TIDAK PEDULIKAN NAFSU SANG PENGUASA
Sedang Khalifah Walid bin Abdul Malik berbincang bersama-sama dengan pembesar-pembesarnya, termasuk juga Omar bin Abdul Aziz. Tiba-tiba seorang pemuda yang berfahaman khawarij datang mengadap baginda Khalifah.
“apa yang kamu mahu katakan terhadap Abdul Malik, bapaku ketika beliau menjadi Khalifah dahulu?” Tanya Khalifah Walid kepada pemuda itu.
“Aku ingin nyatakan tentang bapamu berkenaan antara dua perkara” jawap pemuda itu.
Khalifah kehairanan, “apakah yang dimaksudkan dengan antara dua perkara itu?” tanya khalifah sambil mengerutkan dahinya.
“pertama, taat kepada Allah dan Rasul-Nya” jawabnya, ”kedua, kemaksiatan kepada Allah Rasul-Nya” sambungnya lagi.
Jawapan itu, menyebabkan Khalifah bertambah tidak memahami tentang maksud yang dikehendakinya.
“apa maksud sebenar yang kamu mahu wahai anak muda” soal Khalifah Walid kepada pemuda Khawarij itu.
“Walaupun bapamu banyak melakukan ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, tetapi kemaksiatan yang dilakukan oleh bapamu melebih dari ketaatan yang dia lakukan terhadap tuhannya” jawab pemuda itu dengan wajah selamba.
Bagaikan kilat menyambar ke telinga khalifah Walid apabila mendengar jawapan pemuda itu, menyebabkan baginda amat marah dengan jawapan tersebut.
Baginda terus berdiri dan menoleh kepada Omar bin Abdul Aziz yang ketika itu berada dalam majlis Khalifah seraya berkata, “apa yang harus aku lakukan terhadap pemuda fasiq ini?” tanya baginda sambil merenung tajam kepada muka Omar.
Omar tidak menjawab, malah mengambil sikap diam dan menundukkan kepala sahaja.
Tindakan Omar itu, menyebabkan Khalifah Walid bertambah berang. Dengan suara yang tinggi, sekali lagi Khalifah bersuara, “kenapa kamu tidak berbicara wahai Omar?”
“maafkan saya Wahai Amir Al-Mukminin”. Jawab omar lembut,
“aku berharap agar kamu berkata sesuatu wahai Omar” Khalifah bersuara agak perlahan berbanding tadi.
Omar terus bersuara, “wahai khalifah, cercalah dia sepertimana dia mencerca bapamu. Pun begitu, jika kamu memberikan kemaafan kepadanya, pasti itu lebih hampir kepada taqwa” jawab omar, sambil dengan itu, Omar pun membaca firman Allah dari surah As-syura ayat 43 yang berbunyi;
وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Maksudnya;
“tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia”
(Surah As-Syura : 43)
Mendengar jawapan Omar, menyebabkan Khalifah semakin marah. kemarahan itu amat memuncak sehingga tidak dapat ditahankannya lagi.
Baginda Khalifah terus berpaling, tidak melihat wajah Omar, malah terus melihat wajah Khalid bin Rayyan yang merupakan orang yang dilantik sebagai pelaksana hukuman mati dalam Negara.
Mengikut kebiasaan, cara Khalifah memerhatikan Khalid bin Rayyan, memberikan maksud bahawa Khalifah terlalu marah, dan mengisyaratkan agar memancung. Justeru itulah, apabila Khalifah melihat Khalid, terus Khalid memegang erat pedangnya, seakan-akan sedang menunggu perintah dari Khalifah untuk memancungkan kepala Omar bin Abdul Aziz.
Khalifah tidak memberikan sebarang arahan kepada Khalid. Tetapi, disebabkan terlalu marah, dan mahu menahan kemarahannya itu, Khalifah terus berlalu pergi, pulang ke istana.
Semua kejadian itu diperhatikan oleh Omar bin Abdul Aziz. Setelah Khalifah Walid bin Abdul malik berlalu pergi, Omar bertanya kepada Khalid bin Rayyan, ”Wahai Khalid, apakah kamu akan melaksanakan perintah khalifah agar memancung kepalaku jika kamu di arah?”
”sudah pasti wahai Omar” jawab Khalid ringkas.
Sambil tersenyum, Omar menjawab, ”Wahai Khalid, jika kamu lakukan juga, sudah pasti aku mendapat kebaikan, dan kamu sebenarnya mendapat keburukan seperti Khalifah juga”
Ungkapan itu menyebabkan Khalid terdiam, malah menyebabkan dia menitiskan air mata dengan ungkapan yang merupakan nasihat dari Omar bin Abdul Aziz itu.
NAFSU TIDAK DIIKUT
Dari kisah ini, kita dapat melihat bagaimana keberanian dalam menyatakan pandangan, waimma memungkinkan dibunuh tidak menghalang Omar menyalahi dengan keputusan Khalifah. Tindakan ini amat terpuji, kerana sebarang pandangan yang hendak diberikan itu, sekali-kali tidak akan menyebelahi kezaliman.
Omar bin Abdul Aziz amat terkenal seorang yang amat mementingkan keadilan. Justeru, tidak hairanlah beliau disayangi oleh rakyatnya di kala menjadi Khalifah.
Sesuatu kezaliman, tidak sewajarnya di sokong. Tindakan sedemikian akan melahirkan kebencian Allah SWT.
Dalam Al-Quran, Allah menyatakan larangan melakukan kezaliman, malah cenderung kepada kezaliman tersebut.
Firman Allah;
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
Maksudnya;
”jangan kamu cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman, nanti kamu akan disambar oleh api neraka”
(surah Hud : 113)
Ekoran itulah, kita akan dapati bahawa pemerintahan yang adil itu terlaksana di zaman pemerintahan Omar bin Abdul Aziz, disebabkan beliau merupakan seorang yang mempunyai keberanian menyatakan keadilan sejak beliau belum menjadi khalifah, waimma memungkinkan beliau dipancung.
Sekian
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 Ogos 2009 * 2:13 pagi
Masya Allah! Ribuan tentera AS masuk Islam.. Ini kunci HAMAS!
-
*Gambar atas: Israel umum tarik balik ribuan tentera dari Gaza - Sinar
Harian. Gambar bawah: Pentagon mengesahkan ia melibatkan unit baharu dan
menempa...
13 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan