Jumaat, 19 Februari 2010

WALA’ CARA NUBUWWAH DAN SALAF SOLEH


WALA’ CARA NUBUWWAH DAN SALAF SOLEH

Setiap penciptaan Allah SWT ini, mempunyai sebab-sebabnya tersendiri.

Firman Allah;

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا

Maksudnya;
“Wahai tuhan kami, tidaklah kamu ciptakan ini sia-sia”

(Surah Al-Imran : 191)

Termasuk perkara yang mempunyai sebab itu adalah, dengan kehadiran syariah islamiyyah.

Setiap pensyariatan Allah pada sesuatu hukum itu, mempunyai sebab, atau hikmah dan rahsianya tersendiri. Sebab, hikmat atau rahsia dalam syariat, disebut sebagai maqasid Syariah.

Imam Al-Baidhawi ada menyebut;

ما نهي عنه شرعا فقبيح و إلا فحسن كالواجب و المندوب و المباح و فعل غير المكلف

Maksudnya;
“perkara yang ditegah syarak, maka itu adalah buruk. Sekiranya tidak (iaitu tidak ditegah, iaitu dibenarkan untuk dilakukan), maka itu adalah baik, seperti wajib, sunat, harus dan perbuatan yang tidak ditaklifkan
[1]

Imam As-Syatibi kata;

المعلوم من الشريعة، أنها شرعت لمصالح العباد، فالتكليف كله، إما لدرء مفسدة، وإما لجلب مصلحة، أولهما معا

Maksudnya;
“Perkara yang diketahui dalam syariat bahawa perkara yang disyariatkan, adalah maslahah bagi hamba. Maka, taklif itu, semuanya sama ada menolak mafsadah, ataupun menarik maslahah, atau kedua-duanya sekali
[2]

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

فلم يحل سبحانه إلا طيبا , و لم يحرم إلا خبثا

Maksudnya;
“Allah tidak akan halalkan, melainkan mesti ada kebaikan. Tidak haramkan sesuatu, melainkan mesti ada keburukan
[3]

DALIL-DALILNYA;

Firman Allah;

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya;
“Mereka bertanya kepada kamu, apa yang dihalalkan kepada mereka. katakanlah, dihalalkan kepada kamu adalah perkara-perkara baik”

(Surah Al-Maidah : 4)

Firman Allah lagi;

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya;
”Dihalalkan kepada mereka perkara baik, dan diharamkan ke atas mereka, perkara buruk”

(Surah Al-’Araf : 157)

Juga firman Allah;


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya;
“Mereka bertanya kepada kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya merupakan dosa yang besar, dan memberi manfaat kepada manusia. tetapi, dosanya lebih besar berbanding manfaatnya”

(Surah Al-Baqarah : 219)

WALA’

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ

Maksudnya;
”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatla kamu kepada Rasul-Nya, juga terhadap ulul amri dari kalangan kamu. Sekiranya kamu berselisih pada sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat”

(Surah An-Nisa’ : 59)

Dalam firman Allah ini, Allah SWT menyuruh kita mentaati Allah dan Rasul-Nya. Begitujuga, hendaklah melakukan ketaatan juga terhadap ”ulul amri” atau diistilah sekarang dikalangan gerakan Islam sebagai ”wala’”.

Pun begitu, wala’ tersebut hendaklah diberikan selama-mana ”ulul amri” itu mengikut Allah dan Rasul-Nya. Tanpa ikut kepada kedua-duanya, maka tiada wala’ kepada ”ulul amri” tersebut.

ADA NAS – TIADA NAS

Dalam memberi wala’ ini, ia ada dua bentuk, (1) perkara ada nas, (2) perkara yang tiada nas.

Perkara yang ada nas, tidak dapat tidak pemimpin perlu memberi wala’ kepada nas tersebut. Ekoran itu, pengikut bawahan juga memberi wala’ kepada pemimpin terbabit.

Adapun dalam perkara yang tiada nas, pemimpin perlu memberi wala’ kepada usaha-usaha yang boleh memajukan Islam; dan memberi kemaslahatan kepada Islam, menolak kemudharatan yang berlaku kepada Islam.

Berasaskan kepada pemikiran ini, lahirnya berbagai-bagai kaedah penting dalam siyasah syariiyyah, seperti Uruf, sad Az-Zarai’, Al-Wasail dan sebagainya
[4].

Sebarang tindakan pemimpin yang tidak memberi wala’ kepada kemaslahatan islam, malahan memberi kemudharatan pula kepada Islam, maka tidak perlu memberi wala’ kepada tindakan pemimpin tersebut.

ADA KALA NABI SAW MENGALAH

Dalam banyak perkara, dapati Nabi SAW mengalah sekiranya terbukti sesuatu keputusan yang dibuat itu tidak memberi kemaslahatan kepada Islam.

Antaranya adalah;

Pertama;

Kisah berkenaan dengan Umar bin Al-Khattab yang meminta agar Nabi SAW tidak menunaikan solat jenazah Abdullah bin Ubai yang merupakan ketua Munafiqin.

Pada peringkat awalnya, Nabi SAW diminta oleh anak kepada Abdullah bin Ubai agar memberikan pakaian nabi, untuk dikapan jenazah bapanya; diminta agar Nabi SAW menyembahyangkan mayat bapanya.

Ketika Nabi SAW hendak mengambil takbir, untuk menunaikan solat jenazah terhadap Abdullah bin Ubai, Umar bin Al-Khattab datang dan menghalang nabi SAW menunaikan solat jenazah tersebut sambil berkata, “wahai Rasulullah, apakah kamu mahu menunaikan solat jenazah atas si kafir munafiq ini? Bukankah tuhan kamu telah melarang dari menunaikan solat ke atas dia ini?”

Jawab nabi SAW, ”sesungguhnya Allah telah memberi aku pilihan”, sambil Nabi SAW membaca firman Allah;

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ

Maksudnya;
”kamu minta ampun untuk mereka, atau tidak, bahawa jika kamu minta ampun untuk mereka sebanyak 70 kali pun, pasti Allah tidak akan mengampun dosa mereka”

“aku ingin mendoakan keampunan dosa untuk Abdullah bin Ubai lebih daripada 70 kali” kata Nabi SAW.

Umar tidak berpuas hati, sambil berkata, “wahai Rasulullah, sesungguhnya Abdullah bin Ubai adalah Munafiq”

Nabi SAW tidak melayan kerenah Umar bin Al-Khattab, dan terus menunaikan solat terhadap Abdullah bin Ubai. Selepas menunaikan solat, lalu turun firman Allah;

وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا

Maksudnya;
“jangan kamu solat atas seorang pun dari kalangan mereka yang mati, sampai bila-bila pun”

(Surah At-taubah : 84
[5])

Dengan turunnya ayat ini, menandakan tidak menunaikan solat Abdullah Bin Ubai merupakan suruhan Allah, sudah pasti ia merupakan kemaslahatan bagi umat. ekoran itu, Nabi SAW akur dengan kerenah Umar yang amat bersesuaian dengan kehendak syariat.
Kedua:

Dalam peperangan badar, para sahabat telah mengikuti Nabi SAW untuk menduduki suatu tempat yang berhampiran dengan perigi badar.

Seorang sahabat bernama Hubab bin Munzir telah bertanya kepada Nabi, “wahai Rasulullah, apakah tindakan kita berhenti di sini menurut perintah Allah atau kerana menandakan tempat ini sesuai untuk bertempur?”

Nabi SAW menyatakan bahawa keputusan menduduki berhampiran dengan perigi badar itu, tidak ada kaitan dengan wahyu ilahi, bahkan ia sekadar ijtihad Nabi SAW.

Justeru, Hubab bin Munzir berkata, “adalah bijak apabila menduduki tempat di tepi air yang paling dekat kepada musuh. Kita perlu menbuat tempat perkhemahan di sana sehingga air dapat diperolehi dengan mudah untuk kita mahupun haiwan”

Mengenangkan pendapat Hubab itu benar-benar memberi maslahah kepada peperangan untuk mengalahkan musuh, Nabi SAW menghargai pendapat hubab, lalu menitahkan agar para tentera Islam berpindah kea rah yang ditunjukkan oleh hubab
[6].

Ketiga;

Setelah peperangan badar selesai, yang memberi kemenangan kepada Islam. ramai tawanan-tawanan perang yang terkumpul. Ketika itu, Nabi SAW bertanya pendapat dua orang sahabat yang besar; Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab.

Umar memberi cadangan agar semua tawanan perang dibunuh sahaja, tetapi cadangan Umar itu dibantah oleh Abu Bakar dengan mencadangkan agar tawanan perang itu membayar bayaran tebus.

Perbedaan pendapat dua sahabat besar itu, menyebabkan nabi SAW bersabda;

إن الله ليلين قلوب رجال حتى تكون ألين من اللبن ، وإن الله ليشدد قلوب رجال حتى تكون أشد من الحجارة ، وإن مثلك يا أبا بكر مثل إبراهيم قال { فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُ مِنّى وَمَنْ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ } [ إبراهيم : 36 ] ومثل عيسى في قوله : { إِن تُعَذّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ العزيز الحكيم } [ المائدة : 118 ] ومثلك يا عمر مثل نوح { وَقَالَ نُوحٌ رَّبّ تَذَرْ عَلَى الارض مِنَ الكافرين دَيَّاراً } [ نوح : 26 ] ومثل موسى حيث قال : { رَبَّنَا اطمس على أموالهم واشدد على قُلُوبِهِمْ } [ يونس : 88 ] "

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah melembutkan hati orang itu, hingga ia lebih lembut daripada susu. Dan sesungguhnya Allah mengeraskan hati orang itu, hingga lebih keras daripada batu. Dan sesungguhnya engkau wahai Abu bakar, seperti Ibrahim yang berkata, “barangsiapa yang ikut aku, maka sesungguhnya dia dari kalanganku. Dan barangsiapa yang ingkariku, maka sesungguhnya engkau (wahai Allah) adalah tuhan yang pengampun dan penyayang” dan seperti Isa yang berkata, “Sekiranya engkau mengazab mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika kamu ampunkan mereka, sesungguhnya Engkau (Wahai Allah) adalah tuhan yang maha gagah lagi maha bijaksana”. Dan sesungguhnya engkau Umar seperti Nuh, “berkata Nuh, wahai tuhan jangan biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi” dan seperti Musa yang berkata, “Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka”

Kemudian itu, Nabi SAW cenderung kepada pendapat Abu Bakar As-Siddiq, iaitu dengan menerima tebusan dari pihak tawanan perang. Penerimaan pendapat Abu Bakar As-Siddiq itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan firman-Nya;

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآَخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
“Tidak patut, bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiyah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

(Surah Al-Anfal : 67
[7])

Teguran itu, menyebabkan Nabi SAW dan Abu Bakar menangis kerana mengenangkan kemaslahatan yang wujud pada pendapat Umar tersebut.

Dari kisah-kisah yang dikemukakan ini, kita dapat melihat bagaimana sesuatu yang benar-benar kemaslahatan kepada agama, pasti Nabi SAW akan akur, waima ia datang dari sahabat biasa sekalipun.

WALA’ TIDAK MELARANG KRITIKAN

Sabda Nabi SAW;

الدِّينُ النَّصِيحَةُ

Maksudnya;
“Agama adalah nasihat”

Sahabat bertanya, “untuk siapa wahai Rasulullah SAW?”

Jawab Nabi SAW;

لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya;
“untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk rasul-Nya, untuk imam-imam muslimin dan seluruhnya
[8]

Dari hadis ini, membuktikan bahawa agama Islam adalah agama yang menggalakkan teguran. Teguran yang dimaksudkan adalah, hendaklah teguran yang membangun, terutama ketika melihat sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada Islam.

Dengan kata lain, Orang yang rela seseorang ulul amri itu melakukan tindakan yang boleh melahirkan mudharat kepada Islam, merupakan orang yang tidak beragama. Justeru, sebagai orang yang beragama, sudah pasti sebarang tindakan ulul amri yang boleh melahirkan kemudharatan, akan ditegur dan dikritik dengan teguran dan kritikan yang membina.


Begitujuga, semasa Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, Umar pernah berkata;

أيها الناس من رأي منكم في إعوجاجا فليقومه‏

Maksudnya;
“Wahai Manusia, barangsiapa dari kalangan kamu melihatku ada melakukan penyelewengan, maka hendaklah ia betulkan aku”

Tiba-tiba seorang anak muda bangkit sambil menghunuskan pedang berkata;

والله لو رأينا فيك إعواجاجا لقومناه بحد سيوفنا‏

Maksudnya;
“Demi Allah, jikalau kami melihat pada kamu ada penyelewengan, pasti kami akan betulkan dengan pedang-pedang kami”

Mendengar celoteh anak muda itu, Umar bin Al-Khattab berkata;

الحمد لله الذي جعل فيكم من يقوم عمر بالسيف‏

Maksudnya;
“Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kamu dari kalangan manusia yang membetulkan umar dengan pedang”

Inilah bentuk wala’ yang berlaku di zaman Nubuwwah dan para salaf soleh terdahulu, yang wajar diambil contoh. Ketika itu, Umar tidak sebut pun, “tidak wala’, tidak siqah, tidak ada adab dan sebagainya”.

Sekian

Baca sama:
Saluran..pastikan jangan tersumbat (1)
Saluran..pastikan jangan tersumbat (2)



Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Rabiul Awal 1431 – 20 febuari 2010 * 3:20 pagi




[1] At-Tahqiq Al-Ma’mul li Minhaj Al-Usul ‘Ala Al-Minhaj : m.s : 92.
[2] Al-Muwafakat : 1/199.
[3] Al-Halal Wa Al-Haram fi Al-Islam : 28.
[4] Siyasah Syariiyyah : 70-73.
[5] IBni Kathir : 4/192.
[6] Sirah An-nabawiyyah : 434.
[7] At-Tafsir Al-Kabir : 7/436.
[8] Muslim : 82.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1.dah lenguhla!
2.Mana proposal perlembagaan sebuah negara islam!!
3.Nak buat rumah!kena ada plan dulu!
4.Mana plannya!!tak kan dok berangan jee!!
5.Atau hang dah anggap konsep middle malaysia guan eng sebagai proposal perlembagaan sebuah negara islam!!
6.Tarakk akaiiii rupanya hang ni!!
7.Juaii agama!berapa kupang!!
8.Kalau hang bukan jenis yang juaii agama!hang tunjukla apa yang diminta!
9.Hukum MLM pun hang tak bagi lagii!!hang pusing!belit merata!!
10.Hukum merokok dah bagi!hang dah pi dakwah kat kelantan!merokok adalah haram!!hang dah po habaq kat penanam tembakau kat bachuk ka!pengkalan chepa ka!jangan tanam tembakau!!haram!macam bela babi jugak!!
11.Atau hang termasuk dalam golongan pandai bercakap jee!tindakan tiada!!