Sabtu, 14 Mac 2009

KEPIMPINAN ULAMA ATAU KEPIMPINAN BERTAQWA


KEPIMPINAN ULAMA ATAU KEPIMPINAN BERTAQWA

Kita mahukan kepimpinan ulama. Itu kata-kata sebilangan pihak. Apabila di tanya, kenapa mahukan kepada kepimpinan ulama. Pasti mereka menjawab, kerana kepimpinan ulama akan menghasilkan keberkatan dalam pemerintahan. ini telah terbukti dengan apa yang telah berlaku di Kelantan.

Susuk insan yang bernama tok Guru Nik Abdul Aziz, sering dilihat dari sudut keulamakannya. Sedangkan, mungkin agak kurang ditonjolkan adalah susuk ketaqwaannya.

Apabila disebut ulama, tidak semestinya ia menjadi taqwa. Tetapi, apabila orang itu taqwa, kadangkala bukan pada ulama sahaja ada, bahkan orang biasa pun ada juga.

Persoalannya, manakah pilihan kita… apakah ketaqwaannya atau keulamakannya???

Susuk ulama ditempelkan dengan ketaqwaan. Ketaqwaan disinonimkan dengan ulama. Tanpa taqwa, apa gunanya ulama. Begitulah sebaliknya.

Firman Allah;

إنَمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya;
"sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah Ulama'"

(Surah fatir : 28)

Kita renung dan tadabbur ayat ini. kita akan dapati, Allah sinonimkan takut kepada Allah dengan ulama. Bermakna, apa ertinya ulama kalau tidak taqwa kepada Allah.

Itulah motivasi Allah agar manusia menjadi orang bertaqwa. Apabila mereka pandai agama, bermakna mereka akan menjadi agamawan. Apabila mereka menjadi agamawan, pasti mereka akan takut kepada Allah.

Pun begitu, serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh islam semakin dahsyat. Akhirnya, Imam Al-Ghazali sendiri telah menyebut dalam kitabnya "ihya ulum Ad-Din", bahawa ulama itu tidak semuanya taqwa, bahkan di sana sudah wujud ulama yang disebut sebagai ulama Su' (baca : ulama jahat).

Bermakna, serangan musuh islam sudah berjaya melahirkan ulama yang tidak taqwa. Kesinoniman yang Allah cipta antara ulama dan taqwa telah berjaya dipisahkan oleh musuh-mush islam. inilah yang disebut sebagai "Islam dalam secular".

Islam adalah ilmu mereka. Islam adalah pandangan zahir mereka. Tetapi hati dan fatwa mereka adalah secular, tidak berasaskan ketaqwaan.

Apa pentingnya kita melebihkan ulama berbanding taqwa. Bahkan, lebih baik kita memilih orang yang tidak ulama, tapi taqwa. Tetapi, lebih baik lagi kalau kita mahu ulama yang bertaqwa.

Pun begitu, ulama yang bertaqwa yang menjadi pemimpin, hendaklah bermindakan haraki. Ulama haraki adalah ulama yang mempunyai minda "bergerak". Ulama yang mempunya minda "bergerak", akan berjaya melahirkan pemandangan terhadap Islam sebagai agama relevan sepanjang zaman dan agama yang bertamadun di semua mata-mata manusia, sama ada muslim ataupun non muslim.

Jika ulama yang tidak haraki memimpin, dibimbangi islam yang universal dilihat seperti jumud. Islam yang menjaga fitrah, dilihat mengongkong. Islam yang indah, dilihat buruk.

Persoalannya, bagaimana mahu kenal ulama yang haraki????

Itulah persoalan yang mempunyai jawapan yang senang diberikan, tetapi agak kurang boleh diluahkan. ianya kerana, bimbang dimarah oleh para ulama sendiri. Pun begitu, kita terpaksa lakukan 'pencerahan' ini, agar ianya tidak menjadi konflik dan politik yang berpanjangan.

Ulama haraki tidak semestinya ulama yang duduk dalam gerakan islam. bahkan, ada ulama yang duduk dalam gerakan Islam, tetapi tidak bermindakan "haraki".

Ulama haraki adalah diumpamakan seperti Doktor yang mempunyai pakar dalam bidang menentukan ubat, dan pakar dalam memastikan penyakit, lalu berjaya memberikan ubat yang sesuai dengan sesuatu penyakit.

Ada doctor yang belajar bidang kedoktoran yang pakar dalam mengenal ubat. Ianya disebut sebagai Farmasi. Ada pula doctor yang belajar dalam bidang kedoktoran yang mendalami kaedah dan cara untuk kenal penyakit.

Dua bidang kedoktoran ini nampaknya dibezakan. Ekoran itu, ada doctor farmasi, dan ada doctor yang tidak farmasi.

Doctor farmasi hanya pakar dalam mengenali ubat, tetapi belum tentu pakar dalam memastikan seseorang itu dihinggapi jenis penyakit.

Begitujuga ada doctor yang pakar bidang mengenali jenis penyakit yang dihinggapi pada seseorang, tetapi tidak pakar dalam mengetahui jenis ubat untuk diberikan kepada pesakit tersebut.

Inilah Doktor yang tidak "ngaji habis". Amat rugi pengajian Doktor sebegitu. Tetapi, Doktor yang hebat adalah, apabila dia mengetahui penyakit disamping dia juga tahu untuk memberikan jenis ubat yang sesuai kepada penyakit tersebut. Inilah doctor yang hebat. Doctor inilah dalam istilah agama disebut sebagai "haraki".

Begitujuga ulama. Ada ulama yang mendalami agama. Dia pakar dalam bidang agama, tetapi belum tentu dia pakar untuk menyesuaikan agama dalam kehidupan manusia yang berbeza-beza.

Lihatlah kepakaran ulama yang wujud pada imam As-Syafii. Fatwanya di Baghdad tidak sama dengan fatwanya di Mesir. Mengapa tidak sama, sedangkan rujukannya adalah dua asas utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah juga???

Jawapannya adalah, beliau adalah ulama haraki. Ulama yang tahu kesesuaian fatwa berdasarkan sesuatu tempat, dengan diasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Inilah kepimpinan ulama yang kita mahu, seperti yang telah dicontohi dari Tok guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat.

Justeru itu, kita mahukan ulama yang bertaqwa juga haraki. Jika ulama itu tidak taqwa, maka lebih baik kita pilih orang yang tidak ulama, tapi bertaqwa. Jika ulama itu bertaqwa, tapi tidak haraki, maka lebih baik memilih orang yang tidak ulama bertaqwa dan bersifat haraki.

Asas kita adalah, taqwa dan haraki. Dengan taqwa dan haraki, Islam pasti akan berjaya mencipta tamadun baru di dunia kini, insya Allah. Apakah perlu dia adalah ulama??? Apabila dia sudah bertaqwa, sesuatu tindakannya pasti akan merujuk kepada ulama…

Sekian

Al-bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- KB Mall * Kota Bharu
14 mac 2009 * 6:25 petang


1 ulasan:

IbnuQalil berkata...

Macam mana kita nak nilai taqwa seseorang ye? Ustaz ada caranya ke? Kalu ada bolehlah kongsi dengan ana, ana nak juga nilai taqwa sendiri, kalu kurang, nak tambah.

Bukankah orang yg paling bertaqwa dikalangan kita adalah ulama'? Ke profesional?