Selasa, 11 Januari 2011

ustaz sekular, menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains - Ustaz Hasrizal

DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

Katanya:

Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

Pergeseran di antara golongan Ulama’ dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

isi penuhnya, sila klik disini

2 ulasan:

otakbesi berkata...

Umar al-Khatab telah membuktikan bahawa teori politik Islam dalam pemilihan pimimpin tidak melihat latarbelakang pendidikan dan jurusan pengajian.
Tidak pernah wujud dalam istilah politik Islam bahawa kelompok agamawan menjadi pemimpin dan kelompok profesianal menjadi pembantu pemimpin. Namun seorang pemimpin mesti dipilih daripada kelompok ulama, dengan erti kata memiliki kepakaran untuk menjadi pemimpin. Kepakaran dalam bidang agama buka merupakan satu syarat yang ditetap dalam sistem politik Islam. Namun jika seseorang memiliki gabungan kepakaran dalam bidang agama dan pemerintahan, maka gabungan kepakaran tersebut merupakan calun istimewa untuk dipilih sebagai pemimpin.
Sebagai contoh perbandingan, Ikhwan al-Muslimin Mesir tidak pernah diterajui oleh oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam agama. Bahkan pernah berlaku perpecahan apabila teori untuk memilih pemimpin Ikhwan berasaskan latar belakan pendidikan (agama) yang hampir menjerumuskan Ikhwan kepada kehancuran.
Teori dan kefahaman untuk memilih seseorang pemimpin berasaskan latar belakang pendidikan, bukan berasaskan kebolehan dan kepakaran lahir daripada kelompok jumud dan kesombongan.
Namun pemimpin mesti dikawal oleh suatu badan khusus yang memiliki kepakaran dalam agama, kerana matlamat (maqasid) utama sistem politik dalam Islam adalah untuk memelihara kepentingan agama dan masyarakat.
Apa yang berlaku di Iran adalah contoh baru dalam sistem pemilihan pemimpin. Ahmadejab telah dipilih menjadi presiden dengan mengenepikan Rasfanjani, sedangkan Rasfanjani seorang pakar dalam bidang agama, namun rakyat Iran memilih sebaliknya.
Bagi aku, TGNA dipilih mengetuai majlis Syura dan dibantu oleh timbalannya TGHH.

Tanpa Nama berkata...

"TGNA dipilih mengetuai majlis Syura dan dibantu oleh timbalannya TGHH"

@ hmmmmm