Dari huzaifah bin al-Yaman ; sesungguhnya Rasulullah saw berjumpanya dalam keadaan dia sedang berjunub. Dia pun mengelak dari berjumpa dengan baginda. Kemudian dia mandi lalu datang kepada baginda. Lalu berkata, aku tadi berjunub. Lalu baginda saw menjawab, 'sesungguhnya orang islam itu tidak bernajis' (riwayatkannya jemaah kecuali bukhari dan tirmizi)
1- orang islam tidak bernajis
hadis ini membuktikan bahawa orang islam tidak bernajis, sama ada berjunub atau tidak. Makanya, bekasan air orang berjunub tidak boleh dikira sebagai air najis.
Disamping hujjahnya dengan hadis huzaifah ini, ia seiras dengan hadis Abu Hurairah yang mengelak berjumpa dengan Rasululllah saw dalam keadaan sedang berjunub.
Hadis ini juga menjadi dalil bahawa orang islam tidak najis, sama ada hidup atau mati. Cuma ada sebilangan ulama berpendapat bahawa orang muslim yang mati dikira sebagai najis juga. Pendapat ini didokong oleh Abu Hanifah, dan dua tokoh dari ahl bait, iaitu al-hadi dan al-Qasim. Alasan yang digunakan mereka adalah di zaman salaf berlaku satu kejadian seorang lelaki habsyah mati terjatuh dalam telaga zam zam. Lalu dibuang sebilangan air telaga zam zam ekoran untuk membersihkan air tersebut.
2- najiskah orang kafir?
Orang kafir tidak dikira sebagai najis. Ini kerana, terdapat banyak nas-nas hadis yang menyatakan bahawa orang kafir yang disentuh oleh nabi seperti bersalaman, bahawa nabi saw tidak membasuh tangannya.
Disamping itu juga, ada beberapa kejadian bahawa nabi saw mengikat sumamah bin usal dalam masjid.
Namun begitu, ada sebilangan ahli zahir, al-hadi dan al-qasim dari ahl bait dan malik berpendapat bahawa orang kafir itu adalah najis. Mereka beralasan dengan zahir ayat al-Quran bahawa Allah SWT berkata, 'sesungguhnya orang kafir itu adalah najis'.
Namun begitu, pendapat ini dibangkang oleh jumhur ulama dengan menyatakan bahawa najis yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran adalah kenajisan aqidah, bukan badan mereka itu adalah najis. Juga diihtimalkan maksudnya adalah tidak terjaga mereka dari najis, seperti anjing dan babi.
3- bekas makanan orang kafir
bekas makanan orang kafir adalah suci selama bekas itu tidak terkena najis, seperti bekas minuman arak dan makan babi.
Adapun bekas itu tidak terlibat dengan perkara najis, maka ia dikira sebagai suci. Ini disandarkan banyak dalil, antaranya adalah nabi saw pernah berwudu menggunakan bekas orang kafir, nabi saw ikat sumamah bin usal dalam masjid ketika dia masih lagi musyrik, nabi saw makan kambing yang dihadiah oleh yahudi, nabi saw makan keju yang diambil dari negara nasrani dan banyak lagi.
4- hormat orang mulia
dalam hadis ini, kita dapati bagaimana para sahabat menghormati Nabi saw. Walaupun soal junub ini adalah perkara yang tidak nampak dilihat, mereka tetap tidak berjumpa dengan nabi dalam keadaan mereka berjunub.
Perbuatan berjumpa dalam keadaan berjunub bukanlah perbuatan yang haram, tetapi tindakan itu dikira sebagai beradab dengan nabi saw.
Wallahu 'Alam
(nail al-awtar, jld 1, hlmn 20 - 22)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan