Sabtu, 11 Julai 2009

PERGI TAK KEMBALI (6) : TALQINKAN ORANG NAZAK


TALQINKAN ORANG NAZAK

Orang yang sedang nazak dengan kematian sebenarnya sedang berhadapan dengan pelbagai dugaan dan ujian. Ketika itu, syaitan sentiasa menganggu perasaan dan emosinya. Syaitan datang kepadanya dengan melakukan sebarang tindakan agar hatinya lalai dari mengingati Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

احضروا موتاكم ولقنوهم لا إله إلا الله وبشروهم بالجنة فإن الحليم من الرجال والنساء يتحيرون عند ذلك المصرع وإن الشيطان لأقرب ما يكون عند ذلك المصرع والذي نفسي بيده لمعاينة ملك الموت أشد من ألف ضربة بالسيف والذي نفسي بيده لا تخرج نفس عبد من الدنيا حتى يألم كل عرق منه على حياله

Maksudnya;
“Ziarahilah orang yang sedang nazak kematian. Ajarkan kalimah tauhid kepadanya. Berilah khabar gembira kepadanya dengan syurga. Ini kerana, orang yang malu dari kalangan lelaki dan perempuan, pasti akan merasa hairan ketika berada dalam pertembungan itu. Sesungguhnya syaitan terlalu hampir ketika dia berada dalam pertembungan tersebut. Demi nyawaku di tangan-Nya, melihat malaikat maut adalah bersangatan hebat berbanding dicincang dengan pedang sebanyak seribu kali. Demi nyawaku berada di tangan-Nya, nyawa seseorang hamba itu tidak akan keluar daripada dunia hinggalah semua anggota badannya akan merasa pedih kesakitan
[1]

Jika diperhatikan kepada hadis ini, kita akan dapati bahawa Nabi SAW mengakui bahawa di saat-saat hampir dengan kematian, bagaimana syaitan datang menggangu. Disamping itu juga, Nabi SAW menyatakan bahawa betapa hebatnya Malaikat maut yang datang untuk mencabut nyawa manusia, sehingga sampai satu tahap perasaan seperti dicincang dengan pedang sebanyak seribu kali lantara melihat wajah dan rupa sebenar malaikat maut.

Bercampur dengan perasaan takut itu, disertai pula dengan rasa sakit untuk menghadapi kematian dengan rasa pedih sakit itu menghantui semua anggota badan.

Melihat kepada keadaan ini, tidak hairanlah Nabi SAW menganjurkan agar sahabat handai, kaum kerabat dan sesiapa sahaja yang rapat dengan orang yang sedang nazak kematian itu mengajar kalimah tauhid, iaitu kalimah “la ilaha illa Allah”. Mengajar kalimah tauhid kepada orang yang sedang nazak kematian disebut sebagai talqin.

Sesunggunya mengucap kalimah tauhid di saat kematian merupakan punca utama untuk memastikan seseorang hamba itu diletakkan oleh Allah SWT ke dalam syurga.

Sabda Nabi SAW;

إذا احتضر الميت فلقنوه لا إله إلا الله ، فإنه ما من عبد يختم له بها عند موته إلا كانت زاده إلى الجنة

Maksudnya;
“Apabila seseorang itu sedang nazak dengan kematian, maka hendaklah kamu ajarkan kepadanya la ilaha illa Allah. ini kerana, mana-mana hamba yang mengakhiri dengannya (kalimah tauhid) ketika kematiannya, melainkan Allah akan memberi bekalannya ke syurga
[2]

SEKALI SAHAJA

Kepada orang yang mengajar kalimah tauhid, atau orang yang mentalqinkan orang yang nazak itu, hendaklah masa mengajar, dipastikan orang yang nazak tersebut menyebut kalimah tauhid, waimma sebanyak sekali sahaja. Apabila dia sudah melakukannya, maka itu sudah memadai.

Para ahli ilmu, melarang diulang-ulangkan talqin itu berkali-kali. Bahkan, Abdullah bin Mubarak ada menyebut, ”ajarkan orang yang nazak kematian itu kalimah tauhid, dan apabila dia sudah menyebut, maka itu sudah memadai
[3]

Abdullah bin Mubarrak menambah lagi dengan katanya, ”jangan kamu ulangi mentalqinkan orang yang nazak kematian, melainkan dia menyebut perkataan asing selepas menyebut kalimah tauhid. Ini kerana, tujuan talqinkan orang yang nazak kematian adalah, agar hatinya tidak pernah terlalai dari mengingati Allah SWT”

”Juga, tidak diambil kira kalimah tauhid itu dengan semata-mata sebutan lidah sahaja. Yang paling penting bagi orang yang nazak itu adalah, hatinya sentiasa mengingati Allah SWT”
Abdullah bin Mubarrak mengakhiri ulasannya seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Qurubi dalam kitab At-Tazkirah.

Nyata dalam ulasan ini, segala sengsara kematian merupakan perkara yang amat dahsyat. Kesengsaraan itu bukan sekadar berlaku saat berada dalam kubur, ataupun setelah berada di alam barzakh, malah kesengsaraan itu sudah berlaku saat maut sedang berkunjung tiba.

Justeru, sebagai muslim yang bersaudara, kesukaran dan gangguan yang dihadapi oleh sahabat kita yang sedang nazak, hendaklah tidak diabaikan, bahkan hendaklah kita bersama-sama hadir untuk memberikan khidmat terakhir yang mampu menyelamatkannya dari kepanasan api neraka.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 julai 2009 * 2:34 petang.



[1] As-Salsilah Ad-Daifah : 1448.
[2] Al-Muhtadhirin : 5.
[3] At-Tazkirah : 35.

Tiada ulasan: