Selasa, 28 Ogos 2012

[WACANA RANG HUDUD KELANTAN] IJTIHAD DALAM PERLAKSANAAN


BAB SATU : IJTIHAD TANZILI

Sebelum Kita mulakan isu perlaksanaan Rang undang-undang hudud kelantan, perlu diperjelaskan dahulu tentang pembahagian hukum itu sendiri. Sesuatu hukum itu perlu dilihat dari dua sudut, iaitu tasyrik dan tanzili.

TASYRIK

Dari segi tasyrik atau pensyariatannya, semua kandungan syariah telah sempurna. 

Firman Allah;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya:
"hari ini, telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku cukupkan bagimu nikmatku, dan aku redha Islam sebagai agama" [Al-Maidah : 3]

TANZIL

Ada satu lagi yang perlu diperhatikan tentang hukum ini adalah dari sudut tanzil atau perlaksanaan. Disamping perbincangan tentang ijtihad fi Fahm al-Nusus (ijtihad dalam memahami nas), tidak boleh diabai satu lagi ijtihad yang disebut oleh al-Ijtihad al-Tanzili, iaitu ijtihad dalam perlaksanaan.

Ijtihad fi at-Tatbiq atau al-tanzili adalah “al-Ijra’ al-amali atau proses amali  terhadap perkara yang telah terhasil atas tahap kefahaman yang nyata bagi hukum-hukum syarak (untuk diadaptasikan) terhadap reality sesuatu perbuatan” (Fi al-Ijtihad al-Tanzili, hlmn 19)

Menurut Dr Basyir, perbincangan tentang tanfiz dalam kitab-kitab usul amat berkurangan. Sekiranya wujud perbincangan pun, ia sekadar perbincangan yang sedikit, juga bersifat mujmal atau tidak terperinci. Ekoran itu, ada sebilangan ulama menyatakan bahawa orang yang mula-mula membicarakan perkara ini secara bersungguh-sungguh adalah Al-Imam Abu Ishaq As-Syatibi menerusi kitab beliau yang masyhur, iaitu al-Muwafaqat.

Buktinya adalah seperti termaktub dalam kitab al-Muwafaqat dengan katanya, “tujuan disebalik dalil-dalil adalah diselaraskan perbuatan mukallaf mengikut kadarnya” (al-Muwafaqat, jld 3, hlmn 23)

Menurut Dr Bashir lagi, antara ulama terkemudian yang membicarakan perkara ini secara bersungguh-sungguh adalah Dr Muhammad Fathi al-Duraini. (al-Ijtihad al-Tanzili, hlmn 22)

Dalil-dalil ijtihad Tanzili;

Dalil pertama:

Sabda Nabi SAW;

قَدْ كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَقَدْ أُذِنَ لِمُحَمَّدٍ فِي زِيَارَةِ قَبْرِ أُمِّهِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

maksudnya;
                "aku pernah menghalang kamu dari menziarahi kubur. Lalu sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya, maka ziarahilah, kerana ia boleh menyebabkan mengingati akhirat" (al-Tirmizi, hadis no : 974)

Dari sudut tasyrik, harus ziarah kubur. Tetapi dari sudut tanzil, di awal-awal Islam, Nabi SAW melarang ziarah kubur. Kerana, mengenangkan sahabat yang baru sahaja dengan keimanan, budaya jahiliyyah (niyahah atau meratap) akan dilakukan sesama di kubur.

Dalil kedua;

Nabi SAW pernah maklumkan kepada Aisyah bahawa Kaabah tidak berada ditapaknya yang tepat. Baginda SAW ingin ubahnya, tetapi tidak dilakukan waima telah menguasai makkah. Itu menyebabkan Aisyah bertanya. Nabi SAW menjawab;

لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Maksudnya;
"kalau la tidak umat kamu baru sahaja meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku lakukannya" (Muwatta’, hadis no : 710)

Dari sudut tasyrik adalah meletakkan tapak itu pada tapaknya yang tepat. Tetapi dari sudut tanzili, nabi tangguhkan dahulu.

Dalil ketiga:

Abdul Malik, iaitu anak Umar bin Abdul Aziz bertanya kepada ayahnya bahawa tindakan bapanya yang tidak terus menukarkan beberapa perkara dalam pemerintahan agar total sesuai dengan Islam. Mendengar pertanyaan anaknya itu, Umar bin Abdul Aziz berkata;

لَا تَعْجَلْ يَا بُنَيَّ، فَإِنَّ اللَّهَ ذَمَّ الْخَمْرَ فِي الْقُرْآنِ مَرَّتَيْنِ، وَحَرَّمَهَا فِي الثَّالِثَةِ، وَإِنَّى أَخَافُ أَنْ أَحْمِلَ الْحَقَّ عَلَى النَّاسِ جُمْلَةً، فَيَدْفَعُوهُ جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya:
"jangan kamu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak dalam Quran sebanyak dua kali, dan haramkannya pada kali ketiga. Aku bimbang melaksanakan Islam secara total, maka akan ditolak oleh rakyat secara total. Maka itu adalah fitnah" (al-Muwafaqat, jld 2, hlmn 148)

Arak itu sendiri, pengharamannya wujud semenjak awal lagi, iaitu dalam taurat dan injil. Tetapi, diharamkan secara bertahap-tahap kerana faktor tanzili.

Nyata dari sini, bahawa hukum itu sendiri terbahagi kepada dua; tasyrik dan tanzili. 

FATWA ULAMA BERSIFAT TANFIZ

Di sini dipaparkan beberapa fatwa ulama-ulama muktabar yang dapat dibedakan antara perkara tasyrik dan perkara tanzili. Antaranya adalah seperti berikut;

IMAM HANAFI

Beliau pernah mengizinkan orang farsi membaca fatihah dalam bahasa farsi ketika awal mereka memeluk Islam. (al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradawi, hlmn 193)

IMAM MALIK

Dalam salah satu fatwa beliau, boleh bunuh kambing yang boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan kepunyaan orang awam tanpa wajib diganti balik, walhal hukum asal, wajib ganti balik apabila merosakan binatang orang tanpa izin. (al-Mudawwinah, jld 5, hlmn 440)

IMAM AS-SYATIBI

Beliau pernah menfatwakan bahawa boleh penjarakan orang yang disyaki (yang kuat) melakukan sesuatu jenayah, walhal dlm syariah, asal adalah seseorang itu bebas dari sebarang kesalahan. (al-I’tisam, jld 2, hlmn 323)

IMAM AL-IZZ BIN ABDIS SALAM

Pada beliau, perlu dilantik orang kurang fasiq daripada dua orang fasiq untuk jawatan pemerintah dikala tiada orang fasiq. Walhal, dlm nas dilarang melantik pemerintah fasiq[1]. (Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam, jld 1, hlmn 9)

UMAR BIN AL-KHATTAB

Dalam pemerintahan, beliau pernah melarang kawin dengan ahli kitab, walhal nas mengizinkan perkara ini. (al-Tahlil al-Maqasidi, hlmn 141)

Firman Allah :

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آَتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

Maksudnya;
                “Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan[402] diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik” [Al-Maidah : 5]

IMAM HANBALI

Ibnu rajab Hanbali berpendapat bahawa boleh sembelih kambing yang hampir mati kerana hendak menjaga harta dari membazir, walhal sembelih kambing kepunyaan orang lain adalah haram. (al-Qawaid, hlmn 227)

Begitujuga, Ibnu qayyim menyatakan larangan  melaksanakan hudud kepada pemaksiat ketika sedang berlaku peperangan. (‘Ilam al-Muwaqqiin, jld 3, hlmn 115)

KESIMPULAN

Hukuman-hukuman yang terkandung dalam hudud, dari sudut tasyrikh atau pensyariatannya adalah wajib diterima secara qatie tanpa pertikaian lagi. Namun, dalam kerangka demokrasi, ia perlu dibukukan dalam satu bentuk bertulisan untuk dijadikan rujukan oleh hakim dan peguam-peguam yang berhujjah dalam menentukan sesuatu hukuman atau kesalahan. 

Makanya, apabila ia di enakmenkan atau ditaqninkan, sudah pasti ia tertakluk kepada pendapat-pendapat fuqaha'. Makanya ia tidak lepas dari ijtihadi. Apabila ia sudah jadi ijtihadi,  ia semestinya bersifat boleh dikritik, dan sudah pasti terdapat unsur tepat atau tidak tepat, sesuai atau tidak sesuai; apakah perlu disegerakan, atau tidak. Semua ini perlu diperhalusi agar perlaksanaan itu sememangnya mendatangkan kebaikan lebih banyak berbanding keburukan.

Dalam perlaksanaan, jika boleh mendatangkan keburukan lebih banyak berbanding kebaikan, adalah wajar ia ditangguhkan terlebih dahulu dan dibaik-pulih sehingga ternyata ia berjaya dilaksanakan dengan jayanya.


[1] Imam Al-Qurtubi menyatakan;

لأنه لا خلاف بين الأمة أنه لا يجوز أن تعقد الإمامة لفاسق

Maksudnya;
                “Tiada khilaf dikalangan umat bahawa tidak harus melantik pemimpin yang fasiq” [al-jami’ al quran : 1/101]

Ini kerana, antara faktor asasi melantik pemerintah adalah untuk menghapuskan kezaliman dari tersebar. Pemerintah yang fasiq, tidak mungkin mampu menghapuskan kezaliman.

Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya;
                “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq dengan berita, maka hendaklah kamu siasat”
[Al-Hujurat : 6]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Quddamah menyatakan dalam kitab Al-Mughni;

وَلَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْحَاكِمُ مِمَّنْ لَا يُقْبَلُ قَوْلُهُ ، وَيَجِبُ التَّبَيُّنُ عِنْدَ حُكْمِهِ ؛ وَلِأَنَّ الْفَاسِقَ لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ شَاهِدًا ، فَلِئَلَّا يَكُونَ قَاضِيًا أَوْلَى

Maksudnya;
                “tidak harus bahawa seseorang hakim itu dilantik dari kalangan orang yang perkataannya tidak didengari. Wajib mendapat pembuktian dari perkataannya. Ini kerana, orang yang fasiq itu tidak harus menjadi saksi. Maka terlebih utama tidak boleh menjadi qadhi” [Al-Mughni : 22/454]

Tiada ulasan: