Isnin, 6 Julai 2009

POLITIK TALIBAN??

POLITIK TALIBAN??

Taliban dalam bahasa farsi bermakna mahasiswa. Taliban di Afghanistan merupakan gerakan mahasiswa melawan perbalahan antara beberapa puak-puak kaum tua afghanistan yang terdiri dari gulbuddin Hikmatiyar dan Rabbani setelah keluarnya rusia dari bumi Afghanistan.

Setelah taliban berjaya melawan dua kelompok kaum tua ini, taliban berjaya menguasai afghanistan dan seterusnya membentuk kerajaan.

Cara pemerintahan mereka yang dilihat agak keras, menyebabkan mereka jatuh dan tidak mampu untuk bangkit lagi. Memang mereka jatuh disebabkan musuh, tetapi sedihnya rakyat afghanistan tidak bangkit mempertahankan mereka.

Persoalannya, mengapa rakyat tidak bangkit mempertahankan mereka??

Tidak dinafikan, mereka mempunyai niat yang baik; iaitu melaksanakan islam dalam negara afghanistan. Cumanya, cara perlaksanaan mereka agak tidak kena tempat; seakan-akan mereka tidak merujuk pun kepada konsep siyasah syariiyyah yang wujud dalam perbahasan dan pengajian Syariah Islamiyyah.

Perlaksanaan Islam yang mereka lakukan, tidak terlebih dahulu diberi kefahaman kepada rakyat. Pada mereka, segala perlaksanaan islam, telah mereka laksanakan. Apakah rakyat menerima atau tidak, itu tidak perlu dipersoalkan.

Akibatnya, memang perlaksanaan Islam itu berjaya, tetapi ia tidak bertahan lama. Islam yang dilaksanakan oleh mereka, hanya berjaya dilaksanakan beberapa ”penggal” sahaja. Kemudiannya, mereka dipenggal oleh amerika, disamping rakyat mereka sedikit pun tidak bangun mempertahankan mereka.

BAGAIMANA PULA DI MALAYSIA??

Di malaysia, terutama selepas sejarah 8 mac 2008 bermula. Keadaan dan pendekatan politik tidak boleh disamakan dengan sebelumnya. Ini kerana, kita berhadapan dengan beberapa keadaan, iaitu (1) kawan, (2) lawan, (c) rakyat.

Ketika kita membuat sesuatu keputusan, hendaklah kita perlu perhatikan tiga perkara ini. jika tidak, Islam yang kita perjuangkan akan melahirkan nasib sepertimana yang berlaku kepada taliban.

LAWAN

UMNO merupakan lawan. Tidak perlu kita berfikir kaedah yang lunak dengan mereka. Kaedah ”lemaskan” sahaja yang layak digunakan kepada musuh.

Jika mahu digunakan kaedah lunak, pastikan tidak melahirkan keraguan dalam diri kawan dan rakyat. Justeru, sebarang tindakan lunak, hendaklah dirujuk dahulu kepada kawan, disamping dibuat pemantauan terhadap rakyat terhadap tindakan lunak yang mahu dilakukan itu, apakah melahirkan mudharat besar atau tidak.

KAWAN

Hendak memerintah di Malaysia, tidak dapat tidak perlu mempunyai kawan dalam berpolitik. Jika tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain, usaha hendak memerintah agak terbatas. Tinggalkan negeri-negeri yang ramai orang melayu seperti Kelantan, terengganu dan Kedah. Keadaan di sana tidak menafsirkan maksud sebuah Malaysia.

Makanya, apabila sudah berkawan, konsep setia kawan perlu wujud, disamping tidak bertindak dengan sesuatu tindakan yang bisa melahirkan perasaan ragu dikalangan mereka terhadap kita.

Mengambil kaedah lunak dengan musuh dalam sesuatu tindakan tanpa merujuk kepada kawan terlebih dahulu, sedikit sebanyak akan melahirkan keraguan dalam hati kawan. Jika keadaan ini berlaku, ia akan memberikan kesan buruk yang besar terhadap reputasi parti di mata-mata mereka.

Asas tindakan ini adalah hadis Nabi SAW;

إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ صَاحِبِهِمَا


Maksudnya;
”Jika kamu bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dua dari kamu tanpa yang ketiganya
[1]

RAKYAT

Di kala membuat sesuatu keputusan, pastikan ia tidak mendatangkan mudharat kepada perjuangan Islam itu sendiri. Bantuan dan sokongan rakyat dalam politik yang menggunakan demokrasi adalah penting. Justeru, hati dan perasaan mereka perlu dirai.

Sesuatu perlaksanaan, tidak seharusnya dilaksanakan terus, melainkan bertindak memberi kefahaman secara mendalam terlebih dahulu terhadap mereka.

Adakan kempen dan dialog dengan mereka terlebih dahulu, setelah mereka memahaminya, barulah perlaksanaan dilakukan. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti mereka akan memberi sokongan kepada kita.

Begitujuga, apabila perlaksanaan Islam yang dilakukan itu di kala mereka sudah memahaminya, sudah pasti spekulasi musuh tidak akan berjaya dimakan oleh rakyat. Ini kerana, spekulasi itu sudah tidak mempunyai taring lagi, kerana telah dirongakkan dengan kefahaman rakyat yang telah diberi.

Omar Abdul Aziz ada menyebut kepada anaknya yang bernama Abdul malik dengan katanya;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
”jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu mereka menolaknya secara total. Sudah pasti itu merupakan fitnah
[2]

KESIMPULAN

Sesuatu hukum Islam, memang wajib dilaksanakan. Pun begitu, sebelum perlaksanaan hendak dilakukan, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu, apakah perlaksanaan itu kekal atau sekadar sementara waktu? Jika sementara waktu, perlu dilihat punca yang akan berlaku sedemikian.

Selalunya, sesuatu perlaksanaan akan ditolak majoriti rakyat disebabkan mereka tidak memahaminya dengan betul, waimma kandungan disebalik bahan perlaksanaan itu adalah sesuatu yang baik.

Justeru, tindakan awal bukan terus melaksanakan Islam, tetapi hendaklah diberi kefahaman secara mendalam terlebih dahulu, barulah perlaksanaan itu akan mendapat kekuatan dari sokongan rakyat.

Pepatah arab ada menyebut;

الناس أعداء ما جهل

Maksudnya;
”Manusia itu adalah musuh kepada benda yang ia tidak ketahui”

Dilema inilah yang telah dihadapi oleh Taliban di kala memerintah afghanistan dahulu. Diharapkan, dilema yang sama tidak menimpa kita dalam PRU akan datang.

Justeru, belajarlah dari politik Tok Guru Nik Abdul Aziz yang memerintah kelantan sejak 1990. ini kerana, konsep pemerintahan beliau boleh dikatakan sama seperti pemerintahan Omar Abdul Aziz. Beliau adalah Omar abdul Aziz Malaysia.

Sekian

Wallahu ’Alam.

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 Julai 2009 * 10:58 pagi





[1] Sunan At-Tarmizi : 2751.
[2] Al-Muwafaqat : 2/148.

Tiada ulasan: