Selasa, 7 Julai 2009

PENGAWASAN ALLAH AMAT HEBAT

Omar bin Al-Khattab, lambang ketaqwaan, keberanian dan kebijaksanaan

PENGAWASAN ALLAH AMAT HEBAT

Dikisahkan bahawa suatu hari Omar bin Al-Khattab bertemu seorang pemuda yang bekerja sebagai pengembala kambing. Melihat pemuda tersebut, Omar cuba mahu menguji sejauh mana kejujuran pemuda tersebut.

“wahai anak muda, aku ingin membeli seekor kambing yang kamu gembalakan itu” soal Omar.

“Kambing-kambing ini bukan milikku. Ia adalah milik tuanku” jawab pemuda itu telus.

”Aku sudah tahu bahawa semua kambing-kambing ini adalah kepunyaan tuanmu. Pun begitu, apa salahnya kalau kamu jualkan salah seorang dari semua kambing-kambing itu. lalu, apabila tuanmu bertanya, jawablah kepadanya bahawa kambing itu telah dimakan serigala” omar memprovokasi.

Pengembala itu melihat muka Omar. Kelihatan kerutan dahinya menandakan dia kepelikan dengan kata-kata omar itu. dalam beberapa saat kemudiannya, mulutnya terpancul, ”Allahu Akbar. Jika demikian, di manakah Allah?”

Mendengar persoalan dari pemuda itu, Omar tersentap. tidak disedari, air matanya mengalir dan terus keluar dari mulutnya kalimah ”di manakah Allah?” berkali-kali.

”benar, di manakah Allah?” itulah ucapannya sebelum dia berpisah dengan pemuda tersebut.

Begitujuga, Omar bin Al-Khattab di waktu malam agak susah untuk melelapkan matanya disebabkan kebimbangan dengan keadaan rakyatnya, apakah wujud di kalangan mereka, orang yang kelaparan, kesusahan, menghadapi sebarang masalah hidup dan sebagainya.

Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan Omar bin Al-Khattab akan berjalan waktu malam; memerhatikan keadaan rakyatnya.

Tiba di satu rumah, Omar bin Al-Khattab terdengar satu perbualan antara seorang ibu tunggal dengan seorang gadis yang merupakan anak perempuan kepada ibu tunggal tersebut.

”anakku, campurkan sedikit air ke dalam susu” kata ibu tunggal itu.

Dengan suruhan ibu itu, Omar pun memahami bahawa ibu tunggal itu adalah seorang penjual susu yang mahu melakukan penipuan dengan menambah air ke dalam susu, lantaran susu dilihat seperti banyak.

”wahai ibu, tidakkah engkau tahu bahawa Amir Al-Mukminin telah mengeluarkan satu arahan rasmi, melarang kita mencampurkan air ke dalam susu?” balas anak gadisnya itu.

Jawapan yang diberikan oleh anak gadis itu, menyebabkan menarik minat Omar untuk mengikuti perbualan tersebut. Omar tidak menyangka, bahawa anak gadis itu akan menjawab sedemikian rupa.

”alaaa... Omar bukan tahu pun. Dia tidak melihat pun kalau kita campur air dalam susu ini” jawab ibu itu dengan nada meremehkan.

”benar ibu. Walaupun Omar tidak melihat kita, tetapi tuhan kepada Omar itu maha melihat apa yang kita lakukan” jawab anak gadisnya ringkas, tetapi mengandungi hikmat yang terlalu terkesan kepada hati sesiapa yang mendengarnya.

Omar amat terkesan dengan jawapan anak gadis itu, menyebabkan Omar pun terus pulang.

Apabila selesai menunaikan solat subuh, Omar bin Al-Khattab memanggil semua anak-anak lelakinya dan berkata, ”wahai anak-anakku, apakah dari kalian yang mahu berkahwin?”

Semua anak-anak omar tidak bersuara. Mereka diam seribu bahasa. Mungkin kerana malu.

”Di perbatasan negeri, terdapat sebuah rumah yang dalamnya ada seorang ibu penjual susu bersama dengan anak gadisnya. Anak gadisnya itu, seorang perempuan yang solehah. Sesiapa dari kalangan kalian yang mahu menikahinya, pergilah pinang. Demi Allah, anak gadis itu tidak boleh keluar dari keluarga Omar. Jika seorang pun kalian tidak mahu menikahinya, Omar sendiri akan menikahi anak gadis itu” jawab omar tegas.

Anak-anak Omar itu terdiam, dan melihat sesama mereka. Melihat ketegasan bapa mereka sedemikian, mereka memahami bahawa anak gadis tersebut pasti seorang anak gadis yang baik.

Makanya, ’Asim yang merupakan salah seorang anak Omar bin Al-Khattab telah bangun dan berkata, ”wahai bapaku, aku bersedia untuk menikahi anak gadis tersebut”.

Maka menikahilah anak gadis kepada perempuan yang menjual susu dengan anak khalifah yang agung di kala itu. hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak yang bernama Layla, yang kemudiannya layla itu berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Abdul Aziz. Hubungan perkahwinan antara layla dan abdul aziz itu, lahirnya seorang tokoh politik Islam yang terkenal dengan kewarakan dan ketaqwaannya kepada Allah, iaitu Omar bin Abdul Aziz.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Kota Damansara
8 julai 2009 * 12:11 tengahari

Tiada ulasan: