Ahad, 6 September 2009

APAKAH ORANG GILA WAJIB BAYAR ZAKAT??


APAKAH ORANG GILA WAJIB BAYAR ZAKAT??

Jumhur Ulama berpendapat, wajib zakat pada harta kanak-kanak yang belum baligh dan orang gila. Pendapat ini didokong oleh Imam syafie, Malik dan Ahmad.

Dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;

Pertama:

firman Allah;

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Maksudnya;
“ambillah daripada harta mereka sedekah, pasti ia dapat membersihkan dan mensucikan mereka”

(Surah At-Taubah : 103)

Ayat Al-Quran ini, memperlihatkan bahawa zakat merupakan kewajipan harta. Ia merupakan ibadat berbentuk harta yang diwajibkan apabila cukup syarat-syaratnya, seperti nisab dan haul.

Kedua:

Ketika Nabi SAW mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Nabi SAW berpesan kepadanya dengan sabda Nabi;

أَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ ، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya;
”Ajarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah telah memfardukan atas mereka sedekah pada harta mereka. Harta itu diambil daripada orang kaya dari kalangan mereka, dan diberikan kepada orang-orang fakir dari kalangan mereka
[1]

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyuruh Muaz bin jabal mengutip zakat dari orang kaya. Hadis ini, nabi SAW sebut secara umum, tanpa membataskan, sama ada orang gila atau tidak.

Pendapat ini, menyalahi dengan pendapat yang dikemukakan oleh Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah berpendapat, orang gila tidak diwajibkan zakat, sepertimana tidak wajib mereka melakukan ibadat; seperti solat, puasa dan sebagainya.

Sandaran mereka adalah hadis;

أَنَّ الْقَلَمَ رُفِعَ عَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يُدْرِكَ وَعَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ

Maksudnya;
”diangkat qalam (tidak diambil kira) daripada tiga golonga; orang gila hingga dia sehat, daripada kanak-kanak hingga dia baligh, daripada orang tidur hingga dia sedar dari tidur
[2]

Pendapat Imam Abu hanifah ini dijawab balas oleh Jumhur. Menurut Jumhur, solat, puasa dan ibadat-ibadat yang seangkatan dengannya merupakan ibadat badaniyyah. Adapun zakat, ia merupakan hak maliyyah (hak berbentuk harta).

Apabila berbicara tentang hak maliyyah, sudah pasti perdebatan tentangnya agak berbeda. Ini kerana, apabila sesuatu harta telah dirosakan oleh seseorang gila, maka wajib harta tersebut digantikan oleh wali kepada orang gila tersebut. Keadaan ini tidak sama dengan ibadat yang lain seperti solat, yang mana, apabila mereka tidak solat, mereka tidak disuruh menggantikan solat tersebut.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 september 2009 * 5:16 pagi



[1] Al-Bukhari : 1395.
[2] Al-Bukhari.

Tiada ulasan: