Rabu, 12 Ogos 2009

TIDUR SEBANTAL, MIMPI BERBEDA

Walaupun Fahri beragama islam, dan Maria beragama Kristian. dengan tindakan dan kelakuan Fahri, menyebabkan Maria memeluk islam (dari filem Ayat-ayat cinta). persoalannya, bagaimana pula antara PAS dan DAP??


TIDUR SEBANTAL, MIMPI BERBEDA

Antara suami dan isteri, tidak semestinya mereka mempunyai cita-cita dan kehendak yang sama. Tidak hairan, Ahmad Jais dalam lagunya yang bertajuk “budi setahun” ada menyebut, “tidur sebantal, mimpi tak sama”.

Walaupun wujud suami dan isteri yang “tidur sebantal, mempunyai mimpi yang berbeda”, hakikatnya kedua-duanya kenal pasangan masing-masing, melebihi daripada orang lain mengenali mereka.

Pepatah melayu sering menyebut, “tak kenal maka tak cinta”. Jika difahami secara “mafhum mukhalafahnya”, atau difahami secara kontradiknya pula, “kenal maka lebih menyintai”. Itu tafsiran dari pepatah melayu, sekalipun ia tidak berapa tepat. Dalam ilmu filosofi, pepatah ini merupakan ”falasi dalam berfikir”. Ini kerana, di sana wujud keadaan ”makin kenal, makin meluat dan merasa benci”.

Apabila dua insan yang sedang berada dalam alam percintaan, kehidupan hipokrit selalu berlaku. Lantaran itulah, banyak ”hakikat” sebenar tidak diketahui. Apabila perkahwinan telah berlangsung, maka segala hipokrit sudah terserlah, maka bermulalah kebencian yang kadangkala bisa melahirkan perceraian.

Dibimbangi keadaan ini berlaku, tidak hairanlah dalam Islam menekankan konsep tunang dengan wujudnya unsur ”risik merisik”, malah orang yang memberi maklumat tentang pengantin, adalah dilarang sama sekali hipokrit dan retorik ketika memberikan maklumat.

Pun begitu, terdapat di sana antara suami dan isteri yang berkahwin, makin dikenali pasangan masing-masing, makin bertambah kecintaan mereka.

Walaupun asal perkahwinannya berpunca ”awek” itu berwajah cun, dan ”balak” pula hansome, tetapi setelah perkahwinan berlaku, ternyata kedua-duanya, bukan sekadar mempunyai wajah yang cun dan hansome sahaja, malah mempunyai perangai dan tindakan yang cun dan hansome. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti kecintaan antara dua pasangan ini semakin hari semakin menghasilkan kebahagiaan.

Di sana, wujud juga sebilangan pengantin yang berkahwin atas dasar wajah yang cun dan hansome ini. tetapi, setelah perkahwinan berlaku, perangai dan akhlak sesama mereka tidak seperti wajah mereka. Lantaran itulah, berlakunya krisis rumah tangga dan kadang-kala berakhir dengan perceraian.

Bagi manusia jenis ini, jika bijak menggunakan strategi dan kaedah, perceraian tidak akan berlaku. Ekoran itulah, wujudnya dalam istilah rumah tangga yang disebut sebagai ”faham memahami”.

Contohnya, jika si isteri melakukan sesuatu perkara yang tidak disukai oleh suami, si suami terus menampar muka si isteri, atau terus bertindak menceraikan isteri, atau terus melaporkan kepada qadhi, atau menceritakan keburukan isteri itu kepada orang lain atau sebagainya, keadaan ini tidak mustahil, akan melahirkan perceraian.

Tetapi, jika si suami memikirkan strategi dan kaedah yang baik agar isteri akan berubah di masa akan datang dengan akhlak dan tindakan yang menyenangkan hati suami, sudah pasti rumah tangga yang dibina tidak akan melahirkan perceraian. Malah, bisa melahirkan kebahagiaan yang indah di masa akan datang.

Mungkin inilah yang difahami, “tidur sebantal, tapi mimpi berbeda”. Pun begitu, tidak mustahil, wujudnya tidur sebantal, tapi mimpi tidak berbeda, malah mempunyai mimpi yang sama.

Keadaan ini boleh berlaku, jika kedua-dua suami dan isteri sering bersama dalam semua perkara. Sering menimbulkan titik persamaan, dikala berlaku pertembungan. Di samping itu pula, suami tidak pernah jemu dan malas, malah sering memberi kefahaman kepada isteri secara berhikmah terhadap perbedaan yang berlaku. Jika ini dilakukan, tidak mustahil, isteri yang berbeda dengan suami, suatu masa nanti akan sekata dengan suaminya itu.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti melahirkan keluarga bahagia. Inilah yang disebut, “tidur sebantal, mimpi seirama”.

Yang pastinya, “tidur sebantal, mimpi berbeda” ini boleh melahirkan “tidur sebantal, mimpi seirama”. Perbedaan mimpi tidak menghalang untuk menjadikan mimpi seirama di masa akan datang. Persoalannya, bagaimana hendak melakukannya??

Apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin dengan seorang perempuan, lalu didapati isterinya itu mempunyai “mimpi” yang berbeda dengannya, maka si suami boleh berusaha dengan kebijaksanaan yang mampu untuk melahirkan mimpi mereka seirama.

Selalunya, perbedaan berlaku apabila wujud kefahaman yang berbeda antara dua golongan. Golongan yang pertama mendakwa mereka yang terbaik, begitujuga golongan kedua. jika setiap dari dua golongan itu pertahankan “terbaik” masing-masing, “mimpi seirama” yang hendak dibina mustahil akan berlaku.

Pun begitu, jika golongan pertama mendakwa mereka yang terbaik, lalu dilihat beberapa tindakan golongan kedua yang seakan-akan mencabar golongan pertama, tidak menyebabkan dia terus melenting, tetapi difikirkan strategi yang berkesan dalam menyampaikan kefahaman yang didakwa terbaik itu kepada golongan kedua, sudah pasti pertembungan tidak akan berlaku.

Jika benar kefahaman golongan pertama itu adalah terbaik, sepatutnya golongan pertama tidak perlu takut untuk memahamkan golongan kedua tentang kefahamannya. Jika takut juga, menunjukkan kefahaman golongan pertama yang didakwa terbaik itu mempunyai masalah. Jika tidak wujud masalah pun, mungkin golongan pertama itu tidak faham apa yang dia pertahankan tentang kefahamannya.

Golongan pertama tidak terus melenting, tetapi terus menyampaikan kefahaman mereka kepada golongan kedua. Apabila golongan kedua sudah memahaminya, tidak hairan golongan kedua akan mendokong juga kefahaman yang dibawa oleh golongan pertama. Inilah yang disebut, “tidur sebantal, tapi mimpi berbeda telah berjaya menjadikan mimpi seirama”.

walau apa pun keadaan yang terjadi, semuanya memerlukan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, ”tidur sebantal, tetap akan melahirkan mimpi berbeda”. Tetapi, dengan kebijaksanaan, ”mimpi berbeda akan berjaya menjadi seirama, walapun tidur dengan bantal berbeda”

Bagaimana pula antara PAS dan DAP?? Sampai bila hendak ”mimpi berbeda, walaupun sedang tidur sebantal”??

Terpulang kepada kebijaksanaan kita...

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 Ogos 2009 * 12:24 pagi

Tiada ulasan: