Selasa, 7 Julai 2009

ORANG BERSYUKUR DISAYANGI AS-SYAKUR

ORANG BERSYUKUR DISAYANGI AS-SYAKUR

Dikisahkan ketika Nabi SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq berhijrah ke Madinah. Bahawa, permusafiran hijrah Nabi SAW dan Abu Bakar itu diketahui oleh Asma, anak perempuan Abu Bakar As-Siddiq.

Hanya Asma’ sahaja yang mengetahui tempat persembunyian Nabi SAW dan Abu Bakar As-Siddiq. Makanya, dia berulang alik ke tempat persembunyian tersebut untuk menghantar makanan.

Dalam diam-diam, Abu Jahal menghidu pergerakan Asma’, menyebabkan dia telah berjumpa dengan Asma’ dan bertanya, “di mana bapamu sedang bersembunyi”

Asma’ tidak berkata sepatah perkataan pun melainkan sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya; memberi isyarat bahawa dia tidak mengetahuinya.

Tindakan Asma’ itu menyebabkan Abu Jahal bersangatan marah, seraya menampar muka asma’ sehingga anting-anting asma’ terputus dan bibirnya berdarah.

Ketika Abu jahal menampar Asma’ itu, Abu Sufyan ada bersama. Apabila beliau melihat tindakan kasar Abu jahal itu, menyebabkan hati Abu Sufyan merasa agak hiba, dan memujuk Abu Jahal agar tidak melakukan tindakan sedemikian buat kali kedua.

Abu Jahal tetap berkeras untuk menampar Asma’ lagi, tetapi tetap ditenangkan oleh Abu Sufyan sehingga Abu Jahal terus akur dengan pujukan Abu Sufyan itu.

Kejadian ini sampai kepada pengetahuaan Abu Bakar As-Siddiq, menyebabkan Abu Bakar berdoa, “Ya Allah, jadikanlah itu sebagai khazanah kebaikan bagi Abu Sufyan”

Berkat doa Abu Bakar As-Siddiq itu, menyebabkan dua puluh tahun kemudiannya, Abu Sufyan masuk islam, seterusnya menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang hebat dalam perjuangan memartabatkan Islam.

Begitujuga diceritakan tentang kisah Ummu Salamah yang telah dipisahkan dengan suaminya ekoran tindakan mereka yang memeluk islam.

Suami Ummu Salamah berada di Madinah, sedangkan Ummu Salamah bersama anak lelakinya dikawal sedemikian rupa agar tidak boleh keluar dari kawasan makkah.

Setahun kemudian, dia berjaya melepaskan diri dari kawalan Makkah, dan seterusnya mahu ke Madinah untuk menyelamatkan akidah dan mencari suami yang tercinta.

Ketika sampai di Tan’im, dia bertemu Osman bin Talhah, seorang lelaki yang tidak beragama Islam, malah amat memusuhi umat Islam. Ketika bertemu dengan Ummu Salamah, dia bertanya, “Wahai Ummu Salamah, kamu mahu pergi ke mana?”

Ummu Salamah dengan berani, tanpa merasa takut terus menjawab, “aku mahu ke Madinah, untuk menyelamatkan akidahku dan mahu mencari suamiku yang tersayang”

Melihat keadaan Ummu Salamah demikian rupa, timbul perasaan kasihan dalam hati Osman bin Talhah waimma dia masih lagi tidak beriman dengan Allah SWT.

“apakah kamu mahu ke sana seorang diri wahai Ummu Salamah?” soal Osman bin Talhah.

“benar” jawab Ummu Salamah tegas.

Osman bin Talhah berkerut dahi memikirkan, bagaimana seorang perempuan seperti Ummu salamah mampu ke Madinah seorang diri dalam keadaanya sedemikian rupa.

Dengan perasaan belas kasihan yang Allah campakkan dalam hati Osman bin Talhah, menyebabkan Osman terus berkata,
“tidak layak bagi seorang perempuan seperti kamu ke Madinah seorang diri. Naiklah atas unta tungganganku, akan aku hantar kamu ke Madinah”

Osman bin Talhah menghantar Ummu Salamah dengan menaiki untanya, sedangkan dia berjalan kaki hingga sampai Madinah.

Apabila sampai di Madinah, hati Ummu Salamah berbisik-bisik dengan katanya,
”Demi Allah, Allah SWT pasti akan berterima kasih dan mensyukuri Osman atas kebaikan yang dia lakukan. Tidak pernah aku melihat seorang lelaki yang tidak Islam sebaik Osman bin Talhah. Semasa dalam permusafiran, tidak pernah sekalipun dia menatapku dan tidak sepatah kata pun dia ucapkan padaku hingga kami tiba di serambi Madinah, melainkan dia hanya berkata, ”Di sanalah Madinah, tempat suamimu berada, maka pergilah”

Lapan tahun kemudian, Usman bin Talhah memeluk islam, iaitu pada saat berlakunya pembukaan kota Makkah.

Mendapat berita keislaman Usman bin talhah, terpancul di mulit Ummu Salamah,
”Allah telah berterima kasih dengan Usman bin Talhah disebabkan kebaikan yang dilakukannya”

Perhatikan betapa sayangnya Allah terhadap hambanya yang mempunyai perasaan belas kasihan. Justeru, dengan kebaikan yang mereka lakukan tersebut, dibalas oleh Allah SWT dengan Allah membuka pintu hidayah kepada mereka. Inilah tanda syukur (baca : terima kasih) Allah kepada hambanya yang sering bersyukur kepada Tuhannya.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Kota Damansara
8 Julai 2009 * 11:05 pagi


Tiada ulasan: