Isnin, 9 Mac 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 16

TEGURAN ROMANTIK DI KALA ISTERI MARAH

Dari segi psikology, kejadian perempuan tidak sama seperti kejadian lelaki. Kejadian lelaki yang kurang beremosi berbanding perempuan. Ekoran itulah, Allah memberikan kelayakkan menjadi pemimpin kepada lelaki berbanding perempuan.

Firman Allah;

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

Maksudnya;
”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)”

(Surah An-Nisa’ : 34)

Perempuan diciptakan oleh Allah ekoran dari penciptaan lelaki. Adam diciptakan oleh Allah terlebih dahulu berbanding hawa. Bermaksud, perempuan hidup memerlukan perlindungan lelaki.

Memandangkan perempuan tidak seperti lelaki, kadangkala perempuan itu boleh melakukan sebarang kesilapan. Bukan bermakna lelaki tidak melakukan kesilapan, tetapi kesilapan mereka tidak seperti kesilapan yang dibuat oleh lelaki.

Lebih-lebih lagi, dari kejadian mereka sendiri adalah tulang rusuk yang paling bengkok.

Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Maksudnya;
”Sesungguhnya perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Sekiranya kamu mahu meluruskannya, pasti kamu mematahkannya. Sekiranya kamu membiarkannya, pasti ia akan sentiasa bengkok. Oleh itu, sentiasalah memberi wasiat kebaikan kepada mereka
[1]

Menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, hadis ini memberi gambaran bahawa Hawa diciptakan oleh Allah dari tulang rusuk Adam. Tetapi, Imam Al-Qurtubi pula menyatakan, maksud dengan perempuan diciptakan dari tulang rusuk bukanlah memang hakikatnya diciptakan dari tulang rusuk Adam, tetapi menggambarkan betapa ”bengkoknya” perempuan seperti bengkoknya tulang rusuk
[2].

Walaubagaimanapun, hadis ini telah memberikan satu gambaran bahawa jika perempuan melakukan kesalahan, kesalahan itu tidak sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh lelaki.

Justeru itu, dibimbangi bengkok itu semakin melampau, menyebabkan Nabi SAW ada memberikan sedikit panduan dalam membetulkan kesilapan perempuan.

Ini disandarkan kepada hadis daripada Qasim bin Muhammad bin Abi Bakar yang berkata;

كانت عائشة رضي الله عنها إذا غضبت عرك النبي صلى الله عليه وسلم بأنفها ، ثم يقول : « يا عويش ، قولي : اللهم رب محمد ، اغفر لي ذنبي ، وأذهب غيظ قلبي ، وأجرني من مضلات الفتن

Maksudnya;
“Apabila Aisyah sedang marah, Nabi SAW memicit hidungnya seraya berkata :”wahai A’yish, katakanlah, Ya Allah tuhan Muhammad, ampunilah dosaku. Dan hilangkan kekerasan hatiku, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan
[3]

Hadis ini merupakan satu panduan dari Nabi SAW kepada lelaki dalam menghadapi isteri yang kadangkala agak keterlaluan dalam memarahi sesuatu perkara.

Jika diperhatikan, hadis ini menyebut bahawa dikala Aisyah sedang marah, Nabi SAW tidak memanggilnya dengan panggilan biasa, tetapi memanggil dengan panggilan yang mengandungi unsur manja dan mesra, iaitu dengan menyebut “Ya A’yish” atau diterjemah melayu “wahai ‘Aisyah yang kecil molek”. Disamping itu juga, Nabi SAW menunjukkan dari sudut perbuatan manja dan mesra dengan memicit hidung Aisyah dikala melakukan teguran tersebut.

Apabila perempuan dipanggil dengan panggilan manja dan diperlakukan seperti itu, pasti perasaan mereka akan berubah. Marah yang meluap-luap kebakaran akan berjaya dipadamkan dengan air manja dan sentuhan. Dengan tindakan Nabi SAW itu, pasti kemarahan mereka akan reda, dan dalam masa yang sama Baginda SAW telah berjaya mewujudkan suasana mesra dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

Alangkah indahnya aturan Allah dengan mendatangkan Nabi SAW dalam menjaga manusia. kisah sebegini sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua manusia yang berumah tangga, agar kehidupan berkeluarga akan sentiasa indah dan makmur.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 mac 2009 * 9:15 malam.





[1] Sahih Al-Bukhari : 3084.
[2] Fath Al-Bari : 10/111.
[3] Amal Al-Lail wa Al-Lailah Li Ibni As-Sunni : 454. Syaikh Albani menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis doif dalam kitab Doif Al-Jami’ : 4433

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih ustaz kerana sudi berkongsi cerita-cerita romantik Nabi Muhammad s.a.w. Harapnya boleh laa dijadikan panduan untuk berumahtangga kelak dan terbuka pintu kasih-sayang untuk orang menerima Islam. Teruskan usaha.