Rabu, 1 September 2010

BERTAZKIRAH DI HADAPAN MASYARAKAT HINDU

[1]

Haji tarmizi, selaku Naib YDP PAS kota raja merangkap penasihat DHPP Kota Raja memaklumkan program iftar dengan DHPP kota raja seperti yang dilakukan pada tahun lepas akan diadakan dalam bulan ramadhan pada tahun ini. Aku hanya mampu menggalakkan sahaja, disamping dari sudut hati kecil kagum dengan kesungguhan Pas Kota Raja atas kesungguhan mereka mengadakan program memperkenalkan keadilan Islam kepada masyarakat yang tidak beragama Islam.

Haji tarmizi minta agar aku dapat hadir sebagai pentazkirah, makanya aku bersetuju, waima tarikh belum ditetapkan lagi.

Tidak lama kemudian, PAS kota raja menetapkan tarikh program tersebut, dan aku dihubungi oleh Abang Sayed Malik untuk 'confirm' kehadiran. Aku menerima jemputan itu, dan bersedia untuk hadir untuk memberi komitmen sekadar yang mampu.

[2]

Jadual yang ditetapkan sudah hampir. aku tidak menyiapkan sebarang persediaan pun. Di kala itu, sebuk dengan dua isu menarik, iaitu isu doa hidayah terhadap Lim Guan Eng, dan isu YB Teo masuk ke dalam masjid.

Sedang asyik 'follow' isu yang dimainkan UMNO sehingga memperlihatkan kebodohan UMNO, sampai satu SMS dari abang sayed Malik untuk 'confirm' sekali lagi atas kehadiran, disamping dicadangkan beberapa point penting yang wajar disentuh dalam program tazkirah iftor ramadhan bersama masyarakat yang tidak beragama Islam itu.

Antara yang diminta diulas dan dikupas adalah, asal usul manusia daripada adam dan hawa, maqasid syariah, isu doa lim Guan Eng dan sebagainya. Aku terfikir beberapa kisah termaktub dalam Al-Quran, setelah membaca isu-isu yang diulas.

[3]

pada hari yang dijadualkan, aku masih sebuk menyiapkan buku karya tok guru nik abdul aziz yang bertajuk "jangan tinggalkan isterimu", yang dikutip dari hasil kuliah tafsir Tok Guru di dewan zulkifli dari surah at talaq.

Sedang pemikiranku terfokus, terdengar satu tone SMS berbunyi. Apabila di buka, termaktub
"program hari ini, pukul 5.30 petang, jangan lupa" dari Abang Sayed Abdul Malik. Aku hanya membalas, "ok, insya Allah" sahaja.

Aku menyambung kerjaku itu sehingga jam didinding menunjuk pukul 4.15 petang. Setelah itu, aku mula membuka balik SMS yang terkandung permintaan isu-isu yang akan ulas dan kupas nanti.

Aku terus membuka beberapa buah kitab tafsir, seperti Ibnu kathir dan tafsir kabir. Imam fakhrurrazi. Dan aku catit beberapa point penting untuk dikupas, seperti ayat pertama dari surah an-nisa, ayat ke 13 dari surah al hujurat, ayat ke 58 surah an nisa'. di chek balik segala asbab an nuzul ayat itu, dan beberapa kisah menarik untuk dilontarkan dalam program.

Setelah itu, Aku terus bersiap-siap untuk menunggu azan asar, dan bertekad selesai solat bahawa aku terus bertolak ke klang untuk menghadiri majlis yang telah dijadualkan.

[4]

Aku sampai agak awal. justeru tidak terus ke tempat program. Aku berhentikan keretaku di bawah redupan bayang-bayang pokok kelapa. Membelek mashaf al-quran, meneliti ayat-ayat dari surah an nisa, dan bertadabbur.

ayat satu dari surah an Nisa, dinyatakan satu sentuhan yang cukup menyentuh jiwa. Di suruh semua manusia supaya bertaqwa, walhal ikut logiknya, berapa ramai orang yang sudah beriman pun tidak memahami apa itu taqwa.

Aku merenung tajam ke arah lambaian pelepah pokok kelapa. Terlintas di fikiranku, hikmah dan metafora yang mahu Allah maksudkan dengan panggilan "wahai manusia", bukan panggilan "wahai orang beriman", supaya mereka bertaqwa kepada Allah menerusi ayat dari surah "perempuan" itu.

Wah. Hebatnya sentuhan Allah menerusi ayat ini. Mahu diceritakan soal manusia yang bermula dari adam, kemudiannya hawa dan seterusnya beranak pinak, tetapi diulang-ulang pesanan agar tidak lupa, agar manusia sentiasa bertaqwa. Ia seperti isyarat dari Allah, bahawa golongan perkauman pasti akan wujud dari kalangan manusia, sama perkauman itu atas nama melayu, atas nama india, atas nama cina, dan sebagainya. Atas dasar perkauman itu, manusia sanggup menindas antara satu dengan yang lain.

"ayat ini perlu aku kupas dalam tazkirah nanti" hati kecilku berbisikan.

Dibelek pula ayat ke 58 dari surah yang sama, terlintas dalam benak kecilku tentang kisah sang penjaga kunci kaabah yang bernama Osman bin Talhah bin Abd ad-dar. Ayat yang menerangkan pemberian amanah kepada yang berhak, sebenarnya dibawah maksud keadilan Islam, waima pemberian hak itu kepada non Muslim sekalipun. Ia bukti keadilan Islam, bahawa tidak ada penafian hak dalam Islam. Jika difatwakan boleh, wajib diketahui bahawa ia dari mufti yang mengutip ufti dari pembesar-pembesar berasobiyyahkan melayu.

Selanjutnya lagi, surah al hujurat ayat ke 13 menjadi renungan. Kisah Bilal bin rabah dihina oleh orang-orang Islam yang bertopeng [munafiqin] melakukan penghinaan terhadap sahabat Nabi yang berkulit hitam, lalu dicerca tindakan mereka dengan penurunan firman-Nya.

[5]

Jam menunjuk pukul 5:30 petang. Aku terus bergegas ke tempat program. Sebuah dewan orang ramai yang berada bersebelahan sebuah surau.

Aku tidak terus ke dewan, sebaliknya ke surau untuk berwudu. Setelah berwudu, baru aku menuju ke dewan. Aku terus mengambil tempat dihadapan hadirin, kerana di arahkan begitu.

ucapan awal disampaikan oleh pengerusi majlis, kemudian diikut Naib YDP, merangkap penasihat DHPP Kota Raja, dan YDP PAS Kota Raja. Sebelum sampai giliranku, Wakil MP Kota Raja juga menyampaikan sedikit amanat. Ucapan dari keempat-empat tokoh itu, mengambil masa hampir setengah jam lebih.

Terakhirnya adalah ucapan dari Ketua DHPP Kota Raja, merangkap Setiausaha DHPP Pusat. Ucapan yang disampaikan bercampur antara bahasa tamil dan melayu. Dalam bahasa melayu, bolehlah difahami. tetapi dalam bahasa Tamil, kita turut sama gelak apabila melihat hadirin berbangsa india gelak, walau kami tidak faham apa yang diperkatakan.

Setelah ucapan dari ketua DHPP Kota Raja, aku terkejut apabila pengerusi majlis, seorang yang berbangsa melayu tulin menyebut tentang apa yang diperkatakan oleh ketua DHPP itu.

"wah... dia faham tamil" bisik hatiku kagum.

[6]

sampai giliranku menyampaikan tazkirah di hadapan hadirin yang bercampur antara muslim dan tidak muslim. yang muslim, agak senang untuk menyampaikan tazkirah, kerana ia adalah satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan. jika dibaca sebarang ayat Al-Quran dan hadis pun, ia tidak menjadi satu perkara yang janggal.

Namun, bertazkirah tentang islam dihadapan non Muslim, agak susah sedikit. ada perkara yang kadangkala diterangkan dalam bahasa yang tidak boleh melahirkan persepsi buruk kepada islam itu sendiri.

kupasanku bermula dari kisah yang berlaku di zaman nabi yang mempunyai kaitan rapat dengan dua ayat Al-Quran, iaitu surah An-nisa' ayat pertama dan surah Al-hujurat ayat ke 13. gambaran perjuangan nabi SAW yang membela hak manusia yang ditindas, menyebabkan nabi SAW mendapat tentangan dari pihak penindas.

Diungkapkan juga kemurkaan Allah terhadap orang-orang munafiq yang memperlekeh Bilal bin rabah ekoran kulitnya yang berwarna hitam, menerusi kisah asbab An-Nuzul dari ayat 13 surah Al-hujurat. Dinyatakan, Islam mengharamkan penafian hak atas alasan warna kulit dan bangsa, malahan islam menilai semua manusia itu sama kecuali mereka yang melakukan kebaikan [taqwa].

[7]

dikupas juga isu yang sedang hangat dibincangkan. Antaranya adalah doa hidayah terhadap Lim Guan Eng, dan juga isu YB Teo dari parti DAP yang menziarahi salah sebuah surau di dalam parlimennya.

dikemukakan beberapa kisah yang berkaitan, dan dinyatakan konsep pemahaman islam mengikut aturan nabi muhammad SAW, yang jauh berbeda dengan konsep Islam yang dibawa oleh UMNO.

"Islam nabi jangan disamakan dengan Islam melayu" ujarku dalam ucapan yang sengaja aku ulang-ulangkan agar non muslim faham, bahawa segala kecelaruan yang dilihat negatif pada Islam yang berlaku di malaysia kebelakangan ini adalah mainan politik UMNO.

di akhir kata, aku menyebut, "Orang bukan islam tidak perlu takut dengan islam, kerana islam adalah agama yang memberi keselamatan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja, tidak kira kepada muslim atau kepada non Muslim. Jika ada orang islam yang bertindak menindas orang bukan islam atas nama islam, fahamilah itu adalah islam melayu, bukan islam cara nabi muhammad SAW"

Akhir ucapanku disambut dengan tepukan dari hadirin.

[8]

setelah majlis memberi bantuan kepada yang memerlukan dilakukan, kami semua bersiap-siap untuk duduk dihidangan santapan berbuka. sedang duduk, abang Razif menyebut kepada salah seorang lelaki india beragama hindu untuk bertanya kepadaku tentang banyak kemusykilan tentang islam yang pernah dilontarkan kepada pihak PAS kawasan sebelum ini.

Lelaki india itu pun duduk ditepiku, dan berceloteh. Aku hanya mendengar sahaja celotehnya itu.

"Saya sangat suka sama PAS, sebab PAS perjuangkan islam. Saya tengok, Nabi Muhammad boleh jadi PM di madinah, tapi orang islam hanya 30 persen saja. lagi 70 persen rakyat madinah bukan beragama islam. Itu nabi Muhammad boleh bina itu kerajaan itu macam, bermakna itu Islam banyak bagus la" ujarnya menyebabkan aku kagum.

Banyak lagi celotehnya tentang islam yang aku dengar. antara yang menyebabkan aku terkejut, dia sebut, "Saya punya abang sudah masuk islam. Namanya sudah tukar. namanya, Abdul Malik bin Abdullah"

Aku terkejut mendengar apa yang dia sebutkan itu. Timbul dalam pemikiranku secara spontan, apakah dia masuk islam itu memangnya dia faham islam, ataupun mungkin faktor mahu berkahwin dengan orang melayu. Kalau dilontar soalan sebegitu, agak kurang tepat, tetapi aku melontarkan soalan dalam bentuk yang lain sikit.

"Dia punya Isteri orang melayu ker?" soalku.

"Tidak.. Isterinya india juga, tapi mamak" jawabnya ringkas.

fahamlah aku, abangnya masuk islam bukan kerana faktor perkahwinan, tetapi faktor kefahamannya terhadap islam.

"You pula bila mau masuk islam" soalku lagi.

"eh.. hidayah belum sampai lagi" ujarnya ringkas menyebabkan aku ketawa kecil.

[9]

kemudian datang YDP, Timbalan YDP, Naib YDP, Wakil MP Kota Raja, Ketua DHPP KOta raja duduk semeja dengan kami menunggu azan kemunandang untuk berbuka puasa. Tidak lama kemudian azan berkumandang, dan kami berbuka puasa bersama-sama.

"orang hindu pun tunggu azan maghrib untuk makan.." hatiku berbisikan.

sekian

baca sama:
tazkirah ust OneG memukau ahli DHPP [Dr Mariah mahmood]

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- sri Indah [b] Sg Buloh
1 september 2010 * 4:32 petang

3 ulasan:

pria malaya berkata...

Ustaz, tahniah ana ucapkan..semoga terus sukses untuk berdakwah..insyaAllah...

http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/09/siyasah-dan-dakwah-pas-terus-giatkan.html

pencatat berkata...

mana komen pecacai Pekembar... ahahah... sakitnya hati baca artikel ni ya ahaaahahaha abdullah bin ubay....

ALI MAIDIN berkata...

Teruskan ya sahabat...