Ahad, 18 Januari 2009

HIKAM TOK GURU : SIRI 7

HIKAM TOK GURU : SIRI 7

Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata:

“Wahai Sahabat hambo dari UMNO ! kalau demo laksana Islam, haram kawe lawan demo. Begitujuga, kalau kawe laksana Islam, haram demo lawan kawe”

HURAIAN

Islam adalah agama yang tidak memfokuskan kepada perkara ibadat sahaja; bahkan lebih dari itu sehingga islam adalah agama yang boleh disifatkan sebagai “way of life”.

Cara hidup yang wujud dalam Islam semestinya bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan, yang tidak selayaknya manusia menafikan kandungannya. Hanya manusia yang bodoh sahaja menafikan kebenaran Islam; yang kandungannya menerusi Al-Quran dan Al-Hadis Nabi SAW.

Pun begitu, disebalik kebencian ahli kitab terhadap Islam ekoran perlantikan Nabi Muhammad sebagai Nabi Akhir zaman yang berbangsa arab, menyebabkan permusuhan antara ahli kitab dan Islam itu berlaku. Permusuhan yang berpunca dari semangat nasionalis Israel menebal yang melahirkan permusuhan yang berpanjangan sehingga ke hari ini.

Firman Allah:

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

Maksudnya;
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran”

(Surah Al-Baqarah : 109)

Permusuhan antara ahli kitab dengan Islam ini, yang melahirkan serangan; menyebabkan serangan itu tidak sekadar dilakukan menerusi kekuatan tenaga sahaja, bahkan menerusi “fikrah”; istilah arabnya disebut sebagai “ghuzwah al-fikri” atau terjemahan melayunya disebut “serangan pemikiran”.

Dengan serangan pemikiran inilah, lahirnya manusia muslim tetapi menyerang agama yang mereka anuti sendiri. mereka menyerang, dengan mempertikaikan kandungan Al-Quran dan Al-Hadis, disamping memberikan manusia lain was-was dan syak wa sangka terhadap agama yang maha indah ini.

Dengan itu, lahirnya berbagai-bagai pergerakan yang dilihat seperti kepunyaan orang islam, tetapi hakikat perjuangannya adalah menyerang islam itu sendiri, seperti UMNO di Malaysia.

Serangan ini amat terbukti; lebih-lebih lagi dalam pilihanraya. Serangan yang dilakukan itu, amat jelas dilihat mempertikaikan Islam. seperti beberapa kenyataan dari beberapa orang tokoh politik UMNO dengan dakwaan bahawa ”hudud hanya layak dilaksanakan di zaman unta”, ”kalau nak makan sup tangan, maka pergilah kelantan yang mahu laksanakan hudud” dan berbagai-bagai lagi kenyataan yang merendah-rendahkan hukum Islam itu.

Menyedihnya, sindiran dan penghinaan terhadap hukum Islam itu, bukanlah datang dari orang kafir, tetapi datang dari lidah-lidah orang melayu yang mendakwa beragama Islam.

Serangan sebeginilah, menyebabkan perjuangan islam perlu diperhebatkan. Tujuannya adalah, mahu melihat hukum Allah terlaksana di atas muka bumi Allah SWT.

Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

(Surah Al-Baqarah : 30)


Dari ayat ini, jelas dan nyata kepada kita, asas penciptaan Adam di atas muka bumi ini, bukan semata-mata wujudnya manusia yang bernama adam; tetapi ianya mempunyai asas tujuan yang cukup penting, iaitu menjadi khalifah; melaksanakan agama dan mentadbir bumi ini dengan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT.

Memandangkan Negara-negara umat Islam kini, banyak lahirnya parti-parti yang tidak berasaskan kepada Islam, mewajibkan kepada golongan Islam melahirkan parti yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan. Ekoran dari itu, lahirnya Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, PAS di Malaysia, Ikhwan Muslimun di Mesir dan bermacam-macam lagi.

Di Malaysia, PAS terpaksa berhadapan dengan parti UMNO; parti semangat melayu yang tidak menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan. Pertembungan antara PAS dan UMNO, amat ketara; lebih-lebih lagi dalam isu yang melibatkan agama Islam.

Secara jelasnya, PAS melawan UMNO, bukan kerana namanya UMNO, tetapi PAS melawan UMNO, kerana UMNO tidak menjadikan Islam asas pemerintahan. Jika tidak kerana UMNO menolak Islam, pasti PAS juga tidak akan bersungguh-sungguh untuk melawan UMNO.

Justeru itu, Tok Guru Nik Abdul Aziz menyebut, sekiranya UMNO laksanakan Islam, haram PAS lawan UMNO. Tetapi, realitinya adalah sebaliknya, menyebabkan PAS akan serang UMNO, sehinggakan UMNO mahu melaksanakan Islam; atau rebah sehingga menjadi pembangkang dalam kerajaan Islam di masa akan datang.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
19 Januari 2009 * 12:31 pagi.

Tiada ulasan: