Jumaat, 7 Mei 2010

MAKAN DAN MINUM GUNA BEKAS EMAS DAN PERAK


Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa, apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak.

Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, merupakan kesombongan, walhal sifat sombong ini tidak layak wujud pada manusia.

Daripada satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman berkata, “aku dengar Nabi SAW bersabda;

ولا تشربوا في آنية الذهب والفضة ، و لا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولنا في الآخرة

Maksudnya;
“Jangan kamu minum dengan menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak. Juga, jangan makan dengan menggunakan pinggan-pinggannya. Ini kerana, bagi mereka di dunia, tetapi ia bagi kita di akhirat
[1]

(a)

Dalam kitab Fiqh Manhaji
[2], dinyatakan bahawa larangan menggunakan emas dan perak ini, bukan sekadar untuk dijadikan sebagai bekas makan dan minum sahaja, malahan ia haram juga dijadikan sebagai alat-alat penulisan, alat celak, untuk perhiasan rumah, dewan, masjid, kedai dan sebagainya. pengharaman itu, sama ada emas dan perak itu kecil ataupun besar.

Selain ia merupakan larangan yang terpancul dari mulut Nabi SAW, terdapat beberapa hikmat terhadap larangan itu. antara yang disebut dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji adalah seperti berikut;

Pertama,

Allah SWT menjadikan emas dan perak sebagai matawang untuk manusia bermuamalah dengannya. Lalu, jika dijadikan emas dan perak sebagai bekas makan dan minum, menyebabkan fungsi matawang yang bersifat subur telah dibekukan. Jika ini berlaku, bermakna kita telah menyempitkan fungsi emas dan perak mengikut yang sepatutnya.

Kedua,

Tindakan menjadi emas dan perak sebagai bekas makan dan minum akan mengguris perasaan orang miskin apabila mereka melihat orang kaya menjadikannya sebagai perhiasan; berbangga, bermegah dan takabbur.

Ketiga;

Untuk membedakan antara orang kafir dengan orang Islam. Keadaan orang kafir adalah meninggalkan akhirat dan bermati-matian mencari dunia dan segala nikmatnya
[3].

(b)

Orang miskin merupakan hadiah dari Allah kepada orang kaya. Dengan wujud orang miskin, menyebabkan orang kaya dapat mencari pahala dengan cara yang mudah, iaitu dengan sekadar mengeluarkan duit lalu diberikan kepada orang miskin.

Namun, tidak dinafikan juga bahawa dengan kehadiran orang miskin, menyebabkan orang kaya mudah mendapat dosa. Seperti, dengan sifat bakhil mereka terhadap orang miskin.

Antara sifat yang boleh menyebabkan orang kaya menempah bala hidup di akhirat dengan tindakan mereka di dunia adalah, dengan cara mereka berbangga-bangga dan mengambil sikap sombong terhadap orang miskin.

Tindakan menjadikan emas dan perak sebagai barang perhiasan yang bersifat melampau-lampau, seperti menjadikannya sebagai alat tulis, alat celak, untuk perhiasan rumah, dewan, masjid, kedai dan sebagainya, merupakan tindakan yang amat tercela, malahan ia boleh disifatkan amalan orang-orang yang sombong sahaja. tindakan ini, sudah pasti akan mengguris perasaan orang miskin, apabila mereka melihatnya.

Daripada menjadikan emas dan perak itu sebagai perhiasan yang bersifat melampau, alangkah baiknya jika ia dijadikan hadiah dan sedekah terhadap orang Miskin, sudah pasti ia memberi keseronokkan hidup bagi si miskin.

Justeru, tidak hairan Islam mengharamkan penggunaan emas dan perak ini dalam bentuk yang melampau, sehingga tidak boleh dijadikan sebagai bekas dan alat makan dan minum.

(c)

Emas dan perak yang dijadikan perhiasan yang melampau, sehingga menjadikannya sebagai alat dan bekas makan dan minum, merupakan amalan jahiliyyah yang amat jauh jika dibandingkan dengan amalan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Justeru, apabila ada sebilangan umat Islam menjadikan emas dan perak ini sebagai alat dan bekas makan dan minum, bermakna tindakan itu telah menyerupai jahiliyyah dan musyrikin, walhal amalan itu adalah teramat terlarang didalam islam.

Dalam hadis, Nabi SAW ada melarang daripada menyerupai musyrikin, yahudi dan Nasrani.

Sabda Nabi SAW;

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya;
”Hendaklah kamu tidak menyerupai orang-orang musyrikin
[4]

Larangan itu bersebab, mereka menjadikan dunia sebagai kehidupan abadi, walhal umat Islam di ajar, kehidupan yang abadi adalah di akhirat kelak, dan dunia sekadar tempat untuk bercucuk tanam dalam mendapat hasilnya di akhirat nanti.

Seperti kata hukama’;

الدنيا مزرعة الآخرة

Maksudnya;
”Dunia sebagai tempat cucuk tanam untuk menuju akhirat
[5]

Bahkan, jika perhatikan kepada nabi SAW, kita akan dapati bahawa Baginda SAW amat mementingkan kehidupan akhirat berbanding dunia.

Dalam kitab Tafsir al-Alusi, dinukilkan satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud yang bercerita, bahawa satu hari Nabi SAW tidur atas satu hamparan tikar. Ketika baginda SAW bangun dari tidur, maka kelihatan kesan tikar pada belikat Nabi SAW.

Melihat keadaan itu, menyebabkan sahabat merasa terkesan dalam hati mereka, sehingga mereka sanggup memberikan kemewahan mereka kepada Nabi SAW.

Mendengar tawaran itu, nabi SAW terus bersabda;

ما لي وللدنيا ما أنا في الدنيا إلا كراكب استظل تحت شجرة ثم راح وتركها

Maksudnya;
”Tiada ada apa untukku dan untuk dunia. Tidaklah aku ini di dunia, melainkan seperti orang yang dalam permusafiran. Aku berteduh di bawah sebatang pokok, kemudian aku sambung permusafiranku dan meninggalkan pokok itu
[6]

Memahami ini, tidak hairanlah Allah SWT mengharamkan kepada orang islam makan dan minum memggunakan alat dan bekas dari emas dan perak.





[1] Al-Bukhari : 5006.
[2] Al-Fiqh Al-Manhaji (terjemahan) : 3/674.
[3] 677.
[4] Al-Bukhari :
[5] Nazm Ad-Durar : 2/21.
[6] Al-Alusi : 9/262.

2 ulasan:

pensel kayu berkata...

salam ustaz..ana nk tanya,cemana kalau pki jam kale emas,bukan emas?musykil sebab haram emas pada laki sebab dia perhiasan kn?so,yg haram tu,sebab zat emas ka,zahir dia?

Tanpa Nama berkata...

cincin perak nabi pakaikan?