Ahad, 22 Mac 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 13 : KESUSAHAN DAKWAH NABI NUH

KESUSAHAN DAKWAH NABI NUH A.S

Firman Allah;

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ أَنْ أَنْذِرْ قَوْمَكَ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ * قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُبِينٌ * أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقُوهُ وَأَطِيعُونِ * يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ * قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا * فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا * وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آَذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا * ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا* ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan): "Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih" * Nuh berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu * (yaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku * Niscaya Allah akan mengampuni sebagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui * Nuh berkata: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang * maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). * Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat * Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan * kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam”

(surah Nuh : 1-9)

HURAIAN

Nabi Nuh A.S adalah Nabi keempat selepas Nabi Adam, Nabi Syits dan Nabi Idris. Bapa baginda bernama Lamik bin Metusyalih bin Idris. Bermakna, Nabi Nuh A.S adalah cicit kepada nabi Idris A.S.

Baginda dilantik menjadi Nabi, dikala umatnya berada dalam “fatrah” ketiadaan Nabi. Ekoran dari itulah, umatnya banyak melakukan syirik kepada Allah, melakukan dosa maksiat yang tidak sudah-sudah.

Mereka menyembah berhala pun, mengikut suka-suka mereka sahaja. Ekoran itulah, terdapat dikalangan mereka berhala sembahan, walaupun satu berhala sahaja, tetapi mempunyai banyak nama seperti satu patung itu di satu ketika bernama Wadd, diketika lain bernama Suwa, diketika lain bernama Yaghuth, diketika lain bernama Yatuq dan diketika lain bernama Nasr.

Dalam keadaan syirik itulah, Allah melantik Nabi Nuh untuk membimbing umatnya agar dipandu ke arah kebaikan; tidak syirik kepada Allah SWT.

Kisah ini dirakamkan oleh Allah menerusi satu surah khusus yang diturunkan oleh Allah untuk menjadi tatapan umat Nabi Muhammad SAW, agar ianya menjadi pengajaran hidup dalam usaha mencapai syurga Allah SWT.

***

Surah ini, diturunkan oleh Allah SWT sewaktu baginda belum lagi berhijrah ke Madinah, iaitu ketika baginda dan para sahabat masih lagi tinggal di makkah.

Apabila disebut ayat yang diturunkan di Makkah, fahamnya ayat ini adalah ayat yang berbicara tentang perkara aqidah. Bermakna, kisah-kisah yang dinukilkan dari firman Allah ini adalah perbincangan yang mempunyai unsur kepercayaan (baca : Aqidah).

Justeru itulah, mempercayai kisah para nabi dari ayat ini merupakan perkara penting, yang tidak boleh dinafikan lagi. Menafikan kebenaran kisah ini, mengakibatkan terkeluar dari Islam.

***

Allah berfirman;

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ أَنْ أَنْذِرْ قَوْمَكَ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan): "Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih"

Dalam ayat ini, Allah menyatakan tujuan Allah melantik Nuh sebagai nabi. Tugas baginda adalah, menyeru manusia kepada kebenaran; menyeru manusia agar mentauhidkan Allah SWT.

Jika kita teliti balik kepada perjalanan hidup Nabi Nuh dalam dakwah, baginda menyeru manusia kepda Allah terlalu lama, iaitu memakan masa selama 950 tahun. Menunjukkan, usaha dakwah yang dilakukan oleh Nuh adalah terlalu lama.

Dalam kesungguhan dakwah yang dilancarkan oleh Nabi Nuh yang memakan sama sampai 950 tahun itu pun, Nabi Nuh hanya berjaya mendapat pengikut tidak sampai 100 orang. Menunjukkan, Kaum Nabi Nuh ini adalah golongan manusia yang degil; keras kepala dalam menerima hidayah Allah SWT.

Memandangkan umat Nabi Nuh ini keras kepala, malahan degil, maka Allah menggunakan perkataan ”inzar” atau terjemahan melayunya ”memberi khabar ketakutan”.

Kaedah psikology, orang yang tidak pernah diberi tahu tentang Islam, permulaan berdakwah kepadanya hendaklah dengan kaedah ”basyir”, iaitu ”memberikan khabar gembira”.

Apabila khabar gembira sudah tidak berjaya (baca : degil atau keras kepala) barulah dibenarkan menggunakan kaedah ”inzar”.

Menunjukkan, dengan semata-mata Allah menyebut ”Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih” dalam ayat ini, kita sudah faham, sekadar mana degilnya kaum Nabi Nuh A.S.

Kedegilan yang wujud dalam diri kaum Nabi Nuh itu adalah, amat sesuai dengan azab yang maha hebat, iaitu dengan Allah datangkan angin taufan yang bercampur dengan hujan. Apabila air hujan sudah melempah, dicampur pula dengan air dari bumi, maka Allah pun menjadikan penempatan Kaum Nabi Nuh itu banjir yang boleh menenggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh yang mengingkari ajaran Allah SWT.

***

Firman Allah;

قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُبِينٌ

Maksudnya;
“Nuh berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu”

Ayat ini pula, Allah menjelaskan bahawa Nabi Nuh tidak pernah mengingkari suruhan Allah agar disampaikan dakwah kepada umatnya. Pun begitu, menyedihkan ianya telah dijadikan satu putar belit oleh kaum baginda semasa di akhirat, kononnya Nabi Nuh sebenarnya tidak menyampaikan dakwah terhadap mereka.

Jika dirujuk dari kitab ”At-Tazkirah” karangan Imam Al-Qurtubi, ada disebut tentang bagaimana penipuan yang dilakukan oleh pengikut Nabi Nuh terhadap baginda.

Apabila perkara itu dipersoalkan oleh Allah terhadap Nabi Nuh, menyebabkan baginda meminta kepada Allah agar bertanya kepada Nabi Muhammad dan umatnya untuk mendapat kepastian di atas dakwaan palsu tersebut.

Tindakan Nabi Nuh itu dipertikai oleh kaumnya di hadapan Allah, dengan mendakwa, bagaimana perlu merujuk kepada Nabi Muhammad dan umatnya, sedangkan mereka ketika itu belum wujud lagi.

Nabi Muhammad SAW menjawab, bahawa baginda dan umat mengetahuinya kerana semua kisah-kisah Nabi Nuh dan kaumnya di dunia dahulu telah termaktub dalam Al-Quran yang merupakan kitab yang diturunkan oleh Allah sendiri.

Keadaan itu menyebabkan Kaum Nabi Nuh malu dan terpaksa akur didepan Allah SWT.

Jelasnya, Kaum Nabi Nuh mahu menipu Allah di akhirat nanti dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh A.S tidak menyampaikan kebenaran kepada mereka, sedangkan ayat ini sendiri telah menyatakan bahawa Allah yang maha mengetahui telah menjelaskan secara terang bahawa Nabi Nuh telah menyampaikan dakwah itu, tetapi tidak diterima oleh kaumnya sendiri.

***
Firman Allah;

أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقُوهُ وَأَطِيعُونِ

Maksudnya;
”(yaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku”

Dalam seruan dakwah Nabi Nuh itu, baginda menyeru kaumnya kepada tiga perkara, iaitu (1) menyembah Allah, (2) takutkan Allah, dan (3) memberikan ketaatan kepada Allah.

Maksud dengan ”menyembah Allah” dalam ayat ini adalah, menuntut kaumnya agar melakukan perkara yang wajib dan perkara yang sunat. Sama ada, perkara wajib dan sunat itu dari sudut amalan hati, mahupun amalan anggota badan zahir.

Apa maksud amalan hati dan amalan zahir???

Amalan hati adalah, aqidah yang betul, ikhlas dalam amalan dan sebagianya. Adapun amalan zahir adalah, dengan menunaikan tuntutan Syariat yang dipertanggungjawabkan terhadap mereka.

Yang dimaksudkan dengan ”takutkan Allah” pula adalah, dengan meninggalkan segala perkara larangan, iaitu terdiri dari perkara haram dan perkara makruh (baca : yang dibenci).

Adapun tujuan Allah menyebut ”memberikan ketaatan kepada Allah” adalah untuk menta’kidkan (baca : mengkuatkan) maksud ”menyembah Allah” dan ”takutkan Allah SWT”.

***

Firman Allah;

يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
”niscaya Allah akan mengampuni sebagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui."

Janji dari Allah, apabila kaum Nabi Nuh memberikan ketaatan mereka kepada Allah dan meletakkan ketakutan hati mereka terhadap azab Allah, yang semuanya terkandung dibawah maksud memberikan ketaatan kepada Allah, pasti Allah akan memberikan keuntungan kepada mereka. Keuntungan yang dijanjikan tersebut, sama ada keuntungan akhirat, juga keuntungan di dunia.

Keuntungan akhirat adalah, Allah ampun dosa mereka dikala mereka melakukan ketaatan, dan keuntungan di dunia adalah, Allah melambatkan azab (baca : waktu kematian) terhadap mereka.

Ayat ini menjadi dalil, bahkan mengkuatkan hujjah dari hadis yang menyebut, orang yang melakukan amalan baik, disamping meninggalkan perkara larangan Allah, pasti akan diberikan umur yang panjang.

Sabda Nabi SAW:

صلة الرحم تزيد في العمر

Maksudnya;
“menjalinkan hubungan silaturahim mampu memanjangkan umur”

Pun begitu, menyedihkan Kaum Nabi Nuh tetap dengan kekufuran. Seakan-akan mereka tidak mengetahui disebalik janji Allah SWT ini. hakikatnya, bukan mereka tidak tahu, tetapi sengaja mereka buat-buat tak tahu lantaran kedegilan mereka terhadap ajaran Allah SWT.

***

Firman Allah;

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا * فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا

Maksudnya;
“Nuh berkata: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang * maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran)”

Inilah gambaran kesusahan Nabi Nuh A.S dalam dakwah. Baginda menyeru manusia mengambil masa hampir seribu tahun, tetapi menyedihkan pengikut baginda tidak sampai seratus orang pun.

Dalam keadaa sedemikian pun, Baginda tidak pernah berputus asa. Ini kerana, Baginda meletakkan keyakinan bahawa baginda sebagai nabi hanya ditugaskan untuk menyampaikan dakwah. Hakikat hidayah, adalah kepunyaan Allah SWT.

Firman Allah;

فَإِنْ أَسْلَمُوا فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلَاغُ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

Maksudnya;
“Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya”

(Surah Al-Imran : 20)

Bahkan ayat ini pun (Surah Nuh ayat 5 dan 6) Allah menjelaskan bahawa, tugasan Nabi Nuh menyampaikan dakwah Islam, tetapi menyedihkan hanya sebilangan kecil sahaja yang menerima dakwah tersebut.

Jelas dan nyata bahawa hidayah adalah kepunyaan Allah. ekoran itulah, orang yang mendengar seruan Nabi Nuh itu adalah ramai. Walaupun dengan perkataan yang sama dan dalam satu majlis yang sama, bahkan semuanya mendengar ucapan Nabi Nuh itu, tiba-tiba dalam ramai-ramai itu, yang beriman hanya sebilangan kecil sahaja.

***

Firman Allah;

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آَذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat”

Ayat ini menjadi dalil bahawa, jika kita bertindak melakukan ketaatan, menyebabkan dosa-dosa kecil kita akan diampunkan oleh Allah SWT. Sunnatullah ini, bukan ditetapkan kepada umat Nabi Muhammad SaW sahaja, bahkan diberikan kepada umat-umat terdahulu, khususnya umat nabi Nuh.

Dakwah Nabi Nuh itu bukanlah memberikan kerugian kepada kaumnya, bahkan mendapat keuntungan di akhirat nanti, pun begitu, dengan kedegilan mereka yang melampau-lampau, mereka tidak mendengar dakwah tersebut.

Bukan sekadar mereka tidak mendengar, bahkan mereka bertindak memerli dengan tindakan Nabi Nuh tersebut, dengan meletakkan jar-jari mereka ke dalam lubang telinga mereka ekoran taassub dan tidak mahu mendengar hujjah yang mahu disampaikan oleh nabi Nuh.

Yang lebih melampau, mereka sanggup ambil kain pakaian mereka, di selungkupkan kepala mereka agar mereka tidak mendengar seruan dakwah Nabi Nuh itu.

Mereka pertahankan sentiment mereka. semuanya berpunca dari takabbur mereka terhadap kebenaran. Dengan merasakan, mereka adalah golongan terbaik berbanding mereka yang mengikut ajaran Allah SWT.

***

Firman Allah;

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا * ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

Maksudnya;
“Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan * kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam”

Setelah Nabi Nuh A.S sudah menyeru manusia secara sembunyi-sembunyi, baginda melancarkan dakwah secara terang-terangan. Apabila kedua-dua cara tersebut tidak berjaya, baginda memulakan dakwah dengan kedua-duanya sekali; iaitu ada kalanya dengan secara sir, dan ada kalanya dengan terang-terangan.

Maksud dengan dakwah secara sir adalah, dakwah yang dilakukan secara bersendiri; iaitu berjumpa dengan individu-individu tertentu, atau dalam istilah lain disebut dakwah fardiyyah.

Adapun dakwah secara terang-terangan, baginda melancarkan dakwah secara berkumpulan; bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya berjumpa dengan manusia di majlis-majlis terbuka dalam menyampaikan kebenaran tauhid Allah SWT.

Ayat ini sebenarnya mengajar kepada kita, dalam strategi dakwah, tidak boleh digunakan satu cara sahaja. Bahkan, jika satu cara tidak berjaya, maka hendaklah digunakan cara yang lain.

Lihatlah Nabi Nuh A.S dalam dakwah. Beliau tidak menggunakan kaedah dakwah sirriyyah sahaja, bahkan dalam keadaan yang lain, baginda menggunakan kaedah dakwah terang-terangan. Pun begitu, memandangkan kedegilan kaumnya terlalu melampau, menyebabkan baginda bertindak menggunakan kedua-dua kaedah tersebut.


Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 mac 2009 * 3:06 pagi



Tiada ulasan: