Rabu, 12 Ogos 2009

AL-KISAH (5) : PENASIHAT PENGUASA YANG BAIK


PENASIHAT PENGUASA YANG BAIK

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik yang merupakan bapa saudara Omar bin Abdul Aziz telah bertolak meninggalkan syam menuju ke Makkah untuk menunaikan haji. Omar Abdul Aziz pun turut sama dalam permusafiran ibadat tersebut.

Sesampai mereka di Makkah, Khalifah Sulaiman merasa kagum dengan kehadiran jemaah haji yang begitu ramai; sudah pasti kehadiran mereka untuk beribadat kepada Allah.

”Sungguh hebat hati-hati mereka dalam melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit, semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah dihadapan rumah-Nya, Kaabah” kata Khalifah Sulaiman memulakan perbicaraan.

Omar tidak berkata apa-apa pun, melainkan mendengar dan memerhatikan sahaja segala yang dicelotehkan oleh baginda Khalifah.

”Apakah kamu tidak melihat wahai Omar, betapa ramainya manusia yang hadir pada hari ini sehingga kita tidak mampu menghitung, melainkan Allah SWT sahaja mengetahui bilangannya. Malah, Allah jualah yang memberikan mereka rezeki” sambung Khalifah lagi.

Omar mengangguk kepala mendengar celoteh Khalifah pada kali ini.

Omar berkata, ”wahai Amir Al-Mukminin, ketahuilah, mereka ini adalah rakyat kamu, tetapi jangan kamu lupa, akhirat nanti mereka akan menjadi musuh kamu”

Khalifah Sulaiman tersentak dengan apa yang disebutkan oleh Omar bin Abdul Aziz itu. Tetapi, baginda tidak berkata-kata apa-apa pun, sebaliknya wajahnya tergambar seperti sedang berfikir.

”ya tuhan kami, jangan kamu uji kami sesuatu perkara yang kami tidak mampu hadapinya” ungkap Khalifah perlahan, tetapi didengari oleh Omar bin Abdul Aziz.

Selesai sahaja melakukan ibadat di Makkah, Khalifah Sulaiman bersama dengan pembantu-pembantu dan pengawal-pengawai beserta pengiring-pengiringnya menuju ke Madinah. Kehadiran Baginda khalifah di Madinah, menyebabkan ramai pembesar-pembesar Madinah datang berjumpa dengan Baginda Khalifah.

Mereka datang dengan membawa hadiah-hadiah yang banyak; yang hendak diberikan kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Hadiah-hadiah itu diterima oleh Baginda Khalifah. Pun begitu, baginda Khalifah merasa agak kurang selesa setelah menerima segala hadiah-hadiah yang diberikan oleh pembesar-pembesar Madinah itu.

”apa pandangan kamu wahai Omar tentang pemberian hadiah-hadiah ini?” tanya Khalifah Sulaiman kepada Omar bin Abdul Aziz.

Omar tersenyum mendengar soalan yang dikemukakan kepadanya. Ini kerana, beliau sedar, soalan itu menggambarkan betapa khalifah seorang yang mempunyai ciri ketaqwaan yang amat tinggi.

”Wahai Baginda Khalifah, saya berpandangan, pemberian hadiah kepada kamu itu merupakan petanda bahawa kamu mencukupkan lagi keadaan kamu yang sedia cukup. Tetapi, sedarkah kamu bahawa ada dari kalangan rakyat kamu, ada yang masing lagi berada dalam keadaan tidak mencukupi? Mereka berada dalam kefakiran” jawab omar panjang lebar.

Mendengar jawapan Omar bin Abdul Aziz, menyebabkan Khalifah Sulaiman menangis. Beliau tidak menyangka, jawapan sebegitu boleh terpancul keluar dari mulut anak saudaranya, Omar Abdul Aziz.

TIDAK MENGAMPU

Kebanyakkan penasihat penguasa tidak pernah mengingatkan seseorang penguasa tentang kemiskinan rakyat. Ini kerana, tindakan sebegitu akan melahirkan kesusahan dalam hati penguasa.

Sebaliknya, kebiasaan yang berlaku adalah, wujudnya penasihat-penasihat yang sering mengeluarkan ungkapan yang menyenangkan hati penguasa sahaja, waimma rakyat berada dalam kesusahan yang memeritkan.

Sebagai penasihat yang baik; penasihat yang tidak mahu penguasanya berada dalam kelalaian dalam menunaikan amanat Allah terhadap rakyatnya, sudah pasti dia akan berusaha sebaik yang mungkin agar penguasanya itu berada dalam berhati-hati, malah sering menunaikan amanah Allah itu, supaya tidak menjadi bebanan di akhirat nanti.

Omar bin Abdul Aziz yang pernah menjadi penasihat penguasa, merupakan satu role model yang terbaik bagi melahirkan penguasa-penguasa yang tidak pernah melalaikan daripada mengingati, dan menunaikan amanah-amanah Allah SWT.

Tindakan mengeluarkan perkara yang ’sedap didengar’ sahaja, sebenarnya tidak melahirkan keuntungan terhadap penguasa, malah ia hanya akan melahirkan kerugian sahaja.

Jika kita menyelongkar buku sejarah-sejarah lama, kita akan dapati banyak penguasa-penguasa yang dilihat hebat, mereka jatuh disebabkan mereka dikelilingi pembantu-pembantu atau penasihat-penasihat yang mempunyai daya pemikiran yang hanya mahu mengampu sahaja.

Lihatlah kejatuhan Hitler yang dikenali sebagai tokoh yang berjaya membina kekuatan Jerman sehingga menyebabkan lawan-lawannya jatuh, tidak mampu berhadapan dengan kehebatan ketenteraan yang dipimpin oleh Hitler.

Walaupun Hitler hebat dalam menyusun strategi peperangan dalam menghadapi musuh, tetapi disebabkan beliau dikelilingi oleh pembantu-pembantu dan penasihat-penasihat ”kaki mengampu”, menyebabkan dikala pihak musuh sedang hebat menyerang jerman, tetapi dimaklumkan kepadanya tentang kebaikan dan kekuatan sahaja, yang akhirnya tentera pimpinan Hitler jatuh tersembam menyembah bumi.

Inilah contoh keburukan disebalik wujudnya pembantu-pembantu dan penasihat-penasihat yang hanya pandai mengampu, tidak memberikan nasihat yang baik bagi menyelamatkan penguasa dari terlalai.

Kepada para pembantu dan penasihat penguasa, contohilah Omar bin Abdul Aziz dalam memberikan nasihat yang baik kepada penguasa, agar penguasa tidak terlalai dari menunaikan tuntutan Allah SWT.

Sekian
Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kota Damansara
13 ogos 2009 * 1;19 petang




Tiada ulasan: