Sabtu, 26 September 2009

WAHAI PARA USTAZ, BENARKAH KITA BERPOLITIK, ATAU KITA BERFATWA?

Tuan Guru Nik Abdul Aziz :
berwatak mufti, tetapi pemikiran politiknya menjangkaui zaman


WAHAI PARA USTAZ, BENARKAH KITA BERPOLITIK, ATAU KITA BERFATWA??

Kadang-kadang jadi pelik dengan sebilangan agamawan yang mendakwa berpolitik cara Islam. Apabila mereka berbicara tentang politik, kelihatan seperti Pak Mufti, bukan sebagai ahli politik Islam.

Cara berfatwa, tidak boleh disamakan dengan cara mengurus politik. pun begitu, masih wujud juga sebilangan ahli politik islam yang mengeluarkan kenyataan seperti mengeluarkan fatwa. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti akan melahirka banyak kebobrokan dalam politik, malah merugikan kepada Islam itu sendiri.

Dalam kitab As-Siyasah Syariiyyah, karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Siyasah didefinisikan sebagai, “melaksanakan sesuatu berdasarkan maslahah; atau perkara yang sepatut dan selayaknya
[1]

Adapun makna siyasah syariiyyah pula, Ibnu ‘Aqil mendefinisikan sebagai, “perbuatan yang membawa manusia kepada kebaikan dan menghindarkan manusia dari kebinasaan, walau ia tidak tetapkan oleh Rasulullah SAW; atau sabit dalam nas
[2]

Imam Ibnu Qayyim menyatakan, “sekiranya ada dari kalangan kamu berkata, bahawa bukan politik Islam melainkan pada perkara yang disebut oleh Nas sahaja. Sudah pasti, kenyataan itu adalah salah
[3]

Bermakna, ”sebarang tindakan yang tidak menyalahi syarak, waimma tidak disebut dalam nas sekalipun; apabila dilakukan, maka ia adalah sesuatu yang tepat atau betul, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sepatutnya” komentar Ibnu Qayyim lagi
[4].

Memahami dari pendefinisian inilah, tidak hairan kita melihat para sahabat dahulu amat bijak dalam berpolitik Islam. seperti tindakan Osman mengumpulkan al-Quran, walhal tiada satu nas pun yang mengarahkan Osman melakukan sedemikan.

PERKARA PENTING DALAM SIYASAH SYARIIYYAH

Dalam berpolitik Islam, ada beberapa perkara penting yang perlu difahami. Antaranya adalah, Maqasid Syariah, Fiqh At-Tanzili, Al-Masalih Al-Mursalah, Fiqh Muwazanat dan banyak lagi.

Walaubagaimana pun, dalam siyasah Syariiyyah, fiqh maqasid, Fiqh At-Tanzili, Al-Masalih Al-Mursalah dan Fiqh Muwazanat amat penting untuk difahami, agar ia tidak keluar dari lingkungan syariah Islamiyyah.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan rakyat memperlihatkan kebijaksanaan Pimpinan PAS dalam bersiyasah Syariiyyah. Tanpa kebijaksanaan yang berasaskan kepada kaedah-kaedah, ataupun ketetapan dalam siyasah Syariiyyah, sudah pasti PAS akan mendapat seribu satu kerugian dalam usaha untuk membina negara Islam.

Dalam pakatan rakyat, ada beberapa perkara penting yang wajar difikir dan direnung; antaranya adalah tentang kedudukan non Muslim yang agak ramai berbanding muslim dalam kerajaan; peluang dakwah islamiyyah yang terbuka; penetapan sesuatu dasar kerajaan; dan sebagainya.

Tanpa siyasah Syariiyyah, semua perkara ini tidak akan dapat diselesaikan dengan tuntas, lagi bijaksana. Malahan, kesilapan dalam berinteraksi dengan Siyasah Syariiyyah, akan melahirkan kerugian kepada Islam itu sendiri.

Jika dihayati dalam sirah nabi, kita akan dapati bahawa Nabi SAW tidak pernah gopoh untuk melaksanakan sesuatu dasar, sebaliknya Nabi SAW lebih mementingkan kejayaan dalam perlaksanaan sesuatu dasar yang berasaskan kepada islam.

Malah, nabi SAW sendiri pernah bersabda menerusi hadis yang diriwayatkan oleh anas bin Malik
[5];

العجلة من الشيطان

Maksudnya;
“gopoh sebahagian daripada Syaitan”

Pun begitu, disebalik larangan dari menjadi gopoh, bukan bermakna perlu menjadi lembab, kerana ia juga merugikan. Apa yang dikehendaki oleh islam adalah, cepat yang tidak gopoh; segera yang tidak lembab.

Justeru, dalam sesuatu tindakan politik Islam, perlu diadakan beberapa tindakan yang perlu “dislowkan”, tetapi “mensegerakan” pada sudut yang lain. Tujuannya adalah, Islam dapat dilaksanakan tanpa mendapat sebarang mudharat dan kerugian.

Seperti contoh, bagaimana PAS berhadapan dengan DAP yang mempunyai perbedaan idealogi politik dalam Pakatan Rakyat. PAS yang mahukan perlaksanaan dasar-dasar Islam, sedangkan DAP agak bercanggah dengan PAS. Justeru, dalam berhadapan krisis ini, PAS perlu memikirkan kaedah dan cara yang boleh menguntungkan PAS terlebih dahulu, sebelum sesuatu dasar Islam itu berjaya dilaksanakan.

DAP yang sudah menjadi kawan, merupakan satu keuntungan dan nikmat yang besar bagi PAS. Justeru, gunakan sepenuhnya dalam memberi kefahaman kepada mereka untuk menjadikan islam sebagai agama yang diterima.

Mewujudkan permusuhan dengan mereka, membawa kerugian dalam perlaksanaan islam di Malaysia. Ini kerana, kewujudan mereka yang mewakili bangsa selain melayu; juga tidak beragama Islam amat penting bagi pembentukan sesebuah negara Islam.

Di zaman nabi SAW, tidak semua bangsa arab di Madinah memeluk islam. Tetapi, dengan kandungan piagam madinah yang digubal oleh nabi SAW, ternyata Islam berjaya memimpin semua bangsa dan agama yang wujud di Madinah, hatta terdapat juga orang berbangsa yahudi yang memusuhi Islam dalam kerajaan madinah pimpinan Nabi.

Sesuatu perlaksaaan Islam; sama ada undang-undang, hukuman atau sesuatu ketetapan, tidak seharusnya dikehadapankan, jika rakyat masih belum memahami keadilan dan kandungan kasih sayang yang wujud di dalamnya. Sebaliknya, dahulukan perbahasan tentang keadilan islam yang wujud dalam sesuatu undang-udang, atau hukuman – yang sememangnya wujud dalam pengajian ilmu maqasid syariah – agar majoriti rakyat mengatakan bahawa Islam adalah sesuatu hukuman yang ‘adil, waimma dari rakyat yang tidak beragama Islam sekalipun.

Konsep perlaksanaan islam secara bertahap-tahap perlu dijadikan sebagai plan tindakan. Seperti meletakkan target selama 4 bulan dalam memahamkan rakyat – termasuk exco yang tidak beragama Islam terhadap bahaya arak dari sudut perubatan dan Islam; kemudian melakukan pembetangan kertas cadangan dasar kerajaan terhadap arak kepada kerajaan pada bulan ke-5. Begitujuga pada perkara-perkara yang lain, seperti judi, hiburan, undang-undang, hudud, qisas dan seterusnya.

Jika ini berjaya, sudah pasti Islam akan berjaya terlaksana, waimma dalam jangka 4 tahun sahaja PAS berada dalam Pakatan Rakyat. Malah, jika ini terus dilaksanakan secara tuntas dan jitu, tidak mustahil kerajaan islam akan terbina dengan wujudnya kandungan undang-undang islam, waimma atas nama kerajaan pakatan Rakyat sekalipun.

(persoalannya sekarang, apakah PAS di Selangor melaksakan apa-apa plan strategi dalam perlaksanaan islam ini?? Yang wujudnya adalah, cari gaduh dengan DAP dan PKR).

BUKAN REBUT TAKHTA, TETAPI PEMIKIRAN PEMEGANG TAKHTA

Tidak menjadi perkara penting, siapa yang menjadi Menteri besar. Malah, tidak mengapa Tan Sri Khalid menjadi Menteri besar, yang pentingnya Islam berjaya diterima, berbanding Dato’ Hasan Ali menjadi Menteri Besar, tetapi islam dilihat dengan penuh prejudis. Ini kerana, nabi SAW tidak pernah datang merebut takhta, tetapi nabi SAW datang adalah mengubah minda pemegang takhta.

Kita lihat, jemputan menjadi islam yang dilakukan oleh nabi kepada pembesar-pembesar negara-negara luar makkah dan madinah, seperti di Mesir, di Farsi (kini : iran), di Rom (kini : Itali) dan sebagainya. Nabi SAW mengutuskan surat, menjemput mereka beriman, tanpa wujud unsur merebut kekuasaan dari mereka.

Juga, jika kita membaca sejarah perjuangan Salahuddin Al-Ayyubi (bukan Naib presiden PAS, tetapi penakluk Jerusalem; baitul Muqadis), kita dapat lihat bagaimana Salahuddin Al-Ayyubi sanggup melantik Raja Reymond yang beragama Kristian menjadi Raja di wilayah kark, tetapi dengan syarat bahawa beliau memeluk islam. Walau perlantikan itu ditolak oleh Raja Reymond kerana tidak bersedia memeluk Islam, tetapi kita akan dapati bahawa Salahuddin Al-Ayyubi tidak merebut takhta, tetapi yang beliau mahukan adalah keislaman Raja Reymond, waimma diberikan takhta kepadanya.

Begitujuga, jika kita membaca sejarah perjuangan Tariq bin Ziyad yang menyerang kezaliman seorang raja di Andalusia (kini : eropah) bernama Raja Roderiga. Semasa beliau bersama tentera-tenteranya berjaya menguasai satu tempat dalam Andalusia yang bernama Maktum, beliau tidak pernah merebut kekuasaan dari sesiapa pun, sebaliknya menyerahkan perlantikan pemimpin Maktum itu kepada rakyat tempatan tersebut, setelah berjaya mengislamkan sebilangan besar rakyat dalam Maktum ketika itu.

Malah, kita dapat melihat juga dengan islamnya tanah melayu menerusi Parameswara (hamka baca : Permaisura). Pedagang arab dan india yang berdagang dan berdakwah di tanah melayu, tidak pernah merebut kekuasaan dari parameswara, tetapi mengajak parameswara memeluk islam, seterusnya mengekalkan pemerintahan parameswara yang beragama islam; yang namanya ditukar kepada Sultan Muhammad shah yang merupakan sultan melaka yang pertama, sedangkan sultan melaka kedua bernama Sultan Iskandar Syah.

Justeru, dari ini kita dapat fahami bahawa, pemerintahan islam bukan mesti bertukar orang, tetapi hendaklah bertukar fahaman pemerintahan. Inilah islam cara Nabi dan para salah soleh terdahulu, bukan Islam cara sebilangan pejuang-pejuang Islam kini, yang meletakkan syarat mesti orang PAS jadi ketua sesuatu kerajaan.

Apakah kita telah lupa kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyebut, “Kalau UMNO buang dasar kebangsaaan, ganti dengan Islam, maka PAS akan dibubarkan”??

Fikir-fikirkanlah !!!

Sekian

p/s : Mungkin selepas ini, kita terpaksa mewajibkan pimpinan PAS agar berusrah dengan buku “As-Siyasah As-Syariiyyah”, karangan Dr Yusuf al-Qaradhawi, waimma mereka dari kalangan agamawan sekalipun.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 september 2009 * 12:29 pagi



[1] As-Siyasah As-syariiyyah : 29.
[2] At-Turuq Al-Hukmiyyah : 1/16.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] As-Sunan Al-Kubra : 10/104.

2 ulasan:

pencari PDA(pahala di akhirat) berkata...

Ustaz, nak tahu satu perkara..Adakah negara2 yang di bawah pemerintahan Islam yang memberi jizyah kepada kerajaan islam tidak laksanakan Islam?? maksud ana, negara kafir zimmi yang mahu berbaik2 dgn kerajaan khilafah zaman dulu??

Tanpa Nama berkata...

salam,

ustaz mohon dipinjam beberapa kenyataan dalam artikel ini. amat menarik untuk dijadikan panduan