Ahad, 1 Mac 2009

SEJARAH : LOMPAT PARTI PADA TAHUN 1968

SEJARAH : LOMPAT PARTI PADA TAHUN 1968

Aku sedang memulakan membaca sejarah hidup Tan Sri Dato’ Mohd Asri bin Muda, seorang pejuang Islam bersemangat nasionalis. Beliau adalah antara orang yang pernah memegang jawatan presiden PAS (masa itu disebut Yang DiPertua Agung). Gugur jatuh dari jawatan tersebut dalam keadaan yang agak sadis.

Pekikan “marakbar asri” yang bermaksud “pergi mampu asri” dalam bahasa iran yang dilaungkan perwakilan PAS ketika itu telah menyebabkan muktamar PAS ke 28, Oktober 1982 menjadi titik sejarah hitam bagi diri Tan Sri Dato’ Asri.

Perjuangan dalam politik yang diamalkan oleh beliau, bermula sejak PPMK (Persekutuan Persetiaan Melayu kelantan) pada tahun 1945-1946 lagi, iaitu sebagai penolong Setiusaha. PPMK hidup tidak lama, tapi ianya amat memberi kesan besar kepada rakyat kelantan dalam usaha hendak menentang gagasan Malayan Union.

Kemudiaannya, iaitu pada tahun 1946, beliau bergerak sebagai Ketua API kelantan (API : angkatan Pemuda Insaf), yang ketika itu, ketua API pusat adalah Ahmad Boestamam.

Beliau juga antara anggota yang mengasaskan Hizbul muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, yang ketika itu, Dato’ Asri menjadi salah seorang guru di Maahad Ehya’ As-Syarif, Gunung Semanggol.

Ketika British sedang menangkap pejuang-pejuang kemerdekaan haluan kiri, beliau terselamat dari sebarang tangkapan, menyebabkan beliau telah meninggalkan dunia politik dan menumpukan sepenuh waktunya dalam bidang penulisan sastera sehinggakan pada tahun 1952, beliau dikunjungi ustaz Othman Abdullah yang datang sebagai menyatakan hasrat Ustaz Haji Ahmad Fuad bahawa PAS memerlukan tenaga beliau dalam mengurus pejabat parti yang pertama, iaitu di Kepala batas.

Pada tahun 1952, dato’ Asri berpindah ke bukit Mertajam kerana diminta bertugas sebagai pegawai di ibu pejabat agung PAS di madrasah Masriyah. Ketika itu, beliau bertugas sebagai Penolong kepada Setiusaha Agung PAS, iaitu Ahmad Awang.

Pejabat PAS berpindah lagi, iaitu dari Bukit mertajam ke Madrasah Daeratul Maarif, kepala batas yang kemudiannya berpindah pula Ke Kuala Lumpur. Ketika itulah, Dato’ Asri pulang ke Kelantan untuk terlibat dalam dunia politik di sana sepenuh masa.

POLITIK KELANTAN

Pada pilihanraya umum yang pertama, iaitu pada tahun 1959, PAS kelantan telah menyapu bersih dengan mendapat 10 kerusi Parlimen dan 28 daripada 30 kerusi DUN dalam pertarungan dengan parti perikatan.

Di Terangganu pula, PAS mencapai kemenangan yang membanggakan juga, iaitu dengan mendapat 13 daripada 24 kerusi DUN dan 4 daripada 6 kerusi Parlimen di terengganu.

Kejayaan PAS ini, menyebabkan pada tahun tersebut, PAS berjaya menubuhkan dua buah negeri.

Pada pilihanraya umum tahun 1964 pula, PAS agak kecundang, iaitu PAS hanya berjaya mempertahankan 21 daripada 30 kerusi DUN dan 8 daripada 10 kerusi parlimen. Dengan itu, PAS masih lagi memerintah di kelantan.

Keadaan yang menyedihkan adalah di terengganu, kerana PAS di sana tidak berjaya mempertahankan pemerintahannya disebabkan berjaya mendapat 3 daripada 24 kerusi DUN dan 1 daripada 6 kerusi Parlimen.

Rentetan dari kejatuhan kerajaan terengganu itu, menyebabkan UMNO menjadi parti yang menggila. Mereka melihat, dengan kejatuhan kerajaan Terengganu, akan membawa kepada kejatuhan kerajaan Kelantan juga.

Dalam keadaan menggila itupun, UMNO di Kelantan berada dalam krisis dalaman yang amat meruncing. Semuanya bermula rentetan kekalahan mereka dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 dahulu. Dalam keadaan itulah, menyebabkan UMNO pusat terpaksa melantik Timbalan Presiden UMNO, merangkap Timbalan perdana Menteri, iaitu Tun Abdur Razak (bapa najib Tun Razak) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO kelantan. (macam najib Tun Razak ganti Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak baru-baru ini).

keadaan politik di Kelantan semakin meruncing, apabila pada bulan Julai tahun 1967, Abdus Samad Gul yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas hulu (sekarang : rantau panjang) telah dibunuh dengan kepalanya ditetak ketika beliau mahu menaiki kereta di hadapan pasar Besar Kota Bharu setelah selesai menyampaikan ceramah Majlis Maulid Nabi di Bangunan Perhubungan PAS Kelantan.

Bagi menggantikan kerusi parlimen tersebut, PAS meminta Tengku Zaid bin Tengku Ahmad sebagai calon, dan PAS mencapai kemenangan di parlimen tersebut.

Begitujuga, dengan berita kematian Haji Ahmad Prai yang merupakan Ahli parlimen Kelantan Hilir (sekarang : Pangkalan Chepa) ekoran terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang amat meragukan.

Kerusi Parlimen Kelantan Hilir telah dipertandingkan dengan meletakkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat sebagai calon PAS dan PAS juga mencapai kemenangan bagi parlimen tersebut.

Pada tahun 1968 pula, meninggal dunia pula salah seorang exco kerajaan negeri Kelantan yang bernama Ustaz Syafie Ahmad sebagai ADUN di Bachok Utara (sekarang : Tawang). Maka, PAS meletakkan Muhammad Nor bin ismail sebagai calon dan PAS juga mencapai kemenangan.

LOMPAT PARTI

Dalam keadaan yang meruncing itulah, maka kedengaran berita bahawa ada 5 orang ADUN Kerajaan Negeri Kelantan telah ditahan oleh Polis di beberapa sekatan jalan Raja. Kemudiannya mereka dibawa di Kuala Lumpur, dan dikurung di sebuah Banglo bertempat di Jalan pekeliling (sekarang : jalan Tun Razak).

5 orang ADUN itu adalah, (1) Encik Saufi bin Idris; (2) Encik Abdullah bin Haji Yusof; (3) Ustaz Abdur Rahman Salleh; (4) Ustaz Yusuf Abdul Latif; (5) Encik Omar bin Muhammad.

5 orang ADUN itu berada disitu lebih sebulan, dan dalam jangka masa itulah, mereka sering menerima kunjungan beberapa orang pegawai kerajaan dan orang-orang politik tertentu untuk memujuk mereka lompat parti, meninggalkan PAS masuk UMNO.

Pun begitu, selepas dua minggu mereka berada dalam kawalan tersebut, dalam keadaan sorok-sorok, salah seorang dari 5 orang ADUN itu telah menelefon Ketua PAS Pasir Putih, iaitu Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim bagi memberitahu keadaan mereka yang mahu melompat parti, daripada PAS kepada UMNO.

Isu ini semakin hangat dimainkan oleh media di Malaysia, khususnya di kelantan ketika itu. ketika berlaku satu sidang DUN Kelantan, 3 atau 4 hari sebelum itu, 5 orang ADUN tersebut telah dikawal rapi oleh polis untuk dibawakan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Semasa di rumah kediaman masing-masing, dalam keadaan mereka dikawal ketat, salah seorang dari 5 orang ADUN tersebut, iaitu Ustaz Abdur Rahman Salleh sempat keluar secara bersembunyi menuju ke Pasir Putih berjumpa dengan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim. Setelah berjumpa, mereka berdua terus berjumpa dengan Dato’ Asri sebagai Menteri besar Kelantan dan Datuk Haji Ishak Lotfi.

Dalam pertemuan itu, ustaz Abdur Rahman Salleh menceritakan semua kejadian yang berlaku. Beliau menyatakan bahawa, beliau tidak mahu melompat ke Parti UMNO, tetapi terpaksa membuat kenyataan media sedemikian adalah disebabkan paksaan dari orang-orang tertentu. Keadaan ini tidak berlaku pada dirinya sahaja, bahkan berlaku kepada 4 orang ADUN yang lain.

DALAM SIDANG DUN

Memandangkan pengisytiharan lompat parti tidak boleh berlaku melainkan dalam sidang DUN, menyebabkan ketika para ADUN dan Speaker mengambil tempat masing-masing, Ustaz Abdur Rahman Salleh telah bangun dari kerusi pembangkang lalu duduk di pihak kerajaan.

Apabila sidang DUN ditangguhkan, maka berlakulah pertemuan antara Dato Asri dengan Encik Omar bin Muhammad yang merupakan salah seorang ADUN yang kononnya mahu melompat parti itu di Rumah Kediaman rasmi Menteri besar kelantan di JKR 10.

Ketika itu, semua ADUN-ADUN di pihak kerajaan sudah berkumpul di JKR 10. tujuannya adalah, bagi melicinkan sebarang perbincangan yang berkaitan kemelut politik Kelantan pada masa itu.

Sesudah pertemuan dengan Encik Omar, pertemuan dengan Encik Yusuf Latif pula berlaku. Setelah perbincangan demi perbincangan berlaku, maka pada petang itu juga, tiga orang ADUN PAS, iaitu Ustaz Abdur Rahman bin Salleh, Encik Omar bin Muhammad dan Ustaz Yusuf Latif telah mengadakan satu kenyataan media dengan menyatakan bahawa mereka sebenarnya masih lagi ADUN PAS, tidak melompat kepada parti UMNO.

Pun begitu, ada dua orang ADUN lagi, iaitu Encik Abdullah Yusuf yang merupakan Speaker DUN dan Encik Sufi Idris tetap dalam UMNO.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan ringkas dari buku ”memoir Politik Asri : meniti arus”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Mac 2009 * 3:10 pagi.

Tiada ulasan: