Sabtu, 8 Mei 2010

EMAS DAN PERAK

Walau emas dan perak itu haram dalam perhiasan yang melampau-melampau, namun terdapat juga beberapa keadaan ia dibenarkan.

Dalam kitab Fiqh Manhaji
[1], dinyatakan ada 3 keadaan penggunaan emas dan perak dibenarkan. Ia adalah seperti berikut;

Pertama;

Perempuan dibenarkan menggunakan emas dan perak sebagai bahan perhiasan dengan kadar yang sewajarnya, tanpa melampau dan berlebihan. Keizinan tersebut, sama ada perempuan itu telah berkahwin atau belum; kecil atau besar; kaya atau miskin.

Sabda Nabi SAW;

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي وَأُحِلَّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya;
”Diharamkan pakaian sutera dan emas terhadap lelaki dari kalangan umatku, dan ia dihalalkan terhadap perempuan mereka
[2]

Kedua;

Dibenarkan kepada orang lelaki memakai cincin perak. Ini disandarkan kepada perbuatan nabi SAW sendiri yang memakai cincin yang diperbuatkan daripada perak.

Berkata Anas bin Malik R.A;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ خَاتَمُهُ مِنْ فِضَّةٍ وَكَانَ فَصُّهُ مِنْهُ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Nabi SAW memakai cincin perak dan matanya juga daripada perak
[3]

Adapun cincin emas bagi orang lelaki adalah haram secara mutlak.

Dalilnya adalah, satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang berkata, bahawa Nabi SAW telah melihat sebentuk cincin emas pada tangan seorang lelaki. Melihat itu, nabi SAW terus ambil dan melemparnya, seraya berkata;

يعمد أحدكم إلى جمرة من نار، فيجعلها في يده

Maksudnya;
“seseorang kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam api Neraka, dan menjadikannya di tanganya”

Kemudian dari itu, diberitahu kepada lelaki itu, supaya dia mengambil cincin yang telah dicampakkan tersebut.

Namun lelaki itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan mengambilnya sampai bila-bila kerana ia dilepar oleh Rasulullah SAW
[4]

Ketiga;

Keizinan menggunakan emas dan perak dalam keadaan dharurat dan terpaksa; iaitu sekiranya ketiadaan bekas kecuali bekas emas dan perak, maka diizinkan pada waktu itu menggunakannya dalam keadaan terpaksa.

Ia seperti seseorang yang hidungnya terpotong, dan tidak dapat menggantikannya melainkan dengan hidung daripada emas atau perak, ataupun untuk mengkuatkan giginya dengan menggunakan emas dan perak, maka ketika itu, dibenarkan dia menggunakan emas dan perak kerana dharurat.

Dalinya adalah hadis riwayat Tarmizi, daripada ‘Arfajah bin As’ad r.a katanya;

أُصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الْكُلَابِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيَّ فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya;
“hidungku terpotong pada peperangan Kulab pada zaman jahiliyyah, lalu aku menggantikan hidungku itu dengan perak, tetapi ia menjadi berbau busuk. Maka, Rasulullah SAW telah menyuruhku agar mengambil hidung daripada emas
[5]



[1] 677-679.
[2] At-Tarmizi : 1642.
[3] Al-Bukhari : 5421.
[4] Muslim : 3897.
[5] At-Tarmizi : 1692.

Tiada ulasan: