Sabtu, 26 Disember 2009

KENCING BERDIRI


KENCING BERDIRI

Berhenti di R&R untuk menunaikan qada’ hajat. Masuk sahaja di Tandas awam, kelihatan sebilangan manusia yang kencing berdiri. Tindakan itu, bukan dilakukan oleh orang bukan Islam sahaja, bahkan banyak yang melakukannya adalah orang Islam.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan didapati memang sudah disediakan di tandas-tandas awam, bahawa tempat khusus untuk kencing dalam keadaan berdiri.

Apa yang dibimbangi, apabila lakukan kencing berdiri, ia mempunyai banyak kemungkinan. Seperti, terpercik air kencing pada pakaian. Lalu, jika pakaian itu terkena percikan air kencing, kemudian tidak dibasuh, dan terus digunakan untuk menunaikan solat, sudah pasti solat tersebut tidak sah.

Melihat kepada kebimbangan ini, kadang-kala terfikir tentang hukumnya kencing berdiri ini. Apakah, ia dibenarkan dalam syarak, ataupun ia adalah dilarang? Jika haram, apakah dalilnya dan hujjah-hujjahnya. Dan jika ia harus, di manakah sandaran yang diguna pakai.

NABI KENCING DUDUK?

Jika dirujuk kepada kitab "Zad al-Maad" karangan Ibnu Qayyim. Beliau menyatakan bahawa kebanyakkan masa ketika Nabi SAW kencing adalah dalam keadaan duduk. Kenyataan Ibnu Qayyim ini disandarkan kepada hadis Aisyah yang berkata;

مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلَا تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلَّا قَاعِدًا
Maksudnya; "barangsiapa yang bercerita bahawa Nabi SAW kencing berdiri, maka jangan kamu benarkan ceritanya itu. Ini kerana, nabi SAW tidak pernah kencing melainkan dalam keadaan duduk" (At-Tarmizi : 12)
jika dilihat pada hadis ini, kita akan dapati bahawa Aisyah yang merupakan isteri Nabi, menafikan sebarang dakwaan bahawa Nabi SAW itu pernah kencing dalam keadaan berdiri.

Pun begitu, apabila dilihat kepada hadis ini, bukan bermakna perbuatan kencing berdiri itu adalah haram. Ini kerana, sebarang tindakan yang tidak dibuat oleh Nabi SAW, bukan bermakna perbuatan adalah terlarang sama sekali.

Ekoran itu, ada ulama berpendapat bahawa, hukum kencing berdiri adalah makruh. Ini dikuatkan lagi kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh imam muslim, daripada hadis huzaifah yang menyatakan beliau kencing berdiri. Memandangkan Huzaifah bin Al-Yaman merupakan sahabat Nabi, sudah pasti tindakan Huzaifah yang kencing berdiri itu bukanlah perkara yang terlarang. Makanya, ramai dari kalangan ulama hadis menyatakan, tindakan kencing berdiri bukanlah perkara haram.

Walau kencing berdiri itu bukanlah perkara yang haram, bahkan sekadar makruh sahaja, adalah lebih baik bahawa setiap kali hendak kencing bahawa tidak lakukan dalam keadaan berdiri. Ini kerana, maksud makruh adalah, melakukan sesuatu amalan itu tidak menghasilkan dosa, tetapi jika tidak melakukannya akan menghasilkan pahala. Bermaksud, seseorang yang kencing berdiri, maka ia tidak mendapat sebarang dosa, tetapi jika dia tidak kencing berdiri – kencing dalam keadaan duduk – sudah pasti dia akan mendapat pahala dari Allah SWT.

Tindakan melakukan kencing duduk ini, dikuatkan lagi dengan hadis dalam musnad al Bazzar, daripada Abdullah bin Buraidah, daripada bapanya bahawa Nabi SAW bersabda;

ثلاث من الجفاء : مسح الرجل التراب عن وجهه قبل فراغه من صلاته ، ونفخه في الصلاة التراب لموضع وجهه ، وأن يبول وهو قائم
Maksudnya: "tiga perkara dibawah ketagori “al-jafa'”; (1) sapu debu di dahinya sebelum selesai solat, (2) meniup debu di tempat sujud semasa sedang solat, dan (3) kencing berdiri" (Al-Mukjam Al-Awsat : 6175)

Dalam syarah hadis, ”jafa’” diterjemah sebagai ”buruk kelaku”. Bermakna, tindakan buruk kelaku ini ada tiga perkara yang disebut oleh Nabi SAW. salah satunya adalah, kencing dalam keadaan berdiri.
Begitujuga satu hadis omar yang dilihat lemah oleh Imam At-Tarmizi, bahawa Omar berkata, "Nabi SAW ternampak aku kencing dalam keadaan berdiri, lalu Nabi SAW berkata kepadaku;

يَا عُمَرُ لَا تَبُلْ قَائِمًا
Maksudnya; "Wahai Omar, jangan kamu kencing berdiri"

”Semenjak dari itu, aku tidak lagi kencing berdiri” kata Omar bin Al-Khattab. (At-Tarmizi : 12)

KEUZURAN

Ada sebilangan manusia yang kencing berdiri, bukan disengajakan. Sebaliknya, kencing berdiri itu disebabkan penyakit yang menimpa. Ada juga manusia yang kencing berdiri kerana bimbang sakitnya akan lambat sembuh dan sebagainya.

Justeru, apabila keadaan sebegini berlaku, hukum kencing berdiri tidak lagi jadi makruh, bahkan ia dibenarkan dalam syarak. Ini disandarkan kepada kaedah Islam yang menyatakan bahawa islam adalah agama yang senang, dan tidak menyusahkan manusia.

Firman Allah;

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya;
”Allah SWT tidak akan memberatkan seseorang itu melainkan kadar kemampuannya sahaja”

(Surah Al-Baqarah : 286)

Jika dalam perkara haram pun boleh diringankan dikala wujud mudharat dan keperluan, seperti dibenarkan makan babi mengikut kadar menjaga nyawa ketika ketiadaan makanan yang mengakibatkan lapar yang boleh membawa kepada mati, maka teramat dimudahkan dalam Islam, jika perkara itu hanya melibatkan kepada perkara makruh.

Makanya disini, hukum asal bagi kencing berdiri adalah makruh. Adapun jika wujud sebarang keperluan dan dharurat, maka ketika itu, kencing berdiri tidak lagi menjadi makruh.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Disember 2009 * 4:04 pagi

Tiada ulasan: