Khamis, 16 Julai 2009

PERGI TAK KEMBALI (9) : MATA IKUT RUH KELUAR


MATA IKUT RUH KELUAR

Mati adalah sesuatu yang pasti. Mati bukan perkara kecil, malah ia dinamakan sebagai kiamat kecil. Mati bermaksud, ruh keluar dari jasad, maka tinggallah jasad yang kaku, tidak bergerak lagi.

Ketika keluarnya ruh dari jasad, kesakitannya teramat sangat. Kesakitan ruh keluar dari jasad, diumpamakan seperti kayu yang berduri ditarik dari kapas yang basah. Betapa susahnya kayu berduri di tarik dalam kapas yang basah, begitulah susahnya ruh yang keluar dari jasad.

Apabila ruh itu sangat susah hendak keluar dari jasad, sudah pasti ketika ruh ditarik keluar oleh malaikat maut, mata manusia itu akan sama-sama mengikut perjalanan keluar ruh. Ekoran itulah, kita akan dapati kebiasaan orang yang meninggal dunia, mata mereka akan terbuka.

Perkara ini, diakui sendiri oleh wahyu menerusi lidah nabi SAW yang bersabda;

إِذَا حَضَرْتُمْ مَوْتَاكُمْ فَأَغْمِضُوا الْبَصَرَ فَإِنَّ الْبَصَرَ يَتْبَعُ الرُّوحَ

Maksudnya;
”apabila kamu menghadiri kematian seseorang kamu, maka pejamkanlah mata si mati, kerana matanya mengikuti ruhnya
[1]

Apabila kita membaca hadis ini, sedikit sebanyak kita dapat bayangkan betapa susahnya ruh mahu berpisah dari jasad. Kesusahan dizahirkan oleh Allah dihadapan para manusia yang masih hidup dengan diperlihatkan mata si mati yang terbuka sejurus kematian.

Kesusahan ruh keluar dari jasad ini, tidak sekadar berlaku kepada orang-orang yang jahat sahaja, malah ia berlaku kepada semua manusia, termasuk manusia yang baik.

Cuba bayangkan, jika manusia itu jahat, dengan melazimkan diri dengan maksiat kepada Allah SWT, lalu dia mati dalam keadaan sedang melakukan maksiat, sudah pasti dia ditimpa kesakitan yang berganda. Saat kematian dia berhadapan dengan kesakitan. Saat di alam barzakh nanti pun, dia ditimpa kerungsingan hidup yang tidak berkesudahan.

Justeru, tidak hairanlah pada mereka yang meletakkan keyakinan terhadap Allah dan Rasul-Nya akan bercita-cita mahu mati syahid, mati dalam berperang untuk menaikkan kalimah Allah yang paling tinggi. Ini kerana, mati syahid adalah mati yang diberikan nikmat oleh Allah SWT kepada sesiapa yang Dia mahu. ia adalah mati terpilih, yang tidak ditimpakan sebarang sakit yang kuat, malah ia merupakan mati yang dikehendaki orang yang syahid itu agar dia dimatikan berkali-kali.

Sabda Nabi SAW;

مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ يُحِبُّ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى الدُّنْيَا وَأَنَّ لَهُ مَا عَلَى الْأَرْضِ مِنْ شَيْءٍ غَيْرُ الشَّهِيدِ فَإِنَّهُ يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ فَيُقْتَلَ عَشْرَ مَرَّاتٍ لِمَا يَرَى مِنْ الْكَرَامَةِ

Maksudnya;
”tidak seorang pun yang masuk syurga, bahawa dia mahu kembali ke dunia. Baginya mempunyai apa-apa pun melainkan syahid. Ini kerana, dia berkehendak kembali ke dunia lalu dibunuh sebanyak 10 kali disebabkan melihat karamah (kemuliaan)
[2]

Jika dilihat kepada mati selain syahid, manusia yang mati terasa perit dengan kematian. Adapun mati syahid, keperitan dengan kematian tidak berlaku, bahkan yang wujudnya adalah keinginan dimatikan berkali-kali, lantaran keenakkan mati tersebut.

Itu bagi kematian yang disifatkan sebagai syahid, tetapi keadaannya amat berbeda dengan kematian biasa. Kematian biasa, dihadapi dengan kesakitan yang amat sangat sehingga sampai satu tahap, apabila mereka mati, mata mereka akan terbuka lantaran mengikut ruh keluar dari jasad.

Dalam pesanan Nabi SAW, apabila didapati seseorang yang mati itu matanya terbuka, maka hendaklah manusia yang hidup itu menutup matanya tersebut.

Semasa menutupkan mata si mati tersebut, digalakkan semasa menutup itu membaca beberapa doa. Antara lain disebut oleh seorang ulama salaf, Bakr bin Abdillah Al-Muzani dengan katanya, ”apabila kamu mahu menutupkan mata si mati, maka hendaklah kamu membaca;

بسم الله و علي ملة رسول الله (ص), اللهم صل علي محمد و على اله وصحبه أجمعين

Maksudnya;
“Dengan Nama Allah, dan terhadap Rasulullah SAW. Ya Allah, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad SAW, juga terhadap ahli kelurga dan sahabat baginda seluruhnya
[3]

”Cara menutupkan mata mayat itu pula, hendaklah ditutup ketika mayat itu terbukti telah meninggal dunia” jelas Imam Abu Daud.

Nyata, kematian bukanlah perkara remeh, malah ia adalah sesuatu yang berat dan menyakitkan. Justeru, selamatkan diri kita dari kesakitan itu dengan amalan soleh dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 Julai 2009 * 11:03 pagi





[1] Sunan Ibni majah : 1445.
[2] Sahih Muslim : 3489.
[3] At-Tazkirah : 38.

Tiada ulasan: