Isnin, 19 Julai 2010

SEMBANG-SEMBANG PASAL MINYAK


[1]

Dalam fiqh, Ada tiga istilah penting sebelum bincang bab minyak. Iaitu ma'adin, rikaz dan kanz.

Ma'adin bermakna galian yang wujud dalam perut bumi secara semula jadi. Kanz pula adalah, harta-harta yang ditanam dalam perut bumi oleh orang-orang terdahulu, sama ada ditanam orang islam atau orang bukan islam.

Dalam mazhab hanafi, rikaz dan ma'adin adalah benda yang sama. Ada ulama lain pula [seperti syafie] membezakan antara ma'adin yang ditempa dengan api [seperti emas dan perak] dengan ma'adin yang berbentuk cecair, seperti minyak.

walaubagaimana pun, semua perbedaan yang dikemukakan tidak disandarkan kepada nas yang sorih, tetapi disandarkan kepada qiyas.

[2]

Ulama berselisih dalam menentukan hokum minyak, apakah dibawah maksud rikaz atau dibawah maksud maadin.

Dalam mazhab maliki, hokum minyak dibawah katagori ghanimah atau fai'. Dengan kata lain, minyak yang dijumpai bukan kepunyaan individu tertentu, tetapi ia adalah milik kerajaan.

Firman Allah;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
" Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu."

(Surah Al-hasyr : 7)

Adapun dalam mazhab selain Maliki [seperti hanafi], mereka berpendapat bahawa minyak diketemui adalah dibawah maksud rikaz. Dengan makna, ia adalah kepunyaan individu yang minyak berada ditanahnya, ataupun milik orang yang berjumpa minyak tersebut.

Ini kerana, menurut pendapat mereka, seseorang yang mempunyai sebidang tanah, maka semua kandungan dalam tanahnya juga adalah miliknya.

Dalil mereka adalah, sabda nabi SAW;

مَنْ أَخَذَ مِنْ الْأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya;
"barangsiapa yang sedikit tanah orang lain tanpa hak, maka Allah akan membebaninya dengan tujuh lapis bumi " [al-bukhari : 2274]

Justeru, mereka berpendapat minyak dibawah maksud rikaz, dan pemilik minyak wajib membayar zakat.

Dalil mereka adalah hadis, dari Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda;

فِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ

Maksudnya;
"pada harta rikaz, [zakatnya] satu perlima [20%] " [al-bukhari : 1403]

Ada pendapat ulama mengatakan, bahawa rikaz adalah nas yang khusus, dan fai' dan ghanimah adalah umum nas. Ini kerana, dalam nas yang menyebut fai, ghanimah dan rikaz, kesemua kiraannya, orang yang mendapat manfaatnya adalah 1/5.

Seperti hukum fai' dari surah al-hasyr ayat ke 7, yang menyebut bahawa 1/5 yang menerima manfaat adalah, [1] Allah dan rasul [kerajaan/maslahah umat], [2] ahli qurba, [3] orang-orang miskin, [4] anak-anak yatim, dan [5] Ibnu sabil.

Dan juga firman Allah;

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya;
"Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil"

(Surah Al-Anfal : 41)

[3]

Dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap kerajaan yang diperintahnya, sebaliknya mereka sekadar sebagai "khalifah fi Al-Ard".

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

(Surah Al-Baqarah : 30)

Dengan perkataan lain, pemerintah sekadar menjaga dan mengurus amanah rakyat, bukan mereka boleh melakukan sewenang-wenangnya.

Justeru, apabila dalam sesuatu kerajaan itu terdapat minyak, sudah pasti tugas pemerintah adalah mengurus minyak itu mengikut kepentingan dan kemaslahatan rakyat, sepertimana yang ditekankan oleh Allah dan Rasul.

Dengan perkataan lain, sebarang tindakan dan keputusan kerajaan terhadap minyak adalah, untuk memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat, bukan mendatangkan kemudharatan terhadap mereka.

Kaedah fiqh ada menyebut;

تصرف الإمام منوط بمصلحة راعيته

Maksudnya;
"tindakan seseorang penguasa sentiasa untuk kepentingan rakyatnya"

Dan firman Allah;

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya;
"(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan."

(Surah Al-Haj : 41)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa mereka yang diberikan kuasa ini melaksanakan tugasan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Antara maksud Kedua-dua perkara ini adalah, memberi kemaslahatan kepada rakyat, dan berusaha semampu mungkin menolak sebarang kemudharatan terhadap rakyat.

Justeru, dalam mengurus minyak ini, hendaklah dipastikan ia dapat memberi kemaslahatan kepada rakyat, disamping tidak tertimpa mudharat kepada mereka.

[4]

Timbul masalah pengurusan minyak supaya dilihat lebih cekap. Justeru, ia perlu dikelolakan oleh sesuatu syarikat tertentu, agar ia dilihat lebih memberi kesan yang baik kepada rakyat.

Justeru, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mereka menubuhkan syarikat-syarikat swasta untuk mengurus perkara ini.

Dalam islam, penswastaan itu dilihat dari dua sudut, iaitu [1] penswastaan secara pemilikan [iqta' tamlik], dan [2] penswastaan pengurusan [iqta' intifa'].

Adapun minyak pula, ia bukan milik individu tertentu, tetapi ia adalah milik rakyat secara umum.

Sabda nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ فِي الْمَاءِ وَالْكَلَإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ

Maksudnya;
"orang islam itu berkongsi pada tiga perkara, air, rumput dan api. Harganya juga haram " [ibnu majah : 2463]

Ada ulama kata, minyak diqiaskan kepada api, kerana minyak adalah bahan bakar. Ada ulama lain pula mengatakan, minyak diqiaskan dengan rumput, kerana ia sebagai 'makanan' kenderaan di zaman moden ini.

Dengan maksud, minyak salah satu perkara yang dikongsikan bersama, yang tidak boleh dimonopoli oleh individu tertentu. Justeru, dengan hadis yang dikemukakan ini membawa maksud minyak tidak boleh diswastakan secara pemilikan [iqta' tamlik], tetapi yang dibenarkan adalah penswastaan pengurusan [iqta' intifa'].

Dengan maksud, sebagai kerajaan yang memerintah, untuk memajukan pengurusan minyak, dibenarkan untuk melantik mana-mana syarikat untuk mengurus minyak, bukan memberikan pemilikan minyak kepada syarikat tertentu.

[5]

Setiap perkara itu ada yang penting dan ada yang lebih penting. sesuatu perkara yang lebih penting, hendaklah didahulukan berbanding perkara yang penting. dan perkara yang penting, hendaklah didahulukan perkara yang tidak penting.

Dalam fiqh, timbangan perkara itu beralasan dengan tiga tingkatan, iaitu [1] Dharuriyyat, [2] hajiyat, dan [3] tahsinat.

Dharuriyat bermaksud, sesuatu tindakan yang tidak boleh tidak, perlu dilakukannya. Ia tidak boleh, tanpanya. Adapun hajiyat pula adalah, sesuatu yang ketiadaannya, kita boleh hidup lagi, tetapi dengan ketiadaannya itu boleh membawa kepada kepayahan dan kesusahan. Dan yang terakhir, iaitu tahsinat pula adalah, sesuatu yang menghiasi dan mencantikkan lagi kehidupan. Tanpa kewujudannya, ia tidak mendatangkan sebarang kepayahan, tetapi lebih bersifat hendak memberi penghormatan yang selayaknya.

Dari sudut minyak, apabila dilihat dari sudut kepentingannya. Ia dilihat dari dua sudut, iaitu dari sudut dharuriyat dan hajiyat.

Dari sudut Dharuriyat, minyak merupakan sumber kekuatan bagi sesuatu kerajaan dan rakyat. Adapun dari sudut hajiyat pula, ia merupakan sumber perniagaan yang boleh menambah kedudukan ekonomi sesebuah negara.

Justeru, minyak hendaklah didahulukan sebagai sumber kekuatan kerajaan dan rakyat. Adapun untuk diperniagakan dalam menambah kekuatan ekonomi negara, ia digunakan sebagai perkara yang kedua, iaitu sebagai menyokong kekuatan kerajaan sedia ada.

BIBLIOGRAFI

• Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Dr wahbah Az-Zuhaili
• Fiqh Awlawiyyat, Dr Yusuf Al-Qaradhawi
• Fiqh Zakat, Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
• Fiqh Muamalat, Dr Abdurrahman Ritonga
• Daur Al-Qiyam wa Al-Akhlak Fi Al-Iqtisad Al-Islami, Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
• Kemelut kenaikan harga minyak : kenapa kita tidak kembali kepada Islam, Zaharuddin Muhammad.
• Kerajaan pakatan rakyat dari kacamata Siyasah Syariiyyah, wan ji Al-bakistani

Sekian

P/S : artikle ini sebagai lontaran awal. Ia terbuka kepada wacana dan perbincangan. Ia tidak semestinya tepat, dan terbuka kepada kritikan dan perbincangan.

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg buloh
20 Julai 2010 * 2:11 petang

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah mengamanahkan alam ini kepada kita utk menjaganya. bila minyak murah, org tak berjimat dlm penggunaannya, misalnya, nak pergi rumah kawan dlm jarak 100m pun nak naik kereta. tp bila minyak mahal org akan berjimat. penggunaan minyak mencemarkan alam, walau sebersih manapun ia.

utk warga miskin pula, kan boleh org2 berkemampuan muslim ni beri mereka misalnya segelen minyak sehari. drpd org tu perabih duit tukar handfon baru utk anak2 dia, betul tak? inikan yg dianjurkan oleh islam.

drpd kerajaan tadak duit dan terpaksa 'melutut' kat USA utk dpt duit cam pakistan, baik subsidi dikurangkan. memang perit tp ini harga yg aku sanggup tanggung.

satu poin utk difikir, bila kita nak memenuhi kehendak kita seperti handfon baru atau sportrim baru, berapa pun harganya kita sanggup tanggung biar pun berlapar. tp bila satu benda yg merupakan keperluan kita, kita amuk satu badan.