Isnin, 25 Januari 2010

PUASA 6 MAKRUH?

PUASA 6 MAKRUH?

Semasa belajar di Pakistan, Mufti Maulana Zarwali Khan ada mengeluarkan fatwanya bahawa makruh puasa 6 pada bulan syawal. Pendapat beliau itu dikritik hebat oleh kebanyakkan ulama Pakistan yang beraliran Deobandi, tetapi berjaya dijawab dengan begitu ilmiyyah sekali.

Aku sudah lupa dengan hujjah yang dikemukakan. Lagi pun, kitab fatwa beliau dalam bahasa Hindi itu pun sudah hilang, aku sudah tidak ingat disimpan di mana.

Menariknya, seingat-ingat aku, hujjah yang dikemukakan oleh beliau itu amat menarik, iaitu didebatkan dalam banyak sudut, sama ada dari sudut sanad hadis, sudut bahasa arab, sudut jarh wa ta’dil, juga dari sudut istinbat hadis dan usul fiqh.

Padaku, pendapat beliau adalah ganjil. Tetapi, aku terkejut apabila membaca sebuah kitab yang bertajuk “Turuq Al-Kasyf ‘An Maqasid As-Sya’ri’” karangan Dr Nu’man Jughaim, bahawa di dalam kitab itu menyatakan bahawa Imam Malik juga berpendapat bahawa makruh berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal
[1].

Menariknya dalam ulasan tersebut, ia dibahas dari sudut Maqasid Syariah, yang merupakan manhaj terpenting dalam syariah Islamiyyah.

Tidak dinafikan, sememangnya wujud hadis ahad yang menyatakan;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya;
“Barangsiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setiap masa
[2]

Tidak dinafikan, hadis ini adalah hadis soheh, tetapi Imam Malik tidak beramal dengan maksud hadis ini dengan beberapa alasan, antaranya adalah;

Pertama : Imam Malik tidak melihat bahawa para ilmuan (ahl Al-Ilm) di Madinah berpuasa enam hari dalam bulan syawal. Bahkan, tidak terdapat satu salaf pun yang menunaikan puasa enam itu.

Kedua : maksud hadis ini menyalahi dengan salah satu daripada konsep Maqasid Syariah, iaitu menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah.

Iaitu, dalam Islam, adalah satu perkara haram bahawa berpuasa pada 1 syawal. Justeru, dalam hadis puasa enam ini, tidak dinyatakan tentang larangan pada 1 syawal larangan berpuasa, bahkan dinyatakan bahawa boleh berpuasa 6 selepas bulan ramadhan.

Ekoran itu, penggunaan kalimah ”diikuti” dalam hadis, dibimbangi ditafsirkan bahawa 1 syawal juga boleh berpuasa sunat, menyebabkan Imam Malik meletakkannya sebagai ”menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah”

Justeru, keputusan Imam Malik, apabila bertembung antara maksud dalam sesuatu hadis ahad dengan maqasid Syariah, maka hendaklah didahulukan maqasid Syariah. Makanya, hukum berpuasa enam disisi Imam Malik adalah makruh.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 Januari 2010 * 4:31 petang



[1] M.s : 57.
[2] Muslim : 1984.

2 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

salam ust,

ya, makruh puasa 6 dlm mazhab maliki...siapa malas puasa boleh ikut mazhab maliki.hehe

abukhuzaifah berkata...

sekiranya hadis tersebut menutup semua jenis biddah dlm ibadat menunjukkan biddah itu sendiri ada 2 iaitu biddah yg boleh dan tak boleh.yg diharuskan oleh syarak dan bertentangan dgn syarak.oleh itu tiada masalah mengamalkan puasa enam.takkan buat puasa enam tiada balasan pahala.sdgkan hadis itu terang2 mengatakan kebaikannya.