Rabu, 24 November 2010

BALAK UNTUK ORANG MISKIN, BUKAN ORANG POLITIK

PENDAHULUAN

Balak merupakan pemberian Allah kepada sesuatu kerajaan atau negara yang mempunyai hutan. Pada zaman dahulu, ia tidak dikira sebagai sesuatu yang menghasilkan kewangan yang banyak. Mungkin faktor kayu tidak menjadi bahan terpenting, menyebabkan ia tidak menjadi satu perkara yang penting.

Keadaan kini berbeda. Ini kerana, kayu sudah menjadi satu industri yang menguntungkan, malahan memberi kekayaan. Apabila kayu sudah menjadi sesuatu keperluan yang agak tinggi, menyebabkan balak menjadi satu industri perniagaan yang cukup menguntungkan.

Di Malaysia, balak berada dalam kawasan hutan yang berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Sesebuah kerajaan yang mempunyai hutan, selalunya mendapat sumber kewangan yang cukup lumayan melalui sumber hutan ini. Namun begitu, tidak ramai yang berfikir, bahawa sumber hutan ini merupakan hak rakyat atau kerajaan, bukan hak milik individu atau parti, atau ahli politik tertentu.

KHALIFAH FIL ARD

Dalam Islam, sesebuah negeri yang diperintah bukan menjadi hak milik pemerintah. Negeri kelantan sebagai contoh, ia bukan hak milik menteri besar yang bernama Tok Guru Nik Abdul Aziz, Negeri Kedah bukan menjadi hak milik Menteri besar bernama Ustaz Azizan Razak, negeri selangor bukan menjadi hak milik Tan Sri Khalid Ibrahim, Melaka bukan hak milik ali rustam dan sebagainya. Begitujuga, negeri-negeri ini tidak menjadi hak milik mana-mana parti; sama ada parti itu adalah PAS, PKR, DAP, UMNO, MIC, MCA atau apa nama parti sekalipun.

Yang pastinya, sesuatu negeri itu adalah kepunyaan Allah yang telah mencipta langit dan bumi. Tugas pemerintah adalah menjadi khalifah; iaitu menjadi pentadbir bumi berdasarkan agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Dan Ketika berkata tuhan kamu kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku jadikan pada bumi khalifah”

[Al-Baqarah : 30]

Menurut kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, karangan Imam Al-Mawardi [nama penuh : Ali bin Muhammad Al-Mawardi], khalifah [atau : Imamah] didefinisikan sebagai;

لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Bagi menggantikan nabi dalam menjaga agama dan mentabdir bumi”

[Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/3]

Dalam Kitab Al-Muqaddimah, karangan Ibnu Khaldun pula, didefinisikan sebagai;

الخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية و الدنيوية الراجعة إليها إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة نيابة عن صاحب الشرع في حراسة الدين و سياسة الدنيا به

Maksudnya;
“Khilafah adalah menanggung oleh seluruh terhadap tuntutan syarak dalam menentukan kemaslahatan akhirat dan dunia; iaitu semua urusan dunia hendaklah dikembalikan semuanya disisi pensyariat [Allah dan Rasul] kepada mengiktibarkannya dengan maslahah akhirat. Ia pada hakikatnya adalah menggalang ganti dari tuan syarak [Allah dan Rasul] dalam menjaga agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama”

[Al-Muqaddimah : 190]

Menurut kitab Al-Imamah Al-Uzma, karangan Abdullah bin Umar Ad-Damiji, beliau mensyarakahkan definisi ini dengan katanya yang bermaksud, “wajib bagi seseorang pemerintah bahawa kekuasaannya tertakluk dengan kesamaaan dengan syariat Islam. Ia juga, hendaklah mengandungi kewajipan mentadbir dunia dengan agama, bukan dengan syahwat dan keperluan peribadi”

[Al-Imamah Al-Uzma : 30]

Dari segala definisi ini, nyata bahawa seseorang pemerintah itu, bukanlah seorang yang menguasai kerajaan seterusnya kerajaan itu menjadi miliknya. Tetapi, pemerintah mengikut ajaran islam adalah, mereka sekadar pengurus sesebuah kerajaan dengan mentadbir berdasarkan tuntutan ilahi.

BALAK

Dilema kini adalah, sesebuah kerajaan yang diperintah oleh sesebuah parti [fokus malaysia], kelihatan seperti kerajaan itu menjadi milik parti yang berkuasa. Seakan-akan dilihat Kelantan adalah milik PAS, Kedah Milik PAS, Selangor milik PKR, Pulau Pinang milik DAP, Johor milik UMNO, Melaka milik UMNO dan sebagainya.

Lantaran, apabila sesebuah parti menguasai sesebuah kerajaan, boleh dikatakan sesuatu kawasan balak itu menjadi kepunyaan sesuatu parti politik, ataupun menjadi milik ahli-ahli politik tertentu. Jika inilah tanggapan oleh sesetengah pihak, ternyata tanggapan itu adalah salah. Juga, jika tanggapan ini dianggap benar, maka lahirlah berbagai-bagai kecelaruan dalam pengurusan balak ini.

Ekoran itu, tidak hairan didapati setelah sesebuah parti memerintah di sesebuah negeri, kelihatan individu ahli politik tertentu mula menjadi mewah; pakai kereta mewah, syarikat kayu yang berada dalam kerajaan negeri tertentu bangkrap, berlaku perebutan kawasan balak di kalangan ahli-ahli politik tertentu dan banyak lagi. Semua ini kerana, asas pengurusan balak di negeri terbabit, bukan berdasarkan kepada sistem islam, tetapi merujuk kepada pemikiran kapitalis.

Melihat kepada kecelaruan ini, tidak dapat tidak, satu sistem pengurusan balak wajib dikemukakan. Ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang hadir untuk mengemukakan sistem, lalu manusia wajib mengikut sistem tersebut, bukannya sistem yang dibentuk bersifat mengikut kehendak manusia.

PENGURUSAN BALAK

Tanah dan hutan berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Bagi tanah yang menjadi hak milik individu rakyat, wajib kerajaan memberi hak pemilikan itu secara sah, seperti memberi geran dan sebagainya. Adapun bagi tanah yang tidak menjadi milik seseorang individu pun, maka tanah tersebut menjadi pemilikan rakyat atau kerajaan.

Dalam islam, tanah pemilikan kerajaan adalah pemilikan umum; dengan maksud, tanah itu adalah kepunyaan rakyat secara melata. Di atas tanah tersebut, terdapat hutan dan balak, maka hutan dan balak tersebut adalah hak milik rakyat.

Tugas kerajaan adalah, menguruskan balak tersebut, agar ia dapat dimanfaatkan kepada rakyat secara adil. Ia tidak boleh dimilikkan oleh kerajaan kepada individu tertentu. Tindakan memilikkan sesuatu kawasan balak kepada invidu tertentu adalah haram, kerana ia bercanggah dengan maksud firman Allah SWT yang berbunyi;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu”

[Al-hasyr : 7]

Jika pihak kerajaan hendak mengurus, lalu tidak ada cara lain bagi menjadi pengurusan itu berjaya dan berkesan kecuali perlu menubuhkan syarikat, maka itu dibenarkan. Dibenar untuk menubuhkan syarikat pengurusan itu, hendaklah sekadar menguruskan sahaja. Dengan maksud, haram kerajaan memberikan hak milik terus kawasan balak kepada mana-mana syarikat tadi. Perkara ini merujuk kepada firman Allah SWT, ayat ke-7 dari surah Al-Hasyr di atas.

PEMBAHAGIAN KEUNTUNGAN BALAK

Apabila balak menjadi hak milik kerajaan, maka segala keuntungan dari hasil balak itu perlu dibahagikan kepada 1/5. Ini disandarkan kepada firman Allah SWT;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya;
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan”

[Al-Hasyr : 7]

Dengan maksud, setelah ditolak segala modal-modal pengurusan balak, seperti pembayaran gaji kepada pengarah syarikat, gaji-gaji pekerja dan sebagainya, maka keuntungan itu hendaklah dibahagikan kepada mereka yang seperti berikut;

[1] Allah dan Rasul [masuk dalam dana kerajaan, perbendaharaan negara atau baitul Mal],
[2] kaum kerabat [Banu Hasyim dan Muthalib. Mereka boleh terima, kerana mereka tidak berhak mendapat zakat],
[3] anak-anak yatim,
[4] orang-orang miskin,
[5] Ibnu Sabil.

Ia dikukuhkan lagi, dengan firman Allah dari surah Al-Anfal;

واعلموا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ للَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل إِن كُنتُمْ آمَنْتُمْ بالله

Maksudnya;
“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah”

[Al-Anfal : 41]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa dalam maksud “kepunyaan Allah dan Rasul” [dengan maksud, duit yang diletakkan dalam baitul mal], ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk menggunakannya atas kebijaksanaan pihak kerajaan [Al-Qurtubi : 5/312] dengan maksud, ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk kemajuan negara, pembangunan, memberi bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.

ISYKAL

Timbul beberapa persoalan tentang pengurusan balak, iaitu seperti berikut;

Pertama:

Syarikat pengurusan balak, ia tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap balak dan hasilnya. Segala tindakan yang dilakukan oleh syarikat itu, hendaklah tertakluk keputusan kerajaan [mesyuarat exco].

Adapun dari wang kemasukan syarikat, ia tidak lebih sekadar gaji yang diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat. Malahan, kerajaan mempunyai kuasa untuk menarik balik keizinan sesuatu syarikat mengurus balak berdasarkan perjanjian dan perutukan yang ditetapkan.

Kedua:

Duit balak digunakan untuk kepentingan parti. Boleh atau tidak?

Jawapan:

Perlu diingat, parti adalah merupakan wadah dalam usaha melayakkan memerintah pada sesebuah negeri atau negara. Parti tidak mempunyai hak sedikit pun terhadap harta rakyat.

Menggunakan duit hasil balak untuk kegunaan parti, adalah sama seperti menggunakan duit kepunyaan orang miskin untuk kegunaan peribadi. Sudah pasti, tindakan ini zalim dan ia dibawah maksud mengambil harta manusia secara batil.

Firman Allah;

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya;
“Jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu secara batil”

[Al-Baqarah : 188]

PENUTUP

Tidak dapat dibayangkan jika pengurusan balak ini berjaya dilaksanakan mengikut syariah islam. Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, tidak mustahil sejarah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz akan berulang kembali.

Sedihnya, syariah islam ini hanya dilihat dari sudut yang tidak luas, seperti syariat itu dilihat hanya dalam perkara hudud, perundangan, ibadat dan sebagainya sahaja. Walhal, Islam telah mencadangkan satu sistem pengurusan yang mampu memberi hak keadilan kepada manusia secara melata.

Di negeri-negeri pimpinan pakatan rakyat [khususnya kelantan pimpinan PAS], kelihatan hasil balak ini diurus oleh ahli-ahli politik, yang melahirkan kekayaan invidu-individu tertentu sahaja. Disebabkan itulah, akan terlihat individu yang memakai kereta mewah, mempunyai rumah mewah dan berbagai-bagai kemewahan, dalam keadaan mereka hanya rapat dengan ahli politik-ahli politik tertentu. Dalam keadaan yang sama, masalah kemiskinan di sebelah pendalaman tetap masih lagi berlaku.

Pembudayaan ini adalah salah dari sudut Islam, malahan ia wajar di hapus dan ditentang. Ia tidak lebih, sama seperti yang telah dilakukan oleh UMNO, yang mengamalkan pemerintahan yang menindas terhadap rakyat, walhal tindakan itu diharamkan oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
25 November 2010 * 5:27 pagi.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sdr menegur dan mengkritik idola sdr sendiri sebenarnya.

Tanpa Nama berkata...

rujuk gambar yang diletakkan, apa yang mewah sangatnya pun kereta tu? biasa2 aje. betul ke dia beli kereta tu pakai duit balak? Orang lain kerja cikgu pun boleh pakai kereta 2-3 buah, ni sebuah kereta pun awak dah tak puas hati.

kalau nak argue pasal plate kereta tu, jangan samakan denga plat kereta yg orang beli tender masa ia baru keluar, can yang syahidan duk seka buat tu, plat kereta tu plat lama, PAS dah zaman dinasaur mana dah. harga tak sama dengan plat kereta 1 nombor yang baru keluar.

nik abduh dah jawab pasal plat kereta tu. pada dia dia pakai plat tu sebagai satu kempen, sama la cam tampal bendera pas kat kereta, tapi orang tak buat la gitu kan. sebab nampak tak berapa siuman, tapi kalau plate, orang tengok la. kalau orang boleh sanggup belanja banyak utk beli bendera PAS taruk kat tiang rumah, begitulah dia beli plat kereta tu. kalau orang biasa2 naik kereta plate PAS, tak de kesan juga. tapi kalau anak timbalan mursyid am pas naik kereta plat PAS, ia akan jadi satu kempen kepada PAS la.
Dan nak beli tu, tak semestinya dapat duit balak baru dapat beli, kalau kumpul duit sedikit2 pun dah dapat beli kan. awak takkan tak pernah menabung utk nak beli apa yang awak inginkan kan.

OK, sebelum nak rasa tak puas hati, cek dulu betul2 ye, jangan main agak2 aje dan terikut2 dengan tuduhan2 orang lain.

Tanpa Nama berkata...

salafussoleh guna ilmu untuk tilik diri sama ada Allah ridho ke tidak. Ahli dunia guna ilmu untuk halalkan cara... puaskan nafsu sendiri...