Jumaat, 13 Februari 2009

FIKIR ATAU SEMANGAT???

Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ulama yang berfikiran jauh

FIKIR ATAU SEMANGAT???

Selepas menunaikan solat subuh, sebelum memulakan kuliah subuh yang ingin disampaikan, aku sempat juga meneliti satu bab dalam sebuah buku yang bertajuk “pembuktian Sains dalam Sunnah” terjemahan dari buku “Al-I’jaz Al-Ilmi fi As-Sunnah An-Nabawiyyah” karangan Dr Zaghlul An-Najjar. Sedang meniliti buku tersebut, menyebabkan aku berfikir tentang konsep kefahaman nas.

Aku dapat merasakan, pembacaanku terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis nabi sebelum aku membaca buku Ahmad Wahib tidak sama seperti aku membaca nas-nas Islam ini di masa sekarang.

Sebelum ini, aku tidak didedahkan langsung dengan berfikir disebalik nas, pun begitu, setelah aku dicadangkan membaca buku “pergolakkan pemikiran islam”, tulisan Ahmad Wahib, menyebabkan aku merasakan ada sesuatu perkara ajaib berlaku dalam pemikiranku, lebih-lebih lagi ketika meneliti nas-nas Islam; Al-Quran dan As-Sunnah.

Sejak membaca buku “pergolakkan pemikiran islam”, Aku mula minat membaca buku tokoh-tokoh pemikir yang hebat, seperti Sayed Nuqib Al-Attas, pemikiran Plato yang membezakan dengan pemikiran Prozac, pemikiran bapak Natsir dari Indonesia, pemikiran Ibnu Rushd yang bercanggah dengan pemikiran Imam Al-Ghazali dan sekarang pula aku sedang meniliti kitab Al-Muwafaqat yang membahaskan cara pemikiran Al-Imam As-Syatibi dalam membahaskan konsep maslahah dan mafsadah dalam memahami maqasid Syariah.

Tidak ketinggalan juga, aku membaca buku sejarah hidup beberapa tokoh pejuang, seperti perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmi, perjuangan Dato’ Onn, perjuangan Abdullah CD, Rashid Maidin, dan buku yang bertajuk “gerakan kiri melayu”.

Disamping itu juga, memandangkan aku bekerja sebagai editor syariah bagi syarikat Anbakri Publika yang mengumpul semua hasil karya Tok guru NIk Abdul Aziz; setelah aku meneliti karya-karya Tok Guru, aku dapat merasakan ada sesuatu yang baru yang dapat aku belajar dari pemikiran beliau itu. Aku kagum dengan beliau, kerana cara beliau berfikir agak susah untuk dicari setara beliau dengan ulama-ulama yang lain.

Hasil dari membaca buku-buku ini, aku mula merasakan betapa jahilnya aku tentang Al-Quran dan As-Sunnah yang sering kita lihat dari sudut Nas zahirnya sahaja, tanpa kita merujuk kepada kandungan tersirat disebalik yang tersurat itu.

Aku mula membelek-belek balik buku karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang telah aku khatamkan sejak sekian lama, seperti buku yang bertajuk Fiqh Awlawiyyat dan Fiqh Aqalliyyat.

Aku mula merasa kagum dengan pemikiran Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam mengeluarkan khulasah perbincangan konsep maslahat dan Mafsadah yang diulas secara lebar oleh Al-Imam As-Syatibi, sedangkan sebelum ini aku sudah khatam membaca buku-buku Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini, tetapi sebelum ini, pembacaan itu sekadar pembacaan dari sudut nas yang zahir sahaja, tetapi tidak dirasakan kandungan tersirat disebalik yang tersurat tersebut.

Setelah selesai menyampaikan kuliah muslimat di salah sebuah surau di DUN Paya Jaras, dalam perjalanan pulang, aku memasang CD ceramah yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dalam kupasan Tok Guru nik Abdul Aziz tentang tersebarnya fahaman secular di Mesir, beliau ada mengungkapkan tentang perbezaan ilmu yang dicapai dengan “berfikir” dan ilmu yang dicapai dengan “semangat”.

Aku mula terfikir tentang dua konsep ilmu yang diulas oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz itu, menyebabkan aku secara peribadi berpendapat, bahawa, kelemahan ilmuan kini, apabila mereka memahami Islam dari sudut “semangat” tanpa melibatkan “berfikir”.

Dengan itu juga, baru aku faham, mengapa aku kini membaca Al-Quran dan As-Sunnah tidak seperti dahulu; dirasakan ada dua keadaan yang berbeza.

Sekian

Wallahu ‘Alam

p/s : sekadar meluahkan perasaan.

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Febuari 2009 * 11:19 pagi.



Tiada ulasan: