MENGHARAMKAN YANG HALAL, MENGHALALKAN YANG HARAM ADALAH ADIK BERADIK SYIRIK
Islam adalah agama yang tugasnya menjaga fitrah kemanusiaan. Tidak mungkin Islam menghalalkan perkara yang memberi mudharat pada manusia, juga mengharamkan perkara yang memberi maslahat kepada manusia.
Firman Allah;
الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya;
“Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk”
(Surah Al-‘Araf : 157)
Pun begitu, memandangkan ada manusia itu mempunyai sifat “melampau-melampau”, menyebabkan mereka bertindak mengharamkan perkara yang sememangnya halal di sisi Allah.
Tindakan sebegini adalah dilarang, sehinggakan Nabi sendiri melaknat tindakan manusia seperti itu.
Sabda Nabi SAW;
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ : قَالَهَا ثَلَاثًا
Maksudnya;
“Binasalah golongan yang melampau-melampau : baginda menyebut sebanyak tiga kali[1]”
Perkara yang halal, maka ia adalah halal. Perkara yang haram, maka ia adalah haram. Itu adalah prinsip Islam secara asasi.
ISLAM AGAMA TOLERANSI
Apa yang kita dapati, Islam itu bersifat toleransi. Ketolerasian Islam itu, digambarkan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang berbunyi;
إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ بِالْيَهُودِيَّةِ وَلَا بِالنَّصْرَانِيَّةِ وَلَكِنِّي بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ
Maksudnya ;
”Aku tidak dibangkitkan dengan yahudi dan tidak dengan nasrani. Aku dibangkitkan dengan ”Hanifiyyah” yang ”As-Sambah”[2]”
Maksud dengan « hanifiyyah » adalah, Islam adalah agama yang mempunyai tunjang aqidah yang mentauhidkan Allah SWT. Adapun « as-Samhah » atau toleransi bermaksud, ia bersifat mudah dan rai-meraikan.
Toleransi dalam Islam, segala hukum ketetapan Allah tidak bersifat menyusahkan. Bahkan, sebarang kesusahan bisa di mudahkan. Atau disebut dalam bahasa fiqhnya ;
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya;
“mudharat boleh mengharuskan perkara yang dilarang”
Lawan bagi “hanifiyyah” adalah syirik kepada Allah. lawan bagi “As-Samhah” adalah mengharamkan perkara yang Allah halalkan.
Menyalahi dengan perinsip ini, ianya adalah tindakan yang salah dalam beragama. Bahkan, ianya pernah disebut oleh nabi SAW.
Sabda Nabi SAW;
وَإِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ كُلَّهُمْ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمْ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ وَأَمَرَتْهُمْ أَنْ يُشْرِكُوا بِي مَا لَمْ أُنْزِلْ بِهِ سُلْطَانًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya Aku jadikan semua hambaku dalam keadaan “hunafa’” (baca : lurus). Mereka didatangi syaitan untuk diselewengkan agama mereka. Syaitan mengharamkan apa yang telah dihalalkan kepada mereka. mereka di desak oleh Syaitan agar mereka syirik terhadap-Ku dalam perkara yang aku tidak turunkan keterangannya[3]”
Justeru, Islam memandang mengharamkan perkara yang halal adalah sama dengan melakukan syirik kepada Allah. begitujuga sebaliknya.
Ekoran dari itulah, kita akan dapati dalam Al-Quran bahawa Allah sangat mencela tindakan musyrikin arab, yahudi dan Nasrani. Celaan itu disebabkan mereka menentukan sesuatu hukum itu, bukan merujuk kepada Allah, tetapi merujuk kepada “kepala otak” mereka sendiri.
Sebagai contoh, mereka mengharamkan memakan binatang yang baik-baik, sedangkan tindakan mereka itu dilarang oleh Allah SWT. Seperti, mereka haramkan “bahirah” (iaitu : unta betina yang sudah lahirkan anak yang kelima), “Saaibah” (iaitu : unta betina yang dinazarkan untuk berhala), “wasilah” (iaitu : kambing betina beranak tujuh), “Haam” (iaitu : unta betina yang sudah beranak 10 kali).
Arab jahiliyyah dahulu, “bahirah” ini dianggap sebagai unta yang sudah banyak berjasa. Justeru, selayaknya diberikan kepada berhala sahaja. Bagi mengenali unta tersebut, apabila unta itu beranak sahaja anak kelima, telinga unta itu akan dipotong.
Apabila ada sebilangan mereka yang sesat dalam hutan, sesat di padang pasir atau sakit, mereka selalunya bernazar unta kepada berhala. Maka unta tersebut disebut sebagai ”saaibah”.
Dan macam-macam lagi anggapan arab jahiliyyah terdahulu, yang berasaskan kepada karut dan khurafat.
Tindakan mereka ini menyalahi dengan konsep menjaga fitrah kemanusiaan. Sudah pasti, ianya bercanggah dengan kandungan wahyu ilahi
Justeru itulah, Allah menurunkan firman-Nya;
مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ وَلَكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya;
” Allah sekali-kali tidak pernah mensyari'atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.”
(Surah Al-Maidah : 103)
Difahami dari ayat ini, kita akan dapati bahawa Allah sendiri mencela tindakan melampau-melampau yang dilakukan oleh orang muyrikin yang mengharamkan perkara yang halal di sisi Allah SWT.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT;
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ * قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;
“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui * Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui."
(Surah Al-’Araf : 32-33)
Jika dilihat kepada ayat ini, ianya adalah rentetan dari tindakan orang arab Qurisyh jahiliyyah dahulu yang mewajibkan kepada semua jemaah haji di Makkah melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. Mereka beralasan, melakukan haji di Makkah bermakna membuang dosa. bagi membersihkan dosa, maka hendaklah buka pakaian. Ini kerana, apabila pakaian terlucut dari badan, maka samalah seperti dosa terlucut dari badan[4].
Tindakan Quraisy jahiliyyah ini adalah tindakan yang melampau-lampau sehingga sanggup menafikan pakaian yang merupakan perhiasan yang Allah sediakan kepada manusia.
Juga firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ * وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas * Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya”
(Surah Al-Maidah : 87-88)
Ayat ini diturunkan rentetan dari Nabi SAW bercerita kepada para sahabat tentang hari kiamat di rumah Seorang sahabat yang bernama Osman bin Maz’um. Dalam cerita itu, nabi SAW menceritakan tentang nikmat dan azab disana, menyebabkan ada sebilangan sahabat meletakkan azam bahawa mereka tidak akan makan makanan dan minuman yang enak-enak. Mereka mahu menunaikan solat setiap malam, dan siang berpuasa. Tidak mahu tidur atas tilam dan sebagainya. azam mereka itu diketahui Nabi menyebabkan Nabi SAW menyatakan;
إني لم أومر بذلك إن لأنفسكم عليكم حقاً فصوموا وأفطروا وقوموا وناموا فإني أقوم وأنام وأصوم وأفطر آكل اللحم والدسم وآتي النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني
Maksudnya;
“Aku tidak menyuruh kamu melakukan sedemikian. Maka hendaklah kamu berpuasa, tetapi ada masa kamu berbuka. Dirikan solat malam, tapi kamu tidur. Sesungguhnya aku juga solat malam dan aku juga tidur. Aku juga berpuasa, tapi aku juga berbuka. Aku makan daging dan aku juga mendekati isteri (jimak). Barangsiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku”
Dengan huraian ini, nyata bahawa sesuatu hukum itu hendaklah dinilai dari sudut keluasan Islam yang telah ditetapkan oleh Allah, bukannya berasaskan kepada sentimen atau penilaian akal semata-mata.
Sekian
p/s : artikle ini adalah ulasan dari kitab ”al-halal wa al-haram fi Al-Islam” karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 mac 2009 * 4:34 petang
[1] Sahih Muslim : 4823.
[2] Musnad Ahmad : 21260
[3] Sahih Muslim : 5109.
[4] At-Tafsri Al-Kabir : 7/77.
1 ulasan:
assalamualaikum syeikh al-bakistani,
nk tanye skit pendapat imam as-syafie ttg muzik..
Catat Ulasan