Selasa, 7 April 2009

TAFSIRAN “ABU” DALAM “BAHASA ISLAM”

TAFSIRAN “ABU” DALAM “BAHASA ISLAM”

Kalimah “abu” dalam bahasa Arab bermaksud “bapa”. Bapa yang merujuk kepada kalimah abu ini, tidak dikhususkan kepada bapa sebenar sahaja, bahkan ada beberapa keadaan, kalimah abu itu merujuk kepada “bapa saudara”, juga kepada “datuk”.

Antara bukti nas kalimah Abu digunakan selain bapa sebenar adalah;

(a) Firman Allah;

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آَبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya;
“Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan NENEK MOYANGmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya"

(Surah Al-Baqarah : 133)

Dalam ayat ini, kalimah “aba I ka” diterjemah sebagai “nenek moyang kamu”. Maksud nenek moyang adalah merujuk kepada Ibrahim yang merupakan Datuk kepada Nabi Ya’qub. Nabi Ismail merujuk sebagai bapa saudara Nabi Ya’qub. Nabi Ishaq merujuk sebagai bapa nabi Ya’qub.

Justeru, pada kalimah “aba i” (plural : abu) tidak sekadar digunakan kepada bapa sahaja, bahkan digunakan juga kepada bapa saudara, juga atuk.

(b) Hadis Nabi SAW;

Diceritakan semasa hampir berlaku pembukaan kota Makkah, Abu Sufyan telah datang berjumpa dengan Nabi SAW di Madinah dengan dibawa oleh bapa saudara Nabi yang bernama Abbas. Abu Sufyan telah memeluk islam dihadapan Nabi SAW.

Setelah Islamnya Abu Sufyan, beliau kembali semula ke Makkah. Abbas yang merupakan Bapa saudara Nabi telah meminta dari Nabi agar diizinkan beliau pergi ke makkah bersama Abu Sufyan bagi menyeru rakyat Makkah dengan islam.

Permintaan itu menyebabkan Nabi SAW bimbang tentang keselamatan bapa saudaranya itu. ini kerana, dibimbangi beliau dibunuh oleh rakyat Makkah yang masih belum lagi memeluk islam.

Pun begitu, setelah didesak, nabi SAW mengizinkan juga Abbas pergi ke Makkah dengan Abu Sufyan dengan menaiki kenderaan yang dihadiahkan oleh nabi SAW.

Setelah Abbas tinggal di Makkah beberapa ketika, tidak kedengaran berita Abbas. Menyebabkan Nabi SAW merasa terlalu bimbang. Kebimbangan Nabi SAW itu diungkapkan dengan kata baginda;

ردوا علي أبي ، ردوا على أبي

Maksudnya;
“Kembalikan balik kepadaku BAPAKU, kembalikan balik kepadaku BAPAKU
[1]

Dari hadis ini, amat nyata Nabi SAW menggunakan kalimah “Abi” yang diterjemah sebaga bapa itu tidak digunakan kepada bapa baginda yang bernama Abdullah. Malah, penggunaan itu merujuk kepada bapa saudara baginda SAW yang bernama Abbas.

Justeru, penggunaan “abi” dalam bahasa Islam tidak sekadar kepada bapa sahaja, bahkan dalam beberapa keadaan kalimah “abi” itu merujuk kepada bapa saudara.

HADIS BAPA NABI

Ekoran dari itulah, berlaku sedikit perdebatan tentang bapa Nabi SAW yang bernama Abdullah. Apakah beliau ahli neraka atau tidak??

Golongan yang mengatakan Abdullah bin Abdul Muttalib, bapa nabi SAW sebagai ahli neraka, mereka merujuk kepada hadis yang menyebut;

عن أنس أن رجلا قال : يا رسول الله! أين أبي؟ قال إن أبي وأباك في النار

Maksudnya;
“Daripada Anas, sesungguhnya seorang lelaki berkata : “Wahai rasulullah ! di mana bapaku??” bersabda : “sesungguhnya bapaku dan bapamu dalam neraka
[2]

Pun begitu, bagi ulama lain, mereka berpendapat hadis ini bukanlah merujuk kepada Abdullah, tetapi merujuk kepada Abu Talib yang merupakan bapa saudara Nabi SAW. asas hujjah mereka dalah, dirujuk kepada penggunaan kalimah “Abu” dalam bahasa Islam yang telah diulas lepas.

Disamping itu juga, mereka beralasan dengan firman Allah;

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya;
“Kami tidak akan meng'azab sebelum Kami mengutus seorang rasul”

(Surah Al-Isra’ : 15)

Pada mereka, bapa Nabi SAW hidup di fatrah ketiadaan Nabi. Justeru, bapa nabi SAW itu adalah ahli syurga.

Walaubagaimanapun, perkara ini adalah perkara khilaf dalam urusan memahami nas. Justeru, tidak dinafikan ulama-ulama muktabar berbeza pendapat dalam menentukan bapa Nabi SAW yang bernama Abdullah, apakah ahli syurga atau ahli neraka.

Jika dilihat kepada pendapat ulama yang lain, mereka menyatakan bahawa pada zaman bapa Nabi itu, tidak boleh disebut sebagai ahli fatrah. Ini kerana, ahli fatrah adalah golongan yang tidak sampai dakwah kepada mereka, sedangkan zaman bapa Nabi SaW sudah sampai dakwah, iaitu dakwah nabi ibrahim A.S.

Dengan demikian, pada mereka, bapa Nabi SAW adalah ahli neraka kerana merujuk kepada hujjah ini, disamping dikuatkan dengan hujjah yang lain, iaitu hadis yang menyebut;

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: زار النبي صلى الله عليه وسلم قبر أمه فبكى وأبكى من حوله ، فقال: ((استأذنت ربي في أن أستغفر لها فلم يؤذن لي ، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي ، فزوروا القبور فإنها تذكر الموت))

Maksudnya;
“daripada Abi Hurairah R.h berkata; Nabi SAW telah menziarahi kubur ibunya (Aminah). Baginda SAW menangis di kubur ibunya itu, menyebabkan sahabat-sahabat yang lain pun turut menangis. Lalu baginda berkata; “Aku minta izin dari Tuhanku untuk mengucapkan istighfar untuk ibuku, tetapi aku tidak diizinkan berbuat demikian. Aku minta izin untuk menziarahi kuburnya, aku diizinkan melakukan demikian. Maka hendaklah kamu semua menziarahi kubur, kerana ia bisa mengingatkan kepada mati
[3]

Mereka menyatakan, hadis ini menyebut tentang permintaan Nabi untuk mendoakan kepada ibu baginda yang meninggal dunia sebelum Baginda dilantik menjadi Nabi. Bapa nabi juga meninggal sebelum baginda dilantik jadi Nabi, bermakna, ibu dan bapa Nabi SAW mempunyai status yang sama.

Pun begitu, apabila Nabi minta izin dari Allah untuk mendoakan keampunan dosa untuk ibunya, itu dilarang oleh Allah. Maka dengan demikian, difahami bahawa Ibu bapa Nabi SAW adalah ahli neraka.

KHILAF PERKARA AQIDAH

Isu berkenaan dengan ibu bapa Nabi SAW adalah ahli neraka merupakan perkara aqidah. Ini kerana, ia melibatkan perkara ”ghaibiyyat”.

Apa yang pasti, khilaf juga berlaku dalam perkara aqidah. Ini kerana, perkara aqidah dalam islam ini terbahagi kepada dua, iaitu (a) bersifat Dharuri, dan (b) bersifat Nazari.

Perkara aqidah yang bersifat Dharuri adalah, perkara aqidah yang jika tidak didebatkan secara nas pun, manusia sudah memahami. Seperti kewujudan Allah, keesaan Allah, kekuasaan Allah dan sebagainya. perkara aqidah bersifat Dharuri ini, tidak akan berlaku khilaf padanya.

Adapun satu lagi adalah perkara aqidah bersifat nazari. Iaitu, perkara aqidah yang didebatkan berdasarkan berbeza pemahaman Nas. Perkara aqidah yang bersifat Nazari ini, boleh diterima khilaf.

Antara perkara aqidah bersifat Nazari adalah, penentuan ibu bapa Nabi SaW, apakah ahli syurga ataupun neraka.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 april 2009 * 1:04 pagi


[1] Musannaf Ibni Abi Syaibah : 8/532.
[2] Sunan Abi Daud : 4718
[3] Sunan An-Nasai : 2032

3 ulasan:

Unknown berkata...

saya setuju sangat dengan ustaz....mufti dah jadi pak lawak umno..

budak berkata...

Ustaz,

maknanya, isu kedudukan Allah, 'tangan' Allah, Allah bersemayam termasuk dalam nazari ya ustaz?

Tanpa Nama berkata...

Syukran YA Akhi, pendapat ana juga cenderung kepada hujjah saudara. TQ