Isnin, 6 April 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 15 : IMAN ROSAK SEBAB RIBA

IMAN ROSAK SEBAB RIBA

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ * فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman * Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”

(Surah Al-Baqarah : 278-278)

HURAIAN

Dalam ayat lepas, Allah SWT menjelaskan kepada kita tentang celaan Allah terhadap riba dan memberikan pujian terhadap sedekah. Disamping itu pula, Allah menjelaskan tentang cirri-ciri orang yang beriman. Iaitu, tidak sekadar meletakkan kepercayaan, bahkan perlu ada unsur hablullah (baca : pertalian manusia dengan Allah) dan Hablunnas (baca : pertalian manusia sesama manusia).

Disamping itu juga, Allah menjelaskan bahawa sesiapa yang telah memakan riba sebelum turunnya ayat pengharaman riba, maka semua itu dimaafkan oleh Allah SWT.

Adapun dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan agar setelah diharamkan riba, sebarang perjanjian riba hendaklah di lupuskan.

***

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman”

Dalam ayat ini, Allah sebut “orang-orang beriman”. Menunjukkan, ayat ini dikhitabkan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Adapun kepada orang kafir, apakah perlu mereka meninggalkan riba atau tidak, maka itu terserah kepada mereka.

Jika diperhatikan kepada sirah, ketika Nabi SAW mula-mula masuk ke Madinah, didapati ekonomi Madinah dikuasai oleh puak-puak yahudi. Orang-orang yahudi mengamalkan riba. Nabi SAW tidak melarang mereka mengamalkan riba dalam perniagaan. Pun begitu, nabi SAW menggarap Abdur Rahman bin Auf supaya menggunakan segala kepakaran berniaga yang ada untuk menandingi ekonomi yahudi. Abdur Rahman dibimbing oleh Nabi SAW dalam berniaga dengan berasaskan kepada sistem ekonomi islam. akhirnya, ekonomi Islam mendapat tempat dihati-hati rakyat Madinah yang menyebabkan ekonomi yahudi gugur di Madinah.

***

Firman Allah;

اتَّقُوا اللَّهَ

Maksudnya;
“bertakwalah kepada Allah”

Dalam ayat ini, Allah menyuruh orang-orang beriman agar takut kepada Allah. Persoalannya, apakah orang beriman itu belum taqwa lagi??

Sesungguhnya orang yang beriman itu tidak cukup sekadar hati mereka sahaja meletakkan kepercayaan terhadap Allah, bahkan hendaklah mereka meletakkan kepercayaan itu disertai dengan amalan. Tanpa amal, orang itu tidak boleh dikatakan sebagai mukmin sebenar; iman mereka mempunyai masalah besar disisi Allah SWT.

Menunjukkan, suruhan Allah SWT kepada orang beriman menerusi ayat ini adalah, mendesak agar orang beriman tidak sekadar meletakkan kepercayaan mereka terhadap Allah semata-mata, bahkan hendaklah mereka buktikan dengan amalan mereka; iaitu dengan meninggalkan amalan riba.

***

Firman Allah;

وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا

Maksudnya;
“dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut)”

Jika dirujuk kepada sebab turun ayat ini, kita akan dapati ianya diturunkan kepada Ahli Makkah yang sebelum berlaku pembukaan kota mekah, mereka adalah golongan yang sering memberi hutang dengan mengharapkan bayaran balik dengan penambahan (baca : riba).

Justeru, ayat ini Allah menjelaskan kepada Ahli Makkah tersebut agar mereka dibayar hutang mengikut kadar hutang yang diberikan sahaja; tanpa mempunyai penambahan.

Mengikut riwayat lain, ayat ini diturunkan berkenaan dengan dua kabilah arab; Bani Amri bin Amir daripada As-Saqif dan Bani Mughirah. Kedua-dua kabilah ini ada berlaku hutang berhutang sesame mereka semenjak mereka belum masuk islam lagi. dengan kedatangan Nabi, menyebabakn mereka masuk islam. apabila sudah masuk islam, amalan itu mahu diteruskan juga, tetapi mendapat tentangan dari Nabi SAW.

Ekoran dari itu, Nabi SAW telah menulis surat rasmi kepada kedua-dua kabilah arab itu. antara kandungan surat Nabi SAW adalah baginda SAW menulis dua ayat dari surah Al-Baqarah, iaitu ayat 278 dan 279.

Memahami dari kisah penurunan ayat ini, difahami, setelah turunnya ayat pengharaman riba, maka segala baki-baki riba hendaklah dihindarkan. Jika ada sebilangan yang pernah memberikan hutang kepada sesiapa sahaja, lalu jika mahu dibayar, maka hendaklah diambil kadar hutang yang diberikan sahaja, tidak ada penambahan.

***

Firman Allah;

إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“jika kamu orang-orang yang beriman”

Dengan ayat ini, amat nyata bahawa dengan dosa besar yang dilakukan oleh seseorang mukmin itu sebenarnya memberi kesan terhadap imannya. Justeru, mukmin sebenar adalah orang yang tidak akan redha dengan dosa besar yang dilakukan; sentiasa berhati-hati dari melakukan dosa-dosa besar.

Adapun orang yang menghalalkan riba, maka orang itu sudah diketagorikan sebagai kafir. Kerana, tindakan itu sebenarnya telah mencabar Allah SWT yang merupakan pensyariat kepada hukum.

***

Firman Allah;

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ

Maksudnya;
”Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu”

Sekiranya mereka masih lagi mengamalkan riba, Allah telah mengisytihar perang terhadap mereka.

Mengapa Allah mahu menyerang mereka yang mengamalkan riba??

Allah mahu menyerang orang yang mengamalkan riba setelah diharam adalah kerana, mereka pada hakikatnya sedang mencabar Allah. Mereka sebenarnya telah meletakkan kepentingan diri mereka melebihi kepentingan masyarakat.

bagaimana Allah menyerang mereka???

Serangan yang dilancarkan oleh Allah SWT adalah, Allah akan memberikan keizinan kepada pemerintah islam untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mengamalkan riba.

Jika dibaca dalam kitab fiqh, pihak kerajaan perlu meminta pengamal riba agar bertaubat terlebih dahulu. Jika mereka masih tetap juga tidak mahu bertaubat, Islam membenarkan kepada pihak kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka sehingga boleh dipancung.

Sayed Qutub menyatakan, serangan yang Allah lancarkan terhadap pengamal riba adalah, Allah menghilangkan keberkatan pada harta mereka, menghilangkan kebahagiaan dan keselesaan hidup mereka. Bahkan, Allah juga menjadikan hati mereka sentiasa dalam keadaan yang tidak tenang.

Adapun Imam Ibni Abbas pula menyatakan, di hari kiamat nanti, pengamal riba ini akan dicabar dengan disuruh mereka mengambil senjata mereka untuk berperang dengan Allah ekoran amalan riba yang diamalkan oleh mereka.

***

Firman Allah;

وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ

Maksudnya;
“Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu”

Bertaubat adalah bermaksud “kembali”. Maksud dengan kembali adalah, meninggalkan amalan jahat, amalan jahiliyyah. Amalan jahiliyyah tidak dibataskan sebelum zaman nabi SAW sahaja, bahkan jika manusia itu berada di mana-mana zaman pun, lalu diamalkan amalan jahat, maka itu sudah cukup disebut sebagai orang itu beramal dengan amalan jahiliyyah.

Antara amalan jahiliyyah adalah mengamalkan riba. Orang yang mengamalkan riba, adalah orang jahiliyyah, walaupun ia mendakwa beragama Islam sekalipun.

Justeru, sebagai orang yang beriman; orang yang tidak melakukan dosa besar, hendaklah bertindak berhenti dari riba. Caranya adalah, dengan tidak mengambil bayaran lebih disebalik hutang yang diberikan.

***
Firman Allah;

لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya;
“kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”

Zalim didefinisikan sebagai ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Orang yang zalim, adalah orang yang melakukan sesuatu perkara dengan tidak dengan keadaan yang sebenar.

Orang yang mengamalkan riba adalah orang yang zalim. Ini kerana, mereka telah melakukan tindakan yang tidak sepatutnya, iaitu memberikan kesusahan kepada orang yang memerlukan. Justeru, apabila mereka berhenti dari riba, bermakna mereka telah memberhentikan daripada menindas manusia yang memerlukan.

Begitujuga, mereka tidak dizalimi. Ini kerana, hutang yang mereka berikan itu tidak dibayar balik dengan kadar yang tinggi dari kadar hutang yang diberi, bahkan diberi balik kepada mereka mengikut kadar yang diberikan dahulu sahaja. Justeru, mereka sebenarnya tidak rugi, bahkan mereka mendapat keuntungan juga, iaitu mendapat balasan pahala disisi Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 april 2009 * 7:06 pagi


Tiada ulasan: