Jumaat, 16 Januari 2009

BERTEMANKAN SAHABAT NABI : SIRI 2

ABDULLAH BIN MASU’UD

Beliau adalah salah seorang sahabat Nabi yang hebat. Beliau antara orang yang terlibat dalam peperangan Badar bersama dengan nabi SAW. juga terlibat dua kali hijrah; hijrah dari Makkah ke Habshah dan hijrah dari Makkah ke Madinah.

Dalam peperangan Uhud, beliau juga terlibat dalam peperangan tersebut. di kala para sahabat turun dari bukit uhud, untuk mendapatkan habuan harta ghanimah, hanya 4 orang sahaja yang bertahan dibukit uhud bersama dengan nabi SAW; antaranya adalah Abdullah bin Mas’ud.

***********

Dalam sahih Al-Bukhari, hadis yang diriwayatkan oleh beliau sebanyak 21 hadis. Dan dalam sahih Muslim pula, hadis yang diriwayatkan oleh beliau sebanyak 35 hadis. Adapun hadis yang diriwayatkan secara bersama; Al-Bukhari dan Muslim (baca : muttafaqun alaih) sebanyak 64 hadis.

Ditanya, mengapa hadis yang diriwayatkan oleh beliau tidak banyak; tidak seperti Abu Hurairah R.A yang hanya sempat bersama dengan nabi hanya 2 tahun sahaja, tetapi meriwayatkan hadis Nabi beribu-ribu hadis ???

Jawapannya adalah; Abdullah bin Mas’ud mempunyai watak yang terlalu warak. Kewarakan itu sehingga tidak sanggup mengungkap sebarang ungkapan Nabi SAW melainkan beliau pasti akan gementar; kadangkala menitiskan air mata.

Ammar bin Maimun bercerita; bahawa beliau sering berulang alik ke rumah Abdullah bin Mas’ud selama setahun. Dalam jangka masa itu, beliau tidak pernah mendengar beliau mengungkap sepatah hadis pun melainkan sekali sahaja. Itupun, dikala Abdullah menyebutnya “bersabda Nabi SAW”, dahinya berpeluh dan gementar. Lalu beliau pasti akan menyebut “lebih kurang macam inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW”.

Alqamah bin Qais juga ada bercerita; bahawa beliau sering mendengar kuliah yang disampai oleh Abdullah bin mas’ud pada setiap hari khamis. Dalam mendengar kuliah itu, beliau tidak pernah mendengar Abdullah menyebut “bersabda Nabi SAW” melainkan sekali. Itupun, dalam keadaan beliau terpaksa bertelekan pada tongkat; kelihatan tongkat itu bergeletar.

***************************

Beliau adalah manusia yang keenam masuk Islam; sebelum Nabi SAW sempat masuk buat usrah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.

Beliau memeluk Islam, sewaktu beliau masih remaja; yang mana beliau telah bekerja dengan seorang tokoh kafir Quraish yang bernama Aqabah bin Abi Mu’ayyit sebagai pengembala kambing.

Di suatu hari, ketika beliau sebuk dengan urusan menjaga kambing, lalu datang nabi Muhammad SAW bersama dengan Abu Bakar As-Siddiq. Melihat beliau, Baginda Nabi SAW bertanya kepada beliau, apakah beliau mempunyai susu kambing yang boleh diminum Nabi dan Abu Bakar.

Mendengar itu, Abdullah bin Mas’ud menyatakan bahawa beliau adalah pekerja yang diberikan amanah; tidak dapat memberikan kepada baginda dan abu bakar susu kambing. Mendengar itu, Baginda SAW bertanya lagi, apakah kambing dalam jagaannya itu ada yang mandul. Lalu, ditunjukkan oleh Abdullah bin mas’ud seekor kambing yang mandul.

Melihat kambing itu, terus baginda SAW berdoa kepada Allah sambil memegang labu susu kambing tersebut, menyebabkan susu kambing itu melimpah keluar begitu banyak, sehingga baginda SAW, Abu Bakar dan beliau pun minum air susu itu sehingga puas.

Selesai minum, baginda SAW pun menitahkan agar labu susu kambing itu berkempis; lalu labu susu itu kempis.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Abdullah bin Mas’ud merasa kagum. Beliau berjumpa dengan nabi SAW dan menyatakan hasratnya untuk memeluk islam.

*********

Abdullah bin Mas’ud mempunyai suara yang sangat merdu, lebih-lebih lagi dikala membaca Al-Quran. Bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Abdullah bin Mas’ud banyak memberi kesan yang mendalam kepada bangsawan-bangsawan arab yang amat minat dengan sastera. Pun begitu, disebabkan kesombongan kafir quraish terhadap kebenaran, walaupun hati kecil mereka menyatakan kehebatan mukjizat Al-Quran dari sudut sastera itu, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah, walaupun Al-Quran itu dibaca dengan suara yang merdu; yang dibacakan oleh Abdullah bin Mas’ud.

Diceritakan oleh Zubair bin Awwam R.A; bahawa para sahabat berpendapat, antara sebab pembesar-pembesar Quraish tidak memeluk islam adalah kerana, mereka tidak pernah mendengar ayat-ayat Al-Quran. Maka setelah bermesyuarat, Abdullah bin Mas’ud menawarkan diri agar beliau sendiri yang pergi membaca Al-Quran di depan pembesar-pembesar Quraish tersebut.

Tawaran diri dari Abdullah bin Mas’ud dibimbangi oleh ramai para sahabat; kerana dibimbangi para pembesar itu akan memukul beliau. Kebimbangan yang dinyatakan oleh para sahabat itu tidak diendahkan oleh Abdullah, disamping menyatakan bahawa Allah pasti akan membela tindakan beliau.

Beliau terus pergi di Balai pertemuan quraish dalam waktu dhuha. Di sana, beliau terus membacakan surah Ar-Rahman dengan suara yang kuat; agar ianya didengari oleh pembesar-pembesar Quraish itu.

Mendengar bacaan Abdullah bin Mas’ud itu, menyebabkan ramai dari kalangan pembesar Quraish marah, kerana bimbang ada dari kalangan mereka terpengaruh dengan bacaan Al-Quran dari Abdullah bin Mas’ud; lalu Abdullah pun dipukul sehingga menerima luka yang amat berat.

***********

Kemerduan beliau dalam mengalunkan bacaan Al-Quran, pernah disebut oleh Nabi agar dicontohi. Sehinggakan baginda Nabi SAW pernah berkata:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَقْرَأَ الْقُرْآَنَ غَضًّا كَمَا أُنْزِلَ فَلْيَقْرَأْ قِرَاءَةَ ابْنِ أُمِّ عَبْدٍ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang suka membaca Al-Quran secara tepat sepertimana diturunkan, maka hendaklah dia membaca seperti bacaan Ibni Ummi ‘Abd (Abdullah bin Mas’ud)
[1]

Bahkan, jika dibaca dalam hadis. Pernah suatu hari Nabi SAW memanggil Abdullah bin Mas’ud agar membacakan ayat Al-Quran untuk diperdengarkan kepada Nabi SAW.

Pada awalnya, Abdullah bin Mas’ud berasa malu, tetapi diminta juga oleh Nabi SAW.

Lalu, apabila Abdullah bin Mas’ud membaca kepada Nabi dari ayat 41 hingga 42 dari surah an-nisa’, menyebabkan Baginda SAW menangis, sehingga Baginda Nabi SAW mengisyaratkan dengan tangan baginda kepada Abdullah agar berhenti dari membacanya.

**********

Keilmuan juga agak tinggi, jika mahu dibandingkan dengan para sahabat nabi yang lain. ketinggian beliau dalam ilmu, pernah dinyatakan oleh beliau pernah menyebut;

ما نزلت آية من كتاب الله إلا وأنا أعلم أين نزلت وفيما نزلت

Maksudnya;
“Tidak diturunkan satu ayat pun daripada Kitabullah, melainkan aku mengetahui dimana ayat itu diturunkan, dan kerana apa ianya diturunkan
[2]

Ilmu yang diperolehi oleh beliau, banyak diperolehi terus dari mulut Nabi SAW. beliau pernah berkata:

لقد قرأت من في رسول الله صلى الله عليه وسلم سبعين سورة

Maksudnya;
“Sesungguhnya aku belajar daripada mulut Rasulullah SAW sendiri sebanyak 70 surah
[3]

Dalam riwayat lain, Abdullah bin Mas’ud ada berkata:

لقد قرأت على رسول الله صلى الله عليه وسلم سبعين سورة، ولقد علم أصحاب محمد أني أعلمهم بكتاب الله، ولو أعلم أحدا أعلم بكتاب الله مني، لرحلت إليه

Maksudnya;
“Aku mempelajari terus dari Rasulullah SAW sebanyak 70 surah. Sesungguhnya para sahabat menyetahui bahawa aku adalah manusia yang banyak mengetahui berkenaan dengan kitabullah. Sekiranya aku mengetahui ada seorang yang lebih mengetahui tentang Kitabullah melebihiku, pasti aku akan pergi kepadanya
[4]

***************

Beliau hidup sehingga pada zaman para sahabat menjadi Khalifah. Pada Zaman Omar bin Al-Khattab jadi Khalifah, beliau dilantik menjadi menteri kewangan di Kufah. Jawatan itu diberikan kepada beliau, kerana omar melihat kewarakan yang wujud pada diri beliau.

Jawatan itu dipegang beliau sehingga zaman pemerintahan Osman bin Affan. Dikala itu, penduduk kufah amat berminat dengan Abdullah bin Ma’sud sehingga mereka pernah mendesak agar Osman diletakkan jawatan khalifah lalu digantikan oleh Abdullah bin mas’ud, tetapi desakan itu dibantah sendiri oleh Abdullah.

***************

Beliau mempunyai perut kurus dan betisnya kecil. Beliau adalah antara manusia rendah sehinggakan pernah diceritakan bahawa tinggi beliau sama tinggi dengan orang yang sedang duduk.

Pernah suatu ketika, para sahabat tertawa dengan bentuk betisnya yang kecil jika dibandingkan dengan tubuhnya itu, menyebabkan baginda nabi SAW terus berkata:

ما تضحكون ؟ لرجل عبد الله أثقل في الميزان يوم القيامة من أحد

Maksudnya;
“apa yang kamu tertawakan itu?? sesungguhnya betis abdullah lebih berat timbangannya pada hari kiamat nanti daripada bukit uhud
[5]

Beliau adalah antara para sahabat yang suka kepada wangi-wangian, juga suka berpakaian berwarna putih.

Beliau meninggal dunia pada tahun di Madinah. Dikebumikan di kubur Baqi’ pada tahun 32 hijriyyah, iaitu 3 tahun sebelum kematian Osman bin Affan.

Beliau wafat, sewaktu umur beliau 63 tahun.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 Januari 2009 * 5:28 pagi.




[1] Mukjam Al-Kabir li At-Tibrani : 8335.
[2] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 1/472.
[3] Ar-Rijal Haul Ar-Rasul : m.s 221
[4] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 1/473.
[5] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 1/478.

Tiada ulasan: