Sabtu, 22 Ogos 2009

AL-KISAH (13) : “TOLONG BERI NASIHAT KEPADAKU”

“TOLONG BERI NASIHAT KEPADAKU”

Ketika Omar bin Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau telah melantik beberapa orang yang bijaksana dan bertaqwa agar menjadi penasihat peribadinya.

Antara mereka adalah, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab Al-Qurdzi dan Roja’ bin Haywah. Roja’ bin Haywah merupakan penasihat utama khalifah sebelum Omar, iaitu Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Suatu hari, Omar telah memanggil kesemua penasihat-penasihat peribadinya itu untuk menghadiri satu pertemuan. Dalam pertemuan tersebut, Omar bin Abdul Aziz minta supaya beliau diberikan nasihat yang bernas, untuk memotivasikan dirinya agar semakin bersemangat untuk menunaikan amanah Allah terhadap rakyatnya.

“Apabila kamu inginkan sejahtera dari azab Allah, maka hendaklah kamu berpuasa dari keseronokkan dunia, dan berbukalah pada saat kematianmu” Salim bin Abdullah memberi nasihat.

Berkerut dahi omar mendengar nasihat Salim, tetapi kemudiannya dia tersenyum kerana memahami maksud salim dari nasihatnya itu.

Kemudiannya, Omar memandang wajah Muhammad bin Ka’ab, menandakan omar mahu Muhammad bin Ka’ab pula berkata sesuatu untuk memberikan nasihat kepadanya.

“Apabila kamu inginkan sejahtera dari azab Allah, jadikan orang-orang tua muslim sebagai bapamu, jadikan anak-anak muda muslim sebagai saudaramu dan jadikan anak-anak kecil muslim sebagai anakmu. Justeru, muliakanlah bapamu, hormatilah saudaramu dan lemah lembutlah terhadap anak-anakmu” ujar Muhammad bin Ka’ab

Omar mengangguk mendengar nasihat Salim itu. Nasihatnya penuh dengan seribu satu hikmah dan falsafah.

Wajah Roja’ bin Haywah pula dilihat oleh Omar, ”apakah tuan tidak mempunyai sebarang nasihat yang mahu diberikan kepadaku?” soal Omar.

“ada wahai Omar” jawab Roja’ ringkas.

”silakan tuan, aku sudah tidak sabar mahu mendengar nasihat berhikmah dari kamu” omar berkata sambil tangan kanannya memegang tangan kirinya bersilangan jari.

Sambil tersenyum melihat watak Omar, Roja’ berkata, ”apabila kamu inginkan kesejahteraan dari azab Allah, maka cintailah untuk kaum muslimin seperti kamu mencintai dirimu sendiri, dan bencilah untuk mereka seperti kamu bencikan untuk dirimu sendiri”

Omar berbangga dengan nasihat-nasihat yang mengandungi hikmat yang telah diberikan. Kemudiannya, mereka bersurai.

NASIHAT AMALAN ORANG-ORANG SOLEH

Orang-orang yang soleh, mereka amat suka kepada nasihat menasihati. mereka suka memberi nasihat, juga mereka suka dinasihati

Sabda Nabi SAW;

الدِّينُ النَّصِيحَةُ

Maksudnya;
”agama adalah nasihat”

Sahabat bertanya, ”kepada siapa nasihat itu?”

Nabi SAW menjawab;

لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya;
”untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, para imam muslimin dan seluruhnya
[1]

Dari hadis yang dikemukakan ini, kita dapat melihat bahawa nasihat menasihati merupakan perkara penting bagi orang yang beragama. Ini kerana, orang yang beragama adalah orang suka memberi nasihat, bahkan amat suka diberikan nasihat.

Bukan dari kalangan orang yang beragama, jika dia hanya suka memberi nasihat. Begitujuga, jika dia hanya suka diberi nasihat.

Orang yang beragama, apabila dia melihat kelemahan dari sudut amalan dan penghayatan Islam dari kalangan teman-teman, pasti dia akan memberi nasihat agar temannya itu hidup bersesuaian dengan Islam.

Begitujuga, jika dia ditegur oleh teman-teman, dia tidak akan mudah melenting dan marah dengan teguran yang diberi, malah dia akan mengucapkan penghargaan terhadap mereka yang memberi teguran kepadanya.

Keadaan inilah yang wujud pada diri Omar bin Abdul Aziz yang menjadi Khalifah islam. beliau sering meminta nasihat dari golongan cerdik pandai, juga dari golongan yang bertaqwa kepada Allah. Sebarang teguran yang diberikan kepadanya, tidak menyebabkan dia menolak, malah akan diterimanya dengan hati yang terbuka.

SUKA DENGAN NASIHAT DAN KRITIKAN

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat disifatkan sebagai seorang tokoh politik Malaysia yang menjadikan Islam sebagai asas pemerintahannya dengan tidak mengambilnya secara retorik, seperti banyak tokoh-tokoh politik yang lain.

Sebaliknya, Tuan Guru adalah seorang yang boleh disifatkan sebagai tokoh politik Islam yang realistik dan praktikal dalam usaha hendak menjadikan Islam sebagai agama yang berdaulat.

Jika kita pergi ke kelantan dibawah kepimpinan Tuan Guru, kita akan dapati bahawa Kelantanlah satu-satunya negeri yang dapat dilihat pengamalan islam sudah menjadi satu budaya amalan rakyatnya dari banyak sudut. Bermula dari sudut pemakaian individu-individu rakyat, hinggakan kepada ciri pembangunan.

Justeru, tidak hairanlah Tuan Guru terlalu berani untuk berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional dalam membuktikan keberkesanan pemerintahan di Kelantan yang berasaskan kepada Islam.

”tolong sebut kepada saya, di manakah yang tidak sesuai dengan Islam selama saya memimpin kelantan?” ayat yang sering kedengaran ketika Tuan Guru mencabar kerajaan Pusat pimpinan UMNO/Barisan Nasional yang memandang sinis terhadap usaha Tuan Guru yang mahu menjadikan islam sebagai dasar pemerintahan Kelantan.

Pun begitu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah angkuh dengan kejayaan perlaksanaan Islam di Kelantan. Sebaliknya, beliau sering membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengkritik dan memberi nasihat terhadap pemerintahan beliau.

Sebarang cadangan, kritikan dan nasihat, pasti akan didengari oleh beliau dan diperhalusi. Sekiranya di sana wujud kebaikan, Tuan guru tidak akan berlengah-lengah lagi untuk dijadikan sebagai dasar dan perlaksanaan di peringkat negeri.

Pernah suatu ketika, seorang lelaki berbangsa Inggeris yang bercuti di kelantan selama 10 minggu telah menghantar surat kepada Tuan Guru menyatakan kritikan beliau terhadap pemerintahan Tuan Guru di Kelantan
[2].

Kritikan yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu disuruh oleh Tuan Guru agar diterjemah mengikut matannya yang asal, kerana tidak mahu kritikan yang sebenar telah diolah sehingga melahirkan maksud seperti tidak mengkritik lagi.

Pada Tuan Guru, kritikan bukan sesuatu yang gimik, malah ia adalah sesuatu yang perlu dipandang serius. Tuan Guru tidak menagihkan pujian, tetapi lebih berminat menjadi ’pendengar yang baik’ demi menyemak dan mengikuti penilaian orang luar terhadap prestasi dan hala tuju pemerintahannya.

Ekoran itulah, tidak hairan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering memesan kepada rakyatnya, malah kepada exco-exco dan pegawai-pegawainya agar meluahkan apa yang dirasakan sesuai mengenai kelantan di bawah kepimpinan beliau. Pada Tuan Guru, semua orang berhak membuat penilaian, waimma tidak semestinya pandangan dan penilaian itu benar.

Tuan Guru juga amat suka mengadakan perbincangan, juga dialog dengan siapa sahaja demi melihat kejayaan perlaksanaan Islam dibawah kepimpinan beliau.

Ini dapat dibuktikan dengan tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mahu menghadkan penjualan arak dan menghapuskan judi di Kelantan di awal pemerintahan dahulu.

Sebelum sesuatu dasar kerajaan hendak dikuatkuasakan, Tuan Guru pasti akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat cina, Siam dan India. Pertemuan itu dengan tujuan untuk diadakan dialog sesama mereka, dan meminta pandangan mereka terhadap sesuatu keputusan yang hendak dibuat
[3].

Inilah contoh tauladan pemerintahan yang selayaknya dijadikan panduan dalam usaha hendak melaksanakan perintah Allah SWT di atas muka bumi Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B) Sg Buloh
23 ogos 2009 * 1:09 petang


[1] Sahih Muslim : 82.
[2] Kemilau Peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz : 91.
[3] Peribadi Tuan Guru : 194.

2 ulasan:

Al Enzzahti Ibrahim/ A337/ 6th college UM berkata...

TAKBIR!!..

"tolong sebut kepada saya, di manakah yang tidak sesuai dengan Islam selama saya memimpin Malaysia?” tiba-tiba terbayang kalau lah PM Najib yang pada kad pengenalannya tertulis jugak perkataan ISLAM tu, buat ayat gini jugak..uhuk2.. :p

*ustaz, bile next usrah?..

Al-Bakistani berkata...

kalau najib cakap macam tu, banyak lah kita nak ulas...

sebab, najib dia buat tulis kalimah islam kat kad pengenalan, tapi dalam masa yang sama dia tidak kempen orang yang tertulis Islam kat kad pengenalan itu agar sama-sama dokong usaha laksanakan islam dalam negara.

masakan rakyat, dia sendiri pun tidak berusaha melaksanakan islam dalam negara...

sekian

Al-Bakistani

p/s : usrah akan datang, mungkin lepas raya kot...