Jumaat, 25 September 2009

RINDUKAN USTAZ FADZIL NOOR

RINDUKAN USTAZ FADZIL NOOR

Setiap kali krisis yang melibatkan PAS berlaku, pasti mengingatkanku kepada tokoh politik yang hebat ; ustaz Fadzil Noor. Pak Subki pernah bercerita, ketika krisis tuduhan Khalwat yang melibatkan Mat Sabu, sesuatu keputusan cepat-cepat dilakukan, agar tidak melahirkan krisis yang berlanjutan. Perdebatan secara ilmiyyah dilayan oleh ustaz Fadzil Noor sedemikian rupa, demi mencari penyelesaian yang jitu dan tuntas.

Ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Ustaz Harun Taib berbeda pendapat dan hujjah dalam menentukan, apakah Mat Sabu patut dikenakan tindakan disiplin ataupun tidak. Segala hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh dua tokoh ulama ini, didengari rapi oleh Ustaz Fadzil Noor, yang akhirnya pendapat Ustaz Harun Taib diterima, disamping memberi penghormatan terhadap hujjah Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Aku pernah diceritakan oleh salah seorang kawan yang agak rapat dengan Ustaz Fadzil Noor, malah berjawatan ketika itu bahawa beliau amat berani ‘sound tepat’ kepada mana-mana ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mengantuk dalam mesyuarat PAS Pusat.

”kalau hang nak tidoq, hang pi balik. Hang mai sini nak Tidoq ka, hang nak meeting ?” Sound tepat Ustaz Fadzil Noor kepada salah seorang Ahli JawatanKuasa PAS dari negeri kedah yang kelihatan seperti terlentok dalam satu mesyuarat PAS Pusat ketika itu.

Diceritakan juga, waimma Ahli jawatankuasa itu di ’Sound tepat’ sekalipun, ternyata dengan gaya kepimpinan ustaz Fadzil Noor, Ahli jawatankuasa itu tidak pernah merasa marah atau terasa hati, malah tetap menyayangi Ustaz Fadzil Noor.

Apabila kita melihat keberadaan Ustaz Fadzil Noor ini, tidak hairanlah ramai yang menghormati beliau, malah amat ’respek’ dengan gaya kepimpinan beliau. Justeru, tidak hairanlah, sebarang kemelut dalaman berjaya diselesaikan dengan baik dan jitu.

Keberanian beliau dari sudut mengemukakan satu tindakan politik yang luar jangka, amat mengkagumkan. Jika kita menyusuli sejarah perjuangan PAS pimpinan Ustaz Fadzil Noor, beliau adalah antara orang-orang penting dalam penubuhan Angkatan perpaduan Ummah (APU) yang melibatkan beberapa parti-parti yang tidak sebulu dengan UMNO; antaranya adalah Semangat 46. Dengan kerjasama politik itu menyebabkan PAS berjaya merampas Kelantan dari tangan barisan Nasional pada tahun 1990 dan kekal sehingga hari ini.

Pun begitu, disebabkan ketidakikhlasan semangat 46 dalam kerjasama APU, menyebabkan mereka dengan sendirinya keluar dari APU, seterusnya ramailah pimpinan semangat 46 ketika itu menyertai PAS.

Begitujuga di kala Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO, seterusnya ditangkap. Sekali lagi Ijtihad berani telah dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor; iaitu dengan menubuhkan GERAK yang merupakan satu badan yang dengannya lahir Barisan Alternatif (BA).

Ketika itu, pimpinan parti Keadilan Nasional (PKN) agak kelam kabut dengan kejadian yang menimpa, menyebabkan Ustaz Fadzil Noor sendiri melancarkan GERAK di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar pada 27 September 1998 yang disertai ribuan rakyat.

Hasil dari kebijaksanaan ini, masakan masalah dalaman PAS, masalah luaran PAS pun dapat diselesaikan dengan tuntas, menyebabkan PAS mendapat kemenangan yang agak dibanggakan juga dengan berjaya mempertahankan kerusi PAS di kelantan, dan merampas Terengganu dari tangan Barisan nasional pada PRU tahun 1999.

Malah, menurut sebahagian penganalisa politik, ramai dari kalangan mereka beranggapan, kejayaan PAS, DAP dan PKR dalam tsunami politik 8 mac 2008 sehingga terlahirnya pakatan Rakyat pada hari ini, merupakan kesan dari pemikiran ustaz Fadzil Noor.

Inilah Ustaz Fadzil Noor yang amat dibanggakan. Kebijaksanaan beliau dalam berpolitik tidak dapat disanggah lagi. Beliau disegani kawan dan lawan, malah berjaya menyelesaikan sesuatu kemelut dengan segera.

Pemergian beliau ditangisi ramai pejuang islam di dunia. Waimma beliau meninggalkan kita, tetapi perjuangan beliau tetap diteruskan oleh ramai anak-anak didik beliau.

Apakan daya. Beliau sudah meninggalkan kita. Siapakah lagi yang dapat menggantikan beliau selepas ini? kita masih menunggu...

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
25 september 2009 * 7:46 malam






5 ulasan:

Pemburu Syahid berkata...

Salam....

Ana juga rindukan Almarhum. Sedih dan pilu memikirkan PAS tanpa Almarhum.

ANAKSENGAT' ( aku tak rela diperdaya umNO) berkata...

"Abu Bakar berdepan dengan rakyat seperti aku sedangkan aku berdepan dengan rakyat seperti kamu" Saidina Ali ketika ditanya kekalutan di zamannya

pencari PDA(pahala di akhirat) berkata...

Emm.. teringat ustaz fadhil...ketika krisis anwar, almarhum berjaya selesaikan pelbagai isu...akhirnya Dap dan Pkr terima Islam ketika itu...Barisan alternatif terima jika menang Islam akan dilaksanakan...itulah kebijaksanaan us fadhil..bukan hanya tahu bercakap rela kalah yang penting Islam dipertahan.. Anwar juga dicanangkan sebagai PM...takder pun yang kata us fadhil org anwar atau baju Pas badan Pkr...betapa terbukanya us fadhil dan matangnya beliau berpolitik..Semoga beliau tenang di sana..amin..

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Ana setuju dengan enta sheikh

Ketika peristiwa Abang Mat - ana sedang sambung belajar di London, ana terus telefon dari sana berbincang dengan Ustaz Hassan Shukri - Ustaz Hassan menyatakan Ustaz Fadzil (almarhum) boleh selesaikan dengan baik..
Pada masa DSAI dipecat - ana sebagai S/U Kawasan menulis surat memohon penjelasan dari Ustaz Fadzil (disokong oleh Ustaz Hassan) mengapa Ustaz pergi ke rumah DSAI - surat itu mendapat reaksi dan dibincang/dimaklum di dalam Mesy. AJK Pusat..
itu merupakan langkah ijtihad politik dari seorang sahabat peribadi dan pemimpin besar Parti Islam - sangat jelas akhirnya terbukti.

Ketika ana sambung belajar itu - Ustaz Fadzil lah yang membeli kereta ana (kerana isteri belum ada lesen waktu itu) untuk kegunaan anaknya --dengan berkata ok ana beli kerana enta nak sambung belajar. Ketika itu ana berundur diri dari NKP DPP Selangor dan Dewan Harian PAS Selangor (mewakili Pemuda - sebab Dr. Hatta Ramli sebagai Ketua Pemuda turut dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS Selangor 1993-1995)

Semua pengalaman melihat kehebatan dan kewibawaan almarhum sangat mengesankan hingga kini.

With due respect to the present leaders - memang kelihatan ada kekurangan ....(:-)

hussin berkata...

"Lebih baik kita berhati-hati dan berwaspada selalu apabila berunding dengan orang yang sesama bangsa dan seagama kerana kita tidak tahu apa yang tersirat dalam lubuk hatinya, berbanding ketika kita melakukan berunding atau berkerjasama dengan orang kafir kerana mereka jelas berada dalam kekafiran.

UMNO akan mencari PAS dikala UMNO berada dalam keadaan tersepit seperti peristewa 13 Mei 1969 dan jangan harap UMNO akan menghulurkan tangan persahabatan dikala dia berada dalam kedudukan yang kuat dan gagah perkasa."

- Allahyarham Dato’ Fadzil Noor