Jumaat, 13 Februari 2009

BERTEMANKAN SAHABAT NABI : SIRI 3

ABDULLAH BIN OMAR

Abdullah bin Omar adalah anak kepada Omar bin Al-Khattab yang sangat masyhur dalam sejarah islam. Abdullah adalah adik beradik seibu sebapa dengan Hafsah yang merupakan isteri Nabi SAW. Ibunya bernama Zainah binti Maz’un, yang merupakan isteri kepada Saidina Omar bin Al-Khattab.

Beliau telah memeluk islam sebelum beliau aqil baligh lagi. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang sangat-sangat mahu mencontohi nabi SAW, sehinggakan menurut satu riwayat daripada Musa bin Dahqan yang menyatakan bahawa Abdullah memakai pakaian yang singkat setengah betis sepertimana nabi SAW memakai pakaian singkat setengah betis.

Begitujuga, satu riwayat daripada Ibnu Sairin bahawa Abdullah Omar memakai cincin yang termaktub di cincinnya “Abdullah bin Omar” sepertimana cincin Nabi SAW yang termaktub “Muhammad Rasulullah”

Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Aslam yang menceritakan bahawa beliau mengkuningkan rambutnya sehingga warna kuning itu terkena pada pakaiannya dengan tujuan mahu mencontohi nabi SAW yang mengkuningkan rambutnya.

Beliau mempunyai rambut yang panjang sehingga mencecahi bahu. Ini pun dengan tujuan mahu mencontohi Nabi SAW yang berambut panjang.

Mengikut satu riwayat menyatakan bahawa Abdullah bin Omar juga antara sahabat yang hadir dalam peperangan badar Al-kubra, tetapi riwayat ini ditolak kerana Abdullah sendiri pernah berkata bahawa ketika berlakunya peperangan Uhud, umurnya baru mencecah 14 tahun. Beliau minta izin dari nabi untuk terlibat sama dalam peperangan uhud tersebut, tetapi tidak diizinkan oleh nabi SAW.

Jikalau beliau tidak diizinkan oleh nabi SAW untuk hadir dalam peperangan uhud disebabkan umurnya yang masih muda, pasti nabi tidak akan izinkan beliau terlibat dalam peperangan badar yang kejadiannya lebih awal berbanding peperangan uhud.

Beliau tidak pernah meninggal solat malam dalam kehidupan beliau melainkan sedikit. Punca jadi begitu adalah, beliau satu malam bermimpi jumpa dengan dua orang yang diagaknya sebagai malaikat. Dua orang itu telah membawanya ke neraka. Dilihat neraka itu dari lubang yang bulat seperti bulatnya telaga, dan dalam seperti dalamnya telaga. Beliau menjenguk melihat dalam neraka itu, dan beliau melihat manusia didalamnya dan beliau menyatakan bahawa beliau amat kenal wajah-wajah mereka itu.

Kisah mimpi itu, beliau ceritakan kepada Hafsah, lalu diceritakan oleh Hafsah kepada Nabi SAW. Mendengar cerita itu, Baginda SAW pun berkata;

نعم الرجل عبد الله لو كان يصلي من الليل

Maksudnya;
“Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, jika beliau menunaikan solat malam”

Sejak dari itu, beliau tidak pernah lagi meninggalkan solat malam melainkan sedikit sahaja.

Diceritakan suatu hari bahawa Nabi SAW menyebut bahawa Abu Bakar, Omar dan Osman sebagai ahli syurga. Mendengar itu, menyebabkan Abdullah minta agar beliau didoakan oleh Nabi SAW sebagai ahli syurga.

Mendengar pemintaan Abdullah, menyebabkan nabi SAW terus berkata;

أنت مع أبيك

Maksudnya;
”Kamu bersama bapa kamu (iaitu Omar bin Al-Khattab)”

Beliau amat zuhud sehinggakan pernah disebut oleh Abdullah bin Mas’ud dengan katanya;

إن من أملك شباب قريش لنفسه عن الدنيا عبد الله بن عمر

Maksudnya;
”Sesungguhnya anak muda dari kalangan Quraish yang paling mampu memiliki dirinya daripada terpedaya dengan dunia adalah Abdullah bin Omar”

Beliau pernah ditawarkan menjadi qadhi di zaman pemerintahan Osman bin Affan menjadi Khalifah, tetapi jawatan itu ditolak beliau. Saidina Osman mendesak juga, tetapi tetap ditolak oleh beliau. Tindakan Abdullah itu menyebabkan Osman berkata, apakah kamu tidak mentaati perintahku sebagai Khalifah??

Mendengar itu, menyebabkan Abdullah berkata;

Aku tidak melanggar ketaatanku terhadap kamu, cumanya aku mengetahui bahawa Qadhi itu seperti yang disebut oleh nabi adalah;

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ قَاضِيَانِ فِي النَّارِ وَقَاضٍ فِي الْجَنَّةِ رَجُلٌ قَضَى بِغَيْرِ الْحَقِّ فَعَلِمَ ذَاكَ فَذَاكَ فِي النَّارِ وَقَاضٍ لَا يَعْلَمُ فَأَهْلَكَ حُقُوقَ النَّاسِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَقَاضٍ قَضَى بِالْحَقِّ فَذَلِكَ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya;
”Qadhi itu ada tiga; dua dalam neraka dan satu dalam syurga. Lelaki (Qadhi) yang berhukum tanpa hak dalam keadaan mengetahuinya, maka ia dalam neraka; Qadhi yang berhukum dalam keadaan dia tidak mengetahui, lalu dia telah membinasakan hak manusia, maka dia dalam neraka; qadhi yang berhukum dengan kebenaran, maka dia dalam syurga
[1]

Kerinduan beliau terhadap Nabi selepas kewafatan nabi amat memberi kesan kepada kehidupan beliau, sehingga beberapa riwayat menyatakan bahawa dikala Abdullah menyebut nama Nabi SAW, pasti mata beliau akan menitiskan air mata.

Hartanya banyak dihabiskan untuk memerdekakan hamba, sehingga menurut riwayat daripada Nafi’ berkata, bahawa Abdullah bin Omar telah berjaya memerdekakan lebih 1000 orang hamba sewaktu hayat hidupnya.

Menurut anaknya yang bernama Salim, bahawa bapanya, iaitu Abdullah bin Omar meninggal dunia di Makkah, dikebumikan di Fakh, perkuburan Muhajirin pada tahun 74 hijriyyah ketika berumur 84 tahun.

Ada riwayat menyatakan, jenazah beliau dikebumikan di Zu Tuwa.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 Febuari 2009 * 9:49 malam

[1] Sunan At-Tirmizi : 1244.

Tiada ulasan: