Isnin, 19 Januari 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 5

INFAQ : JANJI ALLAH VS JANJI SYAITAN

Hidup manusia di atas muka bumi ini, tidak boleh elak dari dua perkara; hidayah dan kesesatan. Manusia yang mengikut hidayah adalah manusia yang akan dibimbing oleh Allah membawanya ke syurga. Adapun, manusia yang mengikut kesesatan; akan dibimbing oleh syaitan menuju ke neraka.

Pertembungan antara dua perkara ini sentiasa berlaku. Tidak seorang pun dapat mengelak dari ianya berlaku, melainkan hanya ketaqwaan yang wujud dalam manusia sahaja dapat menghindari dari terlepas dan terkeluar dari hidayah.

Firman Allah:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengatahui”

(Surah Al-Baqarah : 268)

Dalam ayat ini, secara nyata Allah menjelaskan kepada kita tentang pertembungan ini; pertembungan antara hidayah dan kesesatan.

Ayat ini, menjelaskan kepada kita bahawa syaitan sentiasa menyeru manusia agar tidak melakukan kebaikkan dan kebajikan; sentiasa berada dalam kebimbangan dalam melakukan sesuatu kebaikan; sering dibisikkan dengan kerungsingan dikala perkara kebajikan dilakukan.

Jika diperhatikan kepada sebelum ayat ini (Al-Baqarah : 267), Allah menjelaskan tentang harta yang hendak diinfaqkan itu, hendaklah dipastikan harta tersebut adalah harta yang disayangi, bukannya harta yang kita sendiri tidak mahu melihatnya.

Lihat perbahasannya:
http://g-82.blogspot.com/2009/01/tadabbur-al-quran-siri-4.html

Maka dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan kepada kita bahawa walaupun seruan Allah agar infaq yang hendak dilakukan, hendaklah dipastikan dari harta yang disayangi, tetapi disana wujud juga manusia yang tetap melakukan infaq dengan harta yang sudah tidak disayangi lagi.

Bila difikirkan, mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Jawapannya adalah, dinyatakan oleh Allah bahawa semua ini adalah berpunca permainan Syaitan yang sering mengganggu manusia dalam melakukan taat kepada Allah SWT.

Dalam bab infaq, syaitan akan menjanjikan kepada manusia kefakiran dan kesusahan dikala melakukan infaq tersebut. Dalam keadaan itu pun, Allah tetap menjelaskan kepada manusia, bahawa janji Allah lebih bernilai berbanding janji-janji yang dibuat oleh syaitan.

*********

Syaitan adalah kalimah arab yang berasal dari kalimah ”Sya ta na”, iaitu jauh dari rahmat Allah; jauh dari kebenaran.

As-Syaikh Wahib Abdus Salam Bali dalam kitab ”wiqayah Al-Insan min Al-jin Wa As-Syaitan” menukilkan definisi Syaitan dari perkataan Imam Ibni Jarir At-Tabari dengan katanya;

والشيطان، في كلام العرب: كل متمرِّد من الجن والإنس والدوابِّ وكل شيء

Maksudnya;
“Syaitan dalam kalam arab adalah, semua yang perangai jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan seluruhnya
[1]

Oleh itu, dikenali syaitan itu bukan merupakan sejenis makhluk, tetapi ianya adalah sejenis perangai buruk yang melekat kepada makhluk. Sekiranya didapati manusia berperangai buruk, maka manusia itu adalah syaitan. Begitu juga kepada jin, binatang dan sebagainya.

Disinonimkan iblis dengan Syaitan, disebabkan iblis sememangnya berperangai buruk; tidak ada kebaikan yang wujud dari iblis, lebih-lebih lagi dalam usaha hendak merosakan anak adam agar sesat dari petunjuk.

Ekoran dari itulah, ulama berselisih dalam menentukan maksud Syaitan dari ayat ini. Ada ulama menyatakan, syaitan dalam ayat ini adalah Iblis; ulama lain kata, Syaitan dari kalangan jin dan manusia; ulama lain kata, nafsu Ammarah bi As-Su’ (terjemahan : nafsu yang menyuruh lakukan kejahatan).

Yang pastinya, semua yang disebutkan oleh ulama-ulama itu merupakan syaitan. Ini kerana, semua yang tersebut itu merupakan sifat buruk yang wujud pada makhluk; menyeru melakukan kejahatan dan keburukan.

Dalam banyak-banyak perangai buruk yang wujud atas muka bumi ini, dalam ayat ini (surah Al-Baqarah : 268), Allah menerangkan kepada kita, antara cirri-ciri perangai buruk (baca : syaitan) adalah menyeru manusia agar tidak melakukan infaq; menyeru agar menjadi kedekut.

Apabila wujud manusia yang pemurah; mahu menderma, pasti kewujudan syaitan akan digunakan sepenuh-penuhnya agar manusia itu tidak menderma.

Antara tindakannya adalah, dia akan mengsangsikan kepada penderma itu; bahawa dengan sifatnya yang pemurah itu, akan mengakibatkan kefakiran.

***********

Dalam Al-Quran, janji ini sering digunakan oleh Allah SWT. Berjanji merupakan salah satu konsep dakwah; dalam melunakkan hati manusia agar menerima seruan dakwah.

Ekoran dari itulah, jika dirujuk dalam Al-Quran, pasti kita akan dapati banyak janji-janji yang Allah berikan kepada manusia. Janji yang Allah berikan itu, sama ada janji kebajikan atau janji keburukan.

Janji kebajikan adalah dengan syurga, keselesaan, keamanan, kesejahteraan kepada mereka yang melakukan taat. Adapun janji keburukan seperti janji azab bagi mereka yang meninggalkan dari melakukan taat.

Bahkan, kadangkala Allah memerli kepada mereka yang meninggalkan taat dengan menggunakan kalimah janji yang baik. Seperti firman Allah:

فَبَشّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya;
”maka gembirakanlah mereka bahwa mereka akan menerima siksa yg pedih”

(Surah Al-Imran : 21)

Ini merupakan salah satu konsep dakwah, yang boleh kita pelajari dari Al-Quran.

Pun begitu, konsep ”berjanji” dalam menarik pengaruh ini, bukan sekadar digunakan oleh Allah, malahan ianya digunakan juga oleh Syaitan dalam menarik pengaruh agar bersama-sama masuk ke neraka nanti.

*********

Antara seruan Syaitan itu adalah, agar manusia tidak melakukan infaq fi sabilillah. Caranya adalah, syaitan akan menghasut kepada penderma dengan mengemukakan berbagai-bagai kesusahan dunia (baca : fakir) sekiranya infaq dilakukan.

Fakir bermaksud orang yang berada dalam kelemahan ekoran kekurangan harta. Rata-rata manusia, amat takut dengan kelemahan ekoran dari kekurangan harta ini. menyebabkan, cara ini dijadikan sebagai unsur utama oleh Syaitan dalam menyeru manusia agar tidak menderma.

Pun begitu, ada juga manusia yang tetap mahu menderma juga; setelah dia berjaya melawan hasutan syaitan. Dalam keadaan itupun, Syaitan masih lagi main peranannya agar penderma tersebut memilih harta yang buruk-buruk sahaja, sehingga penderma tersebut tidak merasakan harta itu sebagai bernilai lagi, untuk didermakan.

Tindakan syaitan sebegitu adalah kerana, syaitan amat benci hubungan silatur rahim dikalangan manusia; sedangkan infaq merupakan cara untuk menghubungkan silatur rahim antara manusia.

Nah!!! Betapa liciknya Syaitan dalam menyusun perancangan dalam menyesatkan anak adam; yang perlu diambil perhatian. Ekoran dari itulah, tidak hairan, dalam satu hadis ada menyebut;

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya;
”sesungguhnya bagi syaitan ada temannya; iaitu menjanjikan kejahatan dan pendustaan terhadap kebenaran. Dan bagi malaikat pun ada temannya; iaitu menjanjikan kebajikan dan membenarkan kebenaran. Barangsiapa mendapati demikian itu, maka hendaklah dia ketahui itu daripada Allah, maka hendaklah dia memuji ALlah. Dan barangsiapa yang dapati satu lagi, maka hendaklah dia minta berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam
[2]

Dengan wujudnya perasaan ingin mahu melakukan kemungkaran; sama ada dengan meninggalkan taat, mahupun dengan melakukan maksiat, itu merupakan cara untuk mengenali bisikan syaitan.

Ekoran dari itulah, golongan muhajirin terdahulu ada menyebut;

من سره أن يعلم مكان الشيطان منه فليتأمل موضعه من المكان الذي منه يجد الرغبة في فعل المنكر

Maksudnya;
”Barangsiapa yang mahu mengetahui tempat syaitan, maka hendaklah dia perhatikan tempatnya daripada tempat yang didapati kehendak dalam melakukan mungkar”

********

Syaitan tidak sekadar menyeru manusia agar menjadi kedekut; tidak menderma. Bahkan, lebih dari itu, Syaitan akan berusaha agar manusia melakukan ”fahsya’”

Ulama tafsir berbeza pendapat dalam menterjamahkan kalimah ”fahsya’” dalam ayat ini. ada ulama mengatakan, maksud Fahsya’ dalam ayat ini adalah kebakhilan. Ada ulama lain kata, fahsya’ adalah maksiat yang boleh disifatkan terlalu melampaui batas.

Jelasnya disini, syaitan tidak akan pernah puas untuk menghasut manusia dalam melakukan keburukan. Setelah dia berjaya mensangsikan manusia dengan kefakiran, bermakna syaitan sudah berjaya pada tahap permulaan dalam menghasut manusia dalam melakukan maksiat lain.

************

Setelah Allah menyebut perancangan jahat Syaitan dalam merosakan kehidupan manusia, Allah menyebut pula tentang apa perancangan yang Allah mahu manusia lakukan.

Ekoran dari itulah, Allah menyambung ayat dengan menyebut;

والله يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مّنْهُ وَفَضْلا

Maksudnya;
” Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia”

(Surah Al-Baqarah : 268)

Al-Maghfirah bermaksud pengampunan dosa. Bermaksud, Allah menjanjikan kepada manusia bahawa segala dosa mereka akan dikifarahkan ekoran kebajikan (baca : infaq) yang dilakukan.

Bukan sekadar “maghfirah”, bahkan Allah menjanjikan manusia itu dengan “Fadhl” atau kurnianya.

Menunjukkan, manusia yang kuat infaq fi sabilillah, adalah manusia yang tidak akan rugi. Bahkan, mereka pasti akan diberikan kurnia dari Allah di dunia; juga pengampunan dosa di akhirat nanti.

Adapun mereka yang mengikut syaitan; iaitu dengan takut fakir ekoran menderma, mereka hanya mendapat keuntungan habuan dunia yang pasti akan luput, disamping di akhirat nanti mereka miskin dengan pahala.

*****

Mengapa Allah mendahulukan “maghfirah” berbanding “Fadhl”???

Maghfirah adalah pembalasan Allah terhadap orang menderma di akhirat, sedangkan “fadhl” adalah pembalasan Allah terhadap mereka yang menderma di dunia.

Dalam islam, habuan akhirat lebih penting dan utama berbanding habuan dunia.

Firman Allah:

وَلَلْآَخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الْأُولَى

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (dunia)”

(Surah Ad-Dhuha : 4)

Disini juga, Allah ingin menyatakan bahawa sekiranya manusia itu mendahulukan kelebihan Akhirat, pasti balasan dunia secara automatik akan hadir. Oleh itu, tidak perlu manusia memikirkan nasib mereka di dunia dengan menjadi kedekut, bahkan mendermalah dengan seikhlasnya, kerana disebalik menderma itu, pasti akan mendapat pembalasan dari Allah SWT di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

***********

Allah mensifatkan dirinya sebagai maha luas, lagi maha mengetahui. Iaitu Allah maha luas dalam memberi keampunan kepada manusia, maha luas dalam memberi kekayaan kepada sesiapa sahaja, juga maha luas dalam membalas infaq yang kamu telah lakukan itu.

Disamping itu juga, Allah maha mengetahui apa yang kamu infaqkan. Kadar harta yang infaqkan, juga kadar keikhlasan kamu dalam melakukan infaq tersebut.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 Januari 2009 * 8:15 pagi.










[1] Wiqayah Al-Insan : 135/ tafsir At-Tabari : 1/111.
[2] Sunan At-Tirmizi : 2914.

Tiada ulasan: