Ahad, 26 Ogos 2012

[NAIL AL-AWTAR 3] WUDU’ DAN AMBIL BERKAT NABI


Dari Jabir bin Abdillah berkata, Rasulullah SAW menziarahiku ketika aku sedang sakit. Aku tidak mengerti (mengapa nabi SAW menziarahiku). Lalu baginda SAW berwudu’ dan menuangkan air wudu’ baginda kepadaku” (Muttafaqun alain)

Dalam kisah sulh al-hudaibiyah, melalui riwayat miswar bin mukharramah dan Marwan bin al-hakam : tidaklah nabi SAW membuang kahak kecuali pasti akan ada tapak tangan yang menyahutinya, lalu mereka akan mengosokkan kahak itu ke muka dan ke kulit. Dan apabila nabi berwudu’, mereka hampir berbunuh-bunuhan untuk merebut air wudu’ nabi Saw itu” (Ahmad, al-bukhari)

1-      Menggunakan air musta’mal

Dengan hadis ini, ulama sepakat mengatakan air musta’mal adalah suci. Ia boleh diminum, boleh buat tanak nasi dan seumpamanya.

Adapun untuk menyucikan, qaul jaded imam al-syafie menyatakan ia tidak boleh digunakan untuk berwudu’ dan tidak boleh digunakan untuk mandi wajib. Pendapat ini dikukuhkan dengan hadis Abu HUraiarah bahawa Rasulullah Saw ada berkata, “jangan seseorang kamu mandi dalam air yang tenang dalam keadaan kamu sedang berjunub”.

Namun begitu, pendapat qaul jaded syafie ini tidak sealiran dengan pendapat jumhur yang menyatakan bahawa air musta’mal boleh digunakan untuk berwudu’ dan mandi jinabah. Ini kerana, mereka melihat hadis itu ditafsirkan oleh hadis yang lain

Adapun ada pendapat yang menyatakan bahawa hadis yang cerita tentang digunakan bekas wudu’ Nabi SAW itu, ia adalah khususiyyat rasulillah SAW. Dijwab oleh al-Syaukani bahawa dakwaan khususiyyat Nabi tidak tepat, kerana jika benar ia khususiyyat Nabi, ia perlu ada dalil yang menyatakan demikian.

2-      Celup tangan dalam air

Tidak salah kita mencelup tangan ke dalam air, kerana ia dilakukan sendiri oleh Rasulullah Saw. Namun, dalam beberapa hadis, nabi SAW ada menyuruh bahawa sebelum tangan hendak mencelup, hendaklah dibasuh terlebih dahulu tangan itu, terutama ketika bangun dari tidur. Ini kerana, semasa kita tidak tidur, kita tidak tahu kemana tangan kita pergi. Kemumngkinan kita pegang kemaluan atau dubur yang merupakan tempta yang keluar najis dan seumpamanya.

3-      Mengambil keberkatan nabi SAW

Dalam hadis ini, kita dapati para sahabat cukup mengambil keberkatan nabi Saw sehinggakan air wudu’ nabi SAW direbuti. Juga, kahak nabi SAW. Perkara ini banyak sabit dalam hadis, antaranya seperti satu hadis dari al-Saib bin yazid cerita bahawa semasa dia kecil dia dibawa oleh ibu saudaranya berjumpa dengan rasulullah Saw. Ibu saudaranya menyatakan kepada rasulullah Saw “Wahai Rasullullah, Sesungguhnya anak saudaraku ini sakit”

Nabi SAW pun menyapu kepala al-saib kemudian mendoakan keberkatan kepadanya. Kemudian Baginda SAW berwudu’ dan air wudu’ nabi SAW itu diminum oleh al-saib.

(Nail al-Awtar, jld 1, hlmn 18-20)


Tiada ulasan: