Selasa, 11 Ogos 2009

AL-KISAH (3) : OMAR ABDUL AZIZ, SAID MUSAYYAB DAN KHALIFAH WALID


OMAR ABDUL AZIZ, SAID MUSAYYAB DAN KHALIFAH WALID

Semua ahli hilli wa al-aqdi telah bersetuju melantik Walid bin Abdul Malik sebagai khalifah. Dengan perlantikan itu, Khalifah Walid telah melantik Omar Abdul Aziz sebagai Gabenor di kota Madinah. ketika itu, Omar telah menjalinkan hubungan persahabatan yang terlalu akrab dengan salah seorang alim tabiin yang agak terkenal, iaitu Said Musayyab.

Pada suatu hari, Khalifah Walid telah datang ke Makkah dan Madinah dengan tujuan menunaikan haji. Ketika Khalifah berada dalam masjid Nabawi bersama-sama dengan pengiring-pengiringnya, semua pengunjung masjid keluar melainkan Said Musayyab yang dijuluki sebagai “merpati masjid” itu tidak keluar, malah terus duduk ditempat duduknya dalam keadaan matanya sedang memerhatikan lantai masjid seperti sedang tafakkur, tanpa menghiraukan kedatangan Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Tindakan Said Musayyab itu diperhatikan oleh Khalifah Walid, menyebabkan Omar bin Abdul Aziz merasa agak kurang selesa, kerana bimbang Khalifah akan melakukan sesuatu perkara yang tidak diingini terhadap Said.

Melihat tindakan Said Musayyab itu, menyebabkan Khalifah menuju kearah beliau. Sesampai kepada Said, sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman, “Assalamualaikum wahai saudaraku” terungkap dari mulut Khalifah Walid.

“waalaikumsalam” jawab Said musayyab sambil melemparkan senyuman, sepertimana dia menjawab dan meleparkan senyuman kepada orang lain.

Setelah bersalaman dengan Said Musayyab, Khalifah Walid terus beredar dari situ.

Omar bin Abdul Aziz memerhatikan segala yang terjadi. Beliau merasa kagum dengan tindakan Said Musayyab yang dilihat tidak merasa kagum langsung dengan orang yang berjawatan besar seperti Khalifah Walid.

“Wahai Said, apapun yang kamu takuti, pasti Allah akan bersamamu. Demi Allah, sesungguhnya apa yang kamu lakukan tadi, sedikit sebanyak telah menyusahkan hati Khalifah Walid bin Abdul Malik” Omar bin Abdul Aziz memulakan perbicaraannya bersama dengan Said Musayyab dengan nada merasa kagum.

Dengan wajah yang tersenyum indah, Said menjawab, ”Wahai Omar, sesungguhnya aku menginginkan agar Khalifah memahami bahawa seluruh hamba yang wujud atas muka bumi ini adalah milik Allah. Tiada yang lebih berhak ditakuti melainkan Allah”

Jawapan yang tegas itu melahirkan kekaguman yang tidak terhingga di dalam hati Omar bin Abdul Aziz, menyebabkan beliau mengakhiri perbicaraan antara mereka dengan katanya, ”Maha suci Allah yang telah menyelamatkan Said bin Musayyab dari Walib bin Abdul malik”

KEGERUNAN HANYA KEPADA ALLAH

Kisah yang dinukilkan ini, dapat diperhatikan betapa tokoh ulama tabiin yang bernama Said bin Musayyab ini merupakan seorang yang amat kukuh hatinya dalam meletakkan kegerunan dan ketakutan kepada Allah SWT.

Ramai manusia kini, mereka meletakkan kegerunan dan ketakutan mereka kepada manusia, terutama terhadap orang yang mempunyai kuasa melebihi ketakutan mereka terhadap Allah SWT. Golongan yang bertindak sedemikian, kadangkala bukan dari kalangan orang yang lekeh, malah mereka yang telah mendapat jolokan ulama.

Ekoran dari itu, tidak hairanlah kita dapat melihat, bagaimana mereka sanggup mengubah hukum Allah SWT, semata-mata hendak menjaga hati orang-orang berkuasa tertentu. Lantaran itulah, tidak hairan mereka akan terhegeh-hegeh kita berjumpa dengan orang-orang berkuasa tertentu dan sebagainya.

Diceritakan bahawa ada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Ubbadah bin As-Somit merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang agak berani ketika berhadapan dengan golongan atasan.

Menurut kisahnya, Ubadah telah dihantar oleh Khalifah Omar bin Al-Khattab agar memerhatikan pemerintahan Muawiyyah yang ketika itu dilantik oleh Omar sebagai Gabenor Islam di Syam.

Memandangkan Muawiyyah agak kemewahan sedikit ketika menjadi gabenor di sana, menyebabkan Ubadah berasa agak kurang gembira dengan cara pemerintahan Muawiyyah.

Suatu hari, di kala umat Islam menunaikan solat jumaat di Syam. Ketika itu, di masjid tersebut dihadiri oleh Muawiyyah, juga Ubadah bin As-Somit. Khatib yang berkhutbah ketika itu telah memuji-muji Muawiyyah sehingga menyebabkan Ubbadah merasa berang.

Apabila Khatib tetap terus dengan tindakannya yang terlalu memuji-muji Muawiyyah, menyebabkan Ubadah naik di atas mimbar itu dengan membawa segenggam tanah, lalu menghamburkan tanah itu ke muka khatib tersebut.

Tindakan Ubadah itu menyebabkan Muawiyyah memarahi Ubadah. Melihat Muawiyyah yang sedang kemarahan, Ubadah terus turun dari mimbar dan menuju kearah Muawiyyah sambil berkata, ”Wahai Muawiyyah, sesungguhnya aku ingat pesanan Nabi SAW yang menyebut, lemparkan tanah terhadap orang yang suka mengampu”

Kejadian itu diperhatikan oleh seluruh jemaah yang ada, menyebabkan semuanya terkamam dengan apa yang diucapkan oleh Ubadah, termasuk Muawiyyah yang merupakan gabenor Syam ketika itu.

Perhatikan, betapa hebatnya kegerunan golongan salaf soleh terdahulu. Mereka meletakkan kegerunan mereka terhadap Allah SWT melebihi kegerunan mereka terhadap orang-orang yang berkuasa di zaman mereka.

Sekian

P/S ; dengar berita dari sumber-sumber tertentu, UMNO dah target nak rampas selangor pada 16 september tahun ini?? selalunya, sumber ini tepat. wallahu alam


Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
12 ogos 2009 * 12:03 tengahari









Tiada ulasan: