BAB DUA : MUHSON DAN GHAIR
AL-MUHSAN
Dalam Rang Undang-Undang Hudud Kelantan, dalam klausa 10(2) menyatakan;
'jika pesalah itu (zina)
sudah berkahwin dengan sah dan telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan
itu, maka pesalah itu dinamakan 'mohsan' tetapi apabila pesalah itu belum
berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat persetubuhan dalam
perkahwinan itu maka pesalah itu dinamakan 'ghairu mohsan''.
Jika diperhatikan, didapati definisi ini saling tidak tumpah dengan
maksud definisi yang diambil dari kitab Qanun Jenayah Syar’iyyah, tulisan Bekas
Mufti Sabah, iaitu Haji Sa’id Haji Ibrahim. Dalam kitab tersebut menyatakan;
“Zina Muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan halal (Sudah berkahwin)”
“Zina Ghairu Muhsan, iaitu lelaki dan perempuan yang belum pernah melakukan
persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin)” (hlmn 27[1])
Walaubagaimanapun, dari klausa ini, kita
dapati adalah seperti berikut;
Mohsan adalah:
1- orang
yang sudah berkahwin.
2- Pernah
merasai jimak yang sah.
Adapun ghairu mohsan pula adalah:
1- Zina
bagi orang yang belum berkahwin;
2- atau
pernah berkahwin tapi tidak pernah melakukan jimak dalam perkahwinan itu.
Dalam klausa 11(1) Rang undang-undang hudud itu pula menyatakan;
'jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan,
maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukum rejam, iaitu dilontar dengan
batu yang sederhana besarnya sehingga mati'
Dalam kluasa 11 (2) pula menyatakan;
'Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu
mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak
seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama setahun'
Kita tidak nafikan, ini adalah definisi dalam kitab-kitab fiqh, tetapi sewajarnya ia tidak diambil secara literal atau copy paste tanpa diperbincangan secara mendalam, lalu diberikan satu definisi yang lebih tepat dan adil.
Melihat kepada definisi mohsan, timbul perbincangan beberapa persoalan, antaranya adalah;
1-
Bagaimana pula jika penzina itu adalah duda atau janda?
2-
Bagaimana jika penzina itu seorang perempuan yang
ditinggalkan suami lebih jangka yang sepatutnya?
Jika merujuk kepada definisi Rang undang-undang hudud
kelantan, mereka ini termasuk dibawah muhsan, makanya mereka akan dikenakan
hukuman rejam.
Namun begitu, jika kita merujuk kepada perbincangan dikalangan fuqaha' kontemporer; antaranya menurut Rashid Ridha, tentang maksud muhsan, kita akan dapati ada sikit perbincangan yang menarik.
Menurut Rashid Ridha, yang dikatakan mohsan itu adalah
orang yang berkahwin. Apabila bercerai, maka orang itu sudah tidak boleh lagi
disebut sebagai mohsan. Ia membandingkan dengan orang yang bermusafir. Apabila seorang
pemusafir kembali dari permusafirannya, maka orang itu tidak boleh lagi dikira
sebagai musafir, sepertimana orang sakit yang telah sembuh, tidak boleh digelar
sebagai pesakit lagi. (Tafsir al-Manar,
jld 5, hlmn 21)
لِأَنَّهُمْ يَعُدُّونَ مَنْ تَزَوَّجَتْ مُحْصَنَةً بِالزَّوَاجِ وَإِنْ آمَتْ
بِطَلَاقٍ، أَوْ مَوْتِ زَوْجِهَا، وَالْوَصْفُ لَا يُفِيدُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْمُحْصَنَةَ
بِالزَّوَاجِ هِيَ الَّتِي لَهَا زَوْجَ يُحْصِنُهَا، فَإِذَا فَارَقَهَا لَا تُسَمَّى
مُحْصَنَةً بِالزَّوَاجِ كَمَا أَنَّهَا لَا تُسَمَّى مُتَزَوِّجَةً، كَذَلِكَ الْمُسَافِرُ
إِذَا عَادَ مِنْ سَفَرِهِ لَا يُسَمَّى مُسَافِرًا، وَالْمَرِيضُ إِذَا بَرِئَ لَا
يُسَمَّى مَرِيضًا
Imam Abu zuhrah pula menyatakan bahawa tiada nas yang saheh yang boleh menentukan sama ada seorang perempuan yang telah diceraikan atau lelaki yang isterinya sudah meninggal harus dikelaskan dibawah mohsan. Pada Abu Zuhrah, seorang yang mohsan adalah seorang yang dilindungi dalam berkaitan wanita, oleh suaminya dan jika terdapat perceraian, dia bukan lagi muhsanah sepertimana dia juga bukan seorang mutazawwijah, ataupun seorang perempuan berkahwin. (al-Jarimah wa al-Uqubat fi al-Fiqh al-Islami, hlmn 101 - 102)
ANTARA TUJUAN PERNIKAHAN CEGAH ZINA
Antara kandungan maqasid disebalik pensyariatan pernikahan adalah mencegah
dari kerosakan sistem kekeluargaan. Ia boleh menjadi rosak dengan berlakunya
zina. Ekoran itu, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran;
وَمِنْ آَيَاتِهِ
أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ
بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً
Maksudnya;
“Daripada
tanda-tanda kekuasaan -Nya bahawa Dia menciptakan kamu dari diri kamu sendiri
pasang-pasangan hidup, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dijadikan
diantara kamu kasih dan sayang” (Surah al-Rum, ayat 21)
Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan tujuan perkahwinan itu sendiri
adalah “li taskunu”, iaitu kecenderungan dan merasa tenteram. Ulama-ulama
Tafsir memberi maksud bagi “li taskunu” itu adalah kecenderungan hati. Sedangkan
maksud dengan “mawaddah” itu adalah, kasih dengan persetubuhan, dan “Rahmah”
pula adalah sayang dengan mendapat anak” (al-Tafsir al-Kabir, Imam Fakr al-Din
al-Razi, jld 12, hlmn 225)
Dan lagi, jika diperhatikan dari sudut perbahasan kitab-kitab fiqh,
faktor perkahwinan menjadi wajib adalah, apabila tidak berkahwin itu boleh
membawa kepada zina. Perkara ini ditegaskan dalam mazhab Maliki[2], Hanafi[3], Syafie[4] dan
Hanbali[5].
Dengan ini, dapat difahami bahawa antara tujuan terpenting bagi
perkahwinan adalah mencegah diri manusia dari kecenderungan kepada persetubuhan
secara haram. Perkara ini amat sesuai dengan satu sabda Nabi SAW;
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ
مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ
لِلْفَرْجِ
Maksudnya;
“Wahai
para pemuda, barangsiapa dikalangan kamu yang ada kemampuan, maka hendaklah dia
berkahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan dapat menyelamatkan bagi
kemaluan (dari zina)” (al-Bukhari, hadis no : 4678)
Namun begitu, dalam beberapa keadaan berlaku, iaitu ada orang yang sudah
berkahwin, lalu ia bercerai atau berlaku kematian atau ditinggalkan suami
secara tidak bertanggungjawab. Dengan maksud, punca untuk menyelamatkan
kecenderungan mereka kepada zina sudah tiada. Dengan maksud, kecenderungan
mereka zina lebih mendesak. Makanya dikenakan hukuman rejam kepada mereka ini
amat tidak sesuai dengan kandungan syariat itu yang bersifat ihsan.
Oleh itu, Jika dilihat dari kerangka itu, sudah pasti
pendefisian muhsan dari rangka Rang undang-undang hudud kelantan ini menyalahi
konsep ihsan. Ini kerana, pengawalan kehendak hawa nafsu bagi mereka yang pernah
merasai persetubuhan berbeda dengan mereka yang tidak pernah bersetubuh
langsung. Dengan maksud,
kecenderungan untuk melakukan seks itu lebih kuat berbanding mereka yang tidak
pernah melakukan hubungan seks.
KESIMPULAN
Jika dilihat dari sudut rang undang-undang hudud
kelantan pun, orang yang berzina, kemudian berzina buat kali kedua, dia juga
dikira sebagai gharu mohsin. Makanya ia dikenakan hukuman sebat. Tetapi orang
yang sudah berkahwin, lalu bersetubuh dan kemudiannya bercerai; kemudian
berzina dikenakan hukuman lebih berat, iaitu rejam.
Melihat ini, sudah nampak kekalutan sikit dari sudut ihsan jika dirujuk pada Rang undang-undang hudud kelantan. Ini kerana, ruang zina itu lebih terbuka berbanding ruang pernikahan.
Makanya adalah lebih relevan dirujuk kepada kupasan Abu
Zuhrah dan Rashid Ridha dalam hal ini. Lebih-lebih lagi, ia amat bersesuaian
dengan maksud mohsan itu sendiri dari sudut falsafahnya, iaitu seseorang yang
telah menikmati keindahan alam perkahwinan, dia lebih terdorong untuk menjaga
dan melindungi ikatan perkahwinan tersebut.
Melihat kepada perkara ini, dicadangkan kepada para ilmuan Islam di
Malaysia – Khususnya dari PAS – bahawa diberikan pendefinisian yang lebih tepat
yang terkandung maksud adil dan ihsan
dalam Rang Undang-Undang Hudud kelantan.
Bersambung dalam bab lain.... (smile, peace .... :D)
Wallahu 'Alam.
[1] Dalam
kitab tersebut dinyatakan bahawa rujukan kedua-dua definisi ini adalah dari
kitab kifayah al-Akhyar, jld 2, hlmn 178.
[2] المالكية - قالوا: يفترض
النكاح على من له رغبة فيه ويخشى على نفسه الزنا إذا لم يتزوج ولم يستطع كف نفسه بالصيام
[3] الحنفية - قالوا: يكون
الزواج فرضاً بشروط أربعة: الأول أن يتيقن الشخص الوقوع في الزنا إذا لم يتزوج
[4] الشافعية - قالوا: الأصل
في النكاح الإباحة فيباح للشخص أن يتزوج بقصد التلذذ والاستمتاع فإذا نوى به العفة
أو الحصول على ولد فإنه يستحب. ويجب النكاح إذا تعين لدفع محرم كما إذا خافت المرأة
على نفسها من فاجر لا يصده عنها إلا التزوج فإنها يجب عليها أن تتزوج
[5] الحنابلة - قالوا: يفترض
النكاح على من يخاف الزنا إذا لم يتزوج ولو ظناً سواءً أكان رجلاً أم امرأة
Tiada ulasan:
Catat Ulasan