Khamis, 12 November 2009

KEPUTUSAN AKHIR DALAM KEHIDUPAN


KEPUTUSAN AKHIR DALAM KEHIDUPAN

Dalam semua perkara, terakhir adalah keputusan yang hakiki. Kemenangan dalam lumba lari, terletak kejayaan mendahului saingan di garisan penamat. Mendahului manusia di awal, tetapi tidak mendahului di akhir, ia tidak bermaksud kejayaan.

Begitujuga dalam kehidupan ini. kejayaan hakiki adalah, apabila keputusan akhir dalam kehidupan adalah, mentauhidkan Allah SWT; hati tulus dan suci terhadap tuhan yang maha berkuasa. Jika amalan baik dilakukan diperingkat awal, tetapi penamatnya dengan amalan buruk, maka segala amalan baik yang telah dilakukan tidak bernilai lagi di hadapan Allah SWT. Terutama, jika ia melibatkan aqidah.

Dalam satu hadis sahih muslim, daripada Abu Hurairah baawa Nabi SAW ada bersabda;

إن الرجل ليعمل الزمان الطويل يعمل أهل الجنة ثم يختم له عمله بعمل أهل النار ، و إن الرجل ليعمل الزمان الطويل بعمل أهل النار ثم يختم له بعمل أهل الجنة .

Maksudnya;
“Sesungguhnya ada lelaki yang beramal dengan amalan ahli syurga dalam jangka masa yang panjang, lalu dia tutup amalannya dengan amalan ahli neraka. Dan sesungguhnya ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka dalam jangka masa yang panjang, lalu dia tutup amalannya dengan amalan ahli syurga” (sahih Muslim : 4791)

Begitujuga, hadis Riwayat Al-Bukhari, daripada Sahl bin Sa’ad, bahawa nabi SAW bersabda;

إن العبد ليعمل عمل أهل النار و إنه من أهل الجنة ، و يعمل عمل أهل الجنة و إنه من أهل النار ، و إنما الأعمال بالخواتيم

Maksudnya;
“Sesungguhnya ada hamba itu, yang beramal dengan amalan ahli neraka, tetapi dia dari kalangan ahli syurga. Dan ada juga hamba yang beramal dengan amalan ahli syurga, tetapi dia dari kalangan ahli neraka. Ini kerana, semua amalan itu disandarkan kepada yang terakhir” (Al-Bukhari : 6012)

Apa yang dapat dilihat dari hadis ini, nyata betapa sesuatu keputusan itu terletak pada yang terakhir. Terutama dalam perkara yang melibatkan kepada kehidupan.

Justeru, apa yang paling penting difikirkan oleh manusia adalah, bagaimana hendak memastikan kehidupan ini sentiasa berada dalam taat, sehingga maut menjengok tiba?

Bagi menjawab persoalan ini, seorang ulama tasawwuf, Imam Abu Muhammad Abdul Haq berkata, “ketahuilah, sesungguhnya penutup yang buruk bagi seseorang itu, tidak akan berlaku bagi manusia yang sentiasa istiqamah dalam kebaikan zahirnya, dan sentiasa mensucikan batinnya”

”Tetapi, orang yang buruk akhir hayatnya adalah, mereka yang rosak akalnya, dan sentiasa melazimi dengan dosa-dosa besar. Apabila ia teruskan, menyebabkan dia mati dalam keadaan sedemikian sebelum sempat dia bertaubat” sambung Abu Muhammad Abdul Haq.

Justeru, bagi memastikan akhir kehidupan berada dalam ketaatan, aqidah yang betul, hendaklah dipastikan diri sentiasa berada dalam ketaatan; mensucikan batin, membersihkan zahir dengan amalan ketaqwaan. Di samping itu juga, sentiasa berhati-hati dari melakukan amalan dosa, sama ada kecil, mahupun dosa yang besar.

Berdoa dengan Allah, agar hati sentiasa kekal dengan ketaqwaan adalah amat penting. Ini kerana, sesuatu perubahan dalam diri seseorang itu, tertakluk kepada perubahan dalam hati. Apabila hati berubah, secara dasarnya, tubuh badan yang lain juga akan berubah.

Nabi SAW sendiri menyatakan, betapa hati merupakan asas amalan seseorang itu, sama ada menjadi baik atau buruk. Sabda Nabi SAW;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya;
”setiap amalan itu dengan niat (dari hati)” (Al-Bukhari : 1)

Memandangkan hati manusia boleh bertukar, daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada buruk. Berdoa agar hati sentiasa kekal dengan kebaikan, adalah perkara yang amat perlu dilakukan.

Anjuran ini, bukanlah satu perkara yang direka-reka, sebaliknya ia adalah hakikat amalan Nabi SAW. ini kerana, berdasarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa dia berkata;

“Nabi SAW sentiasa berdoa, Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam melakukan ketaatan kepada-Mu”

Anas bertanya, “Wahai Rasulullah, kamu sentiasa berdoa dengan doa ini. apakah kamu kebimbangan?”

“hati hamba itu, diantara dua jari daripada jari-jari Allah yang maha agong. Jika Dia mahu bolakkan, pasti hamba itu akan berbolak”, Jawab nabi SAW ringkas. (Musnad Ahmad : 11664)

Justeru, hindarkan dari dari sebarang maksiat, kerana ia mampu membawa manusia terjun ke lubang kebinasaan. Kebinasaan tersebut, tidak mustahil akan membawa manusia ke lubang neraka yang maha dasyat.

Ekoran itu, sebarang perkara yang boleh membawa kepada dosa, hendaklah dihindarkan diri sejauh-jauh yang mungkin. Sama ada dosa itu, melibatkan orang lain, begitujuga melibatkan diri sendiri. Ini kerana, ada sesuatu dosa itu, waima dilihat seperti melibatkan diri sendiri, tetapi ia tidak mustahil boleh melibatkan orang lain.

Hal ini dirujuk kepada satu hadis riwayat An-Nasai, bahawa Osman bin Affan ada menyebut;

اجتنبوا الخمر فإنها أم الخبائث

Maksudnya;
“Hindarkan diri kamu daripada arak, kerana ia adalah ibu segala dosa”

Kemudian, Osman menyambung katanya dengan bercerita, “ada seorang lelaki yang sentiasa beribadat. Seorang perempuan telah menarik dia masuk ke dalam bilik, dan mengajak berzina. Ketika itu, bersama perempuan tersebut ada seorang bayi kecil dan sebotol arak.”

“aku memberi kamu tiga pilihan” kata perempuan tersebut, “Sama ada kamu berzina denganku, kamu membunuh bayi kecil ini, ataupun kamu minum arak ini?” sambung perempuan itu sambil memegang botol arak yang dimaksudkannya.

Lelaki itu kebingungan memilih dari tiga pilihan tersebut. Dia berfikir, antara tiga pilihan ini, manakah yang berat bagi dirinya.

“Aku tidak sanggup berzina dengan perempuan ini” hatinya berdegus, “lebih aku tidak sanggup mencemarkan tanganku dengan darah untuk membunuh bayi kecil ini” sambungnya lagi.

“lebih baik aku memilih minum arak, kerana ia hanya melibatkan diriku sahaja” lelaki tersebut membuat keputusan.

Makanya, lelaki tersebut minum arak. ketika dia dalam kemabukan, dia berzina dengan perempuan tersebut. Di kala sedang dia berzina, kedengaran tangisan bayi, menyebabkan dia rasa terganggu. Makanya, dia bunuh bayi tersebut.

Waima lelaki itu hanya minum arak sahaja, tetapi memandangkan arak itu merupakan ibu segala dosa, menyebabkan lelaki tersebut melakukan juga dua dosa yang lain.

Makanya, Saidina Osman sekali lagi berpesan dengan katanya, “hidarilah dari dari minum arak, kerana ia adalah ibu segala dosa. Kerana sesungguhnya Iman dan minum arak sentiasa tidak boleh berhimpun” (An-Nasai : 5576)

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 November 2009 * 3:39 petang


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bagus juga kalau Tuan pergi ke pejabat Siasah untuk mendapatkan maklumat berkenaan Siasah dan apa yang berlaku di Siasah daripada publish apa yang tidak benar dan juga daripada menabur pasir dalam periuk nasi orang yang bekerja dengan ikhlas.