Isnin, 3 Mei 2010

ISLAM BUKAN AGAMA YANG DIDOKTRINKAN (2)

(1)

Jika mahu dikatakan kepada kepercayaan semata-mata, agama lain juga wujud kepercayaan. Tidak dikatakan agama, jika tanpa kepercayaan. Cuma yang wajib difikirkan adalah, apakah kepercayaan itu adalah sesuatu yang benar atau tidak, maka itu perlu dibahaskan.

Sesuatu tempat itu tidak akan dikatakan berhantu, melainkan wujudnya kepercayaan bahawa tempat itu adalah berhantu. Namun, apakah benar tempat itu benar-benar berhantu?

Begitujuga dengan Agama selain islam. Ia berasaskan juga kepada kepercayaan, tetapi ia tidak berasaskan kepada kepercayaan yang bersandarkan kebenaran. Konsep tahayul, purba sangka dan sebagainya, merupakan kepercayaan juga.

Penyebar agama selain Islam hendak mempromosi pemikiran agama mereka, sudah pasti terpaksa melakukan sesuatu tindakan. Tindakan tersebut dinamakan usaha pendoktrian.

Ya, memang benar doktrin itu adalah kepercayaan. Tetapi, maksud doktrin adalah kepercayaan terhadap sesuatu yang dianggap benar (sekali lagi : dianggap benar), bukan ia sememangnya benar.

Adapun kebenaran, ia tidak perlu didoktrinkan, tetapi ia perlu kepada memberi kefahaman. Nyatanya, Kebenaran tidak perlu kepada pendoktrian. Kebenaran pasti akan diterima oleh manusia, jika mereka menilai dengan akal yang sihat dan jiwa yang bersih.

Lihatlah orang kuffar zaman nabi SAW. Mereka melawan nabi SAW dengan mewujudkan doktrin khurafat. Mereka menyeksa Bilal bin rabah yang memeluk islam dengan berusaha menanam doktrin bahawa Al-lata Wa Al-Uzza sebagai tuhan yang memberi rezeki, walhal ia tidak begitu.

(2)

Jika kita merenung jauh ke sejarah lampau; zaman kegelapan eropah. Kita dapat melihat, bagaimana punca kegelapan itu berlaku.

Semuanya bermula dengan sebab pendoktrian sesat yang dilakukan oleh paderi dikala itu. Para paderi menyatakan bahawa paderi sahaja dapat menentukan hala tuju Negara, tanpa memberi ruang kepada golongan bawahan memberi pendapat.

Semua pendapat golongan bawahan dianggap sebagai "najis". Pendapat yang diterima adalah pendapat gereja sahaja.

Jika bawahan hendak mengeluarkan pendapat, hendaklah sealiran dengan pendapat gereja. jika tidak sealiran, pasti golongan bawahan akan mendapat fatwa jijik; seperti kafir, ahli neraka dan sebagainya.

Doktrin takutkan azab neraka jika melawan golongan paderi telah berjaya diserap masuk. Akibatnya, golongan paderi menjadi kuat; bukan sekadar kuat, bahkan ia menjadi peluang golongan paderi mengaut kekayaan. Mereka adalah golongan kapitalis 'bertopeng' agama.

Namun, perkembangan keilmuan di baitul Hikmah yang didirikan oleh Khalifah harun Ar-rashid (763-809) di Baghdad menyebabkan lahirnya beberapa tokoh ilmuan yang hebat, seperti al-farabi, Ibnu Sina, Ibnu Ar-Rushd dan sebagainya.

Al-farabi sebagai contoh, telah membuka balik pemikiran Aristotle. Ibnu Rushd sendiri dengan pemikiran falsafah islam yang mengkagumkan (sehingga berlaku debat antara beliau dengan Imam Al-Ghazali : sila lihat Tahafut Falasifah dan Tahafut at-tahafut) sehingga beliau mendapat jolokan 'Plato islam'.

Tokoh-tokoh pemikir Islam ini mendapat tempat dikalangan sarjana barat, menyebabkan Pemikiran ini telah mempengaruhi banyak pemikir-pemikir barat, seperti Amanual Kant, William Harvey, Spinoza dan banyak lagi.

Pemikiran ini menjadi asas utama serangan mereka terhadap golongan 'doktrian gereja', menyebabkan golongan gereja rebah menyembah bumi. Positifnya, lihatlah kepada pembangunan dunia keilmuan dan cara berfikir orang barat. Cuma agak Sedih sedikit, apabila dunia keilmuan mereka hebat tanpa naungan wahyu, menyebabkan keilmuan mereka tidak membawa kepada ketaqwaan kepada Allah.

(3)

Secara kasarnya, kita akan dapat fahami bahawa doktrin boleh dikalahkan dengan kefahaman. Asas kefahaman yang dibawa oleh golongan pemikir-pemikir barat, menyebabkan golongan canduan gereja berjaya dihapuskan.

Apa wajib kita fikirkan, pendoktrian itu dikalahkan oleh golongan pemikir-pemikir yang mereka mencedoknya dari sumber tamadun islam. Dengan kata lain, golongan gereja sebenarnya telah dikalahkan dengan sumber Islam, Cuma sumber islam ini telah dimanfaatkan oleh golongan mereka sendiri.

Hakikatnya, Islam mengajar tentang kefahaman, bukan pendoktrian. Jika diasaskan juga dengan pendoktrian, bermakna ia adalah satu kepalsuan, walhal Islam bukan agama palsu; jauh sekali jika mahu disamakan dengan cara pemikiran paderi di zaman kegelapan eropah.

Menyatakan bahawa islam diasaskan kepada pendokrian, merupakan satu tindakan yang sama dengan cara Darwin menyebarkan doktrin bahawa manusia itu berasal dari beruk.

Bersambung….

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Jalan Pahang
3 Mei 2010 * 11:49 Malam








1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sama seperti dalam Pas yang menganggap ulama je layak menjadi MB.padahal dia alim dalam bidang ulama tak semestinya alim dalam bidang pentadbiran

kalau ulama je layak menjadi pemimpin kerajaan,nescaya Imam Syafi'e dan Imam mazhab lain lebih layak untuk menjadi khalifah.