Khamis, 24 September 2009

DEMI PERKAUMAN, MEREKA TUTUP KEBENARAN


DEMI PERKAUMAN, MEREKA TUTUP KEBENARAN

”Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah, dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkar akan Hari Akhirat.Orang-orang macam ini hakikatnya menyekat orang lain daripada mengikuti jalan Allah yang sebenar” Demikian Firman Allah menerusi surah hud ayat 19.

Mereka menyekat, menghalangi orang dengan pujuk rayu, dengan ugutan, dengan bermacam-macam perkara asalkan orang itu taat kepada nafsu mereka. Kalau dibiarkan kepada manusia menjaga manusia, maka manusia tidak akan mengajak manusia lain balik kepada Tuhan. Bila manusia tidak ada langsung semangat agama, dia dengan sendirinya akan mengajak orang supaya berabdi kepadanya; seperti dia kata, ”kamu kena dengar kata aku, kamu kena dengar peraturan aku, kamu kena turut undang-undang aku, kamu kena dengar cakap aku”

Susah dapat manusia yang mengajak orang lain supaya jangan mendengar pemikiran dirinya, bahkan mengajak dengar kata-kata Tuhan - kecuali pejuang-pejuang Islam - kerana manusia ini hendak sangat orang memuja dia, menghormati dia, mengagungkan dia. Itu perangai manusia dan di atas punca inilah Allah taala mengirim nabi-nabi kerana nabi-nabi ini jenis orang yang mengajak manusia balik kepada Tuhan.

NABI TIDAK MENCARI PUBLISITI MURAHAN

Jika kita membaca kisah nabi SAW, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sedikit pun tidak pernah mengambil kesempatan untuk mengambil pengaruh peribadi. Nabi tidak akan akan bertindak menghalalkan perkara yang haram; semata-mata kerana mahu mencari publisiti murahan.

Pernah berlaku pada zaman nabi SAW tentang kematian anak baginda yang bernama Ibrahim. Saat kematian Ibrahim, ketika itu Nabi SAW sedang pangku anaknya itu. Masa Nabi pangku, kelihatan air mata Nabi SAW meleleh. Lelehan air mata Nabi SAW itu dilihat oleh Abdur Rahman bin Auf.

”Apakah kamu menangis Wahai Rasulullah SAW?” Abdur Rahman bertanya.

Mendengar pertanyaan Abdur Rahman, Nabi SAW terus berkata;

إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ

Maksudnya;
”sesungguhnya mata ini mengalirkan air, dan hati dalam keadaan bersedih. Tidak ada apa yang mampu ku katakan melainkan reda dengan ketetapan tuhan. Wahai Ibrahim, aku amat bersedih berpisah denganmu
[1]

Berita kematian anak baginda, Ibrahim tersebar luas. Di saat itu juga, berlaku gerhana. Ramai beranggapan, gerhana yang menimpa mempunyai kaitan dengan kesedihan Nabi SAW.

Anggapan yang salah itu, ditegur oleh Nabi SAW dengan sabda Nabi;

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَةٌ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا

Maksudnya;
”Sesungguhnya matahari dan bulan tidak menjadi gerhana dengan sebab kematian ataupun kelahiran seseorang. Malah, kedua-duanya merupakan tanda-tanda (kekuasaan) Allah. Apabila kamu melihat kedua-duanya (bergerhana), maka hendaklah kamu menunaikan solat
[2]

Dari cerita ini, kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW tidak pernah mengambil kesempatan untuk menaikkan publisiti baginda. Tetapi, ia tidak pernah berlaku sedemikian, kerana ia membuktikan bahawa para nabi ini berkerja, benar-benar untuk menyampaikan kebenaran, bukan untuk mencari keuntungan peribadi.

YAHUDI MENCARI PUBLISITI MURAHAN

Puak-puak yahudi amat mengetahui tentang kedatangan Nabi SAW sebagai Nabi Akhir zaman. Pengkisahan Nabi SAW dalam kitab taurat amat nyata dan jelas.

Firman Allah;

الَّذِينَ آَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
”Mereka yang kami datangkan Al-Kitab (taurat dan injil), mereka mengenalinya (nabi Muhammad) seperti mereka kenal anak-anak mereka. (pun begitu) sesungguhnya satu puak dari kalangan mereka menyembunyikan kebenaran, walhal mereka mengetahuinya”

(Surah Al-Baqarah : 146)

Firman Allah menerusi ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa orang yahudi dan nasrani amat mengenali nabi SAW. Malah, jika diselidiki pada sirah Nabi, kita akan dapati banyak kisah-kisah yang menyatakan sedemikian, seperti kisah Nabi SAW dibawa oleh bapa saudaranya, Abu Talib dikala umur remaja berjumpa dengan seorang Rahib di Basra.

”wahai Abu talib, siapakah remaja ini” Buhaira’ bertanya

Sambil melihat wajah Nabi SAW yang masih remaja itu, Abu talib menjawab ”wahai rahib, remaja ini adalah anak aku”

”aku tidak percaya dengan jawapan kamu. Aku lebih berkeyakinan bahawa remaja ini sudah kematian ibu dan bapanya” jawapan Buhaira’ seakan-akan satu tamparan terhadap Abu talib.

”wahai rahib, aku minta maaf. Disebabkan kesayanganku terhadapnya terlalu tinggi, lantaran itu aku mengatakan ia anakku” Abu Talib membetulkan keadaan.

”sebenarnya, memang benar apa yang kamu katakan; ibu dan bapa remaja ini sudah meninggal dunia” sambung Abu Talib.

Kisah ini dapat membuktikan betapa Nabi SAW amat dikenali oleh ahli-ahli kitab; Yahudi dan Nasrani. Waimma Nabi SAW masih umur remaja, rahib Buhaira sudah dapat menyangka kematian ibu dan bapa Nabi, walau tidak diberitahu sekalipun.

Pun begitu, memandangkan mereka takut publisiti perkauman mereka jatuh disebabkan Nabi bukan sebangsa dengan mereka, mereka sanggup menukar gantikan kandungan kitab taurat yang menceritakan hal nabi SAW. Tindakan mereka itu dilaknat dan dicela oleh Allah SWT.

Firman Allah;

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Maksudnya;
”Kecelakaan terhadap mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka mendakwa ’ini datang dari Allah’. Tujuan mereka adalah, membelinya dengan harga yang murah. Kecelakaan bagi mereka dengan apa yang ditulis oleh tangan-tangan mereka, dan kecelakaanlah daripada apa yang mereka usahakan”

(Surah Al-Baqarah : 79)

inilah bahananya perkauman yang melampau. Tidak dinafikan, Yahudi dan Nasrani juga berkata tentang Allah, tetapi mereka berkata itu bukan untuk menyatakan kebenaran, tetapi mahukan publisiti murahan, demi mengukuhkan perkauman melampau mereka yang hakikatnya tidak bersesuaian dengan kehendak Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 september 2009 * 3:23 pagi




[1] Sahih Al-Bukhari : 1220.
[2] Sahih Muslim : 1521.

Tiada ulasan: