orang beriman merasa bimbang juga???

Ini diumpamakan seperti orang yang mempunyai segala kelengkapan memandu, dan sebarang kesalahan memandu tidak dilakukannya, tetapi apabila sedang memandu, tiba-tiba ternampak polis, pada masa itu, orang yang memandu itu merasakan macam ada sesuatu yang tak kena, padahal ia tidak mempunyai sebarang kesalahan.

Dalam pemikirannya, terbayang sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Apakah dia akan di saman oleh polis, atau dia terselamat dari disaman oleh polis.

Begitulah keadaan orang beriman ketika berada di alam akhirat nanti.

Dalam keadaan kesedihan dan kebimbangan itu, tiba-tiba Allah mendatangkan binatang-binatang yang pernah bergaduh semasa di dunia dahulu.

Kalau seekor lembu itu telah tanduk seekor lembu lain sehingga tanduknya patah, maka pada hari ini, Allah memberikan ruang kepada lembu satu lagi membalas serangan lembu tersebut, sebagai balasan atas tindakannya semasa di dunia dahulu. Begitulah berlaku pada binatang-binatang yang lain.

Segala pembalasan terhadap sesama binatang itu diperlihatkan oleh Allah SWT di depan mata-mata seluruh manusia.

Apabila selesai binatang-binatang itu berbalas-balas serangan terhadap mereka, terus Allah hancurkan mereka menjadi tanah.

Keadaan ini menyebabkan orang-orang yang kufur kepada Allah merasa amat cemburu. Ini kerana, mereka sudah merasakan bahawa mereka adalah ahli neraka, yang sudah pasti akan berketemu dengan berbagai-bagai azab yang tidak mampu untuk dihadapinya.

Dalam keadaan itu, mereka melihat binatang-binatang itu dihancurkan oleh Allah menjadi tanah, dengan maksud, binatang-binatang itu tidak akan ditimpa lagi dengan sebarang persoalan, sebarang azab yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka selepas hisab, mereka terus mengungkapkan bahawa, alangkah baiknya mereka menjadi seperti binatang yang menjadi tanah, berbanding jadi manusia yang akan terus ditimpa dengan berbagai-bagai tanggungjawab selepas hisab.

Firman Allah;

إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah”

(Surah An-Naba’ : 40)

****

Ayat ini, Allah menyebut inzar (melayu : memberi khabar ketakutan). menunjukkan, keadaan pada hari kiamat nanti, wujud berbagai-bagai ketakutan yang maha dahsyat.

Sebab itu, manusia tidak seharusnya takut untuk menghadapi mati, tetapi sewajibnya manusia merasa takut untuk menghadapi kehidupan selepas dari mati.

Ketakutan yang wujud selepas dari kematian di dunia amatlah dahsyat. Kedahsyatan itu sukar untuk digambarkan dalam sebarang bentuk di dunia ini, kerana memandangkan tidak ada seorang pun yang merasa kedahsyatan itu balik ke dunia, cerita keadaan yang berlaku melainkan Nabi SAW ketika menziarahi Syurga dan neraka pada malam isra’ dan Mikraj.

Pun begitu, kesusahan bahu yang memikul tidak sama kesusahan mata yang melihat. Baginda SAW melihat kejadian itu, menceritakan keadaan itu. itupun, apabila mendengar cerita-cerita nabi, kita merasakan meremang bulu roma betapa dahsyatnya azab akhirat bagi mereka yang ingkar ajaran-ajaran Allah SWT.

*****

Allah menyebut;

عَذَابًا قَرِيبًا

Maksudnya;
“Azab yang dekat”.

Azab yang dekat ini ditafsirkan oleh ulama sebagai azab Akhirat. Menunjukkan, akhirat ini adalah sesuatu yang sudah dekat dengan kita. Ini kerana, dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW, menunjukkan akhirat itu sudah hampir dengan kita. Ekoran itulah, Nabi Muhammad disebut sebagai utusan yang terakhir.

*****

Allah menyebut;

يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

Maksudnya;
“pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya”

Sengaja Allah menggunakan “yang telah diperbuat oleh kedua tangan”. Tidak disebut kaki, kepala dan sebagainya, sedangkan dalam melakukan maksiat itu, manusia tidak sekadar menggunakan tangan sahaja.

Inilah yang disebut sebagai sastera bahasa arab yang wujud dalam Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran adalah kitab yang datang dari Allah yang mempunyai sastera yang tinggi.

Dalam pengajian sastera arab, kita akan berjumpa satu kaedah yang menyebut;

مجاز مرسل , من إطلاق الجزئي و اراد الكلي

Maksudnya;
“majaz mursal, dengan menyebut setengah, tapi menghendaki seluruh”

Dengan erti kata lain, sengaja Allah menyebut kalimah tangan, kerana tangan amat sinonim dengan kerja buat dan amalan.

Amalan manusia yang disifatkan sebagai maksiat, pasti akan dibalas oleh Allah di akhirat nanti. Lebih menyedihkan lagi, apabila amalan yang dilakukan itu adalah amalan yang membawa kepada kufur dan syirik kepada Allah SWT.

Orang-orang kafir, sama ada kafir asli, ataupun kafir kerana murtad, mereka akan berada di akhirat nanti dalam keadaan yang terlalu membimbangkan. Kebimbangan kerana takut dicampakkan oleh Allah SWT kedalam azab neraka yang dahsyat.

Melihat keadaan di padang mahsyar pun mereka sudah tidak tahan, sudah pasti mereka akan membayangkan betapa lebih dahsyatnya kehidupan dalam neraka. Ekoran itulah, mereka merasa kebimbangan yang melampau, sehingga sampai satu tahap mereka terus menungkap;

وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
”Berkata orang kafir, alangkah baiknya kalau aku jadi tanah”

Menjadi tanah seperti binatang-binatang yang dijadikan tanah setelah diperadili oleh Allah didepan mereka.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 Febuari 2009 * 4:35 petang.

Jumaat, 27 Februari 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 7

SERING MEMBERI HADIAH

Hadiah merupakan pelunak bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, menyebabkan orang yang menerima hadiah akan rasa dihargai, menyebabkan kadangkala perasaan marah juga boleh terhapus.

Sabda Nabi SAW;

تهادوا تحابوا

Maksudnya;
”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang
[1]

Diceritakan bahawa semasa Imam Hasan Al-Banna sering menyampaikan kuliah agama. Dalam kuliah beliau itu, terdapat seorang Pak Cik tua yang sering mengemukakan soalan-soalan ”pekena”. Soalan yang dikemukakan, bukan dengan tujuan ”mahu tahu”, tetapi mahu menjatuhkan kredibiliti Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam di Mesir.

Melihat tindakan Pak Cik tersebut, Imam Hasan Al-Banna berfikir tentang cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedang menimpa itu. akhirnya, Imam Hasan Al-Banna terfikir kepada hadis nabi yang menyebut tentang hadiah, menyebabkan Imam Hasan Al-Banna telah membelikan satu hadiah dan diberikan kepada Pak Cik tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, menyebabkan Pak Cik itu sudah mula merasa malu dengan Imam Hasan Al-banna, dan selepas dari kejadian itu, Pak Cik tersebut tidak lagi mengemukakan soalan-soalan ”penena” seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.

Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa hadiah merupakan faktor penting dalam menaikkan semangat sayang menyayangi antara manusia. Lebih-lebih lagi, dalam usaha hendak melahirkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Nabi SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu dijadikan tauladan dalam pengurusan rumah tangga ini. ini kerana, didapati baginda SAW juga sering memberikan hadiah kepada isterinya. Semuanya ini adalah bertujuan, untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

Ini disandarkan kepada hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita;

لَمَّا تَزَوَّجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّ سَلَمَةَ قَالَ لَهَا إِنِّي قَدْ أَهْدَيْتُ إِلَى النَّجَاشِيِّ حُلَّةً وَأَوَاقِيَّ مِنْ مِسْكٍ وَلَا أَرَى النَّجَاشِيَّ إِلَّا قَدْ مَاتَ وَلَا أَرَى إِلَّا هَدِيَّتِي مَرْدُودَةً عَلَيَّ فَإِنْ رُدَّتْ عَلَيَّ فَهِيَ لَكِ قَالَ وَكَانَ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرُدَّتْ عَلَيْهِ هَدِيَّتُهُ فَأَعْطَى كُلَّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أُوقِيَّةَ مِسْكٍ وَأَعْطَى أُمَّ سَلَمَةَ بَقِيَّةَ الْمِسْكِ وَالْحُلَّةَ

Maksudnya;
“ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu”. Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; “jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu
[2]

Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW.

Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.

Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.

Begitujuga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.

Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad SAW.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 febuari 2009 * 3:12 petang.



[1] Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.
[2] Musnad Ahmad : 26016.