Selasa, 10 Februari 2009

UMNO DATO’ ONN DAN UMNO DATO’ NAJIB

UMNO DATO’ ONN DAN UMNO DATO’ NAJIB

Malaysiakini melaporkan bahawa pihak polis telah bertindak menembak gas pemedih mata kepada rakyat yang berhimpun secara aman di masjid Ubudiyyah selepas menunaikan solat jumaat, ekoran perhimpuran rakyat bagi mempertahankan Ir Nizar sebagai Menteri Besar Perak.

Sandiwara BN “disebalik tabir” untuk memegang tampuk pemerintahan perak mengingatkanku kepada perancangan British yang mahu menggantikan pemerintahan beraja di Negara-negara melayu atas nama Malayan Union.

Jom kita teliti dan lihat !!!.

UMNO DATO’ ONN

PERTAMA:

Malayan union atau sebutan melayunya Negara Malaya bersatu merupakan satu titik sejarah tanah melayu; yang mana pihak British mahu menjadikan Negara-negara melayu berada dibawah satu pentadbiran pusat yang dikuasai oleh British.

Perancangan British itu diteruskan, dengan mengarahkan Sir Harold MacMichael agar datang ke tanah Melayu agar memujuk raja-raja Melayu agar menyerahkan negeri mereka kepada kerajaan British untuk dijadikan jajahan takluk British.

Pada 11 oktober 1945, Sir Harold MacMichael sampai di Perlabuhan Klang. Raja melayu yang mula-mula sekali diperdaya adalah Sultan Ibrahim, Raja Johor sebagai raja yang tertua dan terkanan.

Tanpa tekanan dan apa-apa bantahan pun, dengan senang Sir Harold MacMichael berjaya mengumpul tandatangan 9 orang raja melayu sebagai penyerahan kuasa raja-raja melayu kepada British; hanya mengambil masa selama 3 bulan sahaja.

6 Januari 1946, Sir Harold MacMichael bertolak balik ke British membawa semua dokumen-dokumen penyerahan kuasa raja-raja melayu kepada pihak British, seterusnya pada 22 Januari 1946, kerajaan British telah membentang satu ”kertas putih” dalam sidang Parlimennya, mengumumkan penubuhan Malayan Union yang akan menggantikan pemerintahan beraja di Tanah melayu.

KEDUA:

Dato’ Onn melihat kejadian ini. beliau bertindak memberi kesedaran kepada raja Melayu ketika itu atas kesilapan mereka.

Ekoran dari itulah, Dato’ Onn menubuhkan UMNO bagi mengumpulkan; memberi kesedaran kepada orang melayu agar mendesak raja-raja melayu supaya sedar atas kesilapan mereka itu.

Raja melayu sedar, lalu mereka pujuk british agar membatalkan kandungan dokumen penyerahan kuasa yang mereka tandatangan dulu. Tapi tidak dilayan oleh British.

KETIGA:

Malayan Union tetap mahu ditubuhkan oleh British. Pada 1 April 1946, ia ditubuhkan. British melantik Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union. Raja-raja melayu, pembesar-pembesar melayu, anggota-anggota dewan undangan pusat dan negeri akan dijemput menyaksikan perlantikan Gabenor Malayan Union itu.

Pada 31 Mac, Dato’ Onn bersama kawan-kawan pada masa itu mengadakan satu meeting tergempar. Bincang tindakan yang selayaknya dilakukan. Keputusannya adalah, desak agar raja melayu tidak hadir majlis perlantikan Gabenor Malayan Union sebagai membantah penubuhan itu.

Pada subuh 1 April, raja melayu yang bersemayam di Station Hotel telah bersiap untuk berangkat menghadiri upacara perlantikan Sir Edward Gent. Melihat keadaan raja melayu itu, Dato’ Onn jadi sedih.

Dato’ Onn terus berceramah didepan raja melayu, antara kata-katanya;

”Sekiranya Tuanku sekalian turut menghadiri upacara perlantikan Gabenor malayan Union itu, rakyat Tuanku sekalian tidak akan mengangap Tuanku sebagai raja lagi. Rakyat melayu menganggap bahawa menghadiri majlis istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union seolah-olah mengusung jenayah umat melayu”

Selepas itu, Dato’ Onn menjemput raja melayu berangkat ke anjung hotel. Maka kelihatanlah beribu rakyat melayu sedang demonstrasi di bawah, melaung-laungkan ”daulat tuanku” dan ”hidup melayu” dengan suara yang bergemuruh. Melihat keadaan rakyat, ada sebilangan raja melayu yang menangis.

KEEMPAT:

Keadaan itu menyebabkan raja melayu tidak hadir ke majlis perlantikan Gabenor Malayan Union. Bahkan, menghinakan lagi apabila kehadiran dari kalangan orang melayu hanya seorang pegawai tentera dari pasukan askar melayu sahaja; itupun terpaksa hadir kerana tugasnya sebagai Pegawai Pengiring kepada Sir Edward Gent.

Majlis tetap diteruskan. Secara rasminya, pada 1 april 1946, Malayan Union ditubuhkan. Pun begitu, British mendapat tamparan hebat kerana majlis itu dipulaukan sedemikian rupa.

Ekoran itulah, bantahan demi bantahan dilakukan bagi menghapuskan Malayan Union yang akhirnya Malayan Union di mansukhkan.

UMNO DATO’ NAJIB PULA

PERTAMA:

4 orang ADUN Perak berjaya dipujuk oleh Najib agar melompat. Didakwa mereka dibayar menjangkau RM 50 juta setiap seorang.

Apabila sudah melompat dari PR kepada BN, maka bermula episod Najib seakan-akan mempergunakan pihak Istana, sepertimana Sir Harold MacMichael memperdayakan raja melayu.

Didesak agar segera mengangkat sumpah menteri Besar baru, Dr Zamry. Sedangkan, arahan sultan perak agar Ir Nizar meletakkan jawatan adalah bercanggah dengan perlembagaan Negeri Perak yang diluluskan sendiri oleh duli maha mulia Sultan.

KEDUA:

Ir Nizar hantar surat makluman tentang status jawatan Menteri besar yang disandang beliau kepada pihak Sultan, seperti tindakan Dato’ Onn memberi kesedaran kepada raja melayu bahawa mereka telah dipergunakan oleh British.

KETIGA:

Rakyat bangun membantah kehadiran raja melayu dalam majlis perlantikan gabenor Malayan Union. Dilihat sendiri oleh raja melayu, sehingga ada yang menitiskan air mata. Ianya seakan-akan sama dengan bantahan rakyat terhadap tindakan Sultan Perak yang seakan-akan dipergunakan oleh UMNO untuk menjatuhkan kerajaan PR pilihan rakyat.

KEEMPAT:

Dato’ Onn menyatakan, kalau raja melayu tetap juga menghadiri majlis perlantikan Gabenor Malayan Union, pasti umat melayu tidak akan respek lagi kepada raja melayu.

Sepertimana tindakan PR yang meminta agar sultan perak ikut peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh sultan sendiri, bahawa dibimbangi di masa akan datang sultan perak tidak akan direspek oleh rakyat perak sendiri, malahan rakyat seluruh Malaysia.

PENUTUP

Kuasa raja sudah berjaya dipertahankan oleh Dato’ Onn dari dilenyek oleh British atas nama Malayan Union. Tapi pada zaman Mahathir, UMNO berjaya mencabut kuasa raja-raja itu.

Kini, Najib sekali lagi buat perangai. Kuasa raja yang semakin menipis itu telah dinafikan kerespekan rakyat terhadapnya. Nampaknya, najib bukan sebagai manusia yang menjaga respek rakyat terhadap sultan, tetapi dia merupakan punca utama raja semakin dibenci oleh rakyat.

Jika difikirkan balik, patut pun Dato’ Onn mati di luar UMNO...

Sekian

p/s : dibimbangi dimasa akan datang, raja melayu sanggup diludah orang orang melayu sendiri, ekoran tindakan UMNO mempergunakan sultan demi kepentingan politik mereka yang maha murah.

Al-Bakistani.
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Febuari 2009 * 5:05 petang.






Tiada ulasan: