Rabu, 9 Jun 2010

CADANGAN USUL – BENTANG LAPORAN KEWANGAN HARAKAH DALAM MUKTAMAR

[1]

Keadaan kewangan Negara membimbangkan. PM kelihatan terdesak, sehingga terpaksa memperkenalkan GST kepada rakyat, bagi menyelamatkan Negara dari muflis, sepertimana berlaku di Iceland dan Greece.

Persoalannya adalah, kemana perginya hasil mahsul Negara? Petronas merupakan sumber kewangan Negara yang tidak pernah rugi, malahan sentiasa untung.

Dr Rosli, bekas PJ PAS Negeri Sembilan, merupakan seorang yang berkepakaran dalam bidang ekonomi [sehingga dijemput untuk menubuhkan bank Islam di Bangladesh] pernah menyatakan bahawa minyak keluaran Malaysia adalah minyak yang terbaik di dunia. Ini kerana, belerang yang ada dalam minyak di Malaysia amat berkurangan, tidak sepertimana minyak-minyak di Negara luar.

Dimaklumkan juga, rakyat Malaysia menggunakan minyak dari Negara arab; yang mempunyai kadar belerang yang banyak, sedangkan minyak keluaran Negara akan dijual ke luar. Keadaan ini menyebabkan Negara mendapat hasil penjualan minyak yang amat tinggi.

Dengan kadar keuntungan yang begitu tinggi, kemana perginya hasil mahsul Negara? Sehingga terpaksa memperkenalkan GST kepada rakyat, demi menyelamatkan Negara daripada bankrap dan muflis.

Sudah pasti, ia berpunca dari banyak keraguan dalam pengurusan kewangan petronas, seperti pembaziran dan ketirisan.

[2]

Sebelum PR ditubuhkan, malahan sebelum berlaku PRU ke 12 yang lalu; antara isu yang banyak dibangkitkan adalah isu kenaikan harga minyak, disamping perkembangan ‘Ma’asy’ atau kehidupan rakyat yang dilihat semakin hari semakin membebankan.

Melihat keadaan itu, boleh dikatakan semua ahli parlimen Barisan Alternatif [termasuk PAS] mendesak agar segala laporan kewangan petronas dibentang dalam Parlimen, agar ia telus dari sebarang ketirisan dan pembaziran. Namun, desakan itu tidak dilayan oleh kerajaan BN dengan seribu satu alasan yang tidak munasabah.

Didapati, sekiranya laporan kewangan ini berjaya dibentang dan dibahas dalam parlimen, sudah pasti penyelewengan, sama ada berbentuk ketirisan dan pembaziran tidak akan berlaku. Lantaran itu, kewangan Negara akan terselamat, seterusnya dapat menampung keperluan rakyat yang dilihat sering tertekan.

[3]

Kalau ahli Parlimen PAS boleh mendesak agar laporan kewangan Petronas dapat dibentang dalam parlimen untuk memastikan ketelusannya. Mengapa tidak, perkara yang sama juga berlaku kepada Harakah, yang merupakan akhbar kepunyaan PAS secara rasmi.

Jika dirujuk kepada wartawan-wartawan yang bekerja di Harakah, gaji mereka tidak semewah seperti mereka yang bekerja di akhbar yang lain. Dimaklumkan, wartawan harakahdaily, gaji mereka sebulan sebanyak RM 1600, sedangkan gaji wartawan di malaysianinsider mencecah RM3600 sebulan.

Jika dilihat pada sumber kemasukan Harakah, didapati ia lebih memberangsangkan berbanding Malaysianinsider. Ini kerana, Malaysianinsider sekadar akhbar internet, sedangkan harakah, bukan sekadar akhbar internet, bahkan lebih dari itu, iaitu apabila ia melibatkan kepada akhbar harakah cetak.

Justeru, bagi memastikan keadaan sebenar kewangan harakah, dicadangkan agar ada sebilangan perwakilan dari mana-mana negeri mengusulkan agar laporan kewangan harakah ini dibentang dan dibahas dalam Muktamar PAS, supaya ia telus, dan dilihat sebagai telus.

Dirasakan, Cikgu Mustafa Ali yang merupakan Pengerusi Lembaga Harakah yang berada dalam jawatan itu sejak sekian lama bersifat professional, terbuka dan sememangnya bersedia untuk menerima usul sebegini. Ia tidak ada lain, melainkan mahu memberi satu gambaran, betapa PAS mempunyai ketelusan dalam mengurus kewangan yang melibatkan organisasi atau badan dalam parti sendiri.

Bahkan jika ini boleh berlaku, ia boleh menjadi model dan bukti kepada rakyat, bahawa PAS mampu mengelola sumber kewangan dalam bentuk yang telus dikala memerintah Malaysia nanti.- Insya Allah..

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah [b] Sg Buloh
10 Jun 2010 * 1:38 pagi.

2 ulasan:

FZY berkata...

salam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya tidak ghairah menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun maklumat tersebut difikirkan benar.

Bercakap sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.

"Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat.

"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.

Ada sesetengah blogger katanya syok apabila diberikan sesuatu maklumat lalu menyebarkannya tanpa memikirkan kesan negatif tersebut kepada masyarakat.

Ada dikalangan mereka suka mendapat upah untuk menyebarkan maklumat yang bohong.

Lebih penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana islam mengajar kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.

Beliau turut memberi contoh bagaimana islam mementingkan empat orang saksi sebelum mengabsahkan sesuatu fitnah, manakala jika tiada empat orang saksi, sebarang fitnah itu tidak dikira sah biarpun ianya benar-benar belaku.

Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik katanya akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.

"Jihad paling afdal adalah bercakap benar," katanya lagi.

Beliau turut mengakui bahawa peranan blog cukup penting di kurun ke 21 ini.

Ianya telah dibuktikan dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Suhubungan itu, melibatkan diri dalam aktiviti blog sekarang ini adalah satu kemestian yang perlu dipelajari.

"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perli di lakukan dengan akhlak," katanya.

Blogger yang disifatkan beliau sebahagian dari dunia media mampu mempertahan mahupun menjatuhkan kerajaan.

(Gambar: ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim lebih dikenali dengan Blogger Cina Islam turut hadir konvensyen blogger hari ini)

"Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna," katanya.

Para penulis blog juga tegasnya perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan agar penyebaran sebarang maklumat memberi manfaat kepada semua.

Manakala penganjuran konvensyen blogger PAS ini juga katanya langkah terbaik untuk memastikan bloger mempunyai matlamat jelas dan tahu untuk berperanan secara strategik.

"Oleh kerana kewajipan ini besar, maka adalah lebih baik ianya ditanzimkan (diorganisasikan)", katanya.

Lebih 300 peserta hadir menyertai konvensyen blogger kali ini.

Mereka terdiri daripada blogger ahli PAS dan bloger menyokong perjuangan PAS.

Turut akan membentangkan kertas kerja hari ini adalah Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga pengasas zentrum studies dengan tajuk 'Menguruskan Potensi Media Baru dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies'.

Manakala Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin akan membentangkan tajuk 'Blog sebagai Arena Dakwah dan Bukan Medan Memfitnah'. - Harakahdaily

Mohd berkata...

Ahli2 PAS adalah patung2 bisu.
Mana ada yg berani utk meminta kewangan HARAKAH dibentangkan!
KOHILAL pun disenyapkan.
Duit kutipan utk balu2 Memali pun senyap aje. Itu duit anak2 yatim. Halal ke?