Isnin, 12 Januari 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 4

TERBAIK UNTUK ALLAH

Ramai manusia yang mahu menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah. Pun begitu, tujuan mereka menginfaqkan harta itu pelbagai. Ada yang infaq sememangnya mencari redha Allah; bahkan wujud juga bukan kerana Allah, tetapi mempunyai tujuan-tujuan dunia.

Infaq dengan tujuan dunia adalah infaq yang ditolak oleh Allah SWT, menyebabkan segala harta yang diinfaqkan itu tidak ada nilai ketika mengadap Allah SWT di akhirat nanti.

Antara sebab infaq itu ditolak oleh Allah SWT adalah, apabila infaq yang dilakukan itu dengan mengeluarkan harta yang penginfaq itu tidak berkeinginan kepada harta tersebut.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآَخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya;
” Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”

(Surah Al-Baqarah : 267)

Menurut mufassirin yang muktabar seperti Imam ibnu Kathir dan Imam Fakhr Ar-Razi; ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang ansar yang mempunyai kebun kurma. Apabila datang musim menuai, banyak hasil tuaian yang berjaya dijual, bahkan terdapat juga sedikit hasil tuaian yang tidak laku dalam jualan.

Memandangkan di masjid Nabawi terdapat satu golongan manusia yang disebut sebagai Ahli Suffah; yang sering berzikir dan bermunajat kepada Allah. Mereka ini adalah manusia yang miskin, sehinggakan makan dan minum mereka benar-benar tertakluk kepada tawakkal mereka terhadap Allah.

Melihat keadaan itu, ada sebilangan orang-orang ansar yang mempunyai kebun kurma, membawa setandan kurma yang tidak laku dalam jualan. Mereka menggantungkan kurma yang bertandan itu di masjid Nabi SAW.

Tindakan mereka ini tidak bertepatan dengan kehendak Allah, menyebabkan mereka ditegur oleh Allah dengan menurunkan ayat 267 dari surah Al-Baqarah.

..........

Dalam ayat ini, Allah memulakan bicaranya dengan menyebut ”wahai orang-orang yang beriman”, menunjukkan bahawa infaq yang mempunyai nilai disisi Allah hanyalah infaq dari orang yang beriman sahaja.

Adapun orang kafir, sebarang infaq mereka tidak akan bernilai disisi Allah SWT, melainkan setelah mereka mengucapkan dua kalimah Syahadah; sebagai penyaksian jelas atas keislaman mereka.

Daripada Abu Said Al-Khudri, Sabda Nabi SAW;

إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ كُلَّ حَسَنَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا وَمُحِيَتْ عَنْهُ كُلُّ سَيِّئَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا

Maksudnya;
”apabila sesoerang hamba itu telah masuk Islam, lalu dia mencantikkan islamnya itu, nescaya Allah akan menulis baginya (memberi pahala) semua kebajikan yang telah lalu, dan menghapuskan segala kejahatan yang telah lalu
[1]

...............

Ulama berselisih dalam menafsirkan maksud ”infaqlah”. Ada ulama menyatakan, suruhan tersebut adalah difokuskan kepada infaq yang wajib (baca : Zakat). Alasan mereka adalah, kalimah ”انفقوا” itu dalam bahasa arab disebut sebagai “فعل الأمر” atau disebut “suruhan”

Dalam pengajian ilmu Usul Fiqh, semua nas dari Al-Quran dan hadis, apabila wujud suruhan, menunjukkan amalan tersebut adalah wajib, selagimana tidak wujud qarinah yang menukarkannya kepada yang lainnya.

Ada ulama lain pula menyatakan, suruhan dalam nas ini bukanlah merujuk kepada infaq yang wajib, tetapi merujuk kepada infaq yang sunat. Alasan yang dikemukakan adalah merujuk kepada sebab turun ayat ini yang telah disebut di atas.

Alasan lain yang dikemukakan adalah hadis Ibnu Abbas; yang mana, seorang lelaki telah datang membawa setandan kurma yang sudah busuk untuk dijadikan sebagai sedekah. Apabila melihat kejadian itu, menyebabkan baginda SAW terus menyebut;

بئس ما صنع صاحب هذا

Maksudnya;
“alangkah buruknya kelakuan tuan kurma ini”

Memandangkan Baginda SAW menyatakan sedemikian, menyebabkan ulama menafsirkan bahawa kenyataan Nabi itu sebagai mencela perbuatan lelaki tersebut adalah celaan yang makruh. Ekoran dari itu, suruhan dalam ayat ini adalah suruhan yang sunat; bukan suruhan wajib.

.............

Harta yang hendak diinfaqkan itu hendaklah dipastikan baik. Maksud dengan harta tersebut baik adalah, hendaklah harta tersebut halal. Bermaksud; Memandangkan sedekah merupakan sesuatu yang mulia disisi Allah, maka adalah sesuatu yang amat tidak wajar, apabila infaq yang dilakukan itu dengan menggunakan harta haram.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلَا يَقْبَلُ اللَّهُ إِلَّا طَيِّبًا

Maksudnya;
“tidaklah seseorang itu bersedekah dengan sesuatu sedekah daripada usahanya yang baik melainkan Allah tidak akan terima itu kecuali daripada yang baik juga
[2]

Jika mahu diajukan analogi; kita memberi infaq ini merupakan kita memberikan harta kita kepada Allah, walaupun dilihat pada reality alamnya yang menerima itu adalah orang miskin dan sebagainya. memberi harta kepada Allah adalah dengan tujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Ekoran dari itu, pasti kita akan memberikan yang terbaik.

Hal ini seperti kita mahu berdampingan dengan raja yang hebat, pasti kita memberikan sesuatu kepada raja tersebut dengan sesuatu yang kita paling baik; yang paling kita sayang.

Disisi Allah, sesuatu yang baik itu bukanlah penilaian kita yang mengatakan baik, tetapi hendaklah dinilai baik dari pandangan Allah SWT.

Oleh itu, Maksud dengan harta yang baik adalah, harta yang memberikan kecenderungan baik kepada pemilik harta daripada sudut akal, agama dan syahwatnya.

Bermaksud; harta-harta yang dimiliki itu tidak difikirkan untuk dihabiskan melainkan kepada tempat-tempat yang diredhai Allah SWT sahaja.

Ekoran dari itulah, apabila mereka melihat orang-orang yang miskin (baca : memerlukan), jiwa mereka akan terkesan, seterusnya mereka akan melakukan infaq.

Hal ini merujuk kepada sabdaan Nabi SAW ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dengan kata Baginda SAW:

أعلمهم أن عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم وترد إلى فقرائهم وإياك وكرائم أموالهم

Maksudnya;
“Ajarlah kepada mereka, bahawa wajib ke atas mereka sedekah diambil daripada orang kaya dari kalangan mereka, lalu diberikan harta itu kepada orang-orang fakir dikalangan mereka. hindarkanlah diri kamu daripada kemuliaan harta mereka”

Juga, harta yang baik itu adalah harta yang terhasil dari usaha kita sendiri. Bermaksud; harta yang terhasil dari usaha orang lain, lalu diberikan kepada kita, seperti harta suami yang dijadikan infaq oleh isteri, maka harta itu adalah harta yang baik, tetapi kualiti baiknya tidak sama seperti harta yang terhasil dari usaha dia sendiri.

Oleh itu, jika si isteri ingin melakukan infaq, tetapi dengan menggunakan harta si suami, pahalanya tidak sama seperti si isteri itu menginfaqkan harta dari hasil tangannya sendiri.

……………….

Adalah suatu larangan dari Allah (baca : makruh) jika kita menginfaqkan harta kita dari harta-harta yang tidak elok; yang kita sendiri tidak meminatinya.

Sebab itulah, Allah menyatakan;

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآَخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ

Maksudnya;
“Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya”

(Surah Al-Baqarah : 267)

Ulama tafsir membahaskan maksud dengan harta yang dilihat dengan memincingkan mata adalah harta yang kamu sendiri “meluat” hendak melihatnya; harta yang dirasakan meluat jika ada ditangan kita.

Seperti, kita mempunyai pakaian yang banyak dalam almari, lalu dirasakan almari kita terlalu penuh, menyebabkan kita memilih pakaian yang kita tidak berminat lagi, lalu diberikan kepada orang lain.

Bahkan, jika dilihat kepada perbuatan Nabi SAW, kita akan dapati, baginda tidak akan memberikan sebarang infaq sekiranya harta yang hendak diberikan itu adalah harta yang baginda SAW sendiri tidak suka.

Hal ini merujuk kepada hadis, daripada Aisyah R.Ha berkata;

أُتِي رسول الله صلى الله عليه وسلم بضب فلم يأكله ولم ينه عنه. قلت: يا رسول الله، نطعمه المساكين؟ قال: "لا تطعموهم مما لا تأكلون"

Maksudnya;
“diberikan kepada nabi SAW seorang dhob, menyebabkan baginda SAW tidak memakannya dan juga tidak mencegah daripadanya. Aku berkata; Wahai Rasulullah, apakah tidak kita memberikannya (dhob) kepada orang-orang Miskin. Bersabda Nabi SAW: jangan kamu memberi makan kepada mereka daripada makanan yang kamu sendiri tidak memakannya”

…………..

Memandangkan segala harta ini bukan milik kita secara mutlak, tetapi hakikat pemilikan itu adalah dari Allah, maka kita terpaksa mengakui bahawa Allah itu tuhan yang maha kaya.

Apabila kita sedar bahawa harta itu adalah milik Allah seluruhnya, maka adalah satu tindakan yang tidak wajar kita menjadi kedekut, juga memilih harta yang tidak elok untuk dijadikan sebagai infaq.

Apabila kita telah memberi infaq dari harta yang terbaik, maka kitalah manusia yang selayaknya diberikan pujian. pujian yang itu, tidak semestinya dari manusia, tetapi berharap kepada pujian Allah SWT.

Pujian yang Allah berikan kepada orang yang infaq ini sebagai isyarat dari Allah atas pengiktirafan Allah bahawa ia adalah manusia yang bersyukur terhadap rezki yang Allah berikan kepadanya.

Firman Allah:

فَأُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

Maksudnya;
“mereka adalah golongan yang diterima kasih oleh Allah atas usaha mereka”

(surah Al-Isra’ : 19)

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri indah (B), Sg Buloh
13 Januari 2009 * 4:51 pagi.





[1] Sunan An-Nasai : 4912.
[2] Muwatta’ : 1581.

Tiada ulasan: