Isnin, 24 Mei 2010

JANGAN TAAT KEMUDHARATAN



[1]

Dalam kitab Al-Asbah Wa An-Nazair, didatangkan lima kaedah besar. Pada kaedah keempat, dinyatakan oleh Imam As-sayuti adalah kaedah;

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya;
“Mudharat dihilangkan
[1]

Kaedah ini berasaskan kepada beberapa dalil, antaranya adalah sabda Nabi SAW;

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya;
“tidak ada kemudharatan kepada diri sendiri, dan tidak ada kemudharatan kepada orang lain
[2]” [merujuk kepada tafsiran makna oleh Ibnu habib][3].

Juga beberapa firman Allah, antaranya adalah;

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya;
“Jangan kamu campakkan dengan tangan kamu kepada kebinasaan”

(Surah Al-Baqarah : 195)

[2]

Menolak kemudharat merupakan perkara penting dalam syariah. Islam hadir untuk memberi manfaat dan keselesaan hidup bagi manusia, dan menafikan segala kemudharatan bagi kehidupan mereka.

Justeru, segala kandungan syariat adalah, memberi kemaslahatan dan manfaat kepada manusia, dan menolak segala kemudharatan dan mafsadah daripada berlaku kepada manusia.

Setiap suruhan Allah menerusi nas secara qat’i, mengandungi maslahat, dan setiap perkara yang diharamkan oleh Allah SWT secara Qatie, maka itu adalah kemudharatan.

Imam Al-Baidhawi menyebut;

ما نهي عنه شرعا فقبيح و إلا فحسن

Maksudnya;
“perkara yang ditegah syarak, maka itu adalah buruk. Sekiranya tidak (iaitu tidak ditegah, iaitu dibenarkan untuk dilakukan), maka itu adalah baik
[4]

Imam As-Syatibi kata;

المعلوم من الشريعة، أنها شرعت لمصالح العباد، فالتكليف كله، إما لدرء مفسدة، وإما لجلب مصلحة

Maksudnya;
“Perkara yang diketahui dalam syariat bahawa perkara yang disyariatkan, adalah maslahah bagi hamba. Maka, taklif itu, semuanya sama ada menolak mafsadah, ataupun menarik maslahah
[5]

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

فلم يحل سبحانه إلا طيبا , و لم يحرم إلا خبثا

Maksudnya;
“Allah tidak akan halalkan, melainkan mesti ada kebaikan. Tidak haramkan sesuatu, melainkan mesti ada keburukan
[6]

[3]

Dalam perkara yang tidak ada nas pula, akal manusia [kepakaran] diberi peluang dalam menilai sesuatu perkara itu mendatangkan mudharat atau maslahah. Sekiranya mendatangkan maslahah, maka ia adalah halal, dan sekiranya mendatangkan mudharat, maka ia adalah haram.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut dalam kitab Al-Halal Wa Al-Haram fi Al-Islam;

فما كان خالص الضرر فهو حرام , وما كان خالص النفع فهو حلال

Maksudnya;
“apa sahaja yang sepenuhnya mudharat, maka hukumnya adalah haram. Dan apa sahaja yang sepenuhnya memberi manfaat, maka hukumnya adalah halal”

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan juga;

وما ضرره أكبر من نفعه فهو حرام , ما كان نفعه أكبر فهو حلال

Maksudnya;
“Jika mudharatnya lebih besar daripada manfaatnya, maka ia adalah haram; jika manfaatnya lagi besar, maka ia adalah halal
[7]

Dengan erti-kata lain, setiap perkara halal, mesti ada maslahah dan mudharat. Tetapi, mudharatnya lebih kecil berbanding maslahah. Dan Setiap perkara haram, mesti ada mudharat dan maslahah. Tetapi, maslahahnya lebih kecil berbanding mudharat.

Dalilnya adalah, dilihat pada firman Allah;

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya;
“Mereka bertanya kepada kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya merupakan dosa yang besar, dan memberi manfaat kepada manusia. tetapi, dosanya lebih besar berbanding manfaatnya”

(Surah Al-Baqarah : 219)

[4]

Dalam siyasah Syariiyyah, imbangan antara maslahah dan mafsadah ini amat perlu dalam mendapatkan keputusan yang jitu. Penilaian terhadap sesuatu itu, apakah mendatangkan kemudharatan atau kemaslahatan itu, hendaklah untuk mendapat keuntungan kepada Islam; bukan kepada individu tertentu.

Sesuatu keputusan yang tidak berasaskan kepada keuntungan kepada Islam, atau dengan erti kata lain, kemaslahatan itu menguntungkan individu tertentu, maka cara berfikir ini hendaklah tertolak sama sekali. Keuntungan dan kemaslahatan yang perlu dibincangkan adalah, terhadap Islam itu sendiri.

Atas kerangka keuntungan Islam ini, lahirnya beberapa perkara penting, seperti menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Dengan perkataan lain, kelima-lima perkara penting [dharuriyyat] ini dibawah kerangka memberi keuntungan Islam.

Ada manusia mengeluarkan satu keputusan yang memberi keuntungan kepada harta, tetapi bukan bawah kerangka memberi keuntungan kepada Islam, seperti dengan alasan harta yang mereka pertahankan sehingga Islam mendapat imej yang buruk. Tindakan ini, bercanggah dengan cara yang dikehendaki dalam kaedah maqasid syariah. [sila baca dalam kitab ‘Al-Maqasid As-Syariiyyah, Wa Asaruha Fi Al-Fiqh Ak-Islami’, karangan Dr Muhammad Abdul Ati Muhammad Ali].

[5]

Tidak dinafikan, kadangkala dalam menilai sesuatu terdapat kemudharatan. Namun begitu, jangan terus mengatakan sesuatu itu sebagai haram. Sebaliknya, hendaklah dilihat dahulu dari sudut manfaatnya pula.

Sekiranya didapati manfaat lebih besar berbanding mudharat, ketika itu, hendaklah diletakkan hukumnya adalah halal. Adapun sekiranya didapati bahawa kemudharatannya lebih besar berbanding kemaslahatan, maka hukumnya adalah haram.

Sesuatu keputusan yang terbukti mendatangkan kemudharatan kepada Islam, maka hukumnya adalah haram, malahan dilarang ditaati.

Ini berasaskan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad [dll], daripada Ali bin Abi talib bercerita;

”Rasulullah telah melantik seorang lelaki dari ansar untuk mengetuai satu kumpulan tentera. Dalam perjalanan, lelaki itu telah mengarahkan para tentera agar menghimpun kayu api, lalu dibakar dan disuruh tentera-tentera itu terjun ke dalam api itu. ada sebilangan tentera mahu terjun ke dalam api, tetapi dihalang oleh seorang pemuda, lalu menyuruh tentera agar hal ini di rujuk kepada Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Ketika mereka berjumpa dengan Rasulullah SAW, dan bertanyakan hal itu, menyebabkan baginda SAW terus berkata;

لو دخلتموها ما خرجتم منها أبدا؛ إنما الطاعة في المعروف

Maksudnya;
”Kalau kamu masuk dalam api itu, pasti kamu tidak akan keluar sampai bila-bila (baca : masuk neraka). Hanya sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara ma’ruf sahaja
[8]

Waima ketua itu dilantik oleh Nabi SAW, ternyata arahannya itu tidak memberi keuntungan kepada Islam, malahan terbukti ia mendatangkan kemudharatan, menyebabkan nabi SAW menyatakan azab terhadap mereka yang taat dengan arahan lelaki ansar terbabit.

Dalam kaedah UsulFiqh, sesuatu penetapan haram itu tidak semestinya dengan larangan, bahkan dengan janji azab pun sudah memadai untuk menyatakan hukumnya adalah haram. [lihat kitab ’Mahabis usuliyyah Fi Taqsimat Al-Alfaz’ karangan Dr Muhammad Abdul Ati Muhammad Ali]

[6]

Dalam kitab fi Al-Ijtihad At-Tanzili karangan Dr Bashir bin Maulud Jahish; dalam bab ”Syura Baina al-Ilzam Wa Al-i’Lam” dinyatakan bahawa syarat sesuatu keputusan yang hendak dikeluarkan itu hendaklah ”tidak menyalahi Nas syarak dan tidak [menyalahi] maqasid secara kulli
[9]

Dengan kata lain, sesuatu keputusan yang hendak dibuat, bukan sekadar perlu dilihat, apakah ia bercanggah dengan nas sahaja, malahan hendaklah diperhatikan, apakah ia mendatangkan kemudharatan atau kemanfaatan.

Dengan perkataan lain, sekiranya keputusan itu terbukti mendatangkan manfaat kepada Islam [bukan kepada individu tertentu], maka wajib diberi ketaatan. Tetapi, sekiranya ia terbukti mendatangkan kemudharatan kepada Islam [bukan kepada individu tertentu], maka haram diberikan ketaatan.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (b) Sg Buloh
25 Mei 2010 * 2:05 pagi





[1] Al-Ashbah Wa An-Nazair : 1/154.
[2] Muwatta’ : 1234.
[3] Al-Muntaqa : 4/41.
[4] At-Tahqiq Al-Ma’mul li Minhaj Al-Usul ‘Ala Al-Minhaj : m.s : 92.
[5] Al-Muwafakat : 1/199.
[6] Al-Halal Wa Al-Haram fi Al-Islam : 28.
[7] Ibid : 29.
[8] Sahih Al-Bukhari : 4340 dan Sahih Muslim : 1840.
[9] M.s : 149.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Semua,

"KOHILAL ditubuhkan pada 1986 oleh tokoh dan aktivis PAS. KOHILAL telah dianggotai hampir 23,000 orang di seluruh negara. Sejak akhir ini PAS terlalu teruja dengan masalah dalaman parti dan terlalu sibuk memberi tumpuan terhadap isu Kerajaan Perpaduan sehingga mereka lupa nasib KOHILAL yang sudah lama jadi kudis dan virus kepada PAS. Sekiranya isu KOHILAL tersebar luas, ramai ahli KOHILAL yang juga ahli PAS bakal berpaling tadah kerana mereka tertipu"

"Dato' Mahfoz Omar, cucu pengarang Kitab Tafsir Nurul Ihsan, Tuan Guru Haji Muhammad Said bin Omar. Walau dilihat tenang dan bersahaja, tetapi bidasan politiknya mampu mengugat musuh"


Cadangan: Harap cucu pengarang kitab ini boleh menjadi pembidas utama isu Kohilal dan menerangkan kpd ahli2 PAS bahawa ini fitnah UMNO dan kerja jahat UMNO menghancurkan KOHILAL ...

Tanpa Nama berkata...

Nampak tak? geng penyerang berani mati katak pihak sana tu dah mula serang.... betul tak? Geng sekolah dewasa dalam filem P Ramlee. wakak kakak kkakkakk jerat ahli pas dah mengena .