Isnin, 13 Julai 2009

PERGI TAK KEMBALI (7) : JANGAN ADA KALAM LALAI DI SAMPING JENAZAH


JANGAN ADA KALAM LALAI DI SAMPING JENAZAH

Bercakap dengan perkataan yang melalaikan merupakan perkara yang tidak elok. Justeru, perkataan yang bisa melahirkan perasaan mengingati Allah perlu dijadikan bahan harian.

Sabda nabi SAW;

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya;
”Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maha hendaklah dia bercakap perkara yang baik, ataupun dia diam dari bercakap
[1]

Jika kita renung kepada hadis ini, dilihat Nabi SAW sengaja menghubungkan antara beriman dengan Allah dan hari akhirat dengan bercakap dengan kebaikan ataupun senyap. Menghubungkan ini, bukan bermakna mereka yang bercakap perkara yang lalai itu sudah menjadi kafir, tetapi ia mengandungi maksud kesempurnaan iman bagi mereka yang diam dari berkata perkara yang melalaikan.

Berkata-kata merupakan satu perbuatan yang tidak sekadar melibatkan seorang diri, malah setiap kata-kata yang diungkapkan pasti melibatkan kepada manusia lain. Apabila sesuatu perkataan yang diungkapkan itu bisa melahirkan kelalaian dari mengingati Allah, sudah pasti kelalaian itu bukan sekadar pada diri orang yang berkata, malah akan tempias kepada orang yang tidak berkata pun alias orang yang mendengar.

Makanya, keadaan ini akan melambangkan satu gambaran bahawa kemudharatan berkata-kata perkara yang melalaikan ini amat besar. Sedangkan islam adalah agama yang amat menyerang perkara yang bisa melahirkan kemudharatan.

Apabila difahami sedemikian, tidak hairanlah sengaja Nabi SAW mengkaitkan antara beriman dengan berkata-kata perkara yang memberi maksud kebaikan, ataupun diam dari berkata-kata jika bisa melahirkan keburukan atau kelalaian.

BERCAKAP DEPAN JENAZAH

Apabila bercakap di khalayak umum pun sudah dilarang dari berbicara tentang perkara yang melalaikan, maka terlebihlah terlarang berbicara perkara yang melalaikan dihadapan jenazah.

Larangan ini berasaskan kepada Sabda Nabi SAW yang berbunyi;

إِذَا حَضَرْتُمْ الْمَرِيضَ أَوْ الْمَيِّتَ فَقُولُوا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

Maksudnya;
”Apabila kamu menghadiri orang yang sedang sakit atau mayat, maka hendaklah kamu bercakap perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan terhadap semua perkara yang kamu cakap
[2]

Kenapa Nabi SAW mengemukakan larangan ini??

Orang yang sakit adalah manusia yang diberikan isyarat dari Allah agar sentiasa mengingati Allah. Ini kerana, sakit merupakan salah satu petanda hampir kepada kematian.

Adapun kematian, ia bermaksud beralih dari sesuatu alam kepada alam yang lain. Apabila mati seseorang, bermakna seseorang itu telah meninggalkan alam dunia, dan sedang menuju kepada alam ghaibiyyat. Alam dunia adalah alam disuruh manusia melakukan amal ibadat. Adapun alam selepas alam dunia pula adalah alam pembalasan.

Kematian pula merupakan saat terakhir manusia dibenarkan melakukan ibadat. Ibadat yang dilakukan pula, sama ada dilakukan dengan kekuatan diri sendiri, ataupun dengan bantuan orang lain.

Justeru, disaat orang yang sedang sakit, terutama sakit membawa kepada kematian, tidak digalakkan kepada orang hadir menziarahi bercakap sesuatu perkara yang melalaikan, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kepada dosa. bahkan, digalakkan sangat, orang yang hadir itu bercakap dengan perkara-perkara ketaatan, agar orang yang sakit itu juga bisa menumpang pahala disebalik percakapan yang baik.

Adapun ketika menghadiri jenazah pula, tidak dibenarkan sama sekali berbicara perkara yang tidak mendatangkan faedah. Ini kerana, orang yang baru meninggal dunia adalah orang yang sedang mengharapkan pertolongan dari manusia hidup agar mendoakannya, terutama dari anak-anak yang soleh.

Jika kehadiran manusia yang suka berbicara perkara yang melalaikan kepada jenazah, sudah pasti mereka tidak akan mendoakan kebaikan untuk jenazah tersebut.

Ekoran itulah, tidak hairanlah kita akan dapati Imam Al-Qurtubi ada menyebut, ”ulama-ulama kami mencadangkan, agar kehadiran kepada jenazah adalah orang-orang yang soleh dan ahli-ahli kebaikan. Ini kerana, bicara orang-orang yang soleh dan ahli kebaikan ini dipenuhi dengan peringatan dan tazkirah. Bahkan, mulut mereka sering diisi dengan zikir dan doa. Apabila mereka bertindak sedemikian, sedangkan dikala itu malaikat sedang mengaminkan doa, sudah pasti sedikit sebanyak ia memberi faedah kepada jenazah tersebut
[3]

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Julai 2009 * 12:00 pagi



[1] Muwatta’ : 1454.
[2] Sahih Muslim : 1527.
[3] At-tazkirah : 37.

Tiada ulasan: