Isnin, 16 Mac 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 12

JANGAN SAMAKAN JUAL BELI, RIBA DAN SEDEKAH

Firman Allah;

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya;
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”

(Surah Al-Baqarah : 275)

HURAIAN

Dalam ayat-ayat yang lepas, Allah menjelaskan tentang sedekah. Sedekah bermaksud memberikan sesuatu pemberian tanpa mengharapkan pembalasan. Dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan dua jenis pemberian yang mengharapkan pembalasan, iaitu jual beli dan riba.

Jual beli adalah perkara yang diizinkan. Adapun riba, adalah perkara yang dilarang oleh syarak. Keizinan jual beli kerana ia mengandungi maksud menyempurnakan keperluan manusia. adapun riba, ia mengandungi unsur menzalimi dan menindas manusia.

Makna riba dari sudut bahasa adalah “penambahan”

Adapun makna riba dari sudut Syarak pula adalah;

“sebarang tambahan dalam barangan tertentu dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh”

Menurut Ulama Fiqh, Riba terbahagi kepada beberapa bentuk, iaitu seperti berikut;

(a) Riba Ad-Duyun (riba yang berpunca daripada hutang)
(b) Riba Al-Buyu’ (riba yang berpunca dari jual beli barangan ribawi)

RIBA AD-DUYUN

Riba Ad-Duyun ini terbahagi kepada ;

(a) Riba Al-Qardh : iaitu penambahan yang disyarakan atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat itu dibuat di awal kontrak pinjaman yang dikenakan oleh pemberi pinjam terhadap peminjam.
(b) Riba Al-Jahiliyyah : iaitu penambahan yang berlaku dikala peminjam gagal membayar hutangnya pada tempoh yang telah ditetapkan.

RIBA AL-BUYU’

Riba Al-buyu’ terbahagi kepada ;

(a) Riba An-Nasa’ : jual beli antara dua barang ribawi yang sama jenis secara tangguh. Seperti (a) pembelian emas atau perak dengan harga yang ditetapkan secara tangguh. (b) pembelian beras dengan menukarkannya dengan gandum secara tangguh.
(b) Riba Al-fadhl : jual beli antara dua barang ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat atau kuantitinya. Seperti (a) menukar emas jenis A yang berat 6 gram dengan emas jenis B yang berat 7 gram (bermaksud : terlebih 1 gram). Atau (b) jual beli berat gred A dengan 10 kilo dengan beras gred B dengan 5 kilo (bermaksud : terlebih 5 kilo)

ASNAF RIBA:

Asnaf riba ada 6 perkara, iaitu (1) Emas; (2) Perak; (3) beras; (4) gandum; (5) Tamar; dan (6) garam.

Ianya disandarkan kepada hadis nabi;

عُبَادَةَ بْنَ الصَّامِتِ فَقَامَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَى عَنْ بَيْعِ الذَّهَبِ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرِّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرِ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرِ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحِ بِالْمِلْحِ إِلَّا سَوَاءً بِسَوَاءٍ عَيْنًا بِعَيْنٍ فَمَنْ زَادَ أَوْ ازْدَادَ فَقَدْ أَرْبَى

Maksudnya;
“Daripada Ubbadah bin As-Somit berkata; aku dengar Rasulullah Saw menegah daripada jual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar dan garam dengan garam, melainkan sama timbangan dan sukatannya, dan ain dengan ain. barangsiapa yang melebihkannya, maka sesugguhnya telah menjadi riba
[1]


***

Firman Allah;

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا

Maksudnya;
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba”

Dalam ayat ini, Allah menyebut, “orang-orang yang makan riba”. Persoalannya, apa yang dimaksudkan dengan makan riba disini. Apakah yang melibatkan kepada asnad riba sahaja, atau bagaimana???

Maksud makan dalam ayat ini, bukanlah bermaksud makan seperti kita makan nasi. Tetapi, maksud makan disini adalah kita bermuamalat dengan riba. Sengaja Allah menyebut makan, kerana mengikut sasteranya, kalimah makan itu amat mudah untuk difahami dalam memaksudkan dengan bermuamalah.

Ini diumpamakan seperti firman Allah;

الذين يَأْكُلُونَ أموال اليتامى ظُلْماً

Maksudnya;
”mereka yang makan harta-harta anak-anak yatim secara zalim”

(Surah An-Nisa’ : 10)

Jika direnung balik, harta anak yatim yang dilarang makan itu bukanlah harta yang berbentuk makanan sahaja, bahkan harta lain, seperti duit, benda dan sebagianya juga dilarang untuk diselewengkan. Justeru, ayat ini menggunakan kalimah ”makan”. Ianya membawa maksud adalah larangan dari menggunakan harta anak yatim, atau menyelewengkan harta anak yatim, walaupun tidak ada unsur makan makanan sekalipun.

Makan harta riba adalah haram. Ia dikira sebagai memakan harta manusia secara batil.

Firman Allah;

وَلاَ تَأْكُلُواْ أموالكم بَيْنَكُم بالباطل

Maksudnya;
“Jangan kamu makan harta-harta kamu di kalangan kamu dengan batil”

(surah Al-Baqarah : 188)

Apabila disebut riba, wujud didalamnya unsur zalim. Seperti riba ad-duyun. Riba yang melibatkan kepada hutang. Selalunya, orang berhutang adalah orang yang memerlukan. Hutang merupakan cara untuk Allah memberikan pahala kepada orang-orang kaya, bukannya untuk diambil kesempatan.

Apabila orang kaya meletakkan syarat, bahawa hendaklah membayar hutang itu lebih dari kadar yang diberi hutang. Dalam keadaan itulah, menyebabkan si miskin yang memerlukan terpaksa bekerja lebih demi untuk membayar balik hutangnya. Bermakna, si kaya memakan hasil usaha si miskin dengan cara batil.

Kaedah riba sebeginilah yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah terdahulu. Tetapi sekarang, amalan jahiliyyah ini menjadi amalan biasa. Ini terbukti dengan lahirnya bermacam-macam syarikat pinjam wang yang dinamakan sebagai “Ah Long”.

Apabila pihak miskin sentiasa diperah peluhnya untuk memberikan kekayaan kepada golongan kaya secara zalim ini, sudah pasti akan melahirkan perasaan benci antara si kaya dan si miskin. Ketika itu, berlakulah apa yang disebut sebagai putus “silah Ar-rahm”.

***

Firman Allah;

لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ

Maksudnya;
“tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila”

Allah menjelaskan, orang yang makan riba itu, mereka akan dibangkitkan di akhirat nanti seperti orang yang ditimpa penyakit hasteria; yang dimasuki Syaitan.

Ulama tafsir menyebut, maksud dibangkit pada ayat ini ada dua tafsiran, iaitu (a) dibangkitkan di alam akhirat nanti; (b) dibangkitkan dari kubur nanti.

Ada ulama tafsir lain menyatakan, orang-orang yang makan riba itu digambarkan oleh Allah dibangkit seperti orang kemasukan Syaitan, bukanlah mereka dimasuki syaitan, tetapi mereka sebenarnya dibangkitkan sepertimana Syaitan dibangkitkan nanti. Mereka dibangkit sedemikian, kerana mereka mengambil ajaran Syaitan (makan riba) sebagai jalan hidup mereka.

Syaitan bertindak berdasarkan kepada hawa nafsu dan syahwat, maka begitujuga dibangkitkan orang-orang yang makan riba. Kerena, mereka semasa hidup didunia dulu berperangai seperti syaitan, iaitu sentiasa mengikut hawa nafsu dan syahwat.

Ada ulama tafsir lain pula kata, disebbakan mereka makan riba, maka mereka akan dibangkitkan dalam keadaan diri mereka dimasuki syaitan. Mereka tidak sedarkan diri, seperti orang gila.

Mereka dibangkitkan hari kiamat nanti dalam keadaan cepat-cepat. Perut mereka di”riba”kan oleh Allah sehingga menjadi besar, sebesar rumah, menyebabkan perut mereka yang besar itu menjadi azab. Mereka bersegera berjalan menuju kepada syurga, tetapi mereka tidak mampu disebabkan tidak larat untuk membawa perut mereka sendiri.

Keadaan seperti ini, pernah dilihat sendiri oleh nabi Saw semasa baginda menghadiri jemputan Allah pada malam Isra’ dan Mikraj.

Ada pula ulama lain menyatakan, maksud mereka dimasuki syaitan adalah mereka hidup tidak tenang. Mereka sentiasa dalam kebimbangan, seperti manusia yang kemasukan syaitan.

***

Firman Allah;

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا

Maksudnya;
”Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba”

jika diperhatikan, manusia pasti akan terikat dengan riba. Sehinggakan pernah disebut oleh Nabi SAW, sampai satu tahap, walaupun manusia mengelak dari makan riba, tetapi mereka tetap terkena dengan debu riba.

Sabda Nabi SAW;

يأتي على الناس زمان يأكلون فيه الربا" قال: قيل له: الناس كلهم؟ قال: "من لم يأكله منهم ناله من غباره

Maksudnya;
“Akan datang atas manusia itu satu zaman, mereka makan riba. Ditanya; adakah semua manusia??: bersabda : mereka tidak makan pun, tetapi mereka terkena debunya”

Orang yang makan riba sudah dikira sebagai orang yang berdosa besar. Maka dalam ayat ini pula, Allah menyatakan tentang satu lagi golongan manusia, iaitu mereka yang mengatakan riba itu adalah jual beli juga. Tujuan mereka kata macam itu, kerana mereka mahu menghalalkan perkara yang telah Allah haramkan.

Mereka sengaja mengatakan begitu. Mereka mendatangkan hujjah-hujjah mereka sendiri. Seperti mereka dakwa, jual beli ada unsur redha-meredhai, maka begitujuga riba. Mereka dakwa, jual beli ada unsur pulangan dan untung, maka begitujuga riba.

***

Firman Allah;

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya;
“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

Walaupun ada manusia yang berkeras mahu menyatakan riba adalah halal dengan membandingkan dengan jual beli, maka ayat ini Allah menjelaskan bahawa riba dan jual beli adalah dua unsure yang berbeza.

Jual beli mempunyai unsure menyempurnakan keperluan manusia, walaupun mendapat untung. Adapun riba, ia tidak mempunyai unsure menyempurnakan keperluan manusia, tetapi ia mengandungi unsure mendapat keuntungan “atas darat” disamping mempunyai unsure menindas.

Ayat ini menjadi dalil, sebarang perkara yang bernama jual beli, maka ia adalah halal. Dan sebarang perkara yang bernama riba, maka ia adalah haram.

***

Firman Allah;

فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ

Maksudnya;
“Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah”

Ayat ini, Allah menyatakan bahawa mereka yang telah mengambil riba sebelum turunnya pengharaman riba, maka duit riba yang telah dimakan itu tidak perlu dipulangkan balik.

Adapun jika masih ada lagi duit riba itu ditangannya, maka hendaklah dipulangkan kepada mereka yang diambil duit riba.

***

Firman Allah;

وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya;
“Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”

Adapun mereka yang kembali mengambil riba balik, iaitu setelah diharamkan, maka orang sebegini layak menerima azab dari Allah SWT.

Dalam menerima azab itu, ada dua golongan manusia, iaitu (a) mereka yang menghalalkan riba; (b) mereka yang berdegil tetap mahu makan riba juga.

Bagi mereka yang sekadar degil dengan mahu makan riba juga, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kadar maksiat yang mereka lakukan sahaja. Adapun mereka yang ingkar ajaran Allah dengan menghalalkan riba, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka sampai bila-bila. Ianya kerana, mereka telah kufur dan terkeluar daripada Islam, kerana menghalalkan perkara yang Allah haramkan.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 mac 2009 * 3:36 pagi



[1] Sahih Muslim : 2969.

Tiada ulasan: