Jumaat, 24 Ogos 2012

PEMIMPIN DARI QURAISH?


Dalam fiqh maqasid, dijumpai dua perkara penting. Iaitu Maqasid dan Wasail. Menurut Ibnu Asyur, maqasid adalah sesuatu yang mengandungi maslahah dan mafsadah. Adapun Wasail adalah elemen-elemen yang membawa kepada maqasid. [Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 413]

Dalam istilah kitab-kitab usul fiqh dan maqasid, kalimah wasail ini kadangkala digunakan dengan istilah zaraie. Cuma sebilangan ulama menyatakan, wasail digunakan dalam perkara yang membawa kepada maslahah (wajib) dan zaraie digunakan dalam perkara yang membawa kepada mafsadah (haram). [Fi Al-Ijtihad At-Tanzili : 118]

Kewujudan wasail ini, kadangkala dalam nas, dan kadangkala tidak wujud dalam nas. Contoh bagi perkara yang tidak ada dalam nas seperti kewajipan menggali telaga bagi menyempurnakan kesempurnaan solat, iaitu wudu’. Kewajipan menggunakan kompas bagi menyempurnakan kesempurnaan solat, iaitu mengadap arah kiblat.

Adapun contoh yang termaktub dalam nas pula, terlalu banyak yang boleh dikemukakan. Antaranya adalah;

Firman Allah;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ

Maksudnya;
“perangilah mereka hingga tidak berlaku lagi fitnah dan agama itu semuanya kepunyaan Allah”

[Al-Anfal : 39]

Dalam ayat ini, ia mengandungi maqasid dan wasail. Wasail dalam ayat ini adalah “perang”, sedangkan maqasid dari ayat ini adalah “sehingga tidak berlaku fitnah [fitnah dalam ayat ini adalah kemudharatan yang besar tertimpa kepada umat Islam sepertimana yang berlaku sebelum diawal hijrah ke Habsyah, dalam sejarah bai’ah Aqabah dan sebagainya : sila lihat ulasannya dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir muka surat 7/403]”. Dengan maksud, sekiranya perang itu pula melahirkan fitnah, maka perang itu tidak perlu dilakukan. Ini kerana, peperangan itu digunakan untuk menghindar dari berlakunya fitnah.

Begitujuga dalam hadis bahawa Nabi SAW ada bersabda;

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya;
“Imam (pemerintah) itu dari kalangan Quraish” [Ahmad : 11859]

Menurut Ibnu Khaldun hadis ini bukan mewajikan meletakkan syarat bahawa pemerintah itu dari kalangan berbangsa Quraish, tetapi ia sekadar untuk “menolak dari berlaku perbalahan” atau “lidafi’ At-Tanazu’”. [Muqaddimah : 100]

Hadis ini, maqasidnya adalah menolak dari berlaku perbalahan. Sedangkan wasailnya adalah pemerintah itu dari kalangan Quraish. Dengan maksud, jika dengan wujud Quraish jadi pemerintah pun boleh melahirkan perbalahan, maka terlebih baik dilantik bukan Quraish menjadi pemerintah, jika ia dapat mengelak dari berlaku perbalahan.

Tiada ulasan: