Rabu, 11 Mac 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 17

BERMESRA DI HADAPAN KHALAYAK

Sebilangan masyarakat kita menganggap, bermesra di hadapan khalayak adalah tindakan yang memalukan dan meloyakan. Kefahaman sebegini adalah satu tindakan yang silap dari konsep Islam ajaran Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW sebagai role model yang terbaik telah membuktikan, bahawa Baginda SAW tidak membataskan kemesraan dengan isteri hanya di ranjang sahaja, bahkan di hadapan khalayak pun Nabi SAW pernah bermesra-mesraan.

Justeru itulah, apabila kita membaca hadis-hadis, kita akan dapati bahawa Nabi SAW selalu sangat melakukan sesuatu tindakan yang menggambarkan Nabi sedang bermesra dengan isterinya dihadapan para sahabat.

Ini dibuktikan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Ha, bahawa beliau berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا فَسَمِعْنَا لَغَطًا وَصَوْتَ صِبْيَانٍ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا حَبَشِيَّةٌ تَزْفِنُ وَالصِّبْيَانُ حَوْلَهَا فَقَالَ يَا عَائِشَةُ تَعَالَيْ فَانْظُرِي فَجِئْتُ فَوَضَعْتُ لَحْيَيَّ عَلَى مَنْكِبِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهَا مَا بَيْنَ الْمَنْكِبِ إِلَى رَأْسِهِ فَقَالَ لِي أَمَا شَبِعْتِ أَمَا شَبِعْتِ قَالَتْ فَجَعَلْتُ أَقُولُ لَا لِأَنْظُرَ مَنْزِلَتِي عِنْدَهُ إِذْ طَلَعَ عُمَرُ قَالَتْ فَارْفَضَّ النَّاسُ عَنْهَا قَالَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَنْظُرُ إِلَى شَيَاطِينِ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ قَدْ فَرُّوا مِنْ عُمَرَ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW sedang duduk lalu terdengar suara bising dan suara kanak-kanak. Baginda SAW berdiri melihat, didapati ada seorang perempuan Habsyah telah dikerumuni oleh kanak-kanak kerana sedang mengadakan satu pertunjukkan. Baginda SAW memanggil; “wahai Aisyah, kemari kamu, dan lihatlah ini”. Aku datang dan aku meletakkan daguku pada bahu Rasulullah SAW dan melihat pertunjukkan tersebut. Sejurus kemudian Baginda bertanya; “apakah kamu sudah puas?? Apakah kamu sudah puas??” aku mengatakan; “belum”. Tiba-tiba muncul Omar bin Al-Khattab, menyebabakn kanak-kanak dan perempuan Habsyah itu bersurai. Berkata Rasulullah SAW; sesungguhnya aku melihat Syaitan Manusia dan Jin lari bertempiran daripada diri Omar
[1]

Hadis ini menjadi bukti, baginda SAW sentiasa bermesra dengan para isterinya dengan tidak dikhususkan di tempat tertutup sahaja, bahkan di hadapan khalayak pun, kadangkala Nabi SAW menunjukkan kemesraaan Baginda dengan para isteri.

Kemesraaan yang boleh dipelajari dari hadis ini adalah, didapati nabi SAW memanggil Aisyah apabila dilihat ada sesuatu yang menarik untuk ditonton. Menunjukkan, Nabi SAW tidak akan menonton sendirian, bahkan jika itu juga diminati oleh isteri, pasti nabi SAW akan memanggil agar isterinya dapat menonton bersama.

Juga, didapati Nabi SAW tidak marah dan menunjukkan rasa tidak selesa dikala Aisyah meletakkan dagunya di bahu baginda SAW. Bahkan kita dapat lihat, nabi SAW membiarkan sahaja tindakan Aisyah itu, sehinggakan nabi SAW sendiri bertanya kepada isterinya, apakah sudah puas melihat tontonan tersebut atau tidak??

Dari hadis ini juga, dilihat seperti Aisyah yang memulakan tindakan mahu bermanja dengan nabi SAW dengan meletakkan dagunya di bahu Baginda. Tetapi, jika disemak pada hadis-hadis yang lain pula, kita akan dapati, bukan isteri sahaja yang memulakan tindakan romantik, bahkan dilihat Nabi SAW sendiri pernah memulakan tindakan romantic tersebut, dengan menyandarkan belakangnya ke bahu isteri.

Ini dibuktikan dengan hadis Ummu Salamah yang menyebut;

نهش رسول الله صلى الله عليه وسلم عندي كتفا ثم خرج إلى الصلاة ولم يمس ماء

Maksudnya;
“Rasulullah SAW menyandarkan bahu baginda kepadaku, kemudian keluar Solat tanpa mengambil wudu’ lain
[2]

Kepada para suami dan isteri, hadis-hadis yang dikemukakan ini hendaklah dijadikan panduan dalam berumahtangga, terutama sekali dalam mewujudkan keharmonian berkeluarga.

Menonton bersama bukanlah tindakan yang terlarang, tetapi hendaklah dari bahan tontonan yang syariat tidak menghalang. Pastikannya harus di sisi Syarak, agar terbela dari sebarang rosak.

Semasa menonton pula, syarak tidak memandang sebagai dosa, jika suami isteri itu melakukan tindakan mesra, seperti bersandar-sandar sesama sendiri, berpegang-pegangan tangan, berlawan-lawan mata, jeling menjeling, bergurau-gurau, suami mentertawakan isteri, isteri mentertawakan suami dan sebagainya. Bahkan, tindakan sebegitu sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, yang sudah pasti akan melahirkan perasaan cinta yang hangat dalam mengharungi bahtera rumahtangga di lautan dalam.

Mudah-mudahan dengan tindakan Nabi yang dinukilkan ini, dapat memberikan satu rangsangan baru bagi suami dan isteri, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mahukan kehidupan berumahtangga yang harmoni.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 Mac 2009 * 11:41 malam




[1] Sunan At-Tirmizi : 3624.
[2] Musannaf Ibni Abi Syaibah : 1/65

Tiada ulasan: